Syukur kepada Allah saya dikurniakan kesihatan yang baik
dan Rezeki yang dikira ok
Dikurniakan Isteri yang penyayang
Anak-anak yang baik
Di bawah kek yang dihadiahkan oleh Adik (anak ke dua)
PANDANGAN DAN PENDAPAT BERDASARKAN PENGALAMAN SENDIRI MENYOKONG YANG BENAR MENENTANG YANG SALAH DARI SUDUT PANDANGANKU
Kami tersedar yang kami dipermainkan bila Pelanduk yang memang tepat kena tembakan dan nampak macam melambung dan hilang. Malam itu memang gelap pekat. Di langit tidak ada walau pun sebutir bintang. Bulan juga nampaknya tidak akan muncul sebab ketika ini adalah awal bulan. Kami masuk semakin jauh ke dalam. Tiba-tiba arwah abang berkata "Din tengok tu, suluhkan tepat ke mukanya senang abang nak bidik di antara dua matanya". Saya ikut arahannya dan "Daam" bunyi tembakan memecah sunyi malam. "Eh abang, kenalah. gerenti punya" memang saya yakin tembakan tepat pada sasaran dan nampak Pelanduk itu tercampak ke perdu pokok.. Saya berkejar ke perdu pokok itu diikuti oleh abang dengan pisau sembelihnya. Namun apa yang kami lihat bukannya Pelanduk tetapi sehelai daun kering yang besar tembus terkena peluru.
Begitulah seterusnya tiga lagi Pelanduk di tembak tetapi apa yang kami dapat lihat hanya daun kering yang besar atau pokok kecil yang tercabut. Semua tembakannya saya pasti tepat mengena sasaran. Tapi hasilnya habuk pun tak ada. Sepatutnya kami boleh membawa pulang sekurang-kurang tiga ekor Pelanduk. Kami kehairanan. Memang kami sedar kami dipermainkan. Abang ajak saya ke kawasan lain pula. Katanya memang orang di sini tidak mahu melepaskan habuan kita.
Sedang kami merayau-rayau dengan mata melilau kami terhidu bau yang cukup busuk macam bau taik atau Kilang Getah diselang seli dengan bau harum semerbak. Dengan spontan abang berkata kepada saya “ Din, ini hantu Pari atau Jembalang Hutan” Saya gelak dan pandang abang dengan berkata “Hantu ni bodohlah, tak kanlah dengan membuat bauan busuk dan harum kita boleh pengsan kerana takut!” Lalu abang membalas dengan berkata “Tak menjelma tak apa. Kalau menjelma aku tembak berterabur macam aku tembak Pelanduk tadi. Nak terburai tali perut cubalah menjelma kalau berani”. Saya hanya sengih sebab kalau tembak pun bukannya kena. Saya tahu abang hanya mengugut.
Kami cuba melangkah keluar dari situ tetapi kami kehilangan denai/trek. Kami dapati dilingkungi oleh hutan dan semak yang tebal. Abang sudah mula marah sebab tempat itu memang tempat dia dan sudah biasa. Lagi pun bukannya jauh sangat ke dalam. Sedang kami mencari trek di puncak bukit kecil itu, saya terjumpa satu Pokok Ara yang buahnya lebat dan muda. Saya petik setangkai untuk dibuat ulam. Apabila kami tinggalkan pokok itu, barulah saya perasan kepelikannya. Ada ke Pokok Ara tumbuh di puncak bukit? Selalunya pokok Ara akan tumbuh di tebing sungai atau berdekatan dengan sumber air.
Abang pula berkata “Sepatutnya kita takek pokok tadi atau abang tembak saja. Mungkin itulah Jembalannya yang menjelma menjadi pokok. Itulah penyakat kita!” Saya hanya sengih sebab kami sudah jauh tinggalkan pokok itu. Setelah sekian lama merayau di puncak bukit itu, kami cuba turun sedikit dan kami terjumpa denai menurun dan akhirnya kami tiba ke bawah bukit. Kami menemui pula satu trek yang agak besar yang boleh di lalui Jeep.
Dari situ kami masuk pula ke kawasan lain cuba mencari habuan. Setelah puas merayau dan mengesan Pelanduk, namun kami hampa. Seekor Pelanduk pun tidak melintas dan ditemui. Kami keluar balik ke jalan besar tadi dan berjalan ke kereta. Apabila tiba di satu anak sungai ketika saya nak menyeberangi satu titi, tiba-tiba muncul seekor Tenggiling yang besar menyerbu ke kaki saya. Dengan pantas saya mencabut Pisau Belati di pinggang saya, saya ketuk kepala Tenggiling itu dengan hulu pisau dengan kuat. Nak tikam pun tak guna sebab Tenggiling diselaputi dengan sisik yang keras dan tebal.
Apabila terkena ketukan saya, Tenggiling itu terus melarikan diri ke dalam semak. Satu lagi kepelikannya, selalunya Tenggiling akan melarikan diri dari manusia tetapi yang ini menyerang kita pula. Pada pendapat saya itu bukanlah sebenarnya Tenggiling tetapi Jembalang. Padan mukanya sudah merasa penagan hulu pisau saya. Jadi malam itu kami pulang dengan tangan kosong. Kami tiba di rumah jam sudah hampir 2.30 pagi.