Saturday, November 17, 2012

Bertelagahlah Kamu Sehingga Rakyat Jemu!

Adakah Dewan Ulamk PAS bersikap lebih sudu dari kuah?

Hadi lebih layak jadi PM, kata Dewan Ulama
SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN
17 November 2012
Abdul Hadi Awang
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
PENGKALAN CHEPA - Di sebalik pengisytiharan malam tadi dan beberapa kali sebelum ini bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertindak sebagai Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih Putrajaya, Dewan Ulama Pas Pusat hari ini melahirkan 'bantahan' sambil menegaskan, Datuk Seri Abdul Hadi Awang "paling terbaik" untuk menyandang jawatan itu.

Sayap ulama itu berpendapat bahawa Presiden Pas, yang juga Ahli Parlimen Marang, yang lebih layak menjawat jawatan tersebut.

"Saya ingin bertanya kepada seluruh perwakilan, siapa yang paling terbaik untuk memimpin kerajaan Malaysia akan datang kalau bukan Tok Guru Presiden," kata Hairun Nizam ketika membahaskan ucapan dasar presiden di sini, hari ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini adalah individu yang disebut-sebut akan dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia jika pembangkang berjaya menawan tampuk pemerintahan.

Malam tadi, Lim Kit Siang dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat mengisytiharkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu akan dilantik sebagai Perdana Menteri sekiranya perikatan itu menang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

"Anwar bakal Perdana Menteri Malaysia ketujuh bukan keenam," katanya secara terbuka.

Abdul Hadi dan Anwar juga berucap pada perhimpunan itu.

Awal Januari lalu, Pakatan Rakyat pernah mengulangi pendirian bahawa Anwar akan dilantik sebagai Perdana Menteri sekiranya mereka memenangi PRU13 kerana beliau dianggap "paling bersih".

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, tiada pemimpin PKR, DAP dan Pas yang lebih layak daripada Anwar untuk menjadi Perdana Menteri yang ketujuh sekiranya pakatan mereka menang pilihan raya akan datang.

"Ini bukan soal kita bela Anwar saja tetapi kita bela kerana beliau saja (pemimpin di negara ini) yang paling bersih untuk menjadi Perdana Menteri," katanya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Hairun berkata, Pas sepatutnya berkempen untuk presiden mereka bagi menjawat jawatan Perdana Menteri dan bukannya untuk pemimpin parti komponen PR yang lain.

"Bukan sebagai alasan untuk menaik-naikkan beliau, tetapi beliaulah orang yang lain layak untuk menjadi pemimpin, Perdana Menteri pada masa akan datang dan kita sebagai anak didik kepada Pas, tidak sepatutnya, kita pula yang berkempen agar orang lain menjadi pemimpin sedangkan negara yang ingin dibawa adalah negara yang berdasarkan syariat.

"Kita meletakkan satu keyakinan bahawa presiden kita orang yang berkaliber untuk memimpin sebuah negara...," katanya mengundang sorakan oleh para perwakilan.

Pas, DAP dan PKR membentuk PR sejak Mac 2008. Kerjasama ketiga-tiga parti itu membawa kepada kemenangan di lima negeri selain penguasaan 84 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum 2008
.
Dan pula jawapan Hadi
Jawatan PM: Hadi rela jadi khadam
SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN
17 November 2012
PENGKALAN CHEPA - Datuk Seri Abdul Hadi Awang rela menjadi khadam demi rakyat daripada menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri yang disifatkannya sebagai "amanah berat" meskipun Dewan Ulama Pas menegaskan presidennya itu lebih layak.

"Apa yang penting kepada kami, kita ke Putrajaya. Siapa yang jadi Perdana Menteri, yang diterima oleh rakyat, yang dapat menyatukan rakyat, dapat menegakkan keadilan untuk rakyat.

"Kita terima. Saya terima. Macam saya sebutlah, saya sanggup jadi nelayan balik," kata Abdul Hadi pada sidang media di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK), hari ini.

Pagi tadi, perwakilan Dewan Ulama menegaskan, jika ada individu yang paling layak menjadi Perdana Menteri sekiranya  Pakatan Rakyat menang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) adalah Abdul Hadi sendiri.

"Bukan sebagai alasan untuk menaik-naikkan beliau, tetapi beliaulah orang yang lain layak untuk menjadi pemimpin, Perdana Menteri pada masa akan datang dan kita sebagai anak didik kepada Pas, tidak sepatutnya, kita pula yang berkempen agar orang lain menjadi pemimpin sedangkan negara yang ingin dibawa adalah negara yang berdasarkan syariat.

"Kita meletakkan satu keyakinan bahawa presiden kita orang yang berkaliber untuk memimpin sebuah negara...," katanya.

Menjawab pertanyaan media, Abdul Hadi menjelaskan, dalam Pas, pimpinannya tidak pernah diajar untuk meminta-minta jawatan dalam parti politik.

"Saya sebagai seorang pimpinan yang diajar dalam parti Islam, kita tak boleh minta untuk jadi pemimpin," namun katanya, jika diberikan tanggungjawab itu, "kita anggap ini sebagai satu amanah yang berat, amanah yang besar."

Malam tadi penasihat DAP, Lim Kit Siang membuat pengisytiharan bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dilantik sebagai Perdana Menteri sekiranya perikatan itu ke Putrajaya selepas PRU13.

Menurut Kit Siang, Anwar adalah pemimpin dari pembangkang yang paling layak untuk menjadi Perdana Menteri.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa