Monday, March 30, 2015

Polis suburkan sokongan kepada PR?

Tindakan Tegas Polis, Arahan Siapa Sebenarnya?

Sejak dua tiga hari lalu berita penahanan beberapa pemimpin pembangkang telah menjadi tajuk perbualan ramai di merata tempat. Ini berikutan kali ini mereka yang ditahan agak ramai berbanding sebelumnya, di samping cara penahanan dan layanan yang diterima turut menjadi perdebatan.

Selain Rafizi, Tian Chua, Hishammudin Rais dan Fariz Musa daripada PKR yang ditahan. Mohamad Sabu dan Khalid Samad daripada Pas juga turut ditangkap.


Mohamad Sabu ditahan di Pulau Pinang menjelang demonstasi Kita Lawan Sabtu lalu dan dilepaskan kira-kira 23 jam kemudian dan dilaporkan tiada soal siasat atau keterangan diambil daripadanya. Beliau barangkali cuma mahu "direhatkan" di balai polis daripada menyertai demontasi itu.

Khalid Samad ditahan setelah pihak polis berkunjung ke rumahnya pada jam 3.20 pagi selepas demonstrasi Kita Lawan berakhir. Tetapi perintah reman yang dipohon pihak polis terhadapnya telah ditolak oleh mahkamah.

Rafizi yang ditahan kerana menghasut berkaitan demontrasi dan seruan untuk membebaskan Anwar Ibrahim yang ditafsirkan pihak polis sebagai ancaman, selain digari tangannya bahkan juga dibawa ke pejabat PKR untuk diambil beberapa fail dan komputer untuk membantu siasatan. Begitu juga dengan yang lain-lain daripada PKR.

Dalam kes penangkapan paling ramai melibatkan pemimpin pembangkang sejak Anwar dipenjarakan, mereka ditahan sama ada di bawah Akta Hasutan atau pun perhimpunan haram.

Tetapi penahanan dan penangkapan yang agak ramai dan sedikit luar biasa kaedahnya ini menimbulkan banyak persoalan kepada rakyat. Dalam kes Khalid Samad misalnya, agak janggal pihak polis datang dengan jumlah yang ramai di awal pagi ke rumahnya sedangkan atas kedudukannya sebagai Ahli Parlimen, lebih mudah dan molek jika pihak sekadar menghubungi dan memintanya datang ke balai polis saja.

Ramai yang bertanya, apakah semua ini hanya merupakan pendirian tegas pihak polis yang kini diketuai oleh KPN, Khalid Abu Bakar saja? Jika itu benar, mereka turut bertanya, kenapa hanya sekarang tiba-tiba mahu bertegas sedangkan sebelum ini tidak demikian?

Ada juga yang mengaitkan tindakan pihak polis ini adalah atas arahan Perdana Menteri yang dikatakan mahu menunjukkan ketegasannya serta tidak mahu berlembut lagi sepertimana yang dilakukannya sebelum ini?

Dikatakan bahawa bermula dengan pemenjaraan Anwar dan kini penahanan sekian ramai pemimpin pembangkang, ia adalah isyarat Najib tidak mahu bertolak ansur lagi terhadap pembangkang selepas ini.

Sebahagian yang lain pula mengatakan tindakan pihak polis ini adalah  atas arahan Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi untuk menunjukkan ketegasan dan tiada simpatinya terhadap Anwar Ibrahim dan para penyokongnya.

Beliau dipercayai oleh banyak pihak terpaksa berbuat demikian untuk mematikan segala sesok-sosek dalam UMNO yang masih berterusan mengaitkannya mempunyai perasaan yang sukar dilupakan terhadap Ketua Pembangkang itu.

Zahid didakwa melakukannya semata-mata kerana survival dan untuk memastikan laluan kerjaya politiknya lebih cerah di masa depan.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar juga dilaporkan bersungut kepada seorang bekas Ahli Parlimen yang mengunjunginya di Sungai Buloh baru-baru ini bahawa Zahid Hamidi sebagai Menteri Dalam Negeri turut bersikap lebih tegas mengenai layanan dan kemudahan yang diterimanya di penjara itu.

Anwar menyebut bahawa berbanding ketika beliau di penjara sebelum ini iaitu ketika Tun Mahathir menjadi Menteri Dalam Negeri dan beliau lebih dianggap "musuh utama" kepada bekas Perdana Menteri itu, apa yang dilaluinya di penjara sekarang jauh lebih sukar lagi.

Tetapi ramai juga yang beranggapan pemimpin pembangkang sengaja membuat provokasi atau tindakan yang membolehkan mereka ditahan bagi menimbulkan kemarahan rakyat dan seterusnya melimpahkan simpati kepada perjuangan PR.

Dalam hal ini  selain dikatakan pihak polis termakan dengan strategi mereka, ia juga selari dengan apa yang Anwar pernah ucapkan sebelum ini bahawa pemenjaraannya akan menyebabkan sokongan rakyat kepada PR meningkat daripada 52 kepada 60 peratus.

Namun yang agak nakal lantas berkata, ini tandanya pihak polis turut menyokong PR. (SH 30/03/2015)

1 comment:

  1. Baru dapat tengok bebudak buat kerja , kalau tak lepak lepak jer boncit kan perot....

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa