Thursday, November 16, 2017

Kes rasuah: Speaker Parlimen Indonesia songlap RM723 juta diburu

Speaker Parlimen Indonesia diburu kes rasuah terus bersembunyi
TMI · Diterbitkan pada 16 Nov 2017 8:27PM
Waran tangkap terhadap Speaker Parlimen Indonesia, Setya Novanto berhubung dakwaan penyelewengan dana pemerintah berjumlah sehingga RM723 juta. – Gambar AFP, 16 November, 2017.

SPEAKER Parlimen Indonesia, Setya Novanto, yang "hilang" selepas hendak ditangkap oleh agensi anti rasuah republik itu malam tadi, sehingga kini masih menyembunyikan diri dan gagal dikesan, hampir 24 jam setelah operasi menangkap dia di rumahnya di Jakarta Selatan tidak berhasil, lapor media di negara itu.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Indonesia (KPK) memberi amaran jangan ada mana-mana pihak melindungi ketua umum Parti Golkar itu daripada tindakan undang-undang, lapor The Jakarta Post.

"Mereka yang melindungi atau menyorok (Setya) boleh dihukum penjara tiga hingga 12 tahun, mengikut undang-undang rasuah," kata jurucakap KPK, Febri Diansyah, seperti dipetik laman web akhbar itu.

Agensi anti rasuah itu awal hari ini memberi tempoh kepada speaker Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) berkenaan untuk menyerah diri dengan segera, dan sekiranya gagal berbuat demikian, namanya akan disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki.


Sementara itu, badan masyarakat aktivis anti rasuah mula menyebarkan poster orang buruan dengan tulisan: "Dicari Ketua DPR Setya Novanto" dan maklumat KPK untuk dihubungi.

Setya minggu lalu dinamakan untuk kali kedua sebagai suspek kes penyelewengan projek kad pengenalan elektronik (e-KTP), dua minggu selepas membatalkan pertuduhan pertama melalui perintah mahkamah pada akhir September lalu.

KPK pertama kali menamakan speaker itu sebagai suspek pada 17 Julai lepas, dengan dakwaan jadi dalang utama penyelewengan dana projek tersebut sehingga menyebabkan kerugian kira-kira RM723 juta. Dia menafikan semua tuduhan.

KPK setakat ini percaya Setya masih berada di Indonesia kerana tiada rekod imigresen dia sudah meninggalkan negara, malah dia sudah dikenakan sekatan perjalanan selama enam bulan sejak 2 Oktober lepas.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa