Tuesday, September 30, 2014

Keluar Malaysia: Akta Hasutan gagal Di Sabah dan Sarawak?

Atau hanya dalang saja yang beriya-iya?
Pada aku mereka hanya memberi tekanan dan desakan kepada Putrajaya
Mereka inginkan sesuatu yang lebih?

Di Sabah dan Sarawak, Akta Hasutan gagal sekat desakan keluar Malaysia
Published: 30 September 2014 | Updated: 30 September 2014 11:16 AM
Datuk Jeffrey Kitingan bercakap kepada hadiri pada forum Kaji Semula Perjanjian Malaysia 1963 anjuran pertubuhan bukan kerajaan Negara Ku, di Kuala Lumpur, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Zhafri Azmi, 30 September, 2014.

Semakin ramai rakyat Malaysia Timur menandatangani petisyen menuntut supaya Sabah dan Sarawak dipisahkan daripada Malaysia walaupun diancam dengan dakwaan hasutan, kata ahli politik Sabah dalam forum malam tadi.
Datuk Jeffrey Kitingan berkata, petisyen kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mampu membuka jalan kepada satu pendengaran sama ada Sabah dan Sarawak berhak untuk mentadbir sendiri kini sudah mendapat 20,000 tandatangan.
Petisyen itu masih diteruskan walaupun polis melancarkan siasatan terhadap kumpulan lain yang mengumpul petisyen secara atas talian bagi menentukan sama ada Sabah dan Sarawak perlu meninggalkan Malaysia.


Kitingan berkata, siatasan polis itu sebaliknya mencetuskan lagi kebangkitan di kalangan rakyat biasa Sabah dan Sarawak.
"Situasi tidak seperti 20 tahun lalu. Lihat saja di Internet dan media sosial.
"Anak muda tidak takut ditahan kerana mereka percaya sesuatu mesti dilakukan.
"Daripada cuba menimbulkan ketakutan, Putrajaya perlu dengar suara mereka dan faham kenapa rakyat Sabah dan Sarawak tidak gembira dan tidak puas hati," katanya yang juga pesiden parti pembangkang, Parti Pembaharuan Negeri Sabah (STAR).
Beliau berkata sedemikian kepada pemberita selepas forum "Kaji Semula Perjanjian Malaysia 1963" yang dianjurkan gerakan Negara Ku di Kuala Lumpur, malam tadi.
Turut menjadi penceramah Felo Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas) Dr Helen Ting dan bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Tan Sri Simon Sipaun.
Walaupun perbincangan mengenai pemisahan dianggap sebagai perbuatan menderhaka, tetapi beberapa tahun kebelakangan ini kebangkitan sentimen nasionalis timbul di kalangan Malaysia Timur yang melihat cara Sabah dan Sarawak dilayan dan diketepikan Putrajaya.
Salah satu kumpulan di laman sosial Facebook yang mendesak agar satu kajian semula dibuat terhadap Perjanjian Malaysia 1963 adalah Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM).
Pada 3 September, polis Sabah berkata siasatan terhadap kumpulan itu dijalankan mengikut Akta Hasutan 1948 dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
SSKM dituduh cuba mendorong perpecahan kaum dan mengganggu ketenteraman awam.
Kitingan bagaimanapun mempertahankan kumpulan itu yang dilihatnya cuma mengendalikan petisyen secara "atas talian".
Laman sesawang kumpulan itu menyatakan tujuan kempen itu adalah untuk melihat kerajaan sendiri yang lebih baik bagi Sabah dan Sarawak.
Kitingan juga mengetuai kempen yang seakan sama melalui Yayasan Warisan Borneo dan Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak.
Kempen ini bertujuan mengumpul tandatangan sebagai petisyen kepada PBB. Jika berjaya ia akan membawa kepada cadangan sama ada Sabah dan Sarawak dibenarkan membuat keputusan sendiri terhadap masa depannya dengan Malaysia.
Katanya, petisyen itu mensasarkan 300,000 tandatangan, kini hanya ada 20,000 tandatangan saja.
"Ramai orang menandatanganinya walaupun ditakutkan dengan siasatan hasutan," katanya.
Tinjauan The Malaysian Insider pada Julai lalu turut menunjukkan perasaan untuk berpisah di kalangan rakyat Sarawak adalah tinggi, manakala rakyat Sabah secara umumnya mahu lebih banyak kuasa autonomi dan mahu memerintah sendiri.
Kemarahan itu berpunca daripada Putrajaya yang tidak memenuhi terma perjanjian Malaysia 1963 yang membawa Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak membentuk kerajaan Persekutuan.
Rungutan lain adalah Putrajaya tidak memberikan peruntukan dana yang adil kepada Sabah dan Sarawak walaupun hampir semua keuntungan petroleum disalurkan kepada kerajaan pusat.
Mengikut perjanjian tersebut, Sabah dan Sarawak sepatutnya mendapat lebih kuasa autonomi dalam sektor kewangan, pendidikan, perkhidmatan awam dan hal ehwal agama.
Di Sabah, kemarahan penduduk tempatan timbul apabila mereka percaya Umno cuba mengubah demografi negeri dengan memberikan kad pengenalan kepada masyarakat Islam daripada Filipina dan Indonesia.
Kitingan pada ceramahnya malam tadi mencadangkan Putrajaya mempertimbangkan cadangan merangka perjanjian Malaysia baharu yang memberi lebih banyak hak pemerintahan sendiri kepada Sabah dan Sarawak.
"Kami mahu penstrukturan semula Perjanjian Malaysia. Kami tidak mahu keluar. Tetapi jika kamu tidak mahu bekerjasama maka kami terpaksa pergi ikut cara kami sendiri," katanya.
bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Tan Sri Simon Sipaun berkata Sabah dan Sarawak patut kekal dalam Malaysia, tetapi wajar mendapat layanan sempurna. – Gambar The Malaysian Insider oleh Zhafri Azmi, 30 September, 2014. 

Sipaun bagaimanapun bersikap optimis apabila berkata ada ruang penambahbaikan dan jalan penyelesaian terhadap masalah dan rasa tidak puas hati yang diluahkan rakyat Malaysia Timur.
"Pandangan saya adalah jika kita berpisah, keadaan menjadi lebih buruk. Sekarang ini terlalu banyak pendatang tanpa izin di Sabah dan tidak ada peruntukan undang-undang yang boleh memisahkan Sabah Sarawak.
"Saya percaya kita patut kekal dalam Malaysia. Apa yang kita perlukan cuma layanan yang adil," katanya.
Manakala Ting pula mempertikaikan tindakan Putrajaya menyokong pemimpin Sabah dan Sarawak yang menghalang penduduk tempatan bersuara mempertikaikan isu autonomi.
"Contoh jelas apabila kerajaan pusat menyokong pemimpin negeri yang menentang pemimpin lain yang dianggap pemberontak.
"Ini menimbulkan suasana dimana pendatang asing dibenarkan masuk dan diberi kewarganegaraan segera walaupun diprotes penduduk tempatan.
"Sedangkan ada lagi masyarakat pedalaman di Sabah tidak memiliki kad pengenalan ketika pendatang asing ini bebas berjalan dengan berstatus kewarganegaraan Malaysia," katanya. – 30 September, 2014.

2 comments:

  1. sabah sarawak keluar malaysia ??

    Jika sabah dan sarawak keluar malaysia, tidak akan ada lagi nama Malaysia, yg ada hanya semenanjung atau Malaya , it's ok ..

    jika sabah sarawak keluar malaysia, perlembagaan juga akan terbubar !

    jika perjanjian Malaysia di bubarkan, maka perlembagaan juga akan dibubar kerana perlembagaan yg ada sekarang merangkumi sabah dan sarawak, maka buatlah perlembagaan yg hanya khusus untuk Malaya !

    tanpa sokongan sabah dan sarawak , tanpa adanya sabah dan sarawak , maka selamat berfikir penduduk Malaya ..

    ReplyDelete
  2. Sesuatu perlu dilakukan demi kebaikan Malaysia dan kelangsungan negara ini. Perjanjian Malaysia memang sebetulnya perlu disemak semula ketika keluarnya Singapura lagi kerana perjanjian itu ditandatangani 4 kerajaan. Ketika Singapura keluar, Malaysia tinggal 3 wilayah saja yang semuanya hampir sama besar dari segi saiz. Ketika Semenanjung memiliki 11 bahagian bertaraf negeri, Sabah dan Sarawak sebesar itu hanya terdiri dua negeri yang tingkat heirarkinya sama seperti negeri-negeri di Semenanjung. Ini sesuatu yang merugikan bagi Sabah dan Sarawak itu sendiri. Padahal 5 residensi awal di Sabah dan 7 bahagian pentadbiran terawal di Sarawak seharusnya dapat peruntukan langsung dari pusat sebagaimana 11 negeri di Semenanjung, bukannya melalui Kuching dan Kota Kinabalu. Juga, setiap bahagian itu seharusnya miliki autonomi untuk membangunkan bahagian masing-masing tanpa perlu menunggu pembangunan yang dibawa dari ibunegeri masing-masing. Setiapa bahagian di sana seharusnya miliki kabinet masing-masing sama seperti kebinet negeri di semenanjung supaya pembangunan lebih cepat sampai ke kawasan-kawasan yang lebih kecil. Sabah dan Sarawak seharusnya kekal bertaraf wilayah yang didalamnya ada pecahan unit kecil bertaraf negeri sama seperti di Semenanjung. Ketiga-tiga wilayah ini seharusnya ada autonomi wilayah masing-masing seperti dalam hal imigresen

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa