Tuesday, September 6, 2016

Kebun Pisang Atas Angin.......

MONDAY, SEPTEMBER 05, 2016
1MDB Kebun Pisang Atas Angin
A Kadir Jasin

SEORANG bekas wartawan Bernama bagi tahu saya Sabtu lalu (3 September) orang kampung tak faham cerita 1MBD.

Saya tahu. Bukan orang kampung saja tak faham. Orang bandar dan orang berpelajaran pun tak faham melainkan yang arif urus niaga korporat dan kewangan canggih.

Saya pun dah cerita macam-macam cara. Saya yakin ramai yang faham tetapi lebih ramai yang masih tak faham atau samar-samar.

Pernah juga saya ceritakan kepada beberapa orang rakan blogger secara kiasan. Izinkan saya kongsi cerita kiasan itu dengan para pembaca dan pembahas sekalian. Saudara saudari pula boleh kongsi dengan orang lain kalau ada kesempatan.

Saya ibaratkan sebagai cerita dongeng orang berniaga pisang. Minta maaf kalau panjang sikit. Ceritanya macam ini.

1. Ada seorang saudagar minyak unta yang kononnya sangat pandai berniaga. Kalau dia jual batu yang dikutip tepi jalan pun laku. Dulu ada banyak peniaga macam ini di pekan-pekan sehari. Orang putih gelar wheeler dealer atau snake oil salesman. Lebih kurang macam penaja skim cepat kaya Pak Man Telo dan labu peram. Dia Cina. Nama dia Joe Hai.
2. Mula-mula dia pergi ke sebuah kampung nama Kampung Terang. Dia pujuk ketua kampung kongsi tanam pisang. Mereka pun tubuh syarikat Tanaman Istimewa Antarabangsa. Singkatannya TIA.

3. Punyalah hebat putar belit si Joe Hai ini dengan modal hanya RM1 dia boleh pinjam RM5,000 dari bank dalam dan luar negara. Ertinya dia pinjam lima ribu kali ganda daripada modal.

4. Tak pernah jadi dalam dunia di mana beza di antara modal dengan hutang 5,000 kali ganda. Selalunya bank bagi pinjam 50 peratus daripada modal saja. Itu pun dah dikira tinggi dan bahaya. Pernah kah kita dengar orang yang ada modal RM1 boleh pinjam sampai RM5,000? Along dan ceti pun tak bagi hutang sebanyak itu.

5. Yang banyak orang tak sedar, dalam diam-diam Joe Hai gadai tanah orang Kampung Terang yang nak dijadikan tapak projek pisang itu.

6. Perkara ini berlaku pada tahun 2008. Masa tu tak banyak orang sedar. Hanya ketua kampung dan beberapa orang suruhan dia saja tahu. Ikut cerita, tak lama lepas itu Joe Hai lesap dari Kampung Terang. Apa yang jadi dengan tanah orang kampung yang Joe Hai gadai sampai hari ini masih dipertikai.

7. Tiba-tiba, pada tahun 2009, Joe Hai timbul di Kuala Lumpur dan pakat dengan seorang pawang buaya yang tersohor nama Mat Nujum. Dalam kerja dia mudik hulu hilir tangkap buaya ganas, Mat Nujum tahu siapa ada tanah, di mana dan berapa luas. Joe Hai pakat dengan Mat Nujum tukar TIA kepada syarikat baru dengan nama Satu Melayu Dan Baba atau singkatannya 1MDB.
Haji Kader Pawang Buaya Tersohor Pahang (blog Koi Anak Pahang)

8. Mat Nujum tahu ramai suku sakat dia ada tanah. 1MDB “beli” tanah itu dengan harga murah dan lepas itu jual atau gadai dengan harga mahal. Kerja mereka ambil tanah, pecah lot, gadai atau jual. Tak cukup dengan jual tanah mereka berhutang pula.

9. Nasib mereka baik pasal suku-sakat Mat Nujum tak berapa cerdik dan Mat Nujum pandai reka cerita. Dia  kata, mereka akan untung juta-juta bila tanah mereka dah jadi projek raksasa.

10. Dia ambil hati mereka dengan guna duit hutang dan duit pinjam hantar mereka naik haji dan belanja anak-anak mereka mengaji dalam dan luar negara. Sekali-sekala mereka anjur majlis suka ria sampai bawa masuk artis top dari Korea.

11. Mat Nujum dan Joe Hai gadai sana pajak sini, hutang sana pinjam sini. Bila tak cukup nak bayar bunga dan pokok, mereka berhutang lagi. Kerja mereka korek lubang kambus lubang macam dalam skim cepat kaya.

12. Joe Hai dia pandai. Dia main dari belakang. Dia sendiri orang tak nampak. Dia duduk nun jauh di Amerika. Dia guna Mat Nujum sebagai orang depan. Semua Mat Nujum arah dan tandatangan. Mat Nujum jadi sangat berkuasa dalam kampung pasal duit banyak. Dia kata jalan, jalan. Tak ada siapa nak lawan pasal dah dapat habuan. Macam ayam dapat dedak. Yang tak setuju boleh jalan atau tunggu kena tendang. Pendek kata, Joe Hai jerit ayuh, Mat Nujum pun kayuh.

13. Walaupun Joe Hai ni muda, dia banyak tipu helah. Hasil pakatan dengan Mat Nujum dia jadi kaya-raya dalam sekelip mata walaupun projek pisang tak banyak hasil. Nak bayar bunga pun tak cukup.

14. Dia bagi tahu orang dia usahawan, dermawan, karyawan dan jadi kawan kepada anak tiri Mat Nujum. Dia pun baik dengan pak-pak Arab. Dia tahu, orang Melayu jadi lemah bila berdepan dengan orang Arab. Arab bela unta pun mereka sanjung macam ulama dari Makkah.

15. Dengan hasil perniagaan atas angin itu mereka pun berpesta, beli harta, joli sini joli sana. Nak cepat tunjuk hasil mereka beli kebun pisang orang lain yang pokok-pokok dah tua. Bila sesak tak boleh bayar balik hutang, mereka jual. Ada yang mereka beli mahal tapi jual murah. Beli mahal dari tauke tempatan jual murah kepada tauke Negeri China.
Bagus, beli mahal jual rumah kepada China

16. Mana pergi duit yang mereka pinjam, tuan tanah dan orang kampung tak tahu. Mat Nujum dan Joe Hai tak bagi tahu. Tiap-tiap tahun buku kira-kira lambat tutup. Bila juruaudit tanya atau tak mahu sahkan akaun, mereka kena tendang. Bila ditanya, Mat Nujum kata rahsia.

17. Satu dunia tahu cerita buruk dan busuk syarikat pisang 1MDB. Tapi dalam kampung semua orang diam. Ada yang diam pasal tak tahu apa-apa tapi ramai yang diam sebab sudah kenyang terbahak macam ayam dibagi makan dedak.

18. Sekonyong-konyong muncul Tok Pendeta yang bertapa di dalam gua. Dia tilik, dia renung dan dia buat congak. Dia tanya, macam mana habis tanah orang kampung kena gadai? Dibeli murah dijual mahal tapi perniagaan tak untung, hutang melambung. Bila sesak jual kepada tauke dari Negeri China dengan potongan harga.

19. Dia kata hutang projek pisang 1MDB dah naik jadi RM42 bilion. Satu bilion (1,000,000,000) bersamaan satu ribu juta. Jadi 42 bilion ringgit bersamaan 42 ribu juta ringgit. Kalau tulis jadi macam ini RM42,000,000,000.

20. Berapa Banyak RM42 bilion? Seorang bekas pengarah Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (PSRM) kata, RM1 bilion boleh buat 100 buah sekolah rendah, jalan tanah merah 6,600 kilometer dan 500 buah jambatan biasa.

21. Ikut laman web Finance Twitter, RM42 bilion boleh beli sebuah Apple iPad Air bagi setiap orang daripada 30 juta penduduk Malaysia atau boleh bagi makan 100,000 orang hidangan McDonald selama 99 tahun. Boleh beli antara 105,000 hingga 420,000 buah rumah PR1MA. Tapi kalau tukar RM42 bilion jadi beban hutang, setiap orang rakyat Malaysia, termasuk bayi baru lahir, akan tanggung RM1,400 hutang 1MDB tiap seorang tak termasuk faedah.
Cukup jamu rakyat makan McDonald selama 99 tahun

22. Apakah yang boleh kita tengok hasil hutang RM42 bilion itu? Lubang di tapak TRX Jalan Tun Razak, tanah pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi yang dah dijual kepada syarikat usaha sama Malaysia-China dan penjana elektrik bebas (IPP) yang dijual kepada kompeni negeri China.

23. Tapi hutang projek pisang atas angin rekaan Mat Nujum dan Joe Hai bukan RM42 bilion lagi. Dah naik jadi RM50 bilion pada bulan Januari tahun ini. Ini bukan Tok Pendeta yang kata. Ini Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang kata. Takkan auta. Orang yang jadi ketua PAC Mat Nujum sendiri lantik.

24. Orang cerdik dah tahu mana pergi baki duit projek pisang atas angin 1MDB itu. Dah kena songlap. Dah pusing satu dunia. Dari Malaysia ke negeri Arab, dari negeri Arab ke Pulau Caymans, dari Pulau Caymans ke Pulau British Virgin Islands (BVI), dari BVI ke Singapura, Hong Kong, Switzerland, England, Australia dan Amerika.

25. Macam-macam tipu helah dan cerita dongeng Mat Nujum serta konco-konco dia buat untuk lesapkan duit projek pisang atas angin 1MDB. Mula-mula mereka kata duit itu akan dibawa balik. Lepas itu kata kena simpan di Singapura pasal nak atasi syarat Bank Negara. Mula-mula duit tunai dolar Amerika. Lepas itu jadi sijil pelaburan. Kemudian tukar jadi unit. Akhir sekali lesap.

26. Dok tak dok, khabar dari luar negeri kata Mat Nujum terima RM2.6 bilion dalam buku bank dia. Mula-mula Mat Nujum dan budak-budak suruhan dia kata, bohong. Mereka kata fitnah. Kerja orang dengki haram zadah.
Peguam Negara Switzerland kata duit 1MDB kena songlap

27. Tapi bila temberang mereka pecah, mereka kata duit derma Tok Arab. Kata mereka, Tok Arab itu sangat teruja dengan kerja Mat Nujum majukan Islam dan lawan pelampau agama. Ada budak-budak suruhan Mat Nujum bagi gelaran Pahlawan Islam kepada dia. Sama taraf dengan Salahuddin Al-Ayubi perwira Islam dulu kala.

27. Bila Tok Pendeta minta tunjuk Tok Arab peniaga unta yang kaya dan baik hati itu, Mat Nujum dan budak-budak suruhan dia kata rahsia. Mereka kata bukan seorang tapi beberapa. Ada yang kata mereka jumpa sendiri Tok Arab itu di Tanah Suci.

28. Banyak tak percaya. Mereka syak duit itu adalah duit projek pisang atas angin 1MDB yang Mat Nujum dan Joe Hai songlap. Pejabat Peguam Negara Switzerland syak sebanyak AS$4 bilion (kira-kira RM16 bilion) telah kena songlap.

29. Sekonyong-konyong, seorang budak suruhan Mat Nujum kata, Mat Nujum dah bagi balik RM2.08 bilion duit sedekah Tok Arab itu. Pelik sungguh. Tok Arab yang baik hati dan pemurah bagi derma (sedekah) kepada Mat Nujum untuk tegakkan agama dan majukan ekonomi orang Islam Malaysia, pasal apa Mat Nujum bagi balik pula? Tak masuk akal. Di Malaysia ni ramai lagi orang Islam yang susah.

30. Pasal apa tak guna duit sedekah Tok Arab itu bantu orang Islam yang susah atau buat projek ekonomi untuk mereka? Sebabnya duit itu bukan sedekah Raja atau Tok Syeikh Arab tapi duit projek pisang atas angin 1MDB yang Mat Nujum dan Joe Hai songlap.

31. Pengaruh Mat Nujum dalam kampung kuat. Semua dia jaga, semua dia bela. Yang ada kuasa dia bagi satu, dua juta. Yang miskin dia bagi dedak dan serdak. Jadi tak ramai berani bangkit atau angkat muka. Yang berani lawan dia ugut, dia surah polis siasat dan pecat.

32. Tapi di luar kampung, projek pisang atas angin Mat Nujum dan Joe Hai dah kena londeh. Satu dunia dah tahu rahsia kotor mereka. Dah kena siasat, duit mereka dah kena beku dan orang yang subahat pindah duit haram mereka dah kena tangkap dan bank yang pindahkan duit haram kena tutup. Seorang dah kena tuduh di mahkamah di Singapura. Singapura tahu banyak rahsia Mat Nujum. Pasal itulah dia sangat takut kepada Singapura.

33. Tahun lepas kerajaan Amerika tubuh badan penyiasat Juri Agung (Grand Jury) dan pada bulan Julai lalu, Jabatan Kehakiman Amerika (DoJ) kemukakan saman KARI (Kleptocracy Assets Recovery Initiative) ke atas lima orang termasuk anak tiri Perdana Menteri, Riza Shahriz Abdul Aziz, di Los Angeles untuk rampas harta yang mereka beli dengan duit yang disonglap dari 1MDB. Kleptokrasi maksudnya kerajaan yang mencuri.

34. Cerita macam mana Joe Hai pujuk Mat Nujum berniaga, macam mana mereka kelentong orang kampung, karut-marut berkenaan Tok Arab dan beban yang mereka hempap ke atas kepala rakyat jelata tak boleh sembunyi lagi. Bangkai gajah Tok Miah tak boleh dikambus lagi.

35. Angkara Mat Nujum dan Joe Hai dah sebabkan nama Malaysia busuk satu dunia. Dah jadi bahan lawak jenaka. Orang yang tahu dah tak percaya kepada kita. Kaki sapu ambil kesempatan beli harta benda kita dengan harga istimewa. Sikit demi sikit, kedaulatan dan ekonomi kita dijajah semula. Kalau kita masih tak akur, masih nak santai dan tidur, satu hari tak lama lagi negara kita akan jadi padang jarak padang tekukur. Kera di hutang terbahak kekenyangan anak di rumah menangis kelaparan.

Wallahuaklam.

Posted by A KADIR JASIN at 11:48 AM

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa