Tuesday, February 18, 2014

Bolehkah PDRM Bebas Dari Telunjuk Politik?

PDRM, hentikan bermain politik dan mulakan jaga perpaduan negara 

V Shuman07:30PM Feb 17 2014
SEKILAS PANDANG: Peringatan yang diberikan ketua polis negara baru-baru ini supaya tiada pihak memainkan isu perkauman dilihat sedikit meredakan ketegangan yang berlaku.
Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata yang tindakan keras akan diambil terhadap rakyat, termasuk pengguna Internet yang memainkan isu perkauman bagi mencetuskan pergaduhan antara kaum.
“Kami tidak akan teragak-agak menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 terhadap mereka yang terus membuat komen berunsur perkauman. Semua orang ada kebebasan bersuara, tetapi ada batasnya,” dia dipetik berkata.
Siasatan polis baru-baru ini terhadap golongan bigot seperti Man Namblast dan seorang gadis dari Kajang yang membuat kenyataan berbaur perkauman menunjukkan yang unit beruniform ini membuktikan kata-kata mereka. Tetapi sehingga ke tahap mana?
Wahai Ketua Polis, manakah anak-anak buah anda ketika golongan bigot ini berdemonstrasi, memijak haiwan yang dianggap suci penganut agama lain – mengancam keselamatan dan membuat ugutan perkauman terhadap kaum minority?
Sudah berulang kali kita melihat penguatkuasa baju biru ini hanya menjadi penonton – berdiri dan memerhatikan kejadian-kejadian buruk ini, kerana peserta-pesertanya dikaitkan dengan parti politik berhaluan kanan.
Jika melakukan kenyataan perkauman melalui blog, Twitter dan Facebook adalah kesalahan yang boleh membawa kepada tangkapan dan hukuman, mengapa golongan bigot yang mengancam keselamatan kaum lain dengan menggunakan alasan menegakkan hak mereka sendiri, terlepas tanpa amaran?
bagaimana dengan majikan anda, Encik Ketua Polis? Kadang-kadang nampak seperti apa yang diperlukan hanyalah bagi pemimpin-pemimpin berpakaian kot menuturkan “Cukup” ataupun “Sudah”, tetapi mereka hanya diam. Jadi golongan bigot ini menjadi lebih berani, kerana mereka tahu yang mereka selamat.
Menteri Dalam Negeri pula mempertahankan tawaran ganjaran terhadap sesiapa yang dapat menampar seorang ahli parlimen, yang diberikan sekumpulan peserta demonstrasi. Menurutnya ia bukanlah ancaman.
Dia menambah yang “tindakan diambil jika hanya ada ancaman bunuh”.
Jadi jika polis menuruti logik menteri ini, ramai orang yang terpaksa mati dahulu sebelum pembunuhnya ditangkap.
Wahai Datuk Menteri, rakyat sudah pun risaukan keselamatan mereka apabila kejadian jenayah semakin meningkat.
Kami bukannya anak-anak kecil yang boleh ditipu dengan statistik ‘indeks jenayah’ yang dikeluarkan kementerian setiap tahun. Kami tahu ianya tidak mencerminkan keadaan sebenar, dan telah dimanipulasi untuk mencantikkannya.
Jadi PDRM, sila jalankan kerja polis dan tinggalkan permainan politik kepada ahli politik. Buat apa yang perlu bagi mempertahankan keharmonian dan kesejahteraan negara.
Tangkap dan jel mereka yang memainkan sentimen perkauman yang boleh mencetuskan pergaduhan antara kaum.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa