Friday, September 2, 2011

Mereka Inilah Hero Saya

Mat Sabu kata Mat Indera adalah 'Hero' menentang Penjajah.
UMNO kata Polis yang terbunuh mempertahankan 'Rumah Pasong' Bukit Kepong adalah 'Hero'.

Tapi saya kata kedua-duanya bukan 'Hero'.

Di satu pihak (Polis) adalah di'anjing'kan Inggeris (maaf mungkin kasar) sebagai penjaga kepentingan (Ladang Getah) mereka. Apa pun harus diingat pihak polis di masa itu mungkin bekerja untuk mencari nafkah dan terpaksa mempertahankan 'rumah pasong' itu kerana sumpah dan tugas setelah memakai uniform!

Di satu pihak lagi (komunis) adalah hamba dan tali barut fahaman komunis yang berkiblatkan negara China. Oleh kerana melayu yang beragama Islam taksubkan perjuangan kemerdekaan tertelan dakyah pihak komunis kononnya sama-sama memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu bahkan sanggup 'dianjingkan' komunis setelah Jepun berambus.

Pada saya Tok Janggut, Dato' Bahaman, Mat Kilau dan Tok Gajah adalah pelupur sebenar di Pantai Timur dan Dato' Maharaja Lela dan Sipuntun di Perak. Mereka ini adalah 'Hero' sebenar dan membentuk 'Hero' selepas mereka memperjuangkan kebebasan dari pihak Penjajah Inggeris.

Malang perjuangan mereka hanya baru diiktiraf oleh sejarah moden. Sebelum itu mereka adalah 'Penderhaka' kepada Raja (baca Inggeris). Sehingga sekarang pun fakta sebenar sebab dan perjuangan mereka masih berputar!

Saya masih lagi ingat kata-kata arwah Ayah yang bekerja dengan Jepun semasa Jepun menjajah Tanah Melayu bila saya bertanya " Ayah tidakkah rasa bersalah bekerja dengan Jepun sedangkan Jepun adalah Penjajah dan zalim?"

Ayah menjawab "Apa bezanya ayah berkerja bersama Jepun dengan orang lain berkerja bersama Inggeris sebelumnya sedangkan Inggeris dan Jepun adalah sama-sama bangsa penjajah?"

"Adakah ayah menjadi Pengkhianat hanya semata-mata berkerja dengan Jepun di dalam keadaan hidup yang sukar ketika itu demi menyuapakan makanan dan memakaikan pakaian anak bini ayah?" Ujarnya lagi.


Makam Tok Janggut di Pasir Pekan. Di sinilah Tok Janggut disemadikan setelah* Keadaan makam Tok Janggut pada masa sekarang di Pasir Pekan. Foto dirakam pada awal Jun 2008. Kawasan di mana jasad Tok Janggut dikebumikan bukanlah tanah perkuburan.

Beliau ditanam bersendirian, jauh dari orang lain, di dalam sebuah liang lahad tanpa nisan (sehingga seseorang membuat keputusan untuk meletakkan sesuatu di kuburnya) jenazahnya di gantung selama beberapa hari di Padang Merdeka Kota Bharu.

Wajah Jenazah 'Hero' Tok Janggut selepas syahid
Jenazah Tok Janggut gugur di dalam membela Agama dan Bangsanya Walaupun gugur tetapi terus dizalimi musuhnya.

TOK JANGGUT

Nama sebenarnya adalah Haji Mat Hassan bin Panglima Munas.
Selepas Perjanjian Bangkok 1909, British mengambil alih pemerintahan Kelantan daripada Siam dan mula membawa pelbagai perubahan khususnya dari segi pentadbiran.

Perubahan yang diperkenalkan telah menyentuh kedudukan dan keistimewaan pemimpin tradisional di negeri Kelantan. Antara yang paling sensitif ialah mengenai pengenaan cukai kepala RM 1.00 seorang setahun, pokok buah-buahan 3 sen setahun, kelapa 3 sen setandan dan sireh 5 sen sejunjung.

Pada 29 April 1915, pentadbiran Jeram, Pasir Puteh, Kelantan telah diambil alih oleh Encik Latiff seorang pegawai takbir British yang berasal dari luar Kelantan, menggantikan Engku Besar.

Pertelingkahan mengenai cukai dan urusan pengutipan cukai yang terlalu lambat sehingga berlarutan selama tiga hari, menyebabkan Haji Mat Hassan bin Panglima Munas enggan membayar cukai.

Encik Latiff mengarahkan satu pasukan polis diketuai oleh Sarjan Sulaiman (Che Wan) bertolak ke Kampung Tok Akib dan menemui Haji Mat Hassan bin Panglima Munas pada 29 April 1915.

Dalam satu pergelutan yang berlaku, Sarjan Sulaiman telah terbunuh. Haji Mat Hassan bin Panglima Munas kemudiannya menghimpunkan orang-orangnya menuju ke Pasir Puteh.

Encik Latiff pula telah melarikan diri ke Kota Bharu. Bantuan daripada Singapura dan Negeri Melayu Bersekutu dikejarkan ke Pasir Puteh pada 6 Mei 1915.

Satu pertempuran telah berlaku pada 25 Mei 1915 di Kampung Merbuk dan Kampung Pupuh. Kebangkitan Haji Mat Hassan bin Panglima Munas menyebabkan Sultan Kelantan yang memerintah pada masa itu merasa terancam dan menganggap Tok Janggut sebagai penderhaka dan dalam pertempuran di Kampung Pupuh, Haji Mat Hassan bin Panglima Munas telah terbunuh.

Mayat Tok Janggut di bawa ke Kota Bharu dalam kereta lembu yang memakan masa satu hari.

Setelah digantung beberapa hari di hadapan istana, di Padang Bank (Padang Merdeka) mayat Haji Mat Hassan bin Panglima Munas dikebumikan di Pasir Pekan.

Jenazah Tok Janggut

*dikatakan inilah mayat Tok Janggut. Ada yang mengatakan ini bukan mayat Tok Janggut tetapi adalah salah seorang pengikutnya yang terbunuh dalam peperangan bersama Tok Janggut, ada yang mengatakan British tersalah mengecam identiti Tok janggut. Bagaimanapun, ia tidak disokong oleh bukti yang kuat. Penulis asal percaya inilah jasad Tok Janggut.

Jenazah tok janggut digantung

*Setelah gugur syahid di Pasir Puteh, jasad Tok Janggut telah dibawa ke Kota Bharu dan digantung songsang di khalayak ramai, di Padang Bank sebagai tontonan dan pengajaran kepada rakyat Kelantan yang terfikir untuk menentang Inggeris.

*Penduduk tempatan mahukan Tok Janggut dihormati.


Inilah wajah-wajah rangkaian Penjajah ketika Tok Janggut

* Tentera British bergambar. Tulisan di kaki mereka jelas menunjukkan Pasir Puteh 14-10-1915. Lebih kurang 5 bulan selepas pemberontakan yang mahsyur itu berlaku di tempat ini.

Askar ini dihantar dari Singapore dan gambar ini membuktikan bahawa mereka masih berada di sana walaupun sudah berbulan berlalu sejak kematian Tok Janggut. Mungkin askar ini mahu berjaga-jaga dari pemberontakan yang mungkin berlaku oleh para pengikut Tok Janggut.
Sumber dari of Arkib Negara Malaysia ( National Archive ) search site.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa