Tuesday, March 29, 2016

Undang Luak Johol dipecat

Undang Luak Johol dipecat, berkuat kuasa serta merta

 | March 28, 2016
Pemecatan dibuat secara sebulat suara oleh semua pembesar adat Luak Johol.
undang-luak-johor
SEREMBAN: Datuk Mohd Jan Abdul Ghani dipecat selaku Undang Luak Johol berkuat kuasa serta-merta semalam, melalui keputusan sebulat suara semua pembesar adat Luak Johol.
Orang Besar Balai, Datuk Jenang Zakaria Mohammad, berkata pemecatan dibuat selepas Orang Besar Balai Berlima, Lembaga Berempat dan Buapak Berenam bagi Luak Johol bersepakat dalam kerapatan (mesyuarat) untuk memecat Mohd Jan .
“Pembesar adat Johol bersepakat untuk memecat Mohd Jan sebagai Undang dan menggantikannya dengan Datuk Baginda Tan Mas, Datuk Muhammad Abdullah,” katanya kepada FMT, semalam.
Muhammad merupakan Timbalan Undang Luak Johol, dan menurut Zakaria, pemecatan itu dibuat mengikut adat luak.
Difahamkan, pemecatan Mohd Jan mula disebut dalam kalangan penduduk negeri ini selepas isu pengurniaan darjah kehormat dan penghargaan oleh Balai Undang Luak Johol pada 10 Ogos tahun lalu, adalah melanggar Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Mohd Jan adalah Undang Luak Johol yang pertama dipecat selepas institusi itu diasaskan pada tahun 1723 oleh Puteri Sitiawan apabila Johol tidak lagi bernaung di bawah Kesultanan Johor.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dilapor berkata, tindakan Mohd Jan sebagai Undang Johol pada waktu itu adalah tidak selaras dengan Perkara 26, Bab 7 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Zakaria berkata, pemecatan Mohd Jan sudah dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir, selaku Pengerusi Dewan Keadilan dan Undang hari ini.
Sehubungan itu, Mohd Jan dan keluarganya diarah mengosongkan Balai Undang Luak Johol di Renggoh, Kuala Pilah dengan segera.
Mohd Jan dilantik Undang Luak Johol ke-14 pada 13 Mac 2007 selepas penyandang terdahulu, Datuk Abdul Ali meninggal dunia.
Mohd Jan selaku Pembesar Memerintah bersama dengan Undang Luak Sungei Ujong, Undang Luak Jelebu dan Undang Luak Rembau terbabit dalam pemilihan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar pada tahun 2009.
Wilayah pemerintahan Undang Johol meliputi Johol, Inas, Air Kuning, Gemencheh dan Gemas, serta mempunyai kedaulatannya di sisi adat Melayu dan agama Islam mengikut Perlembagaan Persekutuan.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa