Thursday, June 22, 2017

Penyerang masih hidup kerana campur tangan Imam

Ini sebabnya pemandu van putih serang jemaah masjid masih hidup
  | June 20, 2017
Orang ramai sudah mula mengepung lelaki berusia 47 tahun itu yang menjerit 'Saya akan bunuh semua orang Islam'. Tetapi dia selamat.
Darren Osborne menjerit ‘Saya akan bunuh semua orang Islam’ ketika merempuh vannya di luar sebuah masjid di London.

PETALING JAYA: Serangan ke atas sekumpulan umat Islam yang baru selesai solat tarawih di London semalam mungkin merebak dan tidak terkawal, kalau bukan kerana tindakan pantas seorang imam masjid berdekatan yang merayu supaya penyerang tidak diapa-apakan.
Mohammed Mahmoud, imam di Pusat Kebajikan Islam di Finsbury Park di utara London, berkata beliau baru selesai mengimami solat apabila seorang pemuda meluru masuk memberitahu jemaah sebuah van putih sengaja merempuh orang ramai.
Di luar masjid, sekumpulan orang awam sudah pun menangkap pemandu van itu, Darren Osborne, lelaki tempatan berusia 47 tahun yang menyebabkan seorang terbunuh dan 11 lagi cedera.
Saksi berkata Osborne menjerit “I’m going to kill all Muslims” (Saya akan bunuh semua orang Islam) ketika merempuh vannya ke arah orang ramai di kaki jalan, sejurus selepas solat tarawih sekitar 11.30 malam. Dia menganggap tindakan itu adalah sebagai membalas serangan dilakukan 3 lelaki Islam di pusat bandar raya London pada 4 Jun, yang meragut 8 nyawa.
Lelaki itu hampir pasti dibelasah orang ramai yang mengepungnya kalau bukan rayuan Mahmoud yang cuba meredakan kemarahan.
Sesetengah daripada mereka sudah mula membelasah dan menendang lelaki itu yang terbaring di atas jalan.


Seorang pemilik kafe berdekatan yang menjadi saksi kejadian itu memberitahu akhbar The Guardian: “Imam tiba dari masjid dan berkata, ‘Dengar, kita berpuasa, ini bulan Ramadan, kita dilarang bertindak sebegini. Tolong berundur’,” katanya.

“Itu sebabnya lelaki itu masih hidup pada hari ini. Itu sahaja sebabnya. Kalau bukan kerana imam itu, dia tidak ada lagi.” 


Tindakan Mahmoud menerima pujian ramai, termasuk Datuk Bandar London, Sadiq Khan.


“Bila keadaan tidak terkawal, dan kita memahaminya, Imam Mohammed menenangkan situasi dan memastikan keadilan boleh dan perlu dicari menggunakan saluran betul,” Sadiq memberitahu Sky News. 


Sementara itu, imam tersebut berkata beliau turut dibantu oleh orang lain. 


“Saya bukan sendiri, ada sekumpulan lain. Mereka tenang dan berjaya menenteramkan orang ramai dan memadamkan api kemarahan yang mungkin mencetuskan huru hara kalau bukan campurtangan mereka ini yang bersikap matang,” kata Mahmoud kepada pemberita. 


Insiden semalam adalah peristiwa berdarah ke-3 di London sejak permulaan Ramadan, selepas serangan pengganas di pusat bandar itu dan kebakaran pangsapuri Grenfell Tower di utara Kensington yang setakat ini dipercayai meragut lebih 50 nyawa.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa