Saturday, November 17, 2012

Inilah Kesan Kemajuan Yang Dinikmati Rakyat Sarawak!

4 beranak ditemui mati berulat
Razif Zaidi

BETONG – Empat sekeluarga yang ditemui dalam keadaan sudah berulat dan masing-masing mulut berair di sebuah rumah di Jalan Kolam, Lubuk Chepung, Pusa dekat sini kelmarin dipercayai mati akibat terhidu asap generator yang membekal tenaga elektrik di rumah tersebut.

Mereka yang terkorban ialah Zaidi Pandi, 62; isteri, Tiah Sauti, 53, dan dua anak mereka iaitu Atikah, 27, serta Kazil, 20. Semasa ditemui, keempat-empat mangsa itu dipercayai sudah meninggal dunia lebih daripada 48 jam.

Atikah dan Kazil merupakan orang kelainan upaya (OKU) iaitu lembam. 


Penemuan mayat empat beranak itu terbongkar apabila adik kepada Zaidi, Omar, 39, pergi ke rumah itu pukul 5 petang dan terhidu bau busuk dari arah rumah kayu tersebut.

Keadaan keempat-empat mayat itu amat memilukan dengan Zaidi ditemui dalam keadaan memakai baju Melayu, kain pelekat serta berkopiah terlentang atas sejadah di ruang tamu.


Di sisi mayat pengusaha kantin itu pula, mayat Atikah. Atikah yang memakai baju-T semasa dijumpai dalam keadaan terbaring dengan kepala di atas bantal. Bersebelahan mayat Atikah ditemui sehelai telekung berwarna putih.

Mayat Kazil yang memakai baju-T dan seluar panjang turut ditemui di ruang tamu dan dalam keadaan terlentang di atas tilam.


Sementara itu, isteri Zaidi, Tiah dijumpai di dalam bilik tidur dengan keadaan terlentang di atas tilam. Tiah semasa itu memakai baju kuning dan berkain batik.

Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintendan Saifuddin Mustafa berkata, polis percaya kematian keempat-empat mangsa dipercayai berpunca daripada gas karbon monoksida daripada asap generator Motoyama model MPG3800 yang menggunakan minyak tanah.

Menurut beliau, polis menemui generator itu di dapur rumah dan sudah kehabisan minyak.
“Semasa mayat ditemui, pintu dan tingkap rumah mangsa dalam keadaan bertutup rapat. Polis terpaksa memecah pintu dapur untuk masuk ke dalam rumah,” kata beliau ketika dihubungi Kosmo!.
Menurut beliau, seluruh badan mayat empat beranak itu semasa ditemui berwarna hijau kehitaman, mulut berair dengan lidah terjelir.

Selain itu, terdapat beberapa tompokan darah dan air berwarna kekuningan berhampiran keempat-empat mayat mangsa.
“Punca sebenar kematian akan diketahui hujung minggu ini selepas keputusan bedah siasat yang dilakukan oleh doktor pakar Hospital Umum Sarawak (HUS), Kuching bermula pagi esok (hari ini) diketahui,” katanya.

Difahamkan generator tersebut kebiasaannya akan diangkat ke belakang rumah menjelang waktu malam namun pada hari kejadian generator itu ditemui masih berada di dalam dapur.


Keluarga itu menggunakan generator itu kerana masih menunggu kelulusan mendapat bekalan elektrik.

Zaidi dikenali dalam kalangan penduduk setempat sebagai seorang yang kuat agama dan disenangi oleh masyarakat tempatan. - Kosmo

1 comment:

  1. bina empangan bakun berbilion rm tp rakyat msh gn generator? Cntik pembangunan sarawak bwh bn!

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa