Ini saya saja nak bercerita. Sesiapa yang nak percaya, percayalah. Kalau tak percaya pun, itu hak masing-masing yang perlu kita hormati.
Suatu senja selepas maghrib di Gua Lahat, Gunung Stong. Saya terpaksa turun berseorangan ke Kampung Jelawang untuk mengambil keperluan dan terpaksa juga naik semula ke Gua Lahat pada malam itu juga. Di pendekkan cerita bila tiba di bawah, selesaikan apa yang patut, saya ambil kesempatan untuk isi perut dengan mee goreng di sebuah warung. Selesai makan saya mula mendaki untuk naik ke gua. Pendakian mengambil masa 3 ke 31/2 jam untuk sampai ke Gua Lahat. Saya mula mendaki pada 9.30 malam berseorangan.
Semasa mendaki saya terasa sunyi dan bersungut sendirian "Tak ada ke sesiapa nak escort aku naik ni, boring betul" Dalam itu pun saya terus berjalan. Semasa berjalan saya merasakan ada sesuatu yang kekadang beriringan dan kadang kala pula mengekori di belakang saya. Saya berkata " Hei! aku sebenarnya tidak perlukan teman, Yang Maha Agung sudah temankan aku". "Tapi kalau kau ikut aku di atas kehendak Allah, aku terima kau dan sekiranya saja-saja kau nak ikut aku, aku tidak menerima kau".
Saya terus berjalan tetapi makhluk itu terus juga ikut. Saya kata "Ok tak apa, kalau itulah kehendak Allah, kau ikutlah" Saya terus juga berjalan tetapi kesunyian tidak terasa lagi. Yang lebih menghairankan saya, tak sampai 3 jam saya sudah tiba di gua. Cukup laju perjalanan saya. Siapa dan apa sebenarnya yang menemani saya, saya tidak tahu. Selepas peristiwa itu saya perasan setiap kali saya mendaki, bila bersendirian saya perasan "dia" ada.
Satu masa yang lain saya hampir terjatuh dari satu batu yang agak tinggi. Sewajarnya saya sudah jatuh sebab sebelah kaki telah tergelincir dan beban yang saya pikul pula hampir 20kg. Tangan saya memang tidak dapat berpaut pada apa-apa pun sebab di atas batu mana ada pokok atau dahan. Ketika keadaan terhuyung hayang itu, saya rasakan ada sesuatu menolak saya berdiri tegak semula di atas batu. Alhamdulillah, saya selamat.
Di masa yang lain pula saya mencuba freehand climbing (tanpa tali) di satu dinding batu semula jadi di Pantai Bukit Keluang. Dinding itu sebenarnya terjadi akibat bukit yang dihakis ombak. Tinggi dinding batu ini lebih kurang 150 ke 200 kaki. Saya panjat bersendirian dan Mat, seorang kawan rapat saya tunggu di bawah. Bila tiba pada ketinggian lebih kurang tahap 100 kaki tiba-tiba batu yang saya pegang relai (loose) dan menjadi lembut. Jadi tidak ada tempat yang keras dan kuat untuk saya berpaut. Tempat yang saya jadikan foothold juga mula relai. Memang masalah. Nak turun tidak boleh, nak naik pun tidak boleh. Tapi alhamdulillah saya tidak panik. Saya rileks dengan bertempek pada dinding batu macam katak lembik. Mat sudah berlari mendapatkan tali dan mendaki ke puncak dari arak kaki bukit untuk hulurkan tali membantu saya. Orang ramai sudah mula berkumpul di bawah. Tengok saja, memang nak tolong tidak boleh.
Di dalam saya berfikir dan terkial-kial itu saya nampak satu akar sebesar ibu kaki keluar dari dinding batu agak 2 meter dari saya. Saya cuba bergerak secara perlahan-lahan dan cermat. Saya hentakkan hujung kasut ke dinding batu buat foothold baru dan berjaya. Sikit demi sikit saya bergerak dan akhirnya saya dapat capai akar tersebut dan saya selamat sampai ke puncak. Yang anihnya semasa saya tersangkut dan semasa mengesot itu, saya rasakan badan saya ringan dan stabil. Saya rasa sehingga kini, hanya saya yang berjaya panjat dinding batu itu tanpa menggunakan tali.
Pada masa yang lain pula semasa saya menuruni gunung dengan berlari. Pada satu kawasan curam saya gagal berhenti, terus menyusur laju. Tiba-tiba saya nampak ada balak sebesar 2 pemeluk yang tumbang membujur arah. Disebabkan gagal berhenti kerana mementum larian di tempat curam saya terus lompat ke atas batang balak sambil berlari. Saya tergelincir dan melambung jatuh ke atas balak dengan kuat. Bila terhempap ke atas balak, saya melambung lagi dan jatuh ke bawah. Dari atas balak ke tanah agak tinggi juga lebih kurang lapan kaki. Saya jatuh punggung dahulu dan terjelepuk di atas tanah yang berbatu.
Yang anihnya semasa jatuh dan melambung di atas balak dan melambung pula ke atas tanah dari aras yang tinggi saya rasa macam ada benda lembut yang menjadi alas di kedua-dua tempat saya jatuh. Saya bingkas dan teruskan perjalanan macam biasa. Bila tiba di tempat rehat, seketika Mat sampai. Dia kata semasa saya terjatuh tadi, dia di belakang saya dan nampak macam mana saya jatuh. Dia melopong sebab berdasarkan kelajuan saya berlari dan kuatnya impak saya jatuh dari aras setinggi itu, sepatutnya saya pengsan atau cedera. Tapi dia nampak saya bangun selamba saja dan meneruskan perjalanan.
Di Gunung Ledang, semasa trekking bersendirian juga saya ditemani. Banyak lagi peristiwa yang sepatutnya saya tidak akan selamat tetapi saya tetap selamat. Walau apa pun makhluk itu yang menemani saya tapi teman yang sebenar saya adalah Allah subhanahuwa taala.
Akhirnya apakah "benda" itu terjawab jua. Pada suatu masa saya ke rumah seorang teman yang mengamalkan Tarekat. Bila saya sampai dan berada di hadapannya selepas bersalam dia berkata "Eh, nak datang sini pun bawa escort juga?". Rupanya dia boleh nampak! Dari teman saya inilah baru saya tahu siapakah makhluk itu. Perkara ini hanya saudara Kerajaan Rakyat tahu!
Wallahu Aklam.