Thursday, June 22, 2017

Hebat Rahman Dahlan ni......

mk  -   Hari ini, 12:29 tengahari
DOJ jawab kenyataan Rahman Dahlan oleh kinitv

Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat berkata saman sivilnya untuk merampas aset yang dikaitkan dengan dakwaan penyelewengan dana 1MDB adalah termasuk semua butiran yang relevan supaya kepercayaan yang munasabah dapat dibuktikan semasa perbicaraan.
Ia menjawab kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang mengatakan bahawa DOJ memberi gambaran seolah-olah isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor terlibat dalam salah laku jenayah dengan mengaitkannya dengan berlian yang didakwa dibeli menggunakan dana yang disalahgunakan dari 1MDB, walaupun ia tidak berniat untuk merampas barang kemas tersebut.
DOJ memberitahu Malaysiakini menerusi emel bahawa undang-undang menghendakinya menyatakan fakta yang cukup terperinci untuk membuktikan satu kepercayaan yang munasabah bahawa ia akan menang dalam perbicaraan.
"Ini bermakna kita perlu menyatakan fakta yang mencukupi untuk menunjukkan satu kepercayaan yang munasabah bahawa undang-undang pengubahan wang haram Amerika Syarikat dan undang-undang jenayah yang lain telah dilanggari dan bahawa aset subjek adalah terlibat dalam atau dikesan kepada transaksi haram ini.
"Di samping aduan itu memberikan satu butiran yang mencukupi untuk secara khusus mengenal pasti harta yang tertakluk kepada pelucuthakan dan untuk memperjelaskan asas kes kerajaan sekiranya sesiapa yang mempunyai tuntutan yang sah ingin mencabar kes kami. Mengenal pasti orang dan entiti membantu fungsi itu," tambahnya.
Menurutnya, tiada kesimpulan yang sepatutnya dibuat, dalam apa cara sekalipun, tentang status individu-individu atau entiti-entiti, hanya kerana mereka dinamakan dalam dokumen.
DOJ dalam pemfailan baru minggu lepas mengatakan bahawa AS$4.5 bilion (kira-kira RM19 bilion) telah didakwa dicuri dari 1MDB.
Ia berusaha untuk merampas aset bernilai AS$1.7 bilion (RM7.3 bilion), yang dikatakannya dibeli dengan wang dicuri itu di AS dan di tempat lain, di bawah undang-undang pengubahan wang haram negara itu.
Saman DOJ setebal 251 halaman yang difailkan pada hari Khamis tidak menyebut nama Rosmah, tetapi menyebut bahawa isteri "Malaysian Official 1" (MO1) yang tidak dinamakan, diberi hadiah kira-kira AS$30 juta barang kemas oleh individu yang berkaitan dengan 1MDB, Jho Low.
DOJ memberitahu Malaysiakini bahawa ia tidak akan merampas barang kemas yang diberikan kepada isteri "MO1".
Abdul Rahman semalam menamakan Rosmah dalam hubungan dengan tuntutan DOJ itu. Beliau pada tahun lepas juga mengenal pasti MO1 sebagai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, tetapi menegaskan bahawa Najib tidak dinamakan sebagai defendan dalam kes itu.
Najib telah menafikan semua dakwaan salah laku yang berkaitan dengan 1MDB, manakala Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali telah membersihkan Najib dan mengecam DOJ kerana membayangkan PM seolah-olah ada kaitan dengan salah laku jenayah.
Low, yang dinamakan oleh DOJ, adalah sahabat keluarga Najib manakala seorang lagi defendan, Riza Aziz adalah anak lelaki Rosmah.
Sebagai responnya, Low berkata dakwaan DOJ itu tidak berasas.

1 comment:

  1. Klu kau tu bukan pakar undang2, jgn lah dok persoal department of justice usa. Shafee pun tak tentu boleh dipilih bekerja di doj. Apandi tak payah cerita. Samalah jg sama ada pensyarah di uum layak dipilih bekerja di harvard. Standardnya tak sama

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa