Friday, September 15, 2017

Nilai Maruah Melayu: Article menarik yang aku terlepas pandang

SUNDAY, SEPTEMBER 03, 2017
Nilai Maruah Melayu Amat Murah

A Kadir Jasin

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

SEMUA bangsa mengaku ia bermaruah. Begitu jugalah dengan Melayu.
Nilai maruah Melayu hanya beberapa ringgit

Malah kalau kita dengar ketua-ketua Umno bercakap, jalan ceritanya amat menakutkan - Melayu akan hilang maruah dan jadi bangsat kalau parti mereka kalah pilihan raya.

Tetapi berapakah nilai maruah dan kebumiputeraan Melayu?

Jawapan yang sepatutnya ialah “tidak ternilai” (priceless). Maruah dan kebumiputeraan Melayu tidak boleh atau tidak akan dijual beli.

Tetapi ketua-ketua Umno dan konspirator bukan Melayu mereka dari MCA, Gerakan, MIC dan PPP telah meletakkan tanda harga kepada maruah dan kebumiputeraan Melayu dalam  beberapa bentuk.

Ikut nilai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), harganya di antara RM450 hingga RM1,200 satu kepala setahun. Bagi yang tertinggi, jumlahnya RM100 sebulan atau bersamaan RM3.33 sehari.

Kalau di Lembah Klang, ikut harga runcit Fama, bolehlah beli dalam 800 gram kangkung dan 500 gram daging ayam.

Tapi ikan kembung nampaknya tak mampu. Kalau harga RM20 sekilo, bolehlah beli hanya 166.5 gram sehari.

Itu nilai maruah dan kebumiputeraan orang Melayu ikut ukuran BR1M yang kononnya dicadangkan oleh Bank Negara.

Tapi sekarang ada satu lagi ukuran iaitu penanak nasi (rice cooker).

Hal ini menjadi tular dalam media sosial apabila tiga orang ketua Umno Perlis – (Datuk Seri) Shahidan Kassim, (Datuk) Zahidi Zainul Abidin dan (Datuk) Rozabil Abdul Rahman – dikenakan saman oleh seorang peniaga kelengkapan elektrik, Florence Lee Jye Wen, atas tuduhan mungkir janji.

Lee mendakwa tiga watak itu membuat tempahan dengannya bagi membeli 60,000 unit penanak nasi elektrik ukuran 1.8 liter dengan logo “DSSK” dicetak di atasnya.

Pembaca boleh mendapat maklumat lanjut di sini. Mohon maaf pautan dalam bahasa Inggeris. Tak jumpa berita dalam bahasa Melayu.

Kalau ikut butir dakwaan wanita Cina itu, harga maruah dan kebumiputeraan Melayu hanyalah RM74. Itulah harga seunit penanak nasi tersebut.

Itu pun untuk tempoh empat atau lima apabila berlaku pilihan raya umum (PRU).

Tetapi oleh kerana Melayu yang hendak dipertahankan maruah dan kebumiputeraannya oleh Umno itu banyak yang miskin, melarat dan diperbodohkan oleh media terkongkong, maka mereka gembira menerima dedak dan serdak ekonomi yang kononnya pesat terkembang itu.

Realitinya rakyat jelata semua peringkat tidak sesenang dulu lagi, kecuali kucing-kucing gemuk dan anjing-anjing atasan. Rujukan kepada kucing dan anjing itu adalah daripada ungkapan Inggeris "fat cats" dan "top dogs".

Maka tidak hairanlah kalau dalam ibadah korban tahun ini, bilangan haiwan korban berkurangan tapi bilangan fakir miskin yang mendaftar untuk dapat habuan meningkat.

Wallahuaklam.

Posted by A KADIR JASIN at 11:08 AM

1 comment:

  1. Kalau nilai maruah yg boleh dibeli oleh wang ringgit begitu murah bagaimana pula dgn maruah puak2 PAN yg dibeli dgn hanya undi saja sehingga DAP berfesta arak pun tak sanggup bersuara!

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa