Thursday, April 13, 2017

Menarik: Realiti - A Kadir Jasin

Menarik tulisan A Kadir Jasin ni

REALITI

ADA dua berita menarik baru-baru ini yang boleh jadi kita terlepas pandang atau tidak sedar kepentingannya.

Nombor satu Menteri Luar China, Wang Yi bagi amaran kepada Setiausaha Negara Amerika Rex W. Tillerson, agar memahami sejarah Laut China Selatan.

Nombor dua kapal Tentera Laut China habis melawat empat buah negara Arab – Arab Saudi, Kuwait, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Perlumbaan kuasa dan senjata bukan lagi di antara Amerika dengan Rusia tapi di antara Amerika dengan China.

Perang Dunia Ketiga (minta dijauhkan Tuhan) kalau berlaku adalah di antara China dengan Amerika dan gelanggangnya adalah Laut China Selatan, Selat Melaka dan Lautan Hindi.

Kita akan jadi pelanduk yang tersepit di antara dua ekor gajah tumpah minyak.

China sedang meluaskan pengaruh ekonomi dan ketenteraannya secara agresif manakala Amerika di bawah Presiden Donald Trump pula sedang menyemarakkan semula patriotisme haluan kanan melalui cogan kata “make America great again”. Trump mahu mengembalikan keagungan Amerika.

China terpaksa kembangkan sayap demi kelangsungan (survival) dan Amerika mahu mematahkannya. China sedang kesempitan ruang dan Amerika kesempitan ekonomi. Kedua-duanya dalam keadaan terdesak.

Kelahiran bayi di negeri China dianggarkan 17.8 juta tahun lalu atau 1.31 juta lebih ramai daripada tahun 2015. Setahun selepas memansuhkan dasar satu keluarga seorang anak, kelahiran bayi mencatatkan rekod tertinggi sejak tahun 2000. Dianggarkan 40 peratus daripada kelahiran tahun lalu adalah anak kedua. Di pihak yang lain, bilangan orang tua pula sedang meningkat dengan pantas.

Rakyat jelata China sekarang berjumlah 1.4 bilion atau 22 peratus daripada penduduk dunia tetapi tanah pertanian China hanya 10 peratus daripada tanah pertanian dunia.

Ceritanya mudah saja. China terpaksa cari sumber makanan dan tempat tinggal untuk rakyat jelatanya di luar sempadannya.

Perluasan pengaruh China ibarat fiksyen sains

China sedang berkembang menjadi negara maya (virtual nation) lebih kurang macam dalam filem fiksyen sains di mana makhluk angkasa lepas turun ke bumi untuk merampas air dan udara kita serta hisap darah kita untuk hidup sebab planet mereka sudah tandus sumber kehidupan.

Ekonomi China pesat berkembang, rakyat jelatanya semakin senang dan mereka perlukan lebih banyak makanan dan tempat tinggal.

Tanah pertanian semakin menguncup kerana digunakan untuk pembangunan dan ditelan oleh padang pasir. Padang pasir Gobi saja menelan 3,600 kilometer persegi padang rumput setiap tahun atau lebih dua kali ganda keluasan negeri Melaka.

Sebab itulah China telah membeli atau menyewa berjuta hektar tanah pertanian di Afrika, Australia, Amerika Selatan dan Amerika Utara serta membina penempatan raksasa untuk rakyatnya di luar negara.

Bandar Malaysia di tapak pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Kuala Lumpur dan Forest City di Johor adalah dua metropolis China terbesar di dunia.

Forest City boleh menampung 700,000 penduduk dan Bandar Malaysia yang asalnya milik 1MDB akan menjadi bandar bawah tanah buatan China yang terbesar di dunia dengan nilai kasar pembangunan (GDV) RM150 bilion.

Kedua-duanya akan disambung ke negeri China melalui jalan darat, laut dan udara di bawah konsep “one belt one road” – satu wilayah satu laluan - atau singkatannya OBOR.

Bagi melindungi harta dan rakyat jelatanya di luar negara serta menjamin pengangkutan keluar masuk barang-barang China, negara itu memerlukan tentera lautan biru (blue ocean navy) macam tentera laut Amerika hari ini.

Tidak dapat tidak dua negara gergasi itu akan bertembung di Laut China Selatan, Selat Melaka dan Lautan Hindi.

Sebab itulah tentera laut China cergas buat lawatan persahabatan di Laut China Selatan, Selat Melaka dan Lautan Hindi hingga ke pantai barat Afrika.

Untuk ulang alik dari Laut China Selatan ke Lautan Hindi, kapal tentera dan dagang China terpaksa lalu di Selat Melaka.

Selat Melaka yang dulu penting bagi tentera laut Amerika, sekarang menjadi sama penting kepada tentera laut China.

Sebab itulah atas alasan membantu negara-negara serantau memperbaiki prasarana mereka, China giat membina pelabuhan di sekitar Laut China Selatan, Selat Melaka dan Lautan Hindi.

China sudah pun membina pelabuhan di Sri Lanka. Tapi sekarang mereka bersengketa mengenainya kerana Sri Lanka tak ada duit nak bayar. China cergas cari tapak dan keizinan untuk membina kemudahan yang serupa di Kuantan dan di Melaka.

Pelabuhan di Kuantan akan jadi pangkalan hadapan (forward base) di Laut China Selatan. Ia akan menjadi pangkalan penyudah kepada rantaian pelabuhan yang sedang dibina dari tanah besar China ke Semenanjung Tanah Melayu melalui pulau-pulau dan terumbu yang sedang dituntut atau sudah pun dirampas oleh China di bawah strategi dua rantaian pulau.

Malaysia termasuk dalam dasar maritim China

Kemudian untuk mengawal Selat Melaka, China akan bina sebuah kompleks pelabuhan raksasa yang dianggarkan berharga RM43 bilion di Melaka.

China tetap akan berkembang. Kalau tidak ia akan menjadi kacau-bilau dan kembali menderita kekurangan makanan dan kebuluran. Kebuluran tahun 1959-61 dianggarkan membunuh lebih 15 juta rakyat China.

Yang menjadi persoalan adalah cara negara-negara serantau bertindak balas.

Adakah kita serah bulat-bulat kepada selera besar China dengan melacurkan negara kita kerana kita kemaruk duit atau kita bertindak secara terhormat selaras dengan kedudukan kita sebagai negara merdeka?

Perlukan kita memberi taraf pemilikan tetap (freehold) kepada hartanah yang sedang dibangunkan oleh China macam di Forest City sedangkan kepada rakyat jelata kita sendiri kita makin utamakan pajakan 99 tahun?

Kita tahu Perdana Menteri Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil, Mohd Najib Abdul Razak sedang kelemasan akibat hutang 1MDB lebih RM50 bilion dan sedang mencari sumber kewangan baru bagi membiayai kegiatan politiknya.

Tetapi apakah sampai menjadikan Malaysia negara sundal dan gundik kepada negeri China?

Ini bukan isu emosi atau cauvinisme tetapi realiti geopolitik di mana China sedang membina sfera politiknya sendiri bagi melawan Amerika, India dan Eropah dalam perlumbaan menguasai sumber mentah dan pasaran.

Apakah kita akan membiarkan Najib dan konco-konco beliau mengorbankan dasar berkecuali dan bebas kita semata-mata untuk mencari duit bagi menimbus bangkai 1MDB yang beliau sendiri cipta?

Atau kita akan berusaha sedaya upaya mempertahankan dasar yang dipelopori oleh Allahyarham Tun Abdul Razak itu?

Wallahuaklam.

Datuk A Kadir Jasin

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa