Tuesday, April 19, 2016

Pulau Batu Puteh: Setelah 10 tahun kehilangannya, kita tinjau balik.......

Batu Puteh: 4 perkara setiap warga Malaysia perlu tahu 
Mohd Hazmi Mohd RusliAstro Awani | April 11, 2016 11:29 MYT

Batu Puteh: 4 perkara setiap warga Malaysia perlu tahu
Setelah hampir 10 tahun, kebanyakan rakyat Malaysia mungkin telah melupakan kes Batu Puteh
Pengenalan

Pada tahun 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah membuat keputusan untuk menyerahkan kedaulatan ke atas Batu Puteh, atau Pedra Branca kepada Singapura.

Walaubagaimanapun, Batuan Tengah atau Middle Rocks, batuan yang terletak kira-kira satu kilometer dari Batu Puteh menjadi milik Malaysia.

ICJ bagaimanapun tidak membuat keputusan mengenai kedaulatan ke atas Tubir Selatan (South Ledge).

MESTI BACA: ASEAN perlu bersatu tangani isu Spratly - Hishammuddin

Pertikaian Lanjutan

Setelah hampir 10 tahun kes Batu Puteh selesai, kebanyakan rakyat Malaysia mungkin telah melupakan kes ini dan kini lebih menumpukan perhatian kepada tuntutan China di Laut China Selatan.



Oleh itu adalah penting untuk kita melihat semula implikasi keputusan ICJ ini terhadap senario perbatasan dan tuntutan maritim di kawasan paling selatan di Laut China Selatan ini.

Figura 1: Lokasi Tubir Selatan (South Ledge) di Laut China Selatan (Sumber: haguejusticeportal.net)

ICJ telahpun menamatkan pertikaian perebutan ke atas Batu Puteh di antara Malaysia dan Singapura, namun, terdapat banyak lagi pertikaian yang boleh lahir daripada keputusan ICJ ini:

1) Negara manakah yang akan memiliki Tubir Selatan?

2) Bagaimanakah Malaysia dan Singapura menetapkan sempadan maritim di kawasan sempit di antara Batuan Tengah dan Batu Puteh?

3) Dengan pemilikan Batu Puteh, bolehkah Singapura menuntut zon ekonomi ekslusif (EEZ) di Laut China Selatan?

4) Adakah tuntutan wilayah perairan oleh Singapura ini boleh bertindih dengan wilayah perairan Malaysia dan Indonesia?

Persoalan-persoalan ini wajar dijawab dengan merujuk kepada kehendak Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Undang-undang Laut Antarabangsa (LOSC).

Malaysia dan Singapura adalah negara-negara anggota bagi LOSC.


1) Negara manakah yang akan memiliki Tubir Selatan?

Pada tahun 2008, ICJ telah menetapkan Batu Putih di bawah kedaulatan Singapura manakala Batuan Tengah disahkan milik Malaysia.

Pihak ICJ tidak membuat keputusan jelas mengenai kedudukan Tubir Selatan, ciri maritim yang hanya muncul waktu air surut, kerana ianya terletak di kawasan perairan bertindih di antara tanah besar Semenanjung Malaysia, Batu Puteh dan Batuan Tengah.

Malaysia dan Singapura telahpun menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Bersama untuk menggariskan sempadan maritim di kawasan sekitar Batu Puteh dan Batuan Tengah serta menentukan hak kedaulatan ke atas Tubir Selatan.

Figura 2: Kedudukan South Ledge/ Tubir Selatan di Laut China Selatan (Sumber: Kosmo)

Sebelum memiliki Batuan Tengah, Singapura tidak boleh membuat sebarang tuntutan wilayah perairan di kawasan Laut China Selatan kerana wilayah induk negara tersebut dibatasi wilayah Johor di kedua-dua sisi – daerah Pontian di Barat dan daerah Mersing di Timur.

Di sebelah selatan menghadap Selat Singapura, negara tersebut bersempadanan dengan Pulau Batam dan Pulau Bintan, Indonesia.

Seperti yang termaktub di dalam Artikel 3 LOSC, mana-mana negara berdaulat layak mewujudkan wilayah perairannya sehingga 12 nautika batu (22 kilometer) dari garis dasar (baseline) wilayah daratnya.

Setelah memiliki Batu Puteh secara sah pada tahun 2008, seperti Malaysia dan Indonesia, Singapura boleh menuntut hak perairan di kawasan tersebut.

Tubir Selatan kini dituntut oleh Singapura atau Malaysia.

Akan tetapi, disebabkan kedudukan Tubir Selatan yang lebih dekat dengan Batuan Tengah (seperti yang digambarkan dalam Figura 1 dan Figura 2), kemungkinan besar Malaysia mempunyai peluang yang lebih besar untuk memiliki Tubir Selatan.

Namun begitu, sehingga sekarang, Malaysia dan Singapura masih belum lagi membuat sebarang keputusan mengenai perkara ini.

2) Bagaimanakah Malaysia dan Singapura menetapkan sempadan maritim di kawasan sempit di antara Batuan Tengah dan Batu Puteh?

Jarak di antara Batuan Tengah dan Batu Puteh adalah lebih kurang 1 kilometer dari satu sama lain.

Oleh kerana sesebuah negara boleh menuntut wilayah perairan seluas 12 nautika batu, sudah pasti tuntutan wilayah di antara Malaysia dan Singapura boleh bertindih di kawasan ini.
Figura 3: Jarak di antara Malaysia dan Singapura di kawasan Batu Puteh (Sumber: Rusli, 2014)

Senario ini boleh dijelaskan melalui Figura 4 berikut:
Figura 4: Senario Tuntutan Bertindih (Garis merah tuntutan Singapura, Garis Biru tuntutan Malaysia)

Sekiranya tuntutan seperti ini berlaku, adalah baik sekiranya kedua-dua negara dapat mencari formula untuk membahagikan wilayah perairan ini secara equitable atau saksama. Ini boleh diwujudkan dengan mengidentifikasikan garis pembahagi tengah di antara tuntutan bertindih ini (seperti yang digambarkan oleh garis putus-putus hitam di dalam Figura 4).

Secara teori, ini mungkin tampak mudah tetapi realitinya, banyak sudut-sudut teknikal yang harus dipertimbangkan oleh kedua-dua negara.

3) Dengan pemilikan Batu Puteh, bolehkah Singapura menuntut zon ekonomi ekslusif (EEZ) di Laut China Selatan?

Batu Puteh boleh dianggap sebagai sebuah batuan yang mana sebuah rumah api telah dibina di atasnya sejak tahun 1851.

Secara dasarnya, sebuah pulau adalah daratan yang dikelilingi air yang tidak tenggelam sewaktu air pasang.

Ia boleh mendukung kependudukan manusia serta menjana ekonomi dengan sendirinya.

Contoh-contoh pulau yang wujud di Malaysia adalah seperti Pulau Langkawi, Pulau Pinang, Pulau Kukup, Pulau Tioman dan Pulau Payar.

Pulau-pulau ini adalah pulau dalam erti kata sebenar yang bukannya sekadar batuan di tengah laut. Menurut Artikel 121 (2), pulau-pulau boleh menjana bukan sahaja wilayah perairan, malah EEZ dan pelantar benua.
Figura 5: Batu Puteh dari Udara (Sumber: Kaskus.id)

Tidak seperti Langkawi, Tioman mahupun Payar, Batu Puteh (seperti yang digambarkan dalam Figura 5) dengan sendirinya hanyalah sekadar batuan yang mana tidak ada pohon boleh tumbuh di atasnya secara semulajadi.

Tanpa Rumah Api Horsburgh yang dibina oleh British, Batu Puteh tidak layak didiami oleh manusia.

Artikel 121 (3) LOSC secara jelas menerangkan bahawa batuan hanya boleh menjana wilayah perairan dan tidak boleh mempunyai EEZ atau pelantar benuanya sendiri.

Dengan fakta-fakta ini, jelas bahawa Batu Puteh cuma batuan dan bukanlah sebuah pulau dan oleh itu Singapura tidak boleh menuntut EEZ di Laut China Selatan.

4)  Adakah tuntutan wilayah perairan oleh Singapura ini boleh bertindih dengan wilayah perairan Malaysia dan Indonesia?
Seperti yang dibincangkan di atas, Singapura kini boleh menuntut wilayah perairan sejauh 12 nautika batu dari Batu Puteh.

Memandangkan Batu Puteh di kelilingi wilayah Malaysia (negeri Johor) dan Indonesia (provinsi Kepulauan Riau), Singapura tidak boleh sewenang-wenangnya menuntut wilayah perairan di kawasan tersebut tanpa perbincangan dengan kedua-dua jirannya ini.

Sudah pasti tuntutan wilayah perairan yang dibuat oleh Singapura akan bertindih dengan wilayah-wilayah jirannya.

Oleh itu, ketiga-tiga negara harus berbincang bersama dan cuba menyelesaikan masalah perbatasan maritim ini secara aman dan saksama.


Kesimpulan

Walaupun Malaysia telah kehilangan Batu Puteh, pihak ICJ telah secara jelas menyatakan dari sudut sejarah, Batu Puteh pernah menjadi milik Kesultanan Johor yang berdaulat.

Pihak ICJ telah menolak hujahan Singapura bahawa Batu Puteh adalah tanah tidak bertuan (terra nullius).

Kedaulatan Malaysia ke atas Batu Puteh telah direnggut pada tahun 2008 dan ini telah memeranjatkan banyak pihak.

Ianya patut dijadikan pengajaran buat kita semua bahawa sebarang wilayah, walau kecil sekelumit mana pun harus dijaga dan dipertahankan oleh semua rakyat Malaysia.

Janganlah kita mengulangi kesilapan pemerintah kita yang terdahulu agar wilayah kita tidak direbut lagi oleh negara lain.



Mohd Hazmi Mohd Rusli (Ph. D) adalah seorang pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan penyelidik bersekutu di Institut Oseanografi dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu. Beliau juga adalah seorang profesor pelawat di Sekolah Undang-undang, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Russia.

1 comment:

  1. Seorang PM yg penuh skandal adalah boneka musoh..maaflah Najib akan menjadikan Malaysia hina.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa