Saturday, January 18, 2014

Rasionalkah Seruan Ini?

Adakah ini menyeru ke arah rasa curiga permusuhan?
Seru untuk menyokong ceroboh premis orang dan merampas hak orang lain?

Kalau Rasulallah masih ada
Adakah Baginda akan bertindak begitu?

Terus terang aku katakan
Aku keliru dengan Islam Melayu!
Walau apa pun aku bukan rakyat Selangor

Jais seru masyarakat patuhi fatwa sokong rampasan Bible di Selangor
OLEH MOHD FARHAN DARWIS
January 18, 2014
Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyeru masyarakat di negara ini mematuhi keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang menyokong tindakan Jais menyerbu premis Persatuan Bible Malaysia (PBM) dan merampas lebih 300 kitab Bible dalam bahasa Melayu dan Iban.

Pengarah Jais, Ahmad Zaharin Mohd Saad yang turut menyambut baik keputusan Muzakarah Majlis Fatwa itu menyeru keputusan tersebut dihormati.

"Semua pihak perlu mematuhi peruntukan di dalam Enakmen Agama Bukan Islam Negeri Selangor (Kawalan Pengembangan di Kalangan Bukan Islam) 1988 berkaitan larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

"Pematuhan itu juga termasuk fatwa yang diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan," katanya dipetik daripada akhbar milik Umno Utusan Malaysia.

Muzakarah Khas Majlis Fatwa semalam berkata, serbuan dillakukan Jais adalah selaras dengan peruntukan undang-undang dan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang melarang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Muslim.

Malah, Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin, berkata Jais juga tidak perlu memulangkan semua lebih 300 naskah Bible berbahasa Melayu dan Iban yang dirampas.

Jais sebelum ini dikritik hebat selepas melakukan serbuan terhadap premis PBM dan merampas Bible berbahasa Melayu dan Iban milik mereka.

Sehubungan itu, kerajaan negeri Selangor kemudiannya memperuntukkan pihak berkuasa agama itu untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) baru mereka yang menetapkan Jais perlu memaklumkan kepada Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan kerajaan negeri sebelum melakukan serbuan berunsur sensitif.

Mais bagaimanapun berkata, Jais tidak perlu mematuhi SOP baru berkenaan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dilaporkan berkata tidak bersetuju dengan kaedah rampasan yang dilakukan Jais. - 18 Januari, 2014.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa