Saturday, February 15, 2014

Khalid Enggan Tandatangan Surat Letak Jawatan: Tian Chua Jawab

Naib Presiden PKR: Laporan The Star tentang Khalid Ibrahim tidak berasas
OLEH AMIN ISKANDAR, PENGARANG BERITA
FEBRUARY 15, 2014
Naib Presiden PKR, Tian Chua nafi berita yang disiarkan di The Star berhubung keengganan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menandatangani surat peletakan jawatan. Gambar fail.Naib Presiden PKR, Tian Chua nafi berita yang disiarkan di The Star berhubung keengganan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menandatangani surat peletakan jawatan. Gambar fail.Naib Presiden PKR, Chua Tian Chang berkata laporan akhbar milik MCA, The Star yang melaporkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim enggan menandatangani surat peletakan jawatan bagi membenarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan menteri besar Selangor sebagai tidak berasas.
Katanya, fokus PKR dan Pakatan Rakyat (PR) pada ketika ini adalah untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dan soal siapa menteri besar Selangor tidak timbul.
"Laporan itu tiada asas. Sekarang ini fokus kami hendak menang PRK Kajang dan semua pihak termasuk Abdul Khalid bekerjasama untuk menjayakannya," kata Chua yang lebih dikenali sebagai Tian Chua kepada The Malaysian Insider di Kuala Lumpur.
Hari ini, The Star melaporkan Abdul Khalid enggan menandatangani surat peletakan jawatan bagi memberikan laluan kepada Anwar untuk menjadi menteri besar Selangor menerusi pelan "Langkah Kajang"."Tidak betul, tiada isu tentang surat letak jawatan. Isu menteri besar Selangor akan dibincang nanti (selepas PRK),” katanya.
Menurut The Star, berdasarkan sumber peringkat tertinggi PKR, Abdul Khalid dijadualkan perlu menandatangani surat peletakan jawatan yang disediakan oleh kepimpinan parti bertarikh 23 Mac, hari sama dengan hari pengundian bagi PRK DUN Kajang.
Surat peletakan jawatan sulit itu merupakan sebahagian daripada pelan becita-cita tinggi untuk memberi laluan kepada Anwar memimpin Selangor selepas menang PRK Kajang.
"Beliau merasakan dipermainkan oleh Anwar," lapor The Star memetik sumber kerajaan negeri yang turut mengatakan Abdul Khalid sudah menyatakan hasratnya untuk tidak berundur kepada Sultan Selangor semasa pertemuan mingguan pada Rabu.
Menurut laporan akhbar itu, Abdul Khalid kini berdepan cabaran untuk mengekalkan sokongan Pakatan Rakyat (PR) Selangor terutamanya daripada DAP.
Laporan itu menyatakan Abdul Khalid berkecil hati dengan pemimpin PKR seperti Rafizi Ramli yang mengatakan beliau tidak cukup kuat untuk memimpin cabaran serangan Umno di Selangor.
Kerusi DUN Kajang kosong selepas Lee chin Cheh dari PKR meletakkan jawatan secara mengejut.
Lee, 42, merupakan seorang peguam dan bekas ahli parti Gerakan selama 10 tahun.
Dalam PRU13, Lee mendapat 19,571 undi, berbanding calon BN, Lee Ban Seng yang mendapat 12,747 undi.
Komposisi pengundi di Kajang membentuk 49% Melayu, 40% Cina, 10% India dan 0.91% lain-lain.
PR sudah mengumumkan Anwar sebagai calon mereka bagi PRK Kajang manakala BN masih lagi belum berbuat demikian.
Tetapi, spekulasi mengatakan Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun bakal diletakkan untuk melawan Anwar. – 15 Febuari, 2014.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa