Monday, May 13, 2013

Corak Politik Orang Kelantan

Saya tidak tahu sejauh mana pemerhatian penulis tentang sikap dan cara Orang Kelantan berpolitik
Apa beberapa perkara lagi tidak tersentuh oleh beliau

Contoh faktor kesetiaan dan hormat Orang Kelantan kepada Raja
Orang Kelantan benci ditipu dan pentingkan hak mereka 
Manusia yang bermuka-muka tidak akan mendapat tempat di hati Orang Kelantan

Contohnya kekalahan UMNO di Kelantan dalam PRU13 baru-baru ini
Salah satu sebabnya adalah Tok Pa dan Awang Adik di mata Rakyat Kelantan adalah Pengkhianat bila mereka berdua tanpa berselindung mengakui yang merekalah yang menyekat Royalti Minyak Kelantan

Tok Pa menang di Jeli hanya kerana orang Jeli berhutang budi kepada beliau dan sifat 'down to earth'nya tetapi Awang Adik tersungkur di Bachok di tangan orang muda kerana di mata Orang Bachok, Awang Adik tidak ada apa-apa saham untuk dihargai selain watak bacul dan pengkhianat hak rakyat. Lagi satu Awang Adik tidak 'mesra alam'!

Apa yang saya nampak dalam PRU13 baru-baru ini memang ada harapan UMNO merampas Kelantan tetapi UMNO kalah adalah kerana watak pemimpim UMNO yang menjadi Nakhoda di Kelantan 

Kalau ada tokoh lain yang dengan watak yang tidak tercemar, mungkin Kelantan telah berada di pangkuan UMNO walaupun dengan majoriti tipis

Fatmi Che' Salleh hanyut di Parlimen Kota Bharu bukan kerana populariti Takiyudin tetapi Fatmi dilihat mewakili Najib dengan reputasi Najib yang keruh di mata Orang Kelantan

Dan banyak lagi faktor-faktor lain yang melibatkan sikap orang Kelanyan dalam politik yang agak panjang untuk diulas....

Pembetulan pada rencana ini, mungkin penulis ralat -  Sebenarnya BN gagal mendapat majoriti pada PRU12 tahun 2008

Memahami corak politik orang Kelantan — Mohd Izzuddin Ramli

12 MEI — Pilihanraya Umum Ke-13 yang berlangsung pada 5 Mei lalu sudahpun berakhir. Barisan Nasional (BN) sekali lagi berjaya mengekalkan kuasanya setelah memenangi 133 kerusi daripada 222 kerusi parlimen yang ditandingi. Kemenangan yang diperolehi ini sekaligus memberi laluan kepadanya untuk meneruskan lagi pemerintahan setelah sekian lama.
Pakatan Rakyat (PR) walaupun berat untuk menerima keputusan ini tampaknya tetap harus mengakui bahawa tidak menjadi barang yang mudah untuk menumbangkan sebuah regim yang sudah sekian lama berkuasa ini. 
Walau bagaimanapun, berbeza dengan BN, PR sekalipun gagal dalam misinya untuk mengambil alih pemerintahan, sekurang-kurangnya boleh bergembira dengan peningkatan jumlah kerusi yang dimenanginya kali ini – baik pada peringkat Parlimen, mahupun Dewan Undangan Negeri.
Umum tahu bahawa, jika dibuat perbandingan dengan keputusan pilihanraya umum ke-12 lima tahun lalu, mahu atau tidak BN harus mengakui bahawa walaupun masih diberi mandat untuk memerintah, namun graf prestasinya menunjukkan keadaan penurunan yang agak mendadak. 
Tahun 2008, BN sekurang-kurangnya berjaya mengekalkan majoriti 2/3 dengan memperoleh sebanyak 140 kerusi parlimen berbanding PR yang hanya memenangi 82 kerusi parlimen. Kali ini, BN gagal mempertahankan tujuh kerusi parlimennya sehingga ia gagal untuk memperoleh majoriti 2/3. Bagi BN, jelas sekali bahawa berada pada posisi ini bukanlah satu perkara yang menyenangkan, apalagi ia sukar untuk disembunyikan.
Penipuan dan penyelewengan pilihan raya
Walaupun pilihanraya sudah berakhir, namun kehangatannya masih lagi berlanjutan sehingga hari ini. Kesukaran untuk menerima keputusan apalagi hakikat kekalahan, suasana politik Malaysia pasca-pilihanraya akhirnya telah diwarnai dengan pelbagai aksi protes massa dari seluruh pelusuk negara. 
Aksi yang berlangsung ini hanya dengan matlamat yang satu iaitu membantah keputusan dan proses pilihanraya yang dikatakan penuh dengan penipuan dan penyelewengan. Perhimpunan besar “Suara Rakyat” yang berlangsung di Kelana Jaya 8 Mei lalu ternyata menjadi bukti bahawa rakyat sememangnya tidak boleh berkompromi dengan segala penipuan yang berlaku. Banyak pihak tampil membuat laporan disamping mengemukakan bukti bahawa sememangnya terdapat penipuan dan salah laku ketika pilihanraya berlangsung.
Kehadiran sejumlah warga asing yang mencurigakan disaat berlangsungnya pilihanraya, dakwat kekal yang ternyata tidak kekal, kewujudan senarai nama pemilih yang mencurigakan, nama pengundi yang hilang daripada senarai pengundi, terputusnya bekalan elektrik dibeberapa tempat ketika proses pengiraan undi berlangsung dan kes kertas undi dibawa lari adalah antara contoh-contoh penipuan yang dilaporkan berlaku.
Kes-kes penipuan dan penyelewengan ini oleh banyak pihak dikatakan menjadi salah satu faktor kegagalan Pakatan Rakyat menumbangkan Barisan Nasional dalam pilihanraya kali ini.
Namun, jika hanya melihat betapa kotornya proses pilihanraya sebagai faktor besar kekalahan Pakatan Rakyat khususnya ketika mempertahankan beberapa kawasan penting, maka pasti akan sukar pula untuk menjelaskan kerusi-kerusi yang kemudian menyebelahinya. Begitu juga dengan Barisan Nasional, yang turut kehilangan beberapa kerusi mahal dan memenangi kerusi yang mungkin tidak disangka-sangka akan dimilikinya. Oleh itu, faktor-faktor lain juga tidak harus dikesampingkan dalam menganalisis punca kekalahan dan kemenangan yang diperolehi kedua-dua parti ini.
Hilangnya beberapa kerusi di Kelantan
Menghala pemerhatian ke negeri Kelantan, pilihanraya umum ke-13 memperlihatkan bahawa negeri yang lebih 20 tahun diperintah oleh PAS dengan mempertahankan jumlah milikan kerusi yang besar sebelum ini akhirnya gerhana di beberapa kerusi parlimennya. Kerusi-kerusi yang gagal dimenanginya ini kebanyakan disandang dan ditandingi oleh calon daripada PKR. Bagi kerusi parlimen misalnya, kerusi yang jatuh ke tangan Barisan Nasional ialah P26 Ketereh, P27 Tanah Merah dan P29 Machang. Manakala bagi kerusi DUN hilang di N1 Pengkalan Kubor, N38 Kuala Balah, N40 Guchil, N43 Nenggiri dan N44 Paloh. Pola kekalahan di kerusi-kerusi yang dipertandingkan oleh PKR inilah yang mengarah kita untuk melihat bahawa selain daripada masalah penipuan dan penyelewengan, apakah faktor parti dan calon yang kurang berwibawa turut memberi pengaruh kepada penambahan dan pengurangan kerusi.
Banyak sarjana telah cuba untuk meneliti corak politik yang dibawa oleh masyarakat Kelantan, baik melalui kajian-kajian baru mahupun lama. Yahya Ismail dalam buku Bulan Purnama Gerhana di Kelantan misalnya memberi gambaran akan kesukaran untuk menyelami jiwa dan hati rakyat Kelantan dalam membuat pilihan politik. 
Beliau menegaskan bahawa, kebanyakan orang Kelantan lebih suka untuk menyimpan rahsia pilihan masing-masing apabila menghadapi persoalan politik. Oleh hal yang demikian, untuk menyandarkan tahap sokongan rakyat kepada sesebuah parti melalui jumlah kehadiran pendengar dalam sesebuah ceramah misalnya adalah tidak begitu menyakinkan. Mereka umumnya akan pergi mendengar terlepas dari memperhitung siapakah yang menjadi penceramah.
Terdapat juga generalisasi umum dalam aspek budaya-politik yang biasa ditempelkan terhadap masyarakat Kelantan. Tidak sedikit yang beranggapan bahawa rata-rata masyarakat Kelantan lebih matang dalam berpolitik. Sifat mereka yang berdikari, hidup dalam masyarakat yang homogen, berfikiran lebih terbuka dan memiliki tradisi keagamaan yang kuat adalah antara bentuk cara hidup dan pegangan yang boleh dikatakan berkait rapat dengan cara mereka berpolitik.
Disebabkan oleh majoriti masyarakat Kelantan adalah datang daripada kaum Melayu, maka perlawanan politik umumnya adalah antara Melayu melawan Melayu. Ditambah dengan pengaruh pendidikan agama yang kuat maka berlakulah juga perlawanan idea samada meletakkan Islam lebih dahulu dihadapan ataupun bangsa Melayu dan agenda pembangunan ditempat yang pertama.
Persaingan idea antara Melayu-Islam dan Islam-Melayu ini di Kelantan pastinya berhubungan rapat pula antara dua parti besar yang masing-masing pernah memegang tapuk pemerintahan iaitu PAS dan juga Umno. Dalam sejarah politik pemerintahan Kelantan, hanya kedua-dua parti ini sahaja yang berjaya menerajui negeri secara bertukar ganti. 
Pilihanraya tahun 1955, Barisan Nasional (Parti Perikatan ketika itu) untuk kali pertama diberi mandat untuk mentadbir Kelantan. Kemudian PAS meneruskan babak pemerintahan selama 18 tahun bermula pada 1959 sehingga berlakunya krisis politik yang menyebabkan PAS digulingkan pada tahun 1977. 
Barisan Nasional tidak melepaskan peluang dengan memanfaatkan krisis dalaman PAS ini untuk mengambil-alih kembali Kelantan pada tahun 1978 sehingga tahun 1990. Dengan meninggalkan segala kekusutan politik masa lalu, PAS kemudian bangkit kembali merampas Kelantan dan meneruskan projek Islamisasinya. Walaupun mengalami kemerosotan prestasi dalam beberapa pilihanraya, parti ini tetap kekal di Kelantan sehingga ke hari ini.
Melihat kepada dinamika dominasi politik antara PAS dan Umno ini, jelas bahawa rakyat Kelantan secara umum boleh sahaja menukar atau mengekalkan pemerintahnya pada bila-bila masa. Akan tetapi, hanya dua parti ini sahaja yang dikatakan dekat dengan hati rakyat Kelantan. 
Sekalipun terdapat parti-parti kecil yang cuba melirik kerusi-kerusi di negeri ini, namun tidak mendapat simpati yang baik. Parti Melayu Semangat 46 yang dipimpin oleh Tengku Razaleigh misalnya menerima nasib yang sama. Kegagalan untuk menyakinkan rakyat Kelantan akan kebolehan untuk memerintah serta kelemahannya dalam mengatur strategi politik akhirnya parti ini tidak mendapat sokongan yang baik. Semangat 46 terbubar setelah 8 tahun mencuba nasib.
Konservatisme PAS dan Umno
PAS sama seperti Umno kedua-duanya adalah sebuah parti besar yang cuba untuk tampil dalam kalangan orang Melayu yang konservatif. Dasar perjuangan PAS yang cuba untuk mewujudkan sebuah masyarakat dan pemerintahan yang didalamnya terkandung nilai-nilai hidup Islam menjadikan parti ini turut dilihat sebagai sebuah parti yang konservatif dan ortodok. Terlepas dari cara berfikir yang umumnya masih tradisional, PAS juga turut hadir dengan penampilan-penampilan sederhana dalam kalangan orang Melayu. Kessler dalam Muslim Identity and Political Behaviour in Kelantan misalnya menjelaskan, ayat-ayat dan ajaran agama yang sering disurahkan oleh PAS sekurang-kurangnya telah berjaya meredakan kegusaran rakyat dalam hidup seterusnya meningkatkan sokongan kepadanya.
Bagi Umno, oleh kerana terpaksa menghadapi persaingan dengan PAS untuk mencari tempat dalam masyarakat Melayu, maka Umno juga perlu dilihat seperti demikian. Bezanya ialah, terdapatnya keluwesan dalam parti ini iaitu ia dalam sesetengah keadaan boleh tampil dengan pelbagai wajah – baik konservatif, moderat mahupun liberal. Konservativisme politik yang ditunjukkan oleh kedua-dua parti inilah dilihat sesuai dalam rata-rata masyarakat Melayu Kelantan.
Berbeza dengan parti-parti yang masih baru untuk mendapat tempat dalam hati rakyat Kelantan, pelbagai cabaran yang besar tampaknya perlu dihadapi. Seperti parti Semangat 46, Parti Keadilan Nasional di Kelantan suatu ketika dahulu turut berkongsi nasib yang sama. Begitu dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR), walaupun pernah memenangi beberapa kerusi parlimen di Kelantan pada PRU ke-12, namun ia hanya dilihat sebagai satu peluang yang diberikan oleh rakyat untuk menguji kebolehannya di Kelantan. 
Jika peluang yang ada disia-siakan, maka ia harus bersedia untuk menerima penolakan daripada rakyat sebagaimana dilihat dalam PRU ke-13. Apalagi parti ini yang umumnya dilabel sebagai parti liberal, wujudnya pelbagai krisis dalaman parti yang tidak berjaya dibersihkan dengan baik akhirnya telah meragukan keyakinan rakyat.
Suara-suara pesimis kerap kali berlagu ketika pemerhatian dibuat dibeberapa kerusi yang ditandingi oleh PKR seperti di Machang dan juga Ketereh. Tidak menghairankan jika ada daripada penyokong PAS sendiri yang aktif dalam perjuangan menuntut hak royalti secara terang-terangan menyatakan ketidakyakinannya kepada calon PKR. Kegagalan untuk menunjukkan mutu kerja yang baik ketika diberi peluang untuk mentadbir, akhirnya penyandang kerusi parlimen Ketereh jatuh tanpa mampu bertahan dengan lebih lama. 
Nampak jelas bahawa, untuk menempatkan calon daripada parti selain daripada dua parti dominan iaitu PAS dan Umno bertanding di Kelantan, ada dua perkara yang harus diperkirakan. Pertama, parti baru yang ingin mengambil tempat mestilah meletakkan calon yang betul kompeten untuk mewakili rakyat. Kedua, parti pada peringkat nasional juga mestilah bersih daripada bergelumang dengan masalah-masalah dalaman.
Walaupun masih terpalit kekecewaan rakyat terhadap Umno, laungan “Asalkan Bukan Umno” kadang-kala tidak begitu merdu di Kelantan. Tetap sahaja ada pengharapan kepada parti ini sebagai pilihan. Kerana pilihan terbaik dari yang terburuk datang daripada rahim yang sama hanya ada dua – PAS atau Umno

2 comments:

  1. Ramai di luar sana berpandangan bahawa roadshow yang dijalankan untuk menidakkan keputusan GE13 adalah semata2 untuk menutup air muka Sdra Anwar yang teruk tercemar atas riak beliau sendiri yang telah terlebih dahulu yakin rancangannya lebih baik daripada ketentuan Allah SWT.

    ReplyDelete
  2. Apakah dgn penipuan yg berlaku sekarang kita akan ditipu lagi utk masa yg akan datang? Tak mustahil undi popular PR sehingga 70% pun umno/bn masih menang kerusi majoriti lagi. Ini semua permainan SPR utk menangkan bn. Konsep demokrasi yg asas majoriti undi adalah pemimpin yg dipilih bukannya jumlah kerusi yg dimanipulasikan oleh SPR. Dimana penyokong umno/bn maka kerusi parlimen/dun diperbanyankan agar umno/bn banyak memenangi kerusi walaupun majoriti rakyat tolak mereka.

    Minoriti memerintah majoriti sama macam kerajaan apatheid di afrika selatan dulu.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa