Monday, July 22, 2013

Kalau Cerdik Kenapa Berahsia?

Kalau dah cerdik sangat tanak dengar dan bincang sesama kita dulu
Di kemudian hari apa yang jadi nanti tanggunglah sumpahan anak cucu!

TPPA: Rundingan penuh rahsia
July 22, 2013
Sama ada perjanjian Tran-Pasifik (TPP) benar benar membawa faedah atau malapetaka kepada rakyat Malaysia masih tidak dapat ditentukan tanpa mengetahui intipati teks asalnya.



Rundingan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) (Tran-Pacific Partnership Negotiation) yang ke 18 yang menerima kritikan dari pelbagai pihak di negara ini sedang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah mulai hari  Sabtu lalu.
Persidangan selama 10 hari itu dihadiri oleh  625 delegasi (delegates) dari 12 negara and 210 pihak kepentingan (stakeholders).
Mereka terdiri daripada wakil industri dan badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili bidang perubatan, pengguna, buruh dan alam sekitar.
Sebanyak 40 wakil organisasi mengambil peluang untuk membuat perbentangan mereka daripada pelbagai isu seperti perubatan, farmasi, hak milik harta intelektual, ekonomi, alam sekitar dan media dari wakil negara yang terlibat, iaitu Australia, Brunei, Canada, Chile, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapore, Amerika Syarikat, dan Vietnam.
Kebanyakan pembentangan dari wakil organisasi tertumpu kepada isu hak milik harta intelektual dan kesan kepada kos perubatan, harga ubat ubatan dan kesihatan penduduk.
Selain itu, isu kesan kepada penguatkuasaan alam sekitar dan perdagangan juga menjadi persoalan utama dalam pengajuan sesi soal jawab daripada pihak kepentingan.
Sesi terbuka yang berlangsung di Kota Kinabalu pada 20 Julai juga memberi peluang kepada pihak kepentingan untuk mengajukan persoalan kepada pembentang dan bertemu dengan perunding untuk menyampaikan persoalan dan kebimbangan mereka mengenai rundingan perjanjian ini menjadi kenyataan.
Sesi ini juga telah membawa beberapa wakil rakyat negara ini seperti Marcus Mojigoh, Noor Ehsanuddin, Ahmad Hamzah, Nurul Izzah dan Wong Chen untuk men yertai sesi yang berlangsung selama satu  hari dalam usaha untuk mendapat lebih banyak maklumat mengenai perjanjian perdagangan Tran-Pasifik (TPP) ini.
Marcus dalam persoalannya membangkitkan persoalan akan kesan terhadap tanah tanah adat di Sabah sekiranya perjanjian ini dilaksanakan. Manakala Nurul membangkitkan kerisauan beliau akan perlaksanaan penyelesaian pertikaian pelaburan negara (Investor State Dispute Settlement) dan kesan terhadap undang undang negara ini.
Antara kebimbangan lain yang timbul di kalangan pihak kepentingan adalah cara perundingan perjanjian yang dijalankan dengan penuh rahsia.
Tidak banyak maklumat yang dikeluarkan oleh wakil perunding negara-negara yang terlibat mengenai proses dan intipati hasil rundingan tersebut.
Ini menyebabkan kebanyakan wakil badan bukan kerajaan (NGO) menyuarakan kebimbangan dan kekecewaan terhadap cara rundingan dijalankan.
Salah seorang perwakilan dari NGO tempatan menyuarakan kekesalan mereka kerana tidak banyak maklumat terkini yang dapat diperolehi mengenai rundingan ini.
Ini menyebabkan amat sukar untuk mereka menilai akan kebaikan yang datang dari perjanjian ini dinikmati oleh rakyat Malaysia.
Sebahagian besar maklumat yang diperolehi dari sumber yang tidak rasmi yang tidak terkini menyebabkan mereka bertambah risau akan hala tuju rundingan yang berjalan ini.
Beliau juga menyoalkan kejujuran pihak perunding dan kerajaan dalam perlaksanaan perjanjian perdagangan dengan keengganan mereka untuk berkongsi maklumat mengenai proses perundingan sebelum perjanjian dimeterai.Ini menimbulkan banyak tanda tanya terhadap kesan yang akan timbul kelak.
Salah satu kebimbangan adalah dari segi kos perubatan yang akan meningkat sekiranya perjanjian ini dimeterai. Ini bermakna kos ubat-ubatan akan bertambah mahal kerana perjanjian ini akan menyekat penjualan ubat ubat generik (tiruan) yang murah.
Bayaran tertentu akan dikenakan sekiranya pengusaha lain ingin menghasilkan ubatan yang sama untuk tujuan pasaran.
Oleh kerana itu, kos perubatan dan harga ubat akan meningkat kerana pengusaha terpaksa membayar royalti atau yuran tiruan kepada pemegang hak milik ciptaan (paten). Ini kerana pengeluar utama boleh mengenakan tindakan undang undang antara sempadan terhadap  negara ahli perjanjian dengan perlaksanaan penyelesaian pertikaian pelaburan negara (Investor State Dispute Settlement).
Usaha ini akan menyekat usaha pembasmian penyakit seperti daya kurang tahan penyakit (AIDS) dan malaria di negara yang mundur dan membangun.
Undang undang berkaitan alam sekitar negeri dipercayai akan dipinggirkan berikutan perjanjian Trans-Pasifik (TPP) memberi hak kepada pengusaha dan syarikat besar untuk mengenakan tindakan penyelesaian pertikaian pelaburan negara (Investor State Dispute Settlement) untuk memansuhkan kekangan penilaian alam sekitar (EIA) sekiranya mereka merasakan tindakan itu tidak mematuhi peraturan dalam penjanjian yang dipersetujui.
Segala usaha untuk melindungi alam sekitar akan terbantut dengan adanya perjanjian yang didakwa adalah alat bagi sesetengah pihak untuk mengaut keuntungan dengan kos rakyat dan kerajaan tempatan.
Banyak contoh di mana negara yang menyertai perjanjian seumpamanya terpaksa membayar gantirugi berbillion ringgit kepada syarikat antarabangsa kerana mereka telah melanggar perjanjian yang dimeterai tetapi sebaliknya syarikat antarabangsa sebenarnya telah melanggar akta dan undang undang alam sekitar tempatan.
Seorang pewakilan yang juga pakar perundangan mengingatkan bahawa tidak banyak dapat diperkatakan mengenai perjanjian perdagangan ini kerana perunding tidak memberi maklumat yang secukupnya untuk mereka membuat penilaian yang teliti. Sehingga itu, adalah sukar untuk menolak atau menerima perjanjian ini sehingga maklumat terperinci diperolehi dan ketulusan dan keikhlasan mereka dikenal pasti.
Namun, wakil ketua rundingan kerajaan dalam taklimat dengan delegasi dan pihak kepentingan menyatakan bahawa kerisauan dalam proses penyelesaian pertikaian perlaburan negara (Investor State Dispute Settlement) bukan satu isu besar kerana hanya sebahagian kecil daripada bahagian pelaburan yang masih dalam proses perbincangan.
Australia adalah satu satunya perwakilan secara terbuka menyatakan tidak akan menerima kewujudan penyelesaian pertikaian pelaburan negara (Investor State Dispute Settlement) dan berharap mendapat pengecualian terhadap bahagian ini.
Mengenai proses kerahsian dalam perundingan ini, beliau bertambah, tindakan
ini dilakukan kerana mereka tidak mahu spekulasi berlaku yang akan membantutkan proses perbincangan.
James Alin penyelidik bahagian perlancongan dengan East ASEAN Growth Area (BIMP EAGA) berpendapat bahawa adalah penting bahawa pengusaha asal seharusnya diberikan hak untuk hasil ciptaan ubatan mereka. Ini supaya mereka dapat mengalakkan kajian ubatan yang baru melalui proses hak milikan yang memberikan mereka hasil yang sepatutnya berbanding dengan usaha yang mereka buat.
Kos bayaran untuk menghasilkan ubatan tiruan adalah kecil dan tidak akan menyebabkan perubahan yang ketara. Dengan kenyataan yang sama, ia diterima dalam semangat Perdagangan Bebas (FTA) yang mempunyai penguatkuasaan dalam hak milik harta intelektual yang berfungsi.
Dalam Perdagangan Bebas (FTA), subsidi kepada pertani kecil akan dimansuhkan dan dipercayai akan menyebabkan mereka hilang mata pencarian kerana tidak dapat bertanding dengan harga sayur import yang murah.
Ini tidak semestinya kerana hasil jimatan subsidi boleh dipindahkan kepada usaha peningkatan teknologi kajian dan penyelidikan perladangan lebih baik dan mesra alam.
Misalnya, petani di Kundasang tidak kisah dengan penggunaan racun serangga kimia kerana pasaran mereka dilindungi. Oleh itu, pengguna tidak mempunyai pilihan selain daripada membeli sayuran mereka yang beracun.
Sehubungan dengan perlaksanaan penyelesaian pertikaian pelaburan negara (Investor State Dispute Settlement), ia telah dilaksanakan dalam Perdagangan Bebas (FTA) sebelum rundingan perjanjian Trans –Pasifik (TPP) berlangsung.
Berpandukan perjanjian Perdagangan Bebas, ia sebaliknya membenarkan kerajaan persekutuan dan negeri tanggungjawab penuh berbanding dengan apa yang diperkatakan mengenai Perjanjian Trans-Pasifik (TPP).
Misalnya, kerajaan negeri Sabah telah memansuhkan pembinaan loji batu arang di Sabah oleh pelabur luaran atas desakan penduduk dan rakyat.
Pelabur menyaman kerajaan negeri ke atas kegagalan mematuhi kontrak perjanjian yang dipersetujui untuk tuntutan ganti rugi dan bukan menyaman untuk mengembalikan kebenaran pembinaan. Ini menunjukkan bahawa undang undang negeri masih berfungsi baik.
Wakil dari MOPI (Malaysia Organization of Pharmaceutical Industries) dalam pembentangan menyokong dasar perjanjian perdagangan Trans-Pacifik (TPP) sekiranya ia mengalakkan harga ubatan yang murah dan berpatutan, inovasi yang sebenar (bukan faktor keuntungan).
Perkara utama yang dibangkitkan adalah lanjutan hak milik ciptaan ubatan lebih daripada 20 tahun yang akan membantutkan pengeluaran ubatan murah di pasaran.
Selain itu, perjanjian ini yang membenarkan proses (defator patening) pendaftaran hak milik terhadap bahan yang tidak berkaitan langsung dengan proses penciptaan yang menyebabkan semulajadi seperti pokok dan tumbuhan menjadi hak milik golongan tertentu.
Langkah dan usaha untuk membantah adalah amat sukar dan kos besar dan kebanyakan pihak kepentingan tidak dapat bertindak.
Perjanjian ini juga memandang rendah akan dasar domain awam dalam undang undang hak cipta dan usaha penyelidikan ubatan yang pada asalnya tertumpu kepada pesakit dan bukan keuntungan.
Rundingan perjanjian Trans-Pasifik (TPP) seterusnya akan berlangsung di Brunei pada akhir bulan Ogos atau awal bulan September di mana dijangkakan Jepun secara rasmi akan menyertai sesi perbincangan dan rundingan untuk menyertai perjanjian perdagangan ini.
Sama ada Jepun akan menyertai perjanjian ini masih menjadi persoalan kerana wakil kumpulan dari Jepun Katsumasa Haranaka, wakil dari Konferen Rakyat Membantah TPP (Citizen Conference Opposing TPP) dalam satu sesi soal jawab menyuarakan akan kesan perjanjian ini terhadap industri pertanian, perikanan dan perhutanan.
Pemansuhan tariff dalam perjanjian perdagangan (TPP) merupakan satu penghalang utama bagi kebanyakan penduduk Jepun kerana ia boleh menjejaskan mata pencarian kebanyakan mereka.
Ini kerana ia akan menyebabkan lambakan barangan luar yang boleh menyebabkan kejatuhan harga pasaran bagi barang pengeluaran pertanian, perikanan dan perhutanan.
Haranaka juga menyeru kerajaan Jepun membekalkan maklumat yang penting untuk memudahkan mereka untuk berbincang dan menilai sama ada perjanjian perdagangan (TPP) ini akan membawa faedah kepada rakyat Jepun.
Sama ada perjanjian Tran-Pasifik (TPP) benar benar membawa faedah atau malapetaka kepada rakyat Malaysia masih tidak dapat ditentukan tanpa mengetahui intipati teks asalnya.
Keengganan wakil perunding untuk mendedahkan kandungan dan intipati mewujudkan persoalan kepada pelbagai pihak akan kebajikan mereka sekiranya perjanjian perdagangan ini dilaksanakan.
Rata-rata perwakilan kepentingan (Stakeholder) dalam dan luar negeri yang ditemui bimbang mengenai cara rundingan ini yang dijalan dengan penuh rahsia.
Mereka berharap pihak kerajaan mereka dapat membuktikan keikhlasan mereka dengan mengubah proses ini secara terbuka untuk pengamatan dan penilaian pelbagai pihak

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa