Friday, September 15, 2017

Hilang jeritan, timbul kematian: Aku yang membaca ni pun gugur air mata!

Hilang jeritan, timbul kematian
Diterbitkan pada 15 Sep 2017 7:00AM

Tahfiz schools: the story so far oleh themalaysianinsight

ANGGOTA bomba muda itu melabuhkan punggung pada kerusi plastik dan kemudian menyapu “habuk” dari butnya. Matanya merenung kosong bangunan pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur. Dia baru saja selesai mengeluarkan mayat 23 pelajar dan guru tahfiz yang terbunuh dalam kebakaran di tingkat tiga bangunan itu beberapa jam sebelumnya.

Di bawah bahang matahari awal petang semalam, anggota bomba itu, Mohd Osman Aziz bermandi peluh tetapi badannya yang melekit dan bajunya yang basah tidak sedikit pun mengganggunya.

Dia lebih nampak terganggu dengan habuk yang berbuku pada but dan menyelaputi lengannya, melekat kerana bercampur peluh.

“Ini bukan habuk. Ini abu daripada mayat yang terbakar yang saya pungut tadi. Muda-muda lagi semuanya,” kata Osman.  

Dia cuba hendak bertenang tetapi bayangan tubuh-tubuh rentung terkujur yang diangkatnya keluar satu persatu mengingatkannya kepada adik lelaki di kampung.

Adiknya, anak keempat daripada tujuh beradik, sekarang belajar di sebuah sekolah tahfiz di Terengganu.

“Saya tengok mayat-mayat itu, saya teringat pada adik saya. Kacau betul. Tapi kita kena tenang sebab nak buat kerja,” kata Osman.

Foto-foto sekitar kejadian

Anggota bomba berumur 25 tahun merupakan sebahagian daripada pasukan pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat Keramat yang dikejarkan ke tempat kejadian awal pagi semalam.

Dia dan rakannya Rahim Mohd Rashid, 26, bergegas ke bangunan itu sebaik tiba untuk menyelamatkan beberapa pelajar yang hendak terjun dari tingkat dua bangunan yang sedang dijilat api. Aras dua bangunan itu menempatkan asrama tempat 23 mayat rentung tersebut ditemui.

Selepas menyelamatkan lima remaja, termasuk seorang bayi, anggota bomba itu naik ke asrama selepas diberitahu ada pelajar masih terperangkap.

“Tempat itu gelap, sangat gelap. Asap tebal. Bau daging terbakar menyengat hidung,” katanya.  

Menurutnya lagi, api dapat dikawal lebih kurang pukul 6 pagi. Sewaktu dia naik ke asrama di lantai dua itu, bahangnya masih lagi terasa tetapi dia meredahnya juga.

“Kemudian saya nampak mayat-mayat yang rentung. Saya tak ingat di bahagian mana dan berapa banyak. Nampak berlonggok. Nampak macam mereka berpelukan sebelum ajal datang. Ada yang nampak bertindih. Ada juga beberapa mayat lagi di satu sudut lain.”

"Saya tak usik apa-apa, tunggu forensik datang,” katanya.
Saya cuma boleh bayangkan ketakutan mereka. Apa yang saya boleh saya hanyalah menguruskan mayat-mayat itu dengan penuh hormat. Mereka sudah meninggal dunia, kata Rahim Rashid anggota bomba yang antara pertama tiba di tempat tragedi. – Gambar The Malaysian Insight, 15 September, 2017

Ingatan rakan sekerjanya Rahim lebih jelas lagi. Pakaian seragamnya juga berselimut abu. Berkali-kali dia menepuk dan menguis lembut pakaiannya, membuang abu yang melekat.

“Bohonglah kalau saya kata tak ada rasa apa-apa. Saya manusia juga. Boleh tak kita bayangkan melihat mayat mangsa yang semuda itu begitu? Ramai pulak tu. Saya tengok semuanya pagi tadi. Ada rasa sebak di dada tapi tak keluar air mata. Sedih? Tentulah rasa sedih,” katanya, ketika ditemui di tempat kejadian pada petang semalam.

Dia menceritakan bagaimana dia melihat beberapa mayat dalam keadaan berpelukan di bawah katil dekat dinding, selonggok lagi di satu sudut lain asrama juga dalam keadaan berpelukan.

“Saya cuma boleh bayangkan ketakutan mereka. Apa yang saya boleh saya hanyalah menguruskan mayat-mayat itu dengan penuh hormat. Mereka sudah meninggal dunia. Saya cuma boleh sedekahkan doa sambil angkat mayat-mayat itu keluar,” katanya.

Penyelianya Hamzah Aziz berkongsi sentimen yang sama.

“Ada orang tanya, apakah saya tak lali tengok apa yang saya nampak. Tidak ada orang yang boleh kata hatinya tidak tersentuh. Semua orang yang masuk ke bilik itu menitiskan air mata,” katanya.

Dua puluh satu pelajar dan dua guru tahfiz terbunuh dalam kebakaran itu. Empat lagi pelajar berjaya menyelamatkan diri.

Seorang penduduk setempat, antara yang awal tiba di lokasi kejadian, berkata dia mendengar jeritan mangsa meminta tolong namun tidak dapat berbuat apa-apa kerana pintu bangunan itu sudah dijilat api. Katanya, dia nampak beberapa orang pelajar terjun dari bangunan manakala beberapa lagi yang lain menggelungsur melalui saluran paip.

Empat pelajar dalam keadaan kritikal sementara tiga mengalami cedera ringan, semuanya dirawat di Hospital Besar Kuala Lumpur.

Sehingga malam tadi, sekurang-kurangnya dua mayat sudah dikenal pasti dan diserahkan kepada keluarga, lapor agensi berita Bernama. Kementerian Kesihatan memaklumkan proses pengecaman identiti menggunakan ujian DNA sedang dijalankan dan keputusannya dijangka akan diketahui lewat hari ini.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, api dipercayai bermula pukul 5.10 pagi di tingkat atas bangunan yang menempatkan asrama.

Pengarahnya Khirudin Drahman berkata siasatan pihaknya turut bertumpu pada kemungkinan kebakaran itu berpunca daripada perbuatan khianat. – 15 September, 2017.

3 comments:

  1. Hі there would you mind letting me know which webhost you're utilizing?
    I've loaded your blog in 3 different internet browsers and I must say this blog loads a lot quicker then most.
    Can you suggest a good web hosting pгovider at a fair price?
    Thanks, I appreciate it!

    ReplyDelete
  2. Great article! We will be linking to this particularly great post on our site.
    Keep up the great writing.

    ReplyDelete
  3. Hello friends, its impressive post concerning tutoringand completely explained, keep it up all the time.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa