Monday, January 5, 2009

Tumbuk Hantu, Tiang Yang Kena

Entah mengapa saya dari kecil sudah alami perkara-perkara pelik yang melibatkan makhluk halus sedangkan sesetengah orang dari muda hingga ke tua tidak pernah alami apa-apa. Saya nak ceritakan peristiwa kali kedua saya alami ketika bermalam di rumah abang sulung saya.

Pada satu petang ketika itu saya di dalam tingkatan 2 (14 tahun) saya berkunjung ke rumah abang sulung saya. Malam itu abang minta saya bermalam saja di rumahnya. Rumah ini merupakan rumah pusaka turun temurun yang diwarisi oleh kakak ipar saya. Rumah dari kayu cengal ini agak besar dengan panjang lebih kurang 100 kaki dan buka 40 kaki dengan berhiaskan kayu larik dan berkerawang yang cukup menarik.

Malam itu saya bermalam di sebuah bilik yang bersebelahan dengan bilik simpanan barang-barang antik yang abang simpan. Bilik itu memang dipenuhi dengan berbagai barangan antik dari lembing keris sehinggalah barangan tembaga dan pinggan mangkuk cina zaman dahulu.

Lebih kurang jam 2 pagi saya tersedar kerana terdengar jentikan yang berirama di lantai. Seolah-olah dilakukan dengan jari yang kuat. Saya diam dan mendengar saja sambil terkebil-kebil. Kerana bunyi agak lama, saya tak boleh tidur. Saya tepuk lantai dengan kuat. Bunyi itu diam seketika dan berbunyi lagi. Saya tepuk lagi lantai itu, terus bunyi itu senyap. Seketika kemudian saya dengar seperti bunyi orang mandi di bilik air belakang dengan menggunakan paip hujan. Bunyi itu agak kuat kerana bilik itu berlantaikan papan juga. Ditambah pula malam yang sunyi. Saya masih diam membatu di perbaringan. Saya fikir mustahil abang mandi jam 2 pagi, lagi pun di biliknya juga ada bilik air.

Seketika kemudian saya dengar macam benda barat jatuh di atas atap serambi belakang. Memang serambi belakang rumah itu beratapkan zink. Bunyinya macam dipukul dengan kuat atau buah kelapa yang jatuh di atas atap zink itu. Nak kata buah kelapa yang jatuh, ianya mustahil sebab pokok kelapa yang ada pun jauh dari rumah. Saya masih diam. Sedang saya berfikir-fikir itu saya dengar pula kualli tembaga dipukul bertalu-talu macam memukul gong di bilik sebelah. Cukup membingitkan. Saya masih diam juga.

Bila hilang bunyi gong tadi, keadaan hening seketika sehinggalah terdengar pula bunyi seolah-olah lidah yang besar menjilat sesuatu dari bekas yang juga besar di bilik sebelah. Plap.. plap.. plap... lahap benar bunyinya. Saya bangun dan duduk di katil. Teringin pula nak mengintai apa sebenarnya yang berbunyi dan apakah yang dibuatnya.

Saya bangkit dan terlanggar almari kerana agak gelap dan di bilik yang saya tidak biasa. Saya fikir macam mana saya nak intai sedangkan keadaan gelap. Apa yang saya nak tengok? Saya bangun dan menuju ke tiang suis lampu. Bila saya dekat dengan tiang, di dalam keadaan samar saya nampak satu lembaga besar berbulu hitam berdiri di hadapan suis yang saya nak petik. Saya amati, betul itu adalah lembaga besar, bermata merah dan bergigi besar macam kapak.

Saya rapat dan sambil melompat saya tumbuk lembaga itu sekuat hati. Kerana lembaga itu besar dan saya masih lagi rendah, baru 14 tahun, saya terpaksa melompat untuk menumbuk mukanya. Buk... rumah dirasakan bergegar. Adusss... tangan saya sakit. Rupanya saya tumbuk tiang rumah yang berukuran 10 inci x 10 inci. Kayu cengal pulak tu. Abang saya tersedar dan panggil saya. Dia tanya apa halnya. Saya jawab, saya terlanggar tiang semasa nak buka lampu kerana nak buang air. Saya berbohong takut dia tak percaya cerita saya.

Malang bagi saya. Esoknya saya dapati empat jari dan buku lima saya bengkak membiru! Hantu yang ditumbuk, tiang yang jadi sasaran.

Selang beberapa bulan selepas itu saya diberitahu oleh kakak kepada kakak ipar saya yang memang rumah itu ada penunggu. Hantu raya belaan orang dulu-dulu untuk menjaga rumah dan harta tapi sekarang tidak ada siapa pun yang sanggup mewarisinya. Tapi selepas dari peristiwa itu saya tidak lagi diganggu ketika saya bermalam di situ.


39 comments:

  1. uncle...betul telahan erisya ...hantu raya! walau pengalaman kita hampir sama...eee tapi erisya tak berani nak tumbuk! kata orang hantu raya tuh gelenyar! bila dengar bunyi pelik...erisya nyorok bawah selimut jer :)

    ReplyDelete
  2. Erisya,

    Selepas itu uncle dapat tahu sesiapa saja yang bukan ahli rumah itu akan diganggu. Sama ada bermalam atau tidak tunggu masa yang sunyi saja.

    Ada sekali tu, saudara arwah kakak ipar singgah untuk sembahyang. Dia sembahyang sendirian di salah satu bilik yang banyak di rumah itu. Sedang sebahyang pun diganggunya juga. Dia melintas di hadapan orang sedang sembahyang dengan tersengih-sengih!

    ReplyDelete
  3. eeee... teruk betul perangai hantu tuh! sure kecut perut masa solat tuh! erisya masih ada tugas rasmi di kedah tapi tidur di PP...rasa puas dapat makan mi udang fresh dari laut :) rasa malas nak balik KL lak huhuhu

    ReplyDelete
  4. Salam Ayahanda,

    Satu pengalaman yang menyeramkan, nasib baik saya tak pernah lihat secara terangan rupa bentuk syaitan tu, ish... minta dijauhkan la...

    Cuma pengalaman menyaksikan 2 alam berbeza ada la, kisahnya sewaktu adik lelaki saya bersekolah di Vokasional Chenor Pahang, pada thu 1992.

    Awal perjalanan dari Petaling Jaya hingga ke pintu bilik asrama adik saya tu, cuaca/matahari tengahari itu cukup terang dan panas.

    Apabila melangkah masuk ke bilik adik saya tu, cuaca redup dan angin ribut, adik dan 2 rakannya sedang bersilat dan saya tengok pun kelakar juga, Abah saya minta saya baca apa yang patut dan berzikir, sambil beliau melaungkan Azan.

    Habis saja laungan Azan, tiba-tiba langsir yang tadinya berkibar dengan angin ribut dalam bilik itu, terus berhenti dan cuaca kembali cerah seperti diluar.

    Apabila ditanya pada adik saya apa yang terjadi, beliau dan 2 orang lagi rakan sebilik sedang berlawan dengan makhluk yang botak bertanduk dan seluruh badan berbonjol-bonjol... dengar pun seram.

    p/s: Masyallah... hebat sungguh permainan syaitan dalam mengelirukan manusia.

    ReplyDelete
  5. uncle,
    saya baca kisah ni dah agak pun hantu raya..sb berbulu mcm tu...
    yang uncle dengar jentik2 lantai dan bunyi org mandi tu, saya pernah lalui benda tu ketika berusia 18 tahun. masa tu blaja kat Melaka. Sampai skrg saya takut nak pergi Melaka...

    tapi uncle ni kira berani lah...sampai bangun nak pergi intai apakah benda...siap uncle nak tumbuk lagi.

    memang zaman dulu ada penunggu untuk menjaga harta..

    sekian uncle, Selamat Tahaun Baru buat Uncle sekeluarga..

    ReplyDelete
  6. Assalamualaikum Saudara,

    Hantu raya ini, sampai bila agaknya akan berada di rumah Abang itu?

    Kata orang kalau tak ada yang sanggup bela Hantu Raya ini boleh mengamuk, kacau anak cucu pembela asal.

    Kalau tak keberatan dan ada masa, Bolehkah Saudara ceritakan sedikit.Dan betulkan kata orang Hantu raya ini yang paling susah orang nak buang atau tepis dari gangguan gangguan jin lain? Dan apa pula beza Hantu raya dengan saka?

    Terima Kasih.

    ReplyDelete
  7. salam.
    pengalaman yg menarik ni ayahnda.. bukan semua dapat rasa. tapi kalau dah menakutkan.. tak rasa pun tak pe kan..

    ReplyDelete
  8. Erisya,

    Uncle pun kalau ke Penang sukakan mee curry dan rojak. Agak berapa hari pula di Alor Star tu.

    Bab Hantu Raya ni, uncle tidak pernah lagi jumpa di siang hari. Tapi yang sedang solat adalah solat asar.

    ReplyDelete
  9. W'salam anakanda Isa.

    Permainan Syaitan memang hebat. Tujuannya hanya satu jer. Syaitan mahukan manusia percaya yang dia ada kuasa. Boleh mngelirukan, menakutkan dan boleh memudharatkan. Paling tidak orang kita akan rosak akidah bila percayakan perkara di atas dan sudah tentu akan percaya kepada bomoh dan dukun. Menduakan kuasa Allah!

    Pernah juga uncle alami suasana yang berbeza dalam perjalanan pulang dari KL ke KB melalui Raub-Lipis. Pada waktu malam.

    Uncle sekeluarga dan seorang saudara juga sekeluarga. Kereta uncle berada di hadapan. Tiba-tiba bila tiba di padang tengku saudara uncle memberi issyarat berhenti. Rupanya anak perempuan dia yang masih kecil menangis tidak berhenti dari lebuh raya karak lagi.

    Uncle suruh aunty ambil baby tu masuk ke kereta uncle dan uncle berdoa minta Allah lindungi kami dari gangguan. Tiba-tiba uncle rasakan kereta uncle berjalan seolah-olah di dalam terowong tidak ada pandangan luar. Budak tadi pun berhenti menangis.

    Keadaan berterowong begitu berterusan sehinggalah uncle berhenti minum di pekan Gua Musang. Budak itu terus saja tidur lena.

    Itulah bandingan kuasa Allah dan kerasnya gangguan setan.

    ReplyDelete
  10. Ann,

    Selamat Tahun Baru. Semuga hidup ann lebih bermakna dan gembira.

    Uncle pun itulah pertama kalinya diganggu dengan cara begitu. Sebenarnya itu kali ke dua, kali pertama di atas kubur cik siti kat banggol. Kena tabur pasir dari atas pokok.

    ReplyDelete
  11. Wa alaikumussalam Puan melayuangkat.

    Sehingga sekarang masih ada di situ lagi mengikut kata abang. Hantu Raya tu sudah lama, sudah tidak tahu sape yang belanya dulu. Tidak sape yang tahu dan tak ada sape yang menerimanya. Mengikut cerita Datuk Nenek keturunan Kakak Ipar ni keturunan Bangsawan Istana zaman dulu. Jadi kebiasaan orang Kelantan membela Hantu Raya untuk menjadi kuat dan menjaga kebun serta harta.

    Saka ini sebenarnya ialah apa-apa saja makhluk halus belaan yang perlu diwarisi oleh keturunannya. Jadi Hantu Raya juga adalah tergolong di dalam jenis saka. Cuma Hantu Raya ada dua ketegori. Satu yang bebas yang mana kita dengar yang ada di rimba dan bukit bukau serta hujung kampung, rumah kosong yang ditinggalkan dan sebagainya yang sememangnya tidak bertuan.

    Yang kedua ialah yang diambil untuk menjaga kepentingan manusia dan dijadikan belaan yang perlu diwarisi zaman berzaman oleh keturunannya. Inilah yang namakan saka. Sama dengan pelesit, Hala (harimau jadian), polong dan segala macam jenis lagi mengikut nama yang dipanggil. Hakikatnya semuanya adalah dari keturunan setan dan Iblis. Jenis yang dimurkai Allah.

    ReplyDelete
  12. W'salam hanis,

    Uncle pun bukannya nak jumpa tetapi ditakdirkan jumpa. Nak kata takut, uncle sara dah hilang takut sebab yang ada di hutan dan gunung ganang lagi ganas.

    Kali pertama uncle kena sakat ialah semasa uncle berumur 11 tahun di dalam darjah empat. Kena tabur pasir di atas kubur ketika mencari seekor kambing jantan yang terlepas menjadi pet uncle.

    ReplyDelete
  13. lawannya berani. cayalah mountdweller!!

    saya masa 7 tahun, jumpa hantu kaki, tak tahu nak buat apa, saya just staring kat menate tu sambil baca basmallah....

    ReplyDelete
  14. Selamat Tahun Baru juga buat Uncle...
    terima kasih, insyaallah...saya nak buka lembaran baru...
    tabur pasir??
    apa uncle pergi buat kat kubur cik siti tu?
    saya tahu uncle ni org berani...dan banyak tempuh cabaran. dalam hutan pun keras juga tempatnya..
    saya kat jeram linang, lepas mendaki dr bukit bakar, ada hantu api yg mcm 'halloween' ikut saya dr celah2 pokok...
    hantu apa tu ya uncle??
    pengalaman ni skali dgn cikgu Ali tau..
    :)

    ReplyDelete
  15. Salam,
    Nasib baik saya jumpa bunian, kalau jumpa hantu seru saja SIFAT kuat,kuat tak payah tumbuk, takut nanti kes lain timbul, atau bawalah minyak bunian nanti tahulah nasib dia

    ReplyDelete
  16. Salam Mak Su,

    Entah macam mana pada masa tu, saya tidak terlintas nak baca apa-apa. Yang saya fikir hanya nak intai dan tengok apa bendanya yang berbunyi tu. Tiba-tiba ada di depan pulak, itulah terus saya tumbuk.

    ReplyDelete
  17. ann,

    Masa dulu uncle ada pet seekor kambing jantan yang selalu uncle mandikan konon tak mahu dia busuk. Tapi dah dia tu kambing, mana nak hilang busuknya!

    Satu petang kambing tu hilang, bila uncle tanya orang, orang kata pegi cari di atas kubur tu. Masa tu dah malam kul 9.00 tapi uncle pegi jugak. Tu yang kena tabur pasir. Yang peliknya pasir ditabur dari atas pokok yang besar dekat dengan perigi tinggal di atas kubur tu. Bab ni lucu juga sebenarnya. Nantilah uncle cerita lain kali.

    ReplyDelete
  18. W'salam Pak,

    Maksud bapak sifat kuat tu, sifat Qahhar Allah ke? Tapi tentang minyak bunian ni saya tidak tahu cuma pernah dengar. Apakah khasiatnya Pak?

    Mesti pengalaman yang bagus bila Pak jumpa bunian kan? Dapat hadiah pulak tu. Kerana saya tumbuklah jari saya bengkak dan buku lima saya jadi biru. Sakit tak payah tanya. Nasib tidak patah pun dah untung.

    ReplyDelete
  19. Salam sdr. rantong.

    Surah Alfil tu memang saya selalu baca dan berdoa sejak mula amerika serang iraq lagi.

    Apa yang berlaku di palestin sekarang pun membuatkan hati saya terbakar cuma apakah rahsia Allah sebenarnya yang kita memang tidak tahu dan tidak boleh jangkakan. Mesti ada hikmahnya.

    Apa pun kita hanya mampu berdoa dan berharapkan kemenangan berada di pihak Islam dengan pertolongan Allah yang maha kuasa.

    Terima kasih di atas lawatan saudara ke blog yang goblok ini!

    ReplyDelete
  20. uncle...best cerita uncle ni...
    bila agaknya nak dengar crita ni kan?
    :)

    oh ya, masa tu anntaj tingkatan lima. mungkin kot uncle ada. saya tak ingat.iblis ya?takutnya saya masa tu.lepas pd kena mcm tu saya tak pergi dah mendaki. serik.

    uncle, kalau ada masa free, uncle ceritalah lagi pengalaman uncle. saya suka baca...
    :)

    ReplyDelete
  21. Ann,

    Biasanya uncle akan di hadapan sekali (Trekker) atau di belakang sekali (sweeper) dan kalau ada masalah Cikgu Ali akan rujuk kat uncle.

    ReplyDelete
  22. Kalau saya jadi uncle masa tu, confirm saya menjerit macam orang gile :)

    ReplyDelete
  23. salam uncle.. biasanya kelebihan tu Allah beri pada orang yang terpilih jer.. mungkin sebab uncle berani, sebab tu uncle biasa dipertemukan dengan benda2 halus ni..

    ReplyDelete
  24. Azyyati,

    Belum tentu lagi azyyati akan menjerit. Mungkin tidak. Azyyati tidak alaminya lagi. Uncle rasa tidaklah menakutkan sangat mungkin kerana perasaan ingin tahu kot?

    ReplyDelete
  25. W'salam nurdaniella,

    Uncle ucapkan terima kasih kerana sudi singgah di sini.

    Bagi uncle rasanya tidak ada apa istimewanya pada diri uncle. Cuma mungkin uncle tidak cepat gemuruh. Yang peliknya benda yang orang lain tidak nampak tapi uncle nampak. Orang lain tidak dengar uncle boleh dengar.

    ReplyDelete
  26. Assalamualaikum..

    Istimewanya uncle ni.. berani nak menumbuk lembaga tu bagai.. adoi.. kalau t dh lamalah pengsan bila nampak/dengar benda2 mcm ni.. seram sejuk dok baca coretan uncle ni.. uisssshhhh...

    ReplyDelete
  27. Salam Tuan..

    Saya mencari2 jawapan..jika kita berada di luar malaysia..adakah kita juga akan menjumpai hantu yang sama?

    ReplyDelete
  28. W'salam Big Mamma Bukhari.

    Uncle rasa uncle bukanlah berani sangat sebab bagi uncle perkara tu bukan menyeramkan sangat.

    Uncle tumbuk pun secara spontan sebab dia tercegat di hadapan sedangkan uncle nak buka lampu.

    ReplyDelete
  29. W'salam mogen,

    Hantu dan Jin adalah terbentuk daripada minda masyarakat. Bukankah entiti ini tidak berbentuk? Jadi dia akan membentuk dirinya sebagaimana dipercayai (kepercayaan) masyarakat setempat.

    Di eropah hantu bentuk lain dan arab pula mungkin lain. Entiti ini boleh membentuk dirinya ke dalam apa saja bentuk selagi boleh mengacau dan mengganggu manusia.

    Mereka tidak ada bentuk dan rupa yang spesifik sebenarnya.

    ReplyDelete
  30. Salam En. Mountdweller,

    Iblis dan syaitan memang wujud pun sebab ada dlm quran pun. Setakat ni opah belum pernah kena. Minta simpang Malaikat.Nauzzubillah

    ReplyDelete
  31. W'salam Opah,

    Saya memang percaya ia wujud cuma yang menjadi kemusykilan saya ialah kenapa saya sering bertemu dengannya sejak dari umur 11 tahun lagi.

    Cuma yang saya ingat masa kecil-kecil dulu abang selalu usik saya bila kami berjalan malam. Tapi masa tu saya kata saya tidak takut sebab huduh ke, cantik ke saya tidak pernah nampak pun!

    Mungkin sebab perkataan saya itu, maka saya selalu dizahirkan benda macam tu kot. Apa pun sampai sekarang pun saya tidak takut.

    ReplyDelete
  32. cerita yang interesting tuan. tapi lebih menarik perhatian saya akan rumah yang disebut itu. dimanakah rumah itu berada sekarang? masih tersimpan elokkah barangan antik yang disebut itu?

    saya ada terbaca akan sebuah rumah yang dibuat daripada kayu cengal juga, dulu kepunyaan keluarga diraja kelantan. rumah itu dibuka dan dipasang kembali di bangi dalam area ukm. sekarang milik muzium negara. rumah tersebut kalau tak silap sudah berusia lebih 100 tahun.

    ReplyDelete
  33. Salam garden,

    Itu satu perkara yang dikesali. Rumah itu telah dirobohkan dan dibina di tapak lain dengan kayu yang sama tapi bukan di dalam bentuk asal. Hanya kayu-kayunya sahaja yang digunakan.

    Tapi dengar cerita abang Hantu Raya itu masih mengikut ke rumah baru tu dibina.

    Tentang barang antik tu sebahagiannyam masih ada dan sudah banyak barang yang dibahagikan kepada adik beradik kakak ipar. Saya sendiri pun dapat sebilah lembing yang lengkap dengan hulu yang asal juga dari kayu cengal.

    ReplyDelete
  34. salam tuan,

    menarik. saya hanya meneka, adakah rumah yang disebutkan itu, rumah tengku bongsu @ dikenali juga dgn nama rumah tengku fatimah zaharah?

    ReplyDelete
  35. W'salam Garden,

    Bukan rumah Tengku Bungsu. Rumah ni adalah rumah Keturunan Nik, berasal usul dari Raja Patani dan ada kena mengena dengan Tengku Sri Maharaja Kelantan. Kalau tidak silap YM Tengku Razaligh adalah salah satu keturunannya. Saya pun tidak faham sangat sebab ini adalah dari salasilah arwah kakak ipar saya.

    ReplyDelete
  36. Wah, cukup menarik sejarah disebaliknya. Salam.

    ReplyDelete
  37. Garden,

    Itulah saja setakat yang saya tahu. Terima kasih di atas lawatan ke blog ini. Sebenarnya saya pun suka juga kepada barang antik dan alam semula jadi.

    ReplyDelete
  38. salam tuan,
    saja nak tanya,
    tuan pernah mendaki gunung ledang tak?

    maaf tuan, kami saja cuma bertanya..

    tti

    ReplyDelete
  39. W'salam sdr.taman taman ilmu,

    Saya pernah daki Gunung Ledang naik dari Asahan turun tangkak semasa saya mengetuai kontinjen Kelantan di satu program nasional.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa