Tuesday, October 27, 2015

Apa pulak ni.......buat malu jer?

Laporan antarabangsa senaraikan dakwaan salah guna kuasa Putrajaya 
Published: 27 October 2015 10:30 AM
Pemantau hak asasi berpangkalan di New York Human Rights Watch (HRW) hari ini menerbitkan  laporan mendokumenkan dakwaan salahguna undang-undang Putrajaya yang menjenayahkan hak bersuara, sekali gus mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhenti menangani kritikan terhadapnya sebagai satu jenayah.

Berjudul 'Creating a Culture of Fear: The Criminalisation of Peaceful Expression in Malaysia', laporan sebanyak 145 halaman itu mendakwa Najib berulang-ulang kali memungkiri janjinya bagi menghapuskan undang-undang bersifat menekan dan kuku besi serta mengingatkan perdana menteri akan ikrarnya bagi "menegakkan kebebasan sivil" sewaktu memulakan tugas pada April 2009.
HRW berkata, pentadbiran Najib terutamanya sejak 2013, menggunakan undang-undang terlalu kabur serta luas perkataannya bagi "mengganggu, menyiasat dan menahan" individu yang bersuara secara aman.
Tahap tekanan itu meningkat sejak lewat pertengahan tahun lepas sewaktu kritikan orang ramai terhadap layanan Putrajaya kepada bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini menjalani hukuman penjara kerana dituduh meliwat, dan perancangan melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dikuatkuasakan pada April tahun ini, berlangsung.
HRW juga maklum akan "skandal rasuah menjadi-jadi" melibatkan syarikat milik negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang menyaksikan Putrajaya menyekat laman sesawang dan menggantung akhbar yang membuat liputan skandal itu.
Sewaktu taktik ini dilaksanakan, Putrajaya turut mengumumkan rancangan mengeraskan lagi undang-undang yang menyelia penggunaan Internet.
Laporan itu yang disusun meliputi tempoh lebih dari setahun bermula Mac 2014 sehingga bulan ini mendapati, media, pertubuhan sivil, serta pengguna media sosial dan ahli politik pembangkang menjadi sasaran.
Laporan itu berdasarkan analisis undang-undang seperti Akta Hasutan, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Perhimpunan Aman, dan pelbagai peruntukan di bawah Kanun Keseksaan.
HRW turut menyerlahkan pola tekanan seperti salah guna proses perundangan dengan tangkapan lewat malam, perintah reman yang tidak wajar dan pendakwaan terpilih.
Pengarah HRW Asia Brad Adams berkata, kerajaan Malaysia memperolok-olokkan perakuan hak asas dan demokrasi dengan melayan kritikan terhadapnya sebagai jenayah.
"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan Malaysia berulang kali memungkiri janjinya bagi menyemak semula undang-undang yang menjenayahkan kebebasan bersuara secara aman.
Sebaliknya, Malaysia bertindak sewenang-wenangnya dengan mendakwa mereka yang berbeza pendapat dengannya," katanya dalam kenyataan yang mengiringi laporan itu.
HRW juga menulis kepada Kementerian Dalam Negeri, peguam negara, ketua polis negara dan pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berkenaan pandangan mereka yang dibangkitkan dalam laporan itu, namun tiada sebarang maklum balas diterima.
Dalam cadangannya, HRW menggesa agar Akta Hasutan dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dimansuhkan, dan Akta Komunikasi dan Multimedia menyahsenaraikan ucapan yang menyinggung sebagai jenayah.
Undang-undang Malaysia katanya, sewajarnya konsisten dengan piawaian antarabangsa berkaitan kebebasan bersuara.
HRW juga mencadangkan kepada jabatan peguam negara agar semua siasatan dan dakwaan di bawah Akta Hasutan digugurkan.
Putrajaya juga wajar menggugurkan rayuan mereka kepada Mahkamah Tinggi yang menolak penggantungan The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily berhubung laporan mereka mengenai 1MDB.
HRW juga mempunyai mesej berikut kepada ketua polis negara: berhenti memberikan arahan menerusi media sosial untuk melakukan siasatan berdasarkan tweet, status Facebook dan kandungan lain media sosial.
Polis juga harus berhenti melayan perhimpunan aman sebagai “aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen” dan menambah Seksyen 124B dan 124C tidak seharusnya digunakan sebagai asas untuk menahan peserta perhimpunan aman.
SKMM pula digesa agar menarik balik sekatan terhadap laman sesawang Sarawak Report dan berhenti menggunakan Akta Komunikasi dan Multimedia bagi mengekang perbincangan berkenaan 1MDB.
Menurut HRW, Malaysia juga memerlukan undang-undang mengenai kebebasan maklumat di mana maklumat kerajaan harus didedahkan melainkan terdapat alasan kukuh yang selari dengan undang-undang hak asasi manusia untuk tidak mendedahkannya kepada pengetahuan umum.
HRM menambah, Malaysia juga harus menandatangani dan memperakui konvensyen antarabangsa tentang hak sivil dan politik, pemansuhan diskriminasi kaum dan berhubung mempertahankan dan mempromosikan hak pekerja asing.
HRW turut maklum sidang kemuncak Asean akan berlangsung bulan hadapan dan menggesa pemimpin negara lain yang menghadiri agar mendesak Malaysia melakukan reformasi hak asasi manusia. – 27 Oktober, 2015.

2 comments:

  1. Sudah macam MALAYANMAR kan

    Bahalol !!!!!

    ReplyDelete
  2. Berita di atas sangat menggerikan. Sakit kepala kalau memikirkan. Tak tahu nak buat macam mana dah. Tak tahu siapa boleh tolong memulihkan keadaan supaya jadi elok semula agar tenteram perasaan ini.

    Sebenarnya terjadinya bermacam2 bala bencana ini adalah dari hasil kerja manusia jugak. Selama puluhan tahun buat kerja2 memangkah atau memilih pemimpin, sudah diberitahu ciri2 pemimpin yang macam mana harus dipilih. Mereka tetap pilih jugak pemimpin yang buruk. Sampai sanggup bergaduh dan memaki hamun kerana mempertahankan pilihan hatinya.

    Hari ini pokok yang mereka tanam sudah berbuah lebat. Silakan ambil dan makanlah puas2. Rupa2nya buah itu pahit lagi bikin sakit. Sampai tak sempat kaya kerana asyik habis duit berubat saja. Ada yang menyesal dan ada yang terima saja nasib badan jadi macam itu.

    Maka hal yang berlaku hari ini adalah hasil kerja tangan kita jugak. Janganlah buat2 tergejut kalau jadi begitu dan begini. Bukankah kita sendiri yang pilih mahu jadi macam ini. Kita sanggup mati pertahankan kuasa bangsa kita kononnya.

    Nabi tak ajar pun bab bangsa2 ini. Baginda suruh pilihlah orang yang beriman dan bertakwa menjadi imam. Baginda ajarkan imam magrib kena ganti serta merta kalau batal. Nabi kata, pak iman tak jatuh sikit pun maruahnya jika datang balik masuk saf magrib. Masuk je isyak nanti jadi imam baliklah.

    Pak imam yang nak jadi imam solat insyak terketar2 kerana takut terbatal lagi atau takut ada makmum tak reda. Dia pun merayu2 kepada mana2 jemaah agar gantikan dia jadi imam. Tapi makmum tetap pilih dia. Tetap hormat dan sayang dia.

    Macam inilah sifat pemimpin sejati. Mereka takut pada Allah dan takut pada manusia. Kalau ada sorang pun makmum tak reda pada tok imam tadi maka jatuhlah laknat Allah padanya. Jadi, jangan ingat jadi tok ketua itu mulia sangat. Jangan ingat jadi menteri itu hebat sangat. Kau silap sahaja, nerakalah tempatnya. Apa lagi yang menipu rakyatnya maka tidak sekali2 berbau syurga.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa