Thursday, October 29, 2015

Guru besar hilang: Kesian, apa masalah dia ni?

Guru besar hilang ketuk pintu minta makan
28 OKTOBER 2015

KUALA KUBU BHARU - Selepas enam hari dilaporkan hilang, guru besar Sekolah Kebangsaan Taman Keramat Satu, Jashiah Rabu, dikatakan pernah beberapa kali meminta makanan daripada penduduk Kampung Orang Asli Buluh Telur di sini.
  
Anak ketiga mangsa Mohamad Irfan Ruzilan, 20, yang turut menyertai operasi mencari dan menyelamat, berkata beberapa penduduk kampung menyatakan ibunya mengetuk pintu rumah penduduk untuk meminta makanan.
  
"Mereka kata ibu pernah ketuk pintu rumah pada sebelah malam meminta makanan...malangnya mereka hanya memberikan makanan tetapi tidak tahu ibu sebenarnya hilang dan tidak sihat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
  
Jashiah, 53, kali terakhir dilihat jiran keluar dari rumahnya petang Jumaat lepas, dan apabila suaminya Ruzilan Omar, 57, pulang didapati pintu rumah terbuka dan Jashiah tiada di rumah.
  
[ARTIKEL BERKAITAN: Guru besar sekolah hilang sejak enam hari lalu]

Difahamkan, Jashiah menghala ke kawasan hutan simpan Bukit Kutu selepas keluar daripada rumahnya di Taman Seri Seruling dengan berjalan kaki dan  menumpang kereta orang lain kira-kira 10km.

Mohamad Irfan berkata selepas mengetahui ibunya hilang, dia segera pulang ke rumah pada Ahad lepas.
  
"Saya sepatutnya mengambil bahagian dalam Karnival Sukan Mahasiswa UiTM di Kedah tetapi saya tarik diri sebab nak cari ibu," katanya.
  
Beliau berkata sejak ibunya menjalani rawatan kimoterapi Mac lepas akibat barah payudara yang dihidapinya sejak dua tahun lepas, ibunya kelihatan murung dan pernah menghilangkan diri pada Ogos lepas, dan ditemui di Seremban.
  
"Ibu memang sedikit emosi selepas menjalani rawatan kimoterapi apatah lagi apabila kami adik-beradik masing-masing sudah bekerja dan belajar, dan hanya pulang sekali sekala.
  
"Ibu pernah hilang sehari dan ditemui di Seremban dengan memandu keretanya," kata Mohamad Irfan yang kali terakhir berbual dengan ibunya menerusi telefon, sehari sebelum Jashiah dilaporkan hilang.

Mohamad Irfan berkata ibunya sudah tidak ke sekolah sejak Mei lepas, dan perkara berkaitan tugasan, guru lain akan datang ke rumah.
  
"Ibu bertugas di Sekolah Kebangsaan Taman Keramat Satu dan tinggal di kuarters bersama ayah yang merupakan pesara tentera...seminggu sekali ibu dan ayah akan pulang ke rumah kami di Taman Seri Seruling," katanya.
  
Menceritakan mengenai sifat Jashiah, Mohamad Irfan berkata ibunya merupakan seorang yang ceria dan suka berbual serta berkongsi cerita dengan mereka empat beradik.
  
"Kalau kami balik rumah bawa makanan, ibu kelihatan berselera menjamah makanan yang kami bawa," katanya.
  
Anak sulung mangsa Mohamad Syahidzul Izuan Ruzilan, 22, pula berkata kali terakhir dia bertemu ibunya sebulan lepas, sebelum bertolak ke Pulau Pangkor, Perak memulakan tugas di tempat baharu.

"Ibu beri saya duit untuk beli barang dan pakaian. Sebelum ini saya bekerja di Kajang dan tinggal di Kajang," katanya.
  
Seorang penduduk kampung yang hanya mahu dikenali sebagai Zamri yang turut menyertai operasi berkata pada Sabtu lepas, iparnya ada memberikan makanan kepada mangsa.
  
"Ipar saya kata Jashiah meminta makanan dan kemudian meminta untuk dihantar ke kawasan berhampiran hutan simpan (Bukit Kutu)," katanya.
  
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt R. Supramaniam berkata lokasi pencarian dibahagikan kepada utara, selatan, timur dan barat.    

"Untuk semalam, kita sudah buat pencarian di bahagian utara serta selatan dan hari ini, kita buat pencarian di bahagian timur dan barat.
  
"Tetapi setakat ini, tiada lagi sebarang petunjuk yang diperoleh. Saksi kejadian ada yang kata mangsa memberitahu ingin ke hutan simpan Bukit Kutu.
  
"Kita telah kumpulkan maklumat daripada tiga saksi di kawasan sekitar yang dipercayai dapat membantu kita dalam usaha pencarian," katanya.
  
Beliau berkata kes berkenaan setakat ini, diklasifikasikan sebagai orang hilang dan operasi pencarian masih diteruskan. - Bernama

3 comments:

  1. Ini semua kerja BON BON saja

    Ada lah orang tak suka dengan Guru Besar macam standard saja

    Bila hidup lurus bendol , banyak masalah orang tak suka....

    Kena jadi macam Budak Baru tu....

    Ambo pening doh !!!!!

    ReplyDelete
  2. Simpati pada keadaan guru besar itu, menghadapi keadaan murung selepas menjalani pembedahan. Bukannya satu perkara yang mudah bagi ramai kaum wanita, apabila mendapati dirinya telah kekurangan aset yang dianugerah dan dimiliki selama ini, tiba-tiba telah tiada lagi. Apakah tiada khidmat kaunseling pasca pembedahan itu? Apakah respon terhadapnya oleh ahli keluarga dan rakan di tempat kerja atau jiran-jiran? Seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena atau terdapat kekurangan sokongan telah mengganggu jiwanya.

    ReplyDelete
  3. Marilah kita sama2 doakan agar Puan Jashiah selamat kembali kpd keluarga. Simpati dari saya untuk seisi keluarga Puan Jashiah. Semoga dikurniakan Allah dgn kesabaran.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa