Tuesday, February 18, 2014

Blogger Tak Beretika Punya Pasal

Blog salah guna gambar sebagai tertuduh yang dirogol
Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
SHARIFAH ZARINA berharap agar pengendali blog lebih beretika dalam setiap laporan yang disiarkan.

LAMA sudah tidak bersua, namun khabar terkini mengenai penyanyi Sharifah Zarina di sebuah blog hiburan cukup mengejutkan peminat-peminatnya.

Pelantun lagu popular Langit Ketujuh itu dikatakan dipenjara atas kesalahan membunuh lelaki yang cuba merogolnya.
Bagaimanapun, setelah dihubungi Kosmo!, dia menjelaskan blog berkenaan telah menyalahgunakan gambarnya ke atas artikel yang tiada kaitan langsung dengan dirinya.
Artikel tersebut telah disiarkan sekitar bulan Januari lalu, namun Zarina hanya mula mengambil tindakan pada minggu lalu.
Penyanyi berusia 32 tahun itu terpaksa mengambil tindakan ke atas blog hiburan berkenaan kerana perkara itu telah memalukan dirinya.
Apakah tindakan yang dikenakan Zarina ke atas penulis blog berkenaan? Penyanyi itu turut bercerita mengenai perkembangan terbaharunya yang kini sudah berhijab.
Kosmo!: Bagaimanakah Zarina mengetahui artikel yang menyalahgunakan gambar anda itu?
SHARIFAH ZARINA: Saya diberitahu oleh anak saudara dan kemudiannya ada beberapa rakan juga memaklumkan perkara itu. Kata mereka, cerita berkenaan sudah meluas di dalam laman Facebook.
Apakah perasaan anda apabila mengetahui perkara itu?
Sudah tentu saya berasa sakit hati dan malu. Saya paling risaukan anak saya, Athilia Deena yang kini berusia 11 tahun. Apakah perasaannya apabila dia melihat gambar ibunya dan membaca artikel tersebut. Bagaimana juga kalau rakan-rakannya pula membacanya? Saya juga risau kalau keluarga membacanya. Dia tidak beretika kerana menggunakan gambar untuk cerita yang tiada kena mengena langsung, malah cerita tersebut tentang mangsa rogol.
Jadi apakah tindakan anda mengenai perkara itu?
Saya berbincang dengan peguam. Dia menasihatkan saya membuat laporan polis terlebih dahulu. Saya kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Subang. Selepas itu, saya berjumpa pula dengan pakar IT untuk mengenalpasti penulis blog berkenaan. Saya tahu menyeluruh mengenai blog berkenaan. Tetapi, saya terpaksa menggunakan medium media untuk memberi pengajaran kepada blog berkenaan supaya tidak mengulangi kesalahan tersebut. Saya beri tempoh selama 14 hari kepada blog berkenaan untuk menarik keluar gambar saya dan tampil membuat permohonan maaf.
Bilakah tempoh 14 hari itu berkuat kuasa?
Ia telah berkuat kuasa sejak semalam.
Apakah tindakan lanjut anda jika blog berkenaan tidak melakukan apa yang diminta oleh anda?
Saya akan bawa kes ini ke mahkamah dan segala kos akan ditanggung oleh blog berkenaan.
Terkini anda tampil cantik bertudung. Bilakah terbuka hati untuk mengenakan tudung?
Sekitar bulan Disember pada cuti sekolah, saya berjalan-jalan dengan keluarga. Saya ada beli beberapa helai tudung. Selepas cuba memakai tudung, saya tidak berasa untuk membukanya. Alhamdulillah, sejak tiga bulan lepas saya mula memakai tudung sepenuhnya.
Apakah perasaan anda selepas memakai tudung?
Saya rasa lebih tenang. Sebelum ini, saya mengerjakan solat dan juga puasa, tetapi selepas memakai tudung, saya rasa lebih sempurna ibadah saya. Tetapi, saya masih belajar secara perlahan untuk memperbetulkan pemakaian baju saya. Saya kini mula membeli dan mengumpul baju-baju yang lebih menutup aurat.
Setelah bertudung, bagaimana pula dengan kerjaya nyanyian anda?
Saya masih meneruskan nyanyian kerana ia adalah minat saya. Malah, saya juga sedang sibuk dengan single terbaharu iaitu Mengharap Cinta. Saya juga merancang untuk menghasilkan album kompilasi yang memuatkan lagu-lagu lama dan juga lagu terbaharu saya.
Selain itu, apakah perkembangan terbaharu yang ingin dikongsikan kepada peminat?
Saya sekarang sedang mengikuti pengajian di Universiti Malaya, Kuala Lumpur dalam jurusan Pendidikan Awal Kanak-Kanak. Saya tertarik dengan jurusan itu kerana ia berkaitan kanak-kanak dan saya juga mempunyai anak. Idea sentiasa mencurah-curah setiap kali saya melakukan tugasan untuk jurusan tersebut. Bagaimanapun, saya hanya mengikuti kelas pengajian pada hari Sabtu sahaja.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa