Monday, November 26, 2012

Kisah Yang Menarik Buat Tauladan...

Mummy pernah tidur atas duit! 

AIDA AZURA 
AZEMI AIDA.AZURA@SINARHARIAN.COM.MY 
26 November 2012
Ada satu tarikan tersendiri sejak kali pertama penulis memesan makan di sebuah gerai kecil terletak di Seksyen 13, Subang Jaya. Bukan sahaja kerana cucur udang dan sotong kangkungnya sedap, tetapi kerana pemilik gerai tersebut yang mesra membahasakan dirinya,
Mummy sangat menyenangkan hati.

Mummy yang peramah. Dia punyai cara tersendiri setiap kali berbual. Selain pandai berjenaka, bahasa rojak Melayu campur Inggeris yang dituturkannya mudah difahami. Pemikirannya tidak sama seperti gaya penjual cucur udang biasa.

Membuatkan timbul rasa ingin tahu akan perjalanan hidupnya sebelum ini.

Nyata setelah berbual mesra, ada cerita menarik lagi mengesankan telah dilalui wanita yang lahir pada tahun merdeka ini.

Mengimbas kisah 55 tahun lalu, Mummy atau nama panggilannya Tina dalam kalangan keluarga dan kawan, berasal dari Muar, Johor. Lahir dalam keluarga besar, kehidupan keluarga agak susah. Justeru sebaik tamat tingkatan 5, Mummy berhijrah ke Kuala Lumpur dan tinggal bersama kakak.

Di ibu kota, Mummy mengambil kursus usahawan seterusnya melanjutkan pelajaran di kolej dalam bidang sekretari.

Seterusnya, dia bekerja di sebuah syarikat swasta sebelum mengambil keputusan berhenti kerja dan membantu kakaknya berniaga di sebuah kompleks membeli-belah. Pada usia awal 20-an waktu itu, Mummy teruja melihat dunia baru yang dipenuhi perkara menyeronokkan. Banyak fesyen menarik untuk dicuba, begitu juga kehidupan malam yang 'hidup'. Begitu pun, semuanya memerlukan duit. Terdetik di hati, alangkah indah andai hidup diulit duit dan jika dapat tidur atas duit, wah tentu bahagia!

Duit satu karung sampah

Ketika melawat kawan di pejabat lama, Mummy berkenalan dengan seorang kakitangan di situ. Setelah mengenali hati budi masing- masing, mereka mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga. Bagi menambah pendapatan, Mummy membuka kedai bunga selepas berkahwin.

Satu hari, datang seorang lelaki keturunan Punjabi bertanya jika Mummy mahu menjadi rakan kongsinya untuk membuka sebuah perniagaan menguntungkan. Tanpa berfikir panjang Mummy menerima pelawaan lelaki bernama Ikbal Singh itu.

Perniagaan yang mereka usahakan adalah kedai bebas cukai.

Tanpa disangka-sangka Mummy, kehidupannya berubah total sejak itu.

Perniagaan yang diusahakan sangat berjaya.

Bayangkan, dia dan Ikbal mampu menyewa lot kedai dengan jumlah sewa sahaja sudah RM18,000 sebulan! “Pernah satu masa, ada rombongan dari Jepun datang ke kedai. Mereka berbelanja sakan sampaikan Mummy bawa pulang duit yang dimasukkan dalam satu
karung sampah. Bila dikira-kira jumlahnya lebih AS$150,000 (RM458,835).

“Balik saja rumah, Mummy taburkan semua duit atas katil lalu berbaring di atasnya.

Hati berbisik, akhirnya berjaya juga aku rasa tidur atas duit,” cerita Mummy.

Waktu itu, material tidak menjadi masalah langsung. Barang yang berkenan terus dibeli tanpa berfikir dua kali. Jika teringin sesuatu makanan, Mummy dan rakan akan terus mendapatkannya, hatta ke Muar sebentar semata-mata untuk menikmati mi bandung. Bab bergaya jangan ceritalah.

Hari-hari set rambut ala Farrah Fawcett! “Mummy dah menjelajah ke serata pelosok dunia. Selain pernah tinggal berbulanbulan di Amerika Syarikat, Mummy dah ke Jepun, India, Filipina, Bangkok dan merata tempat lagi,” ujar Mummy sambil merenung jauh.

Begitu pun, Mummy kurang bernasib baik dalam hal rumah tangga. Mengakui dia dan suami kurang sefahaman, namun mereka sepakat untuk kekal sebagai suami isteri walaupun buat hal sendiri-sendiri. Suami dengan dunianya manakala Mummy, menikmati dunia sendiri yang penuh warna.

Kemalangan ubah kehidupan 

Hinggalah satu hari pada tanggal 9 April 1989 yang takkan dilupakan Mummy sampai bila-bila. Selain hari pertama Ramadan, tarikh berkenaan adalah hari lahir suami Mummy waktu itu. Mummy, Ikbal dan seorang rakan perlu ke sempadan untuk mengambil barang.

Ketika melalui satu persimpangan di Selising, Pasir Puteh, Kelantan, Mummy dapat melihat ada sebuah kereta datang dengan laju dari arah bertentangan. Terletak berhampiran sekolah, ramai pelajar memenuhi kiri kanan jalan kerana jam menunjukkan jam 1 tengah hari, waktu budak balik sekolah.

“Dah tak sempat, teruskan saja!” jerit Mummy pada Ikbal sambil tangannya pantas menarik tali pinggang keledar.

Bam! Sebaik tali pinggang bertaut, Mummy mendengar bunyi dentuman kuat sebelum segala-galanya bertukar kelam.

Sebaik sahaja membuka mata, Mummy dapat rasakan cairan hangat mengalir di dahi. Secara spontan Mummy mengesatnya sebelum menyedari ia adalah darah yang berhamburan dari kulit kepala.

Ikbal di sebelah mengerang kesakitan namun sempat melontarkan pertanyaan sama ada dia ok. Sementara kawan di tempat duduk belakang, diam tak berkutik.

“Yang perempuan tu hidup lagi..” itu ayat terakhir yang Mummy dengar sebelum dia kembali menutup mata.

Ketika dirawat di hospital, Mummy mendapat tahu kawan yang mengikut mereka menemui ajal di tempat kejadian manakala Ikbal, menghembuskan nafas terakhir selepas 10 hari berjuang untuk hidup.

Sebaik sahaja mengetahuinya Mummy menjerit kesedihan.

Kemalangan tersebut meninggalkan trauma berpanjangan. Mummy tidak mampu menguruskan perniagaan kerana terlalu sedih. Perniagaan yang memberikan kemewahan hidup dibubarkan kerana untuk menguruskannya, bermakna dia terpaksa melalui kenangan yang akan membuatkan jiwa diruntun sedih kerana terkenang Ikbal yang sering bersama-samanya menguruskan perniagaan selama ini.

Maka dengan saki baki wang, Mummy meneruskan hidup dan mencuba perniagaan lain. Namun nasib kurang menyebelahi apabila perniagaan tidak berhasil seperti sebelumnya.

Perkahwinan yang dianugerahkan dua anak turut kecundang apabila Mummy dan suami akhirnya mengambil keputusan untuk berpisah secara baik.

Kini, Mummy menampung hidup dengan berniaga makanan kecil-kecilan. Jika sesetengah orang yang pernah merasa kekayaan dirundung sedih apabila jatuh miskin, Mummy tidak rasa begitu.

“Alhamdulillah walaupun duit tak sebanyak dulu dan serba sederhana, Mummy bersyukur. Tinggal cuma di flat kecil, berniaga di gerai, pergi jalan pun dekat-dekat sahaja tapi bahagia,” ujar Mummy.

Pengalaman mengajarnya bahawa keseronokan dunia tak kekal lama. Akhirnya apa yang paling penting adalah keluarga dan anak-anak yang akan tetap bersama di kala susah mahu pun senang.

“Cuma satu yang masih menjadi impian, iaitu ingin menjejak tanah suci Makkah satu hari nanti,” ujar Mummy sebelum mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa