Sultan Muhammad V teruskan salasilah keturunan Long YunusTUANKU Muhammad Faris Petra selamat dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 pada 13 September lalu dan kini bergelar Sultan Muhammad ke-V. Pemilihan putera berusia 41 tahun yang juga anakanda sulung, Tuanku Ismail Petra dan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid, juga mengakhiri kemelut menyelubungi Istana Kelantan, sejak ayahandanya gering mulai Mei tahun lalu.
Pemasyhuran itu pantas mencipta sejarah keluarga diraja di negara ini kerana baginda dilantik menjadi Sultan memerintah negeri ketika ayahandanya masih hidup. Namun, perlantikan baginda dibenarkan mengikut Perkara 23A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua).
Majlis Perajaan Negeri (MPN) Kelantan yang bersidang sebulat suara memilih, mengesahkan Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai raja memerintah dan menaiki takhta kerajaan Kelantan.
Lima belas ahli MPN Kelantan yang bersidang itu sebulat suara bersetuju Tuanku Ismail Petra memerlukan pengganti berikutan gering baginda berlarutan sejak lebih setahun lalu.
Perkembangan yang berlaku di Kelantan dalam suasana Aidilfitri tahun ini, bukan setakat menarik minat semua lapisan rakyat yang menunggu saat pemasyhuran Sultan Muhammad ke-V, malah mengimbas kembali salasilah keluarga Diraja Kelantan serta sejarah kesultanan negeri ini.
Salasilah keluarga Sultan Muhammad ke-V bermula dari keturunan Long Yunus Long Sulaiman, Sultan yang memerintah Kelantan antara 1765-1795.
Tuanku Ismail Petra iaitu ayahanda Sultan Muhammad ke-V, yang juga putera tunggal kepada Sultan Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim dan Raja Perempuan Tengku Zainab II, ditabalkan sebagai Sultan Kelantan pada 30 Mac 1979, susulan kemangkatan ayahandanya ketika menjadi Yang Di-Pertuan Agong pada 29 Mac 1979.
Tuanku Ismail Petra diputerakan pada 11 November 1949 di Istana Jahar, Kota Bharu, adalah anak lelaki tunggal dan adik bongsu lima beradik iaitu Tengku Marjan, Tengku Rozan, Tengku Salwani dan Tengku Rohani.
Hasil perkahwinan baginda dengan Tengku Anis, yang mempunyai hubungan kekeluargaan tahap dua sepupu, baginda berdua dikurniakan tiga putera iaitu Tuanku Muhammad Faris Petra (Sultan Muhammad ke-V), Tengku Muhammad Faiz Petra, Tengku Muhammad Fakry serta puteri, Tengku Amalin A'Ishah Putri.
Sultan Muhammad ke-V dilantik ayahanda baginda sebagai Tengku Mahkota Kelantan, pewaris takhta kerajaan pada 6 Oktober 1985, sebelum diangkat sebagai Pemangku Raja Kelantan pada 24 Mei 2009 berikutan keadaan Tuanku Ismail Petra yang gering.
Kemakmuran dan keindahan negeri menjadikan Kelantan turut dikenali dengan nama Tanah Serendah Sekebun Bunga dan Tanjung Pura. Kewujudan banyak pondok kendalian ulama termasuk Tok Kenali dan Tok Selehor, yang menjadi tumpuan umat Islam mendalami ilmu agama membuatkan Kelantan menerima jolokan negeri Serambi Makkah.
Berdasarkan buku Keluarga Diraja Kelantan Darul Naim tulisan Mohd Zain Saleh, Kesultanan Kelantan dalam lipatan sejarahnya dikaitkan dengan kisah pemerintahan Cik Siti Wan Kembang yang pernah ditabal sebagai raja yang bersemayam di Gunung Chinta Wangsa, Ulu Kelantan.
Pemerintahan Cik Siti Wan Kembang yang dipercayai tidak pernah berkahwin itu dikatakan terkenal sehingga menjadi tumpuan pedagang dalam dan luar negeri termasuk dari Arab.
Wanita pertama menjadi Raja Kelantan itu juga dikatakan memiliki seekor kijang sebagai binatang peliharaan kesayangannya sehingga gambar binatang itu diterap di atas wang emas perbelanjaan negeri dan diabadikan sebagai sebahagian daripada lambang kebesaran negeri hingga kini.
Ketika pemerintahan Cik Siti Wan Kembang, ada sebuah kerajaan berpusat di Jembal yang diperintah oleh Raja Sakti (1638M atau 1046H). Selepas baginda mangkat, puteranya, Raja Loyor ditabal sebagai raja pada 1649M atau 1059H dan mempunyai dua anak termasuk Puteri Saadong.
Kerajaan Cik Siti Wan Kembang bersahabat baik dengan Raja Loyor, terutama selepas wanita pertama memerintah di Kelantan mengambil anak Raja Loyor, Puteri Saadong sebagai anak angkat untuk dijadikan pewaris takhta baginda.
Puteri Saadong dikatakan pernah menjadi tawanan Raja Siam, sebelum terpaksa membebaskan baginda selepas puteri berkenaan mengubati penyakit dihidapi raja itu.
Selain kisah Cik Siti Wan Kembang dan Puteri Saadong yang masih dianggap sebagai mitos sesetengah pihak, Kelantan juga pernah menyaksikan beberapa episod perebutan takhta untuk menguasai pemerintahan negeri ini.
Berdasarkan, buku Keluarga Diraja Kelantan Darul Naim, antara perebutan takhta yang pernah berlaku dalam sejarah negeri ini membabitkan Long Muhamad yang juga Sultan Muhamad I dengan iparnya iaitu Tengku Muhamad.
Kemelut tercetus ketika itu apabila Long Yunus mangkat tanpa menamakan penggantinya, walaupun mempunyai ramai pewaris. Keadaan diburukkan apabila tiada kesepakatan dicapai membabitkan tujuh putera Almarhum Long Yunus untuk melantik seorang daripada mereka sebagai raja.
Berikutan itu, menantu Almarhum Long Yunus, Tengku Muhamad yang juga putera Yang Di-Pertuan Terengganu, Sultan Mansur, dilantik sebagai Pemangku Sultan selama 100 hari bagi membolehkan jenazah Long Yunus dimakamkan sekali gus membolehkan pemerintahan negeri berjalan seperti biasa.
Bagaimanapun, selepas tempoh 100 hari tamat, Tengku Muhamad enggan menyerahkan takhta menyebabkan timbul perbalahan perebutan kuasa membabitkan dirinya dengan Long Muhamad.
Pertembungan antara mereka bagaimanapun menyebelahi Long Muhamad, sekali gus membolehkan baginda menaiki takhta kerajaan mulai 1800 dengan gelaran Sultan Muhamad I.
INFO : Sultan Kelantan ke-29, Sultan Muhammad ke-VDiputerakan pada 6 Oktober 1969 di Kota Bharu, Kelantan.
Anak sulung daripada empat beradik.
Dimahkotakan sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada 6 Oktober 1985
Dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan pada 24 Mei 2009
Pendidikan
Pra-sekolah - Tadika Fatima Convent, Kota Bharu 1974 - 1975.
Sekolah Rendah Sultan Ismail 1, Kota Bharu, Kelantan 1976- 1981.
Kelas Persediaan - The Alice Smith School,
A-Level - Oakham School Rutland, England 1983-1989
Pengajian Diplomatik - St. Cross College dan Oxford Centre for Islamic Studies 1989-91.
Pengajian Hubungan Diplomatik dan Pentadbiran Perniagaan - Huron University College, London
Pengajian Perhubungan Diplomatik - Deutsche Stiftung Internationale Entwicklung, Berlin.
European Business Administration - European Business School London.
Hobi
Membaca
Ekspedisi pacuan 4 roda
Golf
Kuda Lasak
Menembak
Memanah
Badminton
Bolasepak
Bowling.
Aktiviti sosial dan agama
Ziarah anak yatim, rakyat miskin dan ditimpa bencana
Ziarah masjid dan solat sunat terawih di seluruh negeri sepanjang Ramadan
Dampingi alim ulama
Ketenteraan
Brig-Jeneral (Kehormat) Komander 506 Askar Wataniah. Sumber dari
sini