Thursday, September 29, 2016

Goebbels kecil yang berhasil kosong!

28 Sep 2016
PROPAGANDA

1. Di bawah pemerintahan Nazi di Jerman, Menteri yang terkenal sekali ialah Joseph Goebbels, Menteri Propaganda. Tugasnya ialah mentransformasi segala yang buruk yang dilakukan oleh rejim Nazi supaya ternampak bukan sahaja baik tetapi mulia.

2. Malangnya selain dari orang Nazi, tiada siapapun yang mempercayai gambaran yang cuba dipamerkan oleh Goebbels dan kementeriannya. Sudah tentu dunia luar menolak bulat-bulat propaganda berkenaan Hitler dan rejim Nazi-nya. Akhirnya Goebbels bukan sahaja membunuh diri tetapi juga isteri dan anak-anaknya. Ia tidak dapat menafi kekalahan rejim Nazi.

3. Sejak Najib dituduh melesapkan berbilion Ringgit wang 1MDB (duit rakyat), ramailah Goebbels kecil yang ditugaskan memperbaiki imej Najib dengan berbagai jenis penjelasan dan dakwaan.

4. Yang baru dan bukan terakhir ialah dakwaan oleh Gani Patail, bekas Peguam Negara bahawa dianya tidak dianiaya tetapi sebaliknya pemberhentiannya mengikut aturan-peraturan Kerajaan dan memangpun Perdana Menteri berhak untuk menamatkan khidmatnya.

5. Kenyataan ini amat berbeza dengan kenyataan yang dibuat sendiri olehnya sejurus selepas hilang jawatan. Oleh itu orang ramai yang tahu akan kepercayaan Najib bahawa “Cash is King” menolak kenyataan baru ini.

6. Mereka menjangka banyak dedak yang diguna, selain dari ugutan-ugutan. Mereka yang bersama Najib pun tidak percaya akan kenyataan baru Gani Patail, walaupun mereka tidak berani menyatakan apa yang terbuku dalam hati mereka.

7. Percubaan membersih Najib ini adalah satu pembaziran kerana tidak dapat mengubah barang sedikit pun kepercayaan mereka dalam Negara bahawa Najib memang bersalah seperti dituduh.

8. Sejak skandal 1MDB, banyaklah percubaan oleh Najib untuk membersihkan diri dengan cara ini. Demikian kenyataan oleh Sirul yang lari ke Australia bahawa Najib tidak terlibat dengan pembunuhan Altantuya.

9. Demikian juga dengan peralihan kesetiaan blogger Big Dog dan Rockybru. Mereka boleh nafi mereka telah dibeli, tetapi masyarakat semua faham sebab peralihan haluan oleh mereka. Apapun yang ditulis oleh mereka dimasukkan dalam bakul sampah.

10. New Straits Times, Utusan dan TV3 sudah tidak dibaca atau dilihat oleh penonton. Mereka benci dengan pembohongan laporan yang disiar. Mereka yang menghadiri ceramah berkenaan salah-laku Najib, 1MDB dan lebih-lebih lagi duit sebanyak 2,600 lori yang diberi oleh orang Arab untuk Najib masuk dalam akaun peribadinya, untuk dibelanja sesuka hatinya, gelak ketawa apabila media suruhan Najib melapor kononnya hanya 200-300 orang sahaja hadir, sedangkan mereka berada di ceramah berkenaan dan melihat beribu-ribu yang hadir.

11. Sesungguhnya propaganda Najib tidak berkesan. Duit yang banyak yang di hadiah kepada Goebbels kecil ini tidak menghasil apa-apa perubahan pandangan oleh masyarakat amnya dan penentang Najib khasnya. Sebenarnya dengan pembohongan dan propaganda Najib, mereka lebih yakin tuduhan-tuduhan terhadap Najib mempunyai asas yang kuat dan benar.

12. Najib banyak duit. Oleh itu teruskanlah propaganda melalui orang yang tidak mempunyai kredibiliti sama sekali. Saya ucap tahniah kepada Salleh Said Keruak, Tengku Adnan, Tengku Sarifuddin dan Rahman Dahlan kerana berjaya menipu Najib bahawa kenyataan-kenyataan mereka berkesan. - sumber

1 comment:

  1. Samalah dgn lu bloggers dedak DAP, PKR dan PAN!

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa