Monday, November 30, 2015

Stopa Ali sengaja buat senongeh atau nak sorok pekung?

Desakan Cikgu Pa

Saya agak hairan dengan desakan Cikgu Pa untuk saya menceritakan kisah pertemuan PAS dan UMNO yang telah berlangsung selepas sahaja menerima keputusan PRU ke 12 pada 2008. Ianya kisah lama dan telah pun saya ceritakan berkali-kali. Saya turut merujuk kepadanya dalam blog saya melalui beberapa tulisan.

Kisah 2014 semasa krisis MB Selangor lebih jelas niatnya dan ianya jauh lebih releven berhubung dakwaan Husam. Itu yang saya maksudkan apabila saya sebut bahawa dakwaan Husam lebih berhubung peristiwa 2014 berbanding yang berlaku pada 2008. Peristiwa 2008 ditimbulkan Husam sekadar untuk membuktikan bahawa usaha untuk berbaik dengan UMNO telah wujud semenjak 2008. Dari sudut itu, tiada siapa yang boleh menafikan. Adakah Cikgu Pa cuba menafikannya? Atas kehendak itu juga timbulnya cadangan UG kemudiannya dan berlakunya perbalahan antara Almarhum TGNA dan beberapa pimpinan PAS pada 2009. Cikgu Pa sudah pasti masih ingat.

Namun atas permintaan ramai, termasuk Cikgu Pa sendiri, saya kisahkan kembali peristiwa 2008 tetapi dalam format menjawab soalan yang ditimbulkan oleh Cikgu Pa. Itu pun mengikut apa yang saya masih ingat. Setakat maklumat yang saya terima, Cikgu Pa minta saya jelaskan tiga persoalan seperti berikut:

1. SIAPA YANG MINTA UNTUK BERJUMPA?

Saya sejujurnya tidak tahu siapa yang minta untuk berjumpa kerana saya tidak terlibat dari awal. Kami dimaklumkan bahawa pihak UMNO yang meminta untuk berjumpa, tetapi saya tidak mampu mengesahkan kebenaran maklumat tersebut. Yang sah adalah bahawa keputusan pilihan raya baru sahaja diumumkan pada waktu awal pagi, waktu petang sudah ada disusun pertemuan. Siapa yang minta bagi saya soalan kedua. Yang penting ianya dipersetujui dan ianya telah berlaku.

Sebenarnya pada asalnya saya tidak tahu menahu mengenai perjumpaan tersebut. Apa yang berlaku ialah pada pagi hari pertemuan itu saya menerima panggilan telefon memaklumkan bahawa pertemuan akan diadakan antara pimpinan tertinggi PAS dan pimpinan UMNO pada ketika itu, iaitu Pak Lah. Pak Lah merupakan PM pada ketika itu. Yang memberi tahu saya adalah salah seorang AJK PAS Pusat dan apabila ditanya apa matlamat di sebalik pertemuan tersebut, beliau lebih kurang menyebut, “tak sure, tapi dikhuatiri ada kemungkinan untuk menubuhkan kerajaan bersama UMNO/BN di Selangor! Kalau tidak setuju, lagi baik datang ke Pejabat PAS Pusat dan halang!”

Maka saya bergegas ke Pejabat PAS Jalan Raja Laut dan setibanya saya di situ telah berkumpul beberapa pimpinan AJK PAS Pusat. Saya bukan AJK PAS Pusat pada masa itu tetapi Ahli Lujnah Politik PAS Pusat.

Sambil menunggu ketibaan Ust Hadi yang datang dari Kedah khas untuk pertemuan itu, dilihat Dato Dr. Hassan Ali sudah tiba. Maka ditanya kepadanya adakah benar pertemuan dengan Pak Lah akan diadakan dan sekiranya benar, apa tujuannya. Dato Dr. Hassan Ali tidak jawab.

Akhirnya Ust. Hadi tiba dan persoalan pertemuan dibincangkan. Ramai juga membantah pertemuan itu diadakan lebih-lebih lagi sekiranya untuk membentuk kerajaan dengan UMNO/BN. Akhirnya dirumuskan supaya tetap perlu bertemu kerana sudah berjanji untuk bertemu. Siapa dan bila dijanji tidak pula dijelaskan. Akan tetapi senarai wakil yang pergi ditukar. Presiden diganti dengan Cikgu Pa, saya menggantikan Dato Dr. Hassan Ali kerana disebut “ada conflict of interest” dan Nasharuddin Mat Isa kekal sebagai salah seorang perwakilan.

2. KENAPA SANGGUP UNTUK BERJUMPA?

Setakat yang saya masih ingat, alasan utama untuk meneruskan perjumpaan, walaupun ramai yang membantah, adalah kerana sudah berjanji untuk berjumpa. Hanya dari sudut niatnya, saya tidak tahu niat yang lain, tetapi bagi saya niat saya adalah untuk menyatakan “NO” secara terang dan jelas kepada apa jua cadangan membentuk kerajaan bersama UMNO/BN di Selangor. Dan ianya sememangnya perjumpaan berhubung Selangor kerana yang hadir bersama Pak Lah adalah Khir Toyo, mantan MB Selangor.

Itu sebabnya mengapa dikatakan adanya‘conflict of interest’ untuk Dato Dr. Hassan Ali hadir bersama. Mungkin dikhuatiri beliau akan ditawarkan jawatan MB oleh Pak Lah sebagai sebahagian dari ‘package’ untuk ditubuhkan kerajaan bersama.

3. APA YANG DICADANGKAN DAN APA NATIJAH DARI PERBINCANGAN TERSEBUT?

Apabila bertemu kami dijamu dengan Nasi Beriani bungkus. Pak Lah makan sekali sambil Khir Toyo berperanan sebagai tuan rumah, melayani kami dengan penuh mesra. Sambil makan perbualannya lebih kepada persoalan-persoalan sampingan dan remeh atau small talk mungkin sebagai muqaddimah untuk menentukan semua merasa selesa.

Selepas makan kami berpindah ke ruang tamu dan perbincangan dimulakan. Pak Lah menyebut mengenai betapa bahayanya kedudukan kerajaan Negeri Selangor kerana DAP mempunyai 13 ADUN. Masalah ini, mengikut Pak Lah, perlu ditangani bersama demi kepentingan “Islam dan Melayu”. Saya melihatnya sebagai ayat muqaddimah ke arah persoalan kerjasama dan pembentukan kerajaan bersama antara UMNO dan PAS. Saya secara sepontan menjawab bahawa ‘bahaya’ itu amat mudah dihadapi. Saya minta Pak Lah pinjamkan 5 ADUN UMNO kepada PAS dan dengan itu PAS akan juga mempunyai 13 ADUN, sama dengan DAP!

Pak Lah tergelak mendengar permintaan saya. Dia menjawab, “mana boleh”, UMNO pun kena jaga kepentingannya. Saya jawab kembali bahawa kalau begitu maka ianya tidaklah sebahaya mana, kerana kalau benar-benar bahaya, sudah pasti Pak Lah akan setuju serta-merta!

Dengan itu saya secara pantas turut menyebut bahawa persoalan pembentukan kerajaan Negeri Selangor bersama UMNO/BN adalah sesuatu yang tidak mungkin diterima. Kenyataan saya itu terus membantutkan perbincangan dan jelas Pak Lah agak kesal dengan pendirian saya.

Pada perbincangan tersebut Nasharuddin tidak berkata walau sepatah. Jelas kehadiran saya tidak disenangi beliau. Akhirnya perjumpaan tersebut berakhir tanpa tercapainya apa-apa kecuali kami kenyang makan nasi beriani bersama mantan PM.

KESIMPULAN

Peristiwa 2008 berlaku dengan lebih banyak yang tersirat dari tersurat. Mungkin boleh dikatakan bahawa ianya semua persepsi. Atau, “UMNO yang minta berjumpa, apa salahnya berjumpa”? Atau, “Sekadar mendengar, bukan nak terima pun”. Akhirnya boleh dituduh ianya semua buruk sangka!

Tetapi perlu juga diambil kira bahawa surat persetujuan PAS untuk menerima Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai MB Selangor, saya difahamkan, tidak ditandatangani lagi pada ketika itu. Ianya hanya ditandatangani selepas perjumpaan dengan Pak Lah. Dan seterusnya menghasilkan pembentukan Pakatan Rakyat. Mungkin itu di antara natijah yang dimaksudkan Cikgu Pa.

Begitu juga perlu diambil kira pengalaman Ust. Ahmad Awang di Perak. Perbualan telefon beliau dengan seorang pimpinan PAS yang memohon supaya difikirkan kemungkinan membentuk kerajaan dengan UMNO/BN di Perak. Ianya berlaku pada masa yang sama.

Maka yang tersirat sudah agak jelas sekiranya dikaitkan semua fakta ini antara satu sama lain. Tiada bukti muktamad mampu dikemukakan mengenai niat sebenar disebalik pertemuan tersebut. Tiadanya bukti muktamad kerana ianya digagalkan, ia tidak menjadi. Dan apabila tidak menjadi maka tiada bukti kecuali dibaca apa yang tersirat.

Akan tetapi persoalan peristiwa 2014 amat jelas, bukan sekadar tersirat tetapi tersurat. Ini yang perlu didebat dan dibahaskan. Saya gesa Ust Hadi, sebagai Presiden PAS untuk tampil berdebat dengan Husam mengenai persoalan ini. Sebagai pemimpin, Ust Hadi perlu bersikap telus dan berterus terang dengan ahli dan masyarakat, samada benar usaha ke arah pembentukan kerajaan bersama UMNO/BN di Selangor telah beliau usahakan pada 2014.

Peristiwa 2008 berlaku 7 tahun yang lepas. Ianya sudah lama berlalu dan suasana sudah berubah. Kalau masih ingin dibahas, tiada masalah. Tetapi yang lebih penting, adalah yang lebih semasa. Debat berhubung usaha pembentukan kerajaan PAS/UMNO di Selangor pada 2014 perlu diadakan dengan kadar seberapa segera. Itu yang merupakan tumpuan dakwaan Husam.

Supaya kesemuanya akan dengan itu menjadi jelas dan nyata dn tiada yang ditipu atau dilalaikan dengan kata-kata manis sambil usaha sebaliknya dilakukan.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa