Saturday, March 29, 2014

MH370: Bertindaklah Seikhlasnya

MH370: Bertindak seikhlasnya demi rakyat dan negara
06:30PM Mac 29 2014

KOMEN: Selepas membayar beratus-ratus juta ringgit yuran perundingan kepada warga asing untuk membantu meningkatkan imej Malaysia, pengendalian krisis MH370 oleh kerajaan sedang "memberikan pulangan".

Malaysia kini berada dalam situasi "Perang Dingin" dengan China, dan juga dengan Iran yang dikuasai penganut Syiah sekarang. Malaysia telah mengisytiharkan pengikut Syiah sebagai sesat, dan jabatan agama juga telah mula menangkap mereka yang disyaki berfahaman Syiah.
Tahniah! Kelihatannya, diplomasi tidak digunapakai oleh Malaysia dalam pengurusan krisis, dan ia adalah tindakan nekad untuk berperang dengan negara-negara lain.
South China Morning Post (SCMP) melaporkan pada 28 Mac bahawa kemarahan umum di China terhadap usaha menangani krisis MH370 oleh Malaysia dilihat terus mendidih, kerana beberapa agensi-agensi pelancongan atas talian  telah mengumumkan untuk memulaukan MAS sehingga mereka "mendapat kebenaran mengenai penerbangan MH370"

Agensi-agensi termasuk eLong, LY.com, Qunar, dan Mango, yang merupakan antara penjual tiket perjalanan atas talian yang terbesar, berkata mereka telah menghentikan penjualan tiket MAS kerana kemarahan orang ramai terhadap syarikat penerbangan itu dan kerajaan Malaysia.
Walau bagaimanapun, Ctrip.com , agensi pelancongan dalam talian terbesar di negara ini, tidak menurut langkah yang sama di tempat sehingga 28 Mac "kerana bantahan yang dibangkitkan oleh jabatan jualan", jelas seorang pekerja Ctrip kepada SCMP yang tidak tidak mahu namanya disiarkan.
"Kami akan meneruskan pemulauan ini sehingga kerajaan Malaysia dan MAS mendedahkan setiap kecil maklumat yang mereka miliki dalam mencari kebenaran tentang pesawat yang hilang ini secepat mungkin," jelas kenyataan eLong yang diterbitkan di laman Weibo rasminya.
Dua orang penumpang MH370 telah menempah tiket mereka melalui eLong, jelas agensi itu dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa mereka akan membayar setiap keluarga 100,000 yuan (HK $ 125,873) "sebagai saguhati".
Dalam sebuah kenyataan, LY.com menjelaskan bahawa mereka akan memulangkan sepenuhnya wang kepada pelanggan yang ingin membatalkan tempahan tiket syarikat penerbangan itu, dan akan menjalankan pemulauan ini sehingga syarikat itu "memberikan kebenaran dan penjelasan yang memuaskan kepada semua mangsa dan rakyat China".
Pengumuman itu dilihat telah memuaskan hati sesetengah pengguna Internet. Kenyataan eLong itu telah menerima lebih daripada 7,000 komen dan telah dikongsi lebih 10,000 kali sehingga semalam.
"eLong telah membuktikan bahawa mereka mempunyai kesedaran, dan saya akan menempah tiket dari mereka pada masa depan," ujar sebuah komen.
Agensi-agensi pelancongan tanah besar telah melaporkan penurunan mendadak dalam bilangan pelawat dari China ke Malaysia. Menurut Tourism Malaysia, 1.79 juta orang warga China telah melawat Malaysia pada tahun lepas.
Sesetengah warga tanah besar, yang diketuai oleh selebriti, juga menggesa boikot dijalankan ke atas destinasi percutian yang popular ini, berikutan tragedi kehilangan pesawat 370 pada 8 Mac.
"Dalam tempoh dua minggu selepas kejadian itu, kami telah menyaksikan penurunan 50 peratus dalam bilangan pelanggan dari utara China yang pergi ke Malaysia berbanding tempoh yang sama tahun lepas, termasuk pelancong berkumpulan dan pelancong bebas," jelas Dun Jidong , seorang pengurus pemasaran kanan di Ctrip.com.
Tiga agensi pelancongan terkemuka, China Travel Service International , China Youth Travel Service dan BTG International Travel and Tours, telah turut melaporkan penurunan yang sama.
"Kesan ini telah merebak ke kebanyakan destinasi di Asia Tenggara," kata seorang ejen pelancongan China International yang enggan namanya disiarkan.
"Banyak pakej pelancongan kami melibatkan Malaysia dan Thailand, dan orang enggan melancong ke sana bukan sahaja kerana kehilangan pesawat ini, tetapi juga disebabkan pergolakan politik di Thailand."
Tetapi di sebuah resort di Kota Kinabalu, ibukota negeri Sabah di timur laut Malaysia, perniagaan tidak terjejas, sekurang-kurangnya buat masa ini, kata seorang pekerja di situ.
China adalah sumber ketiga terbesar pengunjung ke Malaysia, di mana pelancongan adalah penyumbang keenam terbesar keluaran dalam negara kasar.
Luo Juan, seorang penganalisis kanan dengan syarikat penyelidikan pasaran Forward Information, meramalkan ketibaan warga China tahun ini akan menurun dari 20 hingga 40 peratus, iaitu dari 400,000 ke 800,000 pelancong.
Jika setiap pelancong membelanjakan purata sebanyak 10,000 yuan semasa melancong ke sini, jumlah kerugian keseluruhan boleh meningkat kepada 4 hingga 8 bilion yuan, jelas Luo.
"Sebarang pemulihan mungkin hanya dapat dilihat selepas kira-kira satu tahun," katanya.
Namun kesan gesaan boikot terhadap industri ini belum lagi dapat dilihat.
Pencarian pesawat Boeing 777 MAS yang ini mungkin menjadi usaha yang paling mahal dalam sejarah penerbangan, menurut pakar-pakar di China.
Seharusnya pihak berkuasa Malaysia mesti kembali kepada asas untuk membendung kemarahan dan kekecewaan yang semakin meningkat – dengan cara diplomasi dan ketelusan, dimulai dengan pengumuman kandungan kargo MH370 sepenuhnya.
Apa sebenarnya yang disembunyikan MAS dan kerajaan dari rakyat? Bertindaklah dengan ikhlas, demi rakyat dan negara. - sumber

1 comment:

  1. Bagus la orang China nak boikot kurang ayam2 dari sana masuk malaysia...

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa