Saturday, September 17, 2016

Bukannya baru muncul tapi dah lama daah!

DI SEBALIK UMNO SEMAKIN MENGECIL, SPR MUNCUL UMPAMA TALIAN HAYAT

Di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO, tidak ramai di antara mereka yang betul-betul mahu mengaku kewujudan PPBM adalah cabaran sebenar kepada kedudukan parti itu dalam pilihanraya akan datang.

Lebih ramai yang terus sombong bongkak dengan mengatakan PPBM bukan saingan yang sebenar, UMNO sudah biasa dengan cabaran, PPBM bakal senasib Semangat 46 dan macam-macam lagi.

Realitinya, dengan bermulanya PPBM mendaftarkan ahli-ahli baru sejak semalam, kedudukan UMNO dengan sendirinya makin mengecil. Pada hari pertama di Kuala Lumpur saja, sebanyak lebih 9000 borang telah diambil.

Hari ini mungkin ribuan lagi yang telah mendaftar dan oleh kerana permintaan bertambah, walaupun esok merupakan cuti umum sempena Hari Malaysia, pendaftaran terpaksa dibuka untuk kemudahan orangramai.

Serentak dengan itu, penyeleras negeri-negeri turut dilantik untuk memudahkan lagi proses pendaftaran ahli. Beberapa negeri kemudiannya melantik penyelaras di peringkat bahagian-bahagian pula.

Dengan itu, ahli PPBM akan terus bertambah hari demi hari. Sebahagian besar ahli PPBM adalah ahli UMNO. Secara automatiknya, UMNO makin kekurangan ahlinya.

Apabila ahli UMNO berpindah kepada PPBM, bermakna juga mereka tidak lagi mahu mengundi BN dalam pilihanraya akan datang. Jadinya, UMNO  akan berkurangan ahli, BN berkurangan undi.

Proses menjauhi UMNO dan BN ini akan berterusan selagi Najib terkepung dengan isu 1MDB dan Rosmah pula kekal dengan kegemaran suka membeli-belahnya. Dari masa ke semasa, mungkin lebih banyak lagi yang akan didedahkan kepada kita semua.

Semua itu menjadikan UMNO dan BN secara realitinya tidak selamat lagi untuk menggenggam kuasa yang ada. Kuasa yang mereka ada hanya menunggu masa saja untuk ditanggalkan oleh pengundi-pengundi yang semakin bijak dan tidak mudah lagi ditipu dengan bayangan permata, tetapi sebenarnya ia hanyalah kaca.

PPBM bersama Pakatan Harapan lebih diharap dan dipercayai untuk menjadi kerajaan baru menggantikan BN.

Dalam keadaan cemas itu, satu-satunya talian hayat yang tinggal bagi UMNO dan BN untuk mengekalkan kuasanya ialah SPR. Sebab itu, serentak dengan terttubuhnya PPBM, secara tiba-tiba juga SPR mengumumkan syor kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihanraya untuk dilaksanakan dalam pilihanraya umum akan datang.

Syor tersebut tidak melibatkan pertambahan bilangan kerusi, tetapi cuma perubahan nama dan sempadan kawasan pilihanraya semata-mata. Dengan yang demikian, ia tidak memerlukan kelulusan majoriti dua pertiga di Parlimen, sebaliknya memadai dengan majoriti mudah saja.

Di setiap negeri, beberapa kawasan akan terlibat dengan perubahan persempadanan itu dengan Kuala Lumpur dan Terengganu menyaksikan semua kawasan akan diubah sempadannya.

Di Selangor, ia melibatkan 18 daripada 22 kawasan Parlimen, di Perak, perubahan melibatkan  17 daripada 24 kawasan Parlimen manakala di Johor,  21 daripada 26 kawasan akan terlibat.

Ahli Parlimen DAP, Tony Pua menggambarkan tindakan SPR itu lebih bertujuan menambah jumlah majoriti di kawasan yang BN tidak boleh menang dan mengurangkan majoriti di kawasan yang mungkin BN boleh menang.

Mengambil contoh kawasan Parlimennya Petaling Jaya Utara yang akan ditukar kepada Damansara, perubahan persempadanan itu, katanya akan menyaksikan pertambahan sebanyak 76.2 peratus daripada 85,401 pengundi kepada 150,430 jumlah pengundi.

Sebaliknya kata Tony, di kawasan Parlimen Kapar, jumlah pengundi dikurangkan daripada 144,159 kepada 100,456 pengundi iaitu penurunan sebanyak 30.3 peratus.

Perubahan persempadanan yang dilakukan SPR itu dan manfaatnya kepada BN juga mungkin lebih difahami melalui gambarajah seperti yang turut disiarkan dalam blog ini.

Lantaran itu, rakyat bukan saja seharusnya mengemukakan bantahan secara besar-besaran terhadap cadangan SPR itu, malah mesti juga turun beramai-ramai dalam Bersih 5 pada 19 November depan.

Ini kerana, cadangan SPR nyata bertujuan memberi kelebihan kepada UMNO dan BN.  (SH 15/09/2016).

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa