Wednesday, February 15, 2012

'Pagan'

Azmin: Polis benar himpun, kenapa perlu siasat lagi?

Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali mempersoalkan tindakan polis menyiasat beliau berhubung perhimpunan aman 9 Januari lalu, sedangkan pihak berkuasa itu sendiri memberi kebenaran untuk berhimpun.

Beliau hari ini hadir memberi keterangan di Balai Polis Kepong dan disiasat selama kira-kira sejam di bawah Seksyen 41 (A) Akta Hasutan 1948.

Menurut Azmin, siasatan polis itu berdasarkan laporan polis dibuat oleh Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Zakaria Pagan pada 30 Disember tahun lalu.

Namun katanya, pada 6 Januari, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar telah memberi kebenaran supaya perhimpunan itu diadakan di Mahkamah Jalan Duta.

“Jadi mengapa harus diadakan siasatan lagi, ini merupakan satu lagi bentuk gangguan untuk menghentikan suara pemimpin Pakatan Rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai siasatan.

Azmin juga menyatakan kehairanan mengapa beliau dipanggil polis, sedangkan namanya tidak ada dalam laporan polis yang dibuat ACP Zakaria.

“Peliknya, laporan yang dibuat itu tidak menyertakan nama saya, tetapi saya dipanggil hari ini.

“Saya amat kecewa atas tindakan itu yang hanya untuk menekan dan menutup suara Pakatan Rakyat dengan menggunakan Akta Hasutan, terutamanya kepada pemimpin Pakatan,” ujar beliau.

17 nama dalam senarai polis

Sementara itu, Naib Presiden KEADILAN, N Surendran yang menemani Azmin memberitahu sebanyak 17 nama disebut dalam senarai yang terlibat dalam menganjurkan perhimpunan itu, termasuk Pengerusi BERSIH Datuk S Ambiga dan pemimpin pembangkang lain.

Nama-nama itu disebut dalam laporan polis oleh ACP Zakaria.

Selain Ambiga, mereka antaranya Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua, Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mat Akin dan Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin.

Manakala aktivis yang termasuk dalam senarai itu, Hishamuddin Rais, Maria Chin Abdullah, Badrul Hisham Shaharin, Haris Ibrahim, Wong Chin Huat, Edmond Bond dan E Nalini.

Menurut Surendran, polis juga menggunakan kuasa mereka di bawah Seksyen 105 Kanun Prosedur Jenayah iaitu polis memiliki kuasa untuk menangkap tanpa waran ke atas sesiapa yang disyaki mengganggu ketenteraman.

“Sekali lagi polis menggunakan kuasa mereka mengganggu pembangkang dan hanya menyebelahi pihak kerajaan,” katanya.

Pada 9 Januari lalu, KEADILAN dan Pakatan Rakyat mengadakan himpunan Aman bagi memberi sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika hari keputusan perbicaraan Ketua Pembangkang itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Polis membenarkan himpunan aman itu dianjurkan dengan meletakkan beberapa syarat, termasuk tidak boleh melebihi 5,000 orang berkumpul di tempat letak kereta di kawasan perkarangan mahkamah berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa