Thursday, April 20, 2017

Adakah pusingan U dan belit menjadi trend ahli politik?

Pusingan U Fattah Mahmud
Husam Musa      Hari ini, 12:47 tengahari
ULASAN Pada 19 April, exco Kerajaan Kelantan, Datuk Fattah Mahmood cuba membetulkan semula kenyataan pertamanya dengan berkata:

“Peraturan menutup sekejap premis perniagaan hanya terpakai kepada peniaga Muslim di pasar-pasar malam sahaja.”

Apa percanggahan kenyataan ini dengan kenyataan saya pada 17 April - yang mempertikaikan penguatkuasaan menutup kedai sewaktu Maghrib kepada semua, termasuk peniaga bukan Islam dan lesen perniagaan mereka akan ditarik jika ingkar?

Selari - tidak perlu menutup perniagaan bagi peniaga bukan Muslim. Bermakna saya betul dan Fattah terkhilaf. Kerana itu beliau terpaksa membuat pembetulan demi pembetulan.

Pagi ini, sekali lagi beliau memanggil sidang akhbar membetulkan kenyataan beliau sendiri, sambil mengakui bila ditanya, “adakah melibatkan semua, (saya menjawab) ... melibatkan semualah...”.

Bermakna, secara tersirat beliau mengakui dalam kenyataan pertamanya beliau ada menyebut peniaga bukan Muslim perlu menutup perniagaan mereka.

Bagaimana boleh dituduh orang lain keliru ketika beliau sendiri mengakui ada menyebutnya. Cuma hari ini, beliau cuba memberikan justikasi atas kata-katanya sebelum ini. Sendiri terlanjur cakap, sendiri keliru.

Pembetulan selepas teguran

Semua kenyataan ‘pembetulan’ ini dikeluarkan selepas saya ‘menegur’ kenyataan pertama Exco yang sama, pada pagi 17 April, yang berbunyi:

“KUALA LUMPUR: Semua peniaga, termasuk bukan Islam di Kelantan perlu menghentikan perniagaan ketika masuk waktu solat Maghrib, kata exco negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood.’

“Semua peniaga terlibat, termasuk bukan Islam. Ini dapat memberi masa kepada mereka untuk berehat dan menunaikan sembahyang.

“Lagipun ia bukannya lama, kira-kira 10 minit sahaja. Yang penting tiada perniagaan ketika azan dan boleh sambung semula urus niaga selepas sembahyang,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Tidak cukup dengan ‘pembetulan’ Datuk Fattah, seorang lagi exco kerajaan Kelantan, Datuk Anuar Tan turut membuat kenyataan, bahawa memang Datu Fattah tidak berniat demikian.

Jika Datuk Fattah tidak berniat demikian, kenapa saya perlu diserang oleh Fattah atas kenyataan saya? Kononnya saya sudah lupa dasar yang saya pernah sokong. Seperti kenyataan beliau yang disiarkan oleh Malaysiakini bawah tajuk “Husam pun dulu sokong henti niaga sempena Maghrib”, disiar pada 18 April.

Sinar Harian, pada 19 April, menyiarkan bawah tajuk berita “Hanya pasar malam sahaja”, Fattah berkata, pasar malam di negeri ini hampir 100 peratus dimonopoli masyarakat Islam”

Jika sudah tahu pasar malam di Kelantan disertai 100 peratus orang Islam, apa perlu lagi kenyataan “termasuk peniaga bukan Islam”? Siapa keliru?

Jika “termasuk peniaga bukan Islam” tidak disebut, tidak berlaku kekecohan yang rasa saya, tidak pun menguntungkan kerajaan Kelantan.

Tak cukup 'jam penerangan'

Tidak perlu juga saya diserang, kerana membetulkan apa yang salah disebut oleh exco berkenaan. Katakan, apa yang saya kata, adalah betul.

Bagi pimpinan kerajaan Kelantan yang belum cukup ‘jam penerbangan’, tak usahlah menunjuk pandai cuba membawa pesawat besar terbang bersendirian. Rujuklah pimpinan lain yang lebih mahir undang-undang.

Bagi petugas muda kerajaan Kelantan seperti Fattah, setiausaha menteri besar dan Saudara N Balasubramaniam dari luar Kelantan dan seangkatan, izinkan saya berikan sedikit latar belakang peraturan berhenti seketika untuk solat di pasar malam di Kelantan.

Seingat saya, peraturan ini diperkenalkan lama sebelum saya menjadi exco lagi. Fattah pun tersasau dalam hal ini. Kali pertama allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (ATGNA) memulakan langkah ini dengan turun sendiri mengimamkan solat bersama peniaga di Pasar Malam Padang Bas, Kota Bharu. Ini sebelum 1995 lagi.

Kini, Padang Bas sendiri sudah tidak ada, bertukar menjadi pasar raya.

Bila ATGNA sebagai menteri besar memperkenalkan peraturan ini, ia telah dibincang terlebih dahulu dalam parti dan kerajaan. Dalam isu sebegini, pandangan bekas exco kerajaan tempatan pertama kerajaan Tok Guru, yang juga seorang peguam dan bekas penasihat undang-undang negeri iaitu allahyarham Datuk Halim Muhamad telah dijadikan landasan.

Beliau telah memberi pandangan bahawa peraturan seperti ini, hendaklah bersifat advisory (galakan), dan bukan bersifat undang-undang.

Makna advisory, adalah “having or consisting in the power to make recommendations but not to take action enforcing them.”

Saya tidak ingat Datuk Fattah ada dalam mesyuarat-mesyuarat sebegini pada masa lalu.

Jika tindakan undang-undang cuba digunakan, termasuk menarik lesen seperti disebut oleh Datuk Fattah dalam FMT: “Beliau berkata, peniaga yang ingkar arahan akan diberikan amaran terlebih dahulu, sebelum dikenakan larangan sementara jika terus berdegil.”

“Sama seperti penguatkuasaan tahap kebersihan. Mereka akan dibenarkan berniaga semula selepas membuat aku janji untuk mematuhi arahan,” katanya sambil menambah setakat ini PBT mendapat kerjasama baik daripada peniaga dan orang ramai.

Langkah seperti ini mendedahkan kepada tindakan undang-undang dan sukar dipertahankan.

Sebab itu selama ini, ia bersifat ‘nasihat’ dan ‘galakan’ dengan cara pihak berkuasa kerajaan tempatan menyediakan tempat solat yang selesa, tempat berwudhu dan bekalan air, seorang petugas memaklumkan ketibaan azan dan waktu maghrib menggunakan pembesar suara bergerak dan imam khas sekali sekala.

Selagi bersifat galakan, ia suatu yang baik. Itu sebab saya menyokongnya. Tetapi tidak untuk dikuatkuasakan sebagai undang-undang ke atas peniaga bukan Islam.

Ia tidak pernah dikuatkuasakan secara undang-undang. Tidak pernah ada ugutan atau pengumuman lesen peniaga yang tidak berbuat demikian akan ditarik.

Itu sebabnya kenyataan Fattah mengejutkan saya. Itu sebab saya menegur.

Ternyata akhirnya Fattah membuat pusingan U. Tinggallah para penyerang termasuk Balasubramaniam dari Pahang, tersangkut di atas pucuk buluh, kerana Fattah ‘mendarat cemas’.

Jam penerbangan belum cukup. Jauh bezanya kebijaksanaan Tok Guru Nik Aziz dan kegelojohan Datuk Fattah.

DATUK HUSAM MUSA anggota Dewan Undangan Negeri Salor merangkap naib presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) dan bekas exco kanan Kelantan.

[Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas Fattah berkaitan tulisan ini. - Pengarang]

Berkaitan: Kelantan sedia kecualikan bukan Islam ‘rehat’ waktu Maghrib

1 comment:

  1. Klu ya pun, knp maghrib sj? Zohor dan asar bukan waktu solat jg? Harap bukan krn kita nak tunjuk kita lebih islam drp org lain. Di mekah dan madinah tiada arahan diberikan. Mrk tutup secara sukarela. Lg satu tak payah paksa non muslim. Sedangkan dlm beragama pun tiada paksaan

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa