Tuesday, March 31, 2015

Perlukah GST di Malaysia?

GST tidak perlu di Malaysia
March 30, 2015
Tuan Ibrahim Tuan Man menyuarakan pendapat beliau mengenai pelaksanaan GST di Malaysia melalui surat terbuka yang disiarkan di Harakahdaily.
COMMENT
GST calculator
Salah guna
Melihat rakyat marhaen berpusu-pusu memasuki pasaraya membeli pelbagai barangan keperluan dengan kuantiti yang banyak pada hujung minggu yang lalu menggambarkan kerisauan yang mendalam di kalangan rakyat terhadap GST.
Situasi tersebut adalah sama seperti yang disaksikan di stesen minyak pada malam terakhir sebelum harga diumumkan naik pada hari keesokannya.
Fenomena ini menunjukkan rata-rata pembeli merasakan harga barangan akan meningkat selepas 1 April ini.
Majoriti negara di dunia ini melaksanakan GST sebagai sumber pendapatan.
GST tidak pernah diperlukan selama ini di negara kita kerana negara Malaysia sebenarnya kaya dengan sumber asli.
Sejak zaman Pak Lah sehinggalah sekarang, kita mula kedengaran hutang negara menjadi semakin meningkat menghampiri 55% GDP.
Kita mula mendengar penyelewengan dan salah guna dana awam yang semakin meruncing setiap tahun di dalam laporan audit tahunan.
Samar-samar cari jawapan
Selepas itulah, baru kita terdengar negara Malaysia tiba-tiba memerlukan GST untuk memperbetulkan defisit kewangannya.
Ketika rakyat masih samar-samar mencari jawapan, tanpa sedar, GST bakal menemui rakyat Malaysia dalam dua hari lagi.
Persoalannya, apakah negara sudah bersedia dengan GST?
Apakah kerajaan sudah melakukan persiapan yang cukup dan melakukan simulasi terhadap apa yang akan berlaku bilamana GST terlaksana?
Jika ya, apakah impak kepada rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana (RM5,000 ke bawah)? Apakah kesannya kepada hutang seisi rumah? Tanpa GST, rata-rata rakyat marhaen sudah hidup dalam keadaan hutang sekeliling – bagaimana pula selepas GST?
Bagaimana pula dengan golongan pencen dan tua? Apakah kerajaan sudah membuat simulasi kesan GST terhadap mereka? Apakah semua ini sudah dikaji, dan daripadanya terhasil satu tindakan susulan untuk membantu mereka selepas GST terlaksana?
Selain itu, apakah kerajaan sudah membuat simulasi kadar inflasi untuk 3, 6 dan 12 bulan seterusnya sejurus GST dilaksanakan? Jika ya, sekadar pertanyaan, apakah kerajaan sudah ada satu pelan tindakan sekiranya kadar inflasi melebihi kadar yang dijangkau kerajaan untuk mengelakkan rakyat tertekan dan terbeban?
GST yuran universiti
Bukan itu sahaja, apakah GST akan menyebabkan peningkatan kadar penggangguran kerana mungkin ada perniagaan-perniagaan bermodal sederhana yang terpaksa mengurangkan kakitangan untuk menampung kos perniagaan yang meningkat kerana GST? Apakah kerajan sudah melakukan simulasi terhadap situasi ini? Jika ya, apakah hasilnya?
Ada juga yang tertanya-tanya mengenai kesan GST pada yuran di universiti awam? Apakah pelajar yang sedang mengaji perlu membayar 6% tambahan kepada pemprosesan yuran universiti dan apa-apa kos pentadbiran universiti yang lain termasuk bayaran peperiksaan dan juga graduasi?
Bagaimana pula dengan pihak PTPTN, apakah kerajaan sudah mengkaji apakah wajar pelajar diberikan pinjaman tambahan untuk menampung kos kehidupan mereka selepas GST terlaksana?
Apakah saluran sudah disediakan untuk para konsumer yang menjadi mangsa untuk mendapatkan pampasan sekiranya mereka terbayar GST kepada barangan yang sepatutnya dikecualikan GST? Bagaimanakah para konsumer boleh mengetahui samada mana-mana satu kedai boleh mengenakan GST mahupun tidak? Bagaimana pihak kastam dapat memantau kutipan GST haram daripada mereka yang tidak layak mengenakan GST?
Pokoknya, apakah kita sebagai satu negara sudah bersedia dengan GST?
Tangguh 6 bulan
Maaf. Sebagai rakyat Malaysia, saya rasa tidak lagi bersedia. Dan saya yakin ramai lagi yang bersetuju dengan saya.
Saya percaya ramai rakyat biasa hanya sekadar bersedia dan tahu mereka terpaksa berbelanja lebih apabila GST terlaksana tanpa mengetahui apa-apa yang lain dan kesannya.
Kerajaan pula dilihat hanya menyibukkan diri untuk menyakinkan rakyat bahawa GST tidak akan menyebabkan peningkatkan kos sara hidup daripada tugas untuk memastikan perlaksanaan GST tidak bermasalah.
Melihat bagaimana kerajaan tiba-tiba tidak mengenakan GST pada buku pada saat-saat akhir sebelum melaksanakan GST menyakinkan saya lagi bahawa kerajaan masih tidak bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan GST.
Saya merasa perlunya untuk kerajaan melaksanakan tempoh percubaan GST selama tiga bulan, contohnya di Langkawi, untuk menilai keberkesanan sistem GST yang ada sebelum ia dilaksanakan di seluruh negara.
Kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, inilah masanya untuk mendahulukan rakyat. Jangan perjudikan nasib rakyat dengan pelaksanaan GST yang masih tidak menentu dan stabil.
Oleh itu, saya memohon agar kerajaan menangguhkan perlaksanaan GST sekurang-kurangnya untuk 6 bulan untuk memastikan segala impak pada negara dan rakyat dapat diminimumkan. Lebih baik jika kerajaan dapat memansuhkannya sahaja dan fokus kepada usaha menangani rasuah dan ketirisan dengan cara lebih efektif.
Tuan Ibrahim Tuan Man adalah Naib Presiden Pas dan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang

1 comment:

  1. Tuan ini sudah lambat

    Saja nak tunjuk baik dan tunjuk ada Otak sayangksn rskyat

    Budak Tidak Cerdik , ke mana pun pergi boleh tahu pemikiran nya.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa