Thursday, November 19, 2009

Adakah PR Akan Lebih baik?

Tajuk asalnya "Tak lama lagi BN lingkup" mengikut pandangan seorang blogger. Izinkan saya menempelkan article ini tanpa edit.

Dari
bilahrotan.blogspot.com

"Dewasa ini terdapat sekurang-kurangnya tujuh kes yang menyesakkan nafas UMNO/BN dan menimbulkan kesangsian serta kemarahan rakyat.

(1) Skandal PKFZ

Skandal yang kerugiannya mengatasi skandal BMF ini menjadi semakin menarik untuk dihayati kerana semakin hari semakin ramai pemimpin UMNO/BN yang terseret. Rakyat sudah menerima secara total bahawa pemimpin-pemimpin politik BN terlibat secara langsung dalam skandal rasuah besar-besaran ini. Pada peringkat awal dahulu pelbagai penafian dibuat oleh pentadbiran Najib terhadap skandal ini. Namun, bangkai gajah manakan boleh ditutup dengan nyiru.

Rakyat ingin melihat perasuah-perasuah yang terlibat dalam skandal ini dihadapkan ke muka pengadilan. Mereka tidak boleh diberi muka atau peluang kedua. Yang pasti imej UMNO/BN semakin buruk pada pandangan rakyat. Rakyat tidak akan memaafkan mereka yang menginjak-injak amanah yang diberikan.

(2) Skandal Landasan Kereta Api Berkembar

Projek mega ini terbengkalai gara-gara ketidakcekapan kontraktor yang dipilih dan campur tangan individu yang bertaraf ikan paus. Sekali lagi imej UMNO/BN tercalar teruk apabila Mantan Perdana Menteri,DRB-Hicom, Kerabat Diraja, dan Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi turut diseret dalam skandal ini. Skandal berprofil tinggi ini perlu disiasat dengan rapi demi kepentingan rakyat, sesuai dengan gagasan 1 Malaysia yang dilaung-laungkan, iaitu Rakyat Didahulukan.

(3) Kes Rakaman Video V.K. Linggam

Kes ini cuba ditutup oleh Kerajaan UMNO/BN. Namun demikian, atas desakan pembangkang di parlimen, kes ini akan disemak semula. Karpal Singh telah menyatakan kesanggupannya untuk terlibat dalam pembicaraan kes ini walaupun Nazri Aziz kelihatan cuba menyembunyikan sesuatu dalam kes tersebut. Kes yang melibatkan percaturan pelantikan hakim-hakim kanan ini terlalu besar untuk ditutup begitu sahaja. Apatah lagi institusi kehakiman negara ini semakin hari kelihatan semakin goyah dengan keputusan-keputusan yang bercanggah antara satu sama lain.

(4) Laporan Ketua Audit Negara

Untuk kesekian kalinya rakyat dapat melihat wang mereka telah dibazirkan melalui pengsonglapan yang berleluasa dalam kalangan pegawai-pegawai dan jabatan-jabatan kerajaan. Kemarahan rakyat meluap-luap kerana kejadian serupa ini berulang setiap kali laporan dikeluarkan dari tahun ke tahun.

Kerajaan Persekutuan begitu lemah mengurus wang rakyat. Sebaliknya, Kerajaan-Kerajaan Pakatan Rakyat mendapat pujian. Oleh sebab itu, laporan ini dengan sendirinya menolak tohmahan UMNO/BN yang mengatakan Pakatan Rakyat tidak layak menggantikan BN sebagai pemerintah negara ini.

Berdasarkan laporan itu, rakyat perlu memberi peluang yang seluas-luasnya kepada Pakatan Rakyat untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara ini. Singkirkan BN yang sudah tidak mampu lagi menghalang wang rakyat terus-terusan disonglap dengan sewenang-wenang.

(5) Kes Royalti Petroleum untuk Kelantan

Najib adalah seorang pemungkir janji. Dia tidak mahu menunaikan janji yang telah dimeterai antara Kerajaan Negeri Kelantan dengan Petronas. Sebaliknya, menukar royalti menjadi wang ehsan yang akan disalurkan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan supaya mudahlah wang itu dibaham oleh para pemimpin UMNO Kelantan dan kroni mereka. Terengganu telah membuktikan segala-galanya berhubung kes wang ehsan ini. Rakyat Kelantan akan hanya menerima kuahnya sahaja. Itu sahajalah sumbangan UMNO/BN kepada rakyat Kelantan setelah hasil mahsulnya diambil.

(6) Indeks Persepsi Rasuah Malaysia

Transparency International - Malaysia (TI-M) telah mengeluarkan data terbarunya untuk tahun 2009. Indeks Persepsi Rasuah Malaysia menjunam dari tempat ke-47 tahun 2008 ke tempat 56 tahun 2009. Situasi ini mengesahkan bahawa Kerajaan UMNO/BN gagal menangani rasuah walaupun BPR telah dinaiktarafkan menjadi SPRM. Berbekalkan indeks tersebut, dapatlah dirumuskan bahawa hanya syarikat-syarikat yang mampu memberi rasuahlah yang akan melabur di negara ini. Jika hal itu berlaku, kita terima sahajalah padahnya nanti.

(7) Kes PRK DUN Kota Siputeh

Speaker DUN Kedah telah memohon SPR mengadakan PRK bagi DUN Kota Siputeh kerana ADUNnya malas menghadiri sidang DUN. Dua kali berturut-turut dia ponteng (tak hadir tanpa kebenaran speaker) lalu hilanglah kelayakan sebagai ADUN menurut Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah. SPR sebagai badan eksekutif mengada-ngada membuat keputusan kerusi itu tidak kosong.

Sepatutnya ADUN pemalas itulah yang membawa kesnya ke mahkamah bila SPR hendak mengadakan PRK. Sekarang ini SPR menanggung kemaluan yang amat besar apabila mahkamah membuat keputusan kerusi itu kosong. SPR sebenarnya tidak berkuasa berbuat demikian. Jika demikian halnya, mengapa permohonan Sivakumar ditolak oleh SPR dan mahkamah jugalah yang mengatakan SPR ada kuasa itu? Mahkamah di Malaysia pun sudah tunggang-langgang kerana mabuk todi.

UMNO kata dia terima keputusan mahkamah, tetapi membuat rayuan. Sebenarnya mulut sahaja yang kata terima, tetapi hati menolak. Itulah sikap UMNO dulu, kini, dan selamanya.

Rakyat sudah mula mengesyaki mahkamah akan memenangkan UMNO dalam rayuannya berdasarkan kes Nizar Jamaluddin dahulu. Jika itu berlaku, Speaker DUN Kedah akan bawa kes ini ke Mahkamah Persekutuan pula. Maka semakin rendahlah mutu hakim-hakim di Malaysia.

RUMUSAN

UMNO/BN sememangnya sudah semakin parah sekarang ini. Payah baginya untuk bangkit dengan masalah keliling pinggang itu. Apatah lagi ditambah dengan perpecahan yang tak terurus dalam MCA; MIC yang hidup segan mati tak mau; Gerakan yang tinggal nyawa-nyawa ikan; dan PPP yang tonggang-langgang macam orang mabuk todi.

Tamparan yang dihadapi UMNO/BN amat hebat. Di tengah-tengah kesulitan itu, Pakatan Rakyat menerima pujian; hubungan DAP-PAS semakin intim; dan kerjasama antara PAS, DAP, dan PKR bertambah kukuh. Kekukuhan Pakatan Rakyat menjadi musuh utama kepada Gagasan 1 Malaysia yang bukan sahaja belum masak malahan juga tidak Islamik. Najib tidak pernah menyatakan bahawa konsep keadilan sosial dalam gagasan itu akan berpandukan konsep keadilan sosial menurut perspektif Islam. Rakyat sudah sedia maklum bahawa UMNO menolak Islam.

Berasaskan rangkaian kesulitan yang UMNO/BN sendiri cipta, maka terjeratlah diri sendiri. Kemungkinan UMNO/BN akan lingkup amatlah besar. Hanya masa yang akan menentukannya.


Saya berkata :

Selagi PR belum disahkan daftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan, selagi PAS bercelaru, PKR huru hara selagi itu akan gagal menarik kepercayaan majoriti rakyat. Rakyat akan ragu untuk menyerahkan tampuk pemerintahan di peringkat Pusat kepada gabungan PR.

Dari apa yang dilihat sekarang pun kepercayaan bukan Melayu terhadap PR sudah agak surut. Begitu juga dengan Melayu di atas pagar. PAS mencari padah kerana gelagat Pemimpinnya. PR menghakis kepercayaan kerana perebutan jawatan di dalam parti dan retorik politik.

4 comments:

  1. bila saya tgk keliling...saya berdoa doa dalam diam dan dalam bising2, moga malaysia dan sekelian rakyatnya aman sejahtera sentiasa walau apa pilihan di hatipun... :(

    ReplyDelete
  2. Mak Su

    Sama-samalah kita doakan supaya Allah memberikan kita yang terbaik untuk keselamatan Agama, Nusa dan Bangsa demi keturunan kita.

    ReplyDelete
  3. http://malaysia-today.net/index.php?option=com_content&view=article&id=28613:proses-pembodohan-orang-melayu&catid=15:dari-jelebu&Itemid=100089

    ReplyDelete
  4. Anonymuos

    Terima kasih kerana menjenguk ke blog nyamuk ini.

    Insya Allah saya akan ke sana nanti.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa