Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Showing posts with label Sultan. Show all posts
Showing posts with label Sultan. Show all posts

Friday, December 1, 2017

Sultan Nazrin selar soal siasat menyeksa, mendera

mk      Hari ini, 12:05 pm
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini menegur perbuatan individu dan pendirian institusi tertentu di negara ini yang membenarkan petugas mereka melakukan pelbagai tindakan atas nama melindungi Islam namun sebenarnya mencemarkan imej agama suci itu.

Titah baginda tindakan seperti kaedah soal siasat yang mengandungi elemen seksaan dan deraan, walaupun dibuat atas tujuan mahu menguatkuasakan peraturan demi melindungi Islam, telah menyebabkan kesucian dan nama baik Islam di negara ini semakin tercalar.

"Malaysia adalah sebuah negara yang harum namanya lagi dihormati dalam kalangan negara-negara Islam dan bukan Islam kerana amalan kesederhanaan beragama.

"Kata-kata penghinaan yang diungkapkan dan tindakan-tindakan berunsur dendam, ugutan, tangkapan, tahanan dengan kaedah soal siasat yang mengandungi elemen-elemen seksaan dan deraan memberi imej tersangat negatif terhadap cara Islam diamalkan di negara ini," titah baginda. Sultan Nazrin bertitah demikian pada sambutan Maulidur Rasul 1439H Peringat Negeri Perak di Ipoh.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Selain itu, baginda juga mahu perbuatan memulaukan kumpulan atau memutuskan silaturahim sesama individu hingga ke tahap enggan menguruskan jenazah hanya kerana perselisihan tafsiran dan pandangan, wajib dihentikan serta dibanteras secara tegas.

"Islam menganjurkan kesederhanaan. Majoriti umat yang berpegang kepada amalan kesederhanaan wajib bangun bersuara dan jangan sama sekali merelakan untuk ditenggelami oleh kumpulan ekstrem yang minoriti," titah Sultan Nazrin.

Baginda juga bertitah supaya penyeru kebenaran meneliti metodologi dakwah serta kaedah yang digunakan untuk menangani pelbagai isu agama terutama generasi muda. Ini terutamanya dalam menghadapi perubahan pesat sosial budaya pada era kebangkitan teknologi dan umat yang lebih celik huruf, lebih terpelajar dan lebih terdedah terutama generasi muda, titah baginda.

Baginda bertitah Islam sewajarnya dilindungi dan dikembangkan melalui pendekatan berhemah, secara sopan serta terhormat dan dilaksanakan tanpa paksaan, tekanan dan kekerasan serta perbuatan yang boleh menjatuhkan aib.

“Islam hendaklah dipertahankan kebenarannya dan dilindungi kesuciannya melalui perbincangan dan penghujahan berdasarkan fakta dan kebenaran dalam semangat yang menghormati kelainan dan perbezaan pandangan," titah baginda.

Pada sambutan itu, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan Anugerah Keluarga Mithali kepada Ismail Abdullah dari Bukit Merah, Bagan Serai yang menerima wang tunai RM5,000, sijil, plak serta hadiah iringan.

Baginda juga berkenan menyampaikan Anugerah Imam kepada Bahari Ahmad dari Kampung Temelong, Lenggong; Hussain Lebai Ismail dari Felda Sungai Klah, Sungkai (Anugerah Muazzin); Saad Brahim dari Kampung Masjid Batu, Kuala Kurau (Anugerah Siak) dan Muhd Nassir Thanabalan Abdullah dari Taman Seri Raiya, Ipoh (Anugerah Pendakwah).

Kesemua mereka menerima wang tunai RM3,000, plak dan sijil serta hadiah iringan, masing-masing.

Thursday, November 9, 2017

Cuba libatkan Raja pulak......

Adun BN ke istana Selangor desak tindakan ke atas Dr Mahathir

 | November 9, 2017
Memorandum itu turut mendesak menteri besar menyatakan pendirian sebenar kerajaan negeri mengenai ucapan menyindir perdana menteri sebagai 'lanun Bugis'.
Adun BN, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan (3 dari kiri) menyerahkan memorandum sokongan kepada Datuk Mohamad Munir Bani (berbaju batik) di Istana Bukit Kayangan pagi tadi.

SHAH ALAM: Sembilan Adun Barisan Nasional (BN) Selangor hari ini tiba di Istana Bukit Kayangan di sini bagi menyatakan sokongan kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah yang membidas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad atas ucapan yang dikatakan menghina keturunan Bugis bulan lalu.
Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan yang mengetuai rombongan itu menyerahkan memorandum yang mendesak Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan pendirian sebenar pentadbirannya mengenai Dr Mahathir.
“Memerondum ini adalah bagi membantah tindakan DUN Selangor menolak usul bagi membahaskan isu kenyataan Mahathir sedangkan ia perkara berkepentingan kerana Sultan Selangor sendiri selaku ketua negeri telah menzahirkan kemurkaan baginda,” kata Adun Kuang, Datuk Abdul Shukur Idrus ditemui pemberita di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
Memorandum diserahkan kepada Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani.
Menurut Shukur, Munir berkata Sultan Selangor “harap sangat sokongan kepada baginda”. 
Adun lain yang turut sama ke istana ialah Jakiran Jacomah, Datuk Hakimaton Saadiah Bohan, Shahrum Sharif, Budiman Mohd Zohdi, Datuk Rosni Sohar dan Datuk Aminuddin Setro.
Semalam, BN Selangor mempersoalkan keputusan Speaker, Hannah Yeoh, untuk menolak usul tergempar membahaskan isu kenyataan Dr Mahathir.
Azmin ketika ditemuia semalam berkata perkara itu boleh diselesaikan cara baik tanpa penglibatan media pro-Umno.
Dr Mahathir pada perhimpunan anjuran Pakatan Harapan di Petaling Jaya pada 14 Oktober menyindir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai “keturunan lanun bugis”.
Ia mengundang respon Sultan Selangor, yang berasal daripada keturunan Bugis, yang mahu bekas perdana menteri itu disiasat di bawah Akta Hasutan.

* BerkaitanIsu Bugis boleh selesai cara baik, kata Azmin

Tidak perlu serah memorandum hina Bugis kepada Sultan

Sunday, October 15, 2017

Mulut Zamihan punya pasal

Putrajaya mohon mengadap Sultan Johor jelaskan isu Zamihan
TMI  -  Diterbitkan pada 14 Oct 2017 11:18PM
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Othman Mustapha akan mengadakan pertemuan dengan Sultan Johor bagi menjelaskan isu berhubung pegawainya. – Gambar fail EPA, 14 Oktober, 2017.

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memohon untuk mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bagi menjelaskan isu berhubung pegawainya, Zamihan Mat Zain yang didakwa menghina institusi diraja.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan malam ini, Ketua Pengarah Jakim, Othman Mustapha berkata beliau dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir Baharon akan mengadakan pertemuan dengan Sultan Johor bagi menjelaskan isu berhubung pegawainya.

“Jakim amat menyanjung tinggi atas titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar Sultan dan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta'zim berkaitan dengan Jakim pada hari ini.

“Justeru, saya selaku ketua pengarah Jakim dan Jamil Khir akan segera memohon perkenan untuk mengadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor berkaitan isu Zamihan Mat Zain pegawai kader Jakim di Penjara Kajang yang menyampaikan ceramah menyentuh tentang dobi mesra Muslim seperti yang ditularkan di media sosial,” katanya sebagaimana dipetik daripada kenyataannya.

Ia susulan kenyataan dikeluarkan Sultan Johor yang melarang Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jainj) berurusan dengan Jakim ketika Majlis Konvokesyen ke-17 di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia hari ini.

Baginda juga berkata, Jakim tidak dialu-alukan untuk menasihati Johor dalam hal ehwal agama Islam kerana perkara itu terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Ia susulan kemurkaan baginda terhadap pegawai Jakim, Zamihan yang dalam ceramahnya pada Ahad lalu mengkritik larangan Sultan Johor mengenai larangan dobi untuk orang Islam.

"Beberapa orang mufti dan pakar agama telah keluarkan pandangan dan hujah mereka berkaitan perkara ini, namun malangnya ada pula seorang penceramah bernama Ustaz Zamihan Mat Zin yang mengkritik tindakan saya dan memperlekeh mufti-mufti tersebut.

"Gaya cakapnya sangat angkuh dan sombong, seolah-olah dia sahaja yang betul dan mencerca bangsa lain.

"Saya anggap dia hanya seperti tin kosong yang tidak ada otak," katanya.

Jakim pada Rabu mengesahkan Zamihan adalah seorang pegawai di jabatannya tetapi dipinjamkan kepada Kementerian Dalam Negeri untuk ditempatkan di Jabatan Penjara. – 14 Oktober, 2017.

Wednesday, June 14, 2017

Angkara Zamihan, Sultan terpaksa campur tangan

Mufti Selangor temui mufti WP atas arahan sultan

  | June 13, 2017
Tamyes Abd Wahid enggan mengulas lanjut pertemuan hari ini, namun ia dipercayai susulan dakwaan 'penyelewengan' mufti Wilayah Persekutuan oleh Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia.

PETALING JAYA: Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abd Wahid hari ini menemui Datuk Dr Zulkifli Mohamad atas arahan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Bagaimanapun, Tamyes enggan mengulas lanjut mengenainya.
“Saya belum sempat menghadap tuanku, jadi tidak boleh menjelaskan apa-apa,” katanya ketika dihubungi FMT.
Beliau berkata demikian susulan sekeping gambar yang dimuat naik ke Facebook mufti Wilayah Persekutan hari ini.
“Sohibus Samahah Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid dan Sohibul Fadhilah Mohd Basori Umar KPP (Ketua Penolong Pengarah) Bahagian Dakwah Jais (Jabatan Agama Islam Selangor) yang melakukan kunjungan hormat ke pejabat kami.
“Semoga tautan ukhwah Islamiah hingga ke jannah,” tulis Zulkifli di Facebooknya petang tadi.
Pertemuan itu dipercayai diadakan ekoran pembentangan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja), Zamihan Mat Zin bertajuk “Penyelewengan mufti Wilayah Persekutuan dan kaitannya dengan ajaran Wahabi” kepada Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor (Mais) pada 7 Jun lalu, yang turut dihadiri Tamyes.
Beliau sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya belum membuat sebarang keputusan susulan pembentangan itu dan akan bertemu dengan Zulkifli.
Zamihan dilaporkan berkata, beliau dijemput untuk membentangkannya, namun menyerahkan soal tauliah Zulkifli kepada Mais.
PETALING JAYA: Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abd Wahid mengakui hadir sebuah pembentangan oleh seorang pendakwah bebas yang menuduh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad sebagai menyeleweng dan berfahaman Wahabi.
Tamyes bagaimanapun berkata tidak ada sebarang keputusan diambil setakat ini selepas pembentangan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja), Zamihan Mat Zin, kepada Majlis Agama Islam Selangor, semalam.
“Bukan semudah itu untuk mengambil tindakan. Pembentangan dibuat Zamihan adalah daripada hasil dapatan dia. Kita hanya dengar dan jawatankuasa masih belum buat keputusan,” katanya kepada FMT.
“Kita akan panggil Mufti Wilayah sebab dalam Islam jika ada apa-apa perkara, perlu tabayyun (mencari kebenaran). Kena tanya pada empunya diri sendiri.

Monday, April 10, 2017

Sultan Muhammad V: Pandangan dari bekas guru baginda

Sifat kepimpinan Sultan Muhammad V terserlah sejak di sekolah rendah
10 April 2017 | MOHD FAKRI AWANG LAH (Bernama)
Sultan Muhammad IV

Sifat kepimpinan dan sikap terbuka Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail jelas terserlah sejak di bangku sekolah lagi.

Sifat terbuka ini begitu memudahkan guru, Seman atau nama sebenarnya Kamarulzaman Hassan  memainkan peranan sebagai seorang pendidik dalam memberi didikan terbaik kepada Seri Paduka.

Ketika itu baginda belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Ismail I di sini.

Pernah, pada satu ketika Seman menegah pengawal keselamatan yang cuba membantu baginda, sebagai seorang murid kecil, mengangkat meja dan kerusi.

"Saya menegah pengawal tersebut kerana ia merupakan satu bentuk didikan kepada baginda dan Alhamdulillah, baginda dapat menuruti arahan yang saya keluarkan," kata Seman ketika ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Lembah Sireh di sini.

Seman, 72, yang mengajar di SK Sultan Ismail I pada 1976-1985 berkata ketika pertama kali baginda dihantar ke sekolah itu, bonda baginda Tengku Anis membawa bersama rotan ketika berjumpa dengan guru besar.

Seman berkata, Tengku Anis berpesan kepada guru besar agar merotan anakandanya itu jika melanggar arahan pihak sekolah.

"Saya juga sering menyelitkan nasihat dalam bentuk agama ketika mendidik baginda dan rakan-rakannya dalam kelas kerana saya anggap murid-murid sama seperti anak saya sendiri," katanya.

Seman berkata baginda mempunyai sifat penyabar dan tidak berkonfrontasi dengan rakan-rakan sebaya.

"Jika marah kepada rakan-rakan, baginda tidak mengambil tindakan sendirian dan hanya berdiam diri," katanya.

Sikap terbuka baginda, sekalipun berketurunan diraja, juga terlihat dalam menerima pendapat daripada rakan sebaya.

"Dari kecil lagi baginda sudah menunjukkan bakat kepimpinan dengan mengambil pendekatan berbincang dengan rakan-rakan.

"Baginda cemerlang dalam akademik dan aktif berpersatuan, dan pernah dilantik sebagai Ketua Pengawas di sekolah berkenaan," kata Seman.

Mengulas mengenai pencapaian baginda dalam bidang pelajaran dan ko-kurikulum, Seman yang merupakan guru bagi mata pelajaran Sejarah dan Geografi berkata baginda merupakan seorang yang fokus kepada pembelajaran.

Baginda juga antara pelajar cemerlang yang mendapat keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), kata beliau.

"Baginda juga aktif berpersatuan, antaranya menyertai Persatuan Muzik," katanya.

Seman yang kini lumpuh separuh badan akibat serangan angin ahmar berkata baginda masih mengingatinya walaupun telah lama mereka tidak bersua muka.

Ini terjadi semasa banjir pada 2014.

"Ketika itu, kebetulan baginda sedang meninjau keadaan banjir di sekitar Kota Bharu dan terserempak dengan anak saya yang bekerja sebagai anggota bomba.

"Baginda bertanyakan khabar mengenai diri saya dan pada sebelah malamnya sebuah pacuan empat roda datang ke rumah dan menyerahkan bantuan makanan yang dikirimkan baginda," katanya.

Istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V akan berlangsung di Balairung Seri, Istana Negara pada 24 April ini.

Sultan Muhammad V dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-15 menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahan pada 12 Disember tahun lalu.

Friday, March 31, 2017

Ooo.....ini rupanya Tan Sri penyogok tu, dah diheret ke Mahkamah! - video inside

'Tan Sri' cuba sogok Sultan Johor diheret ke mahkamah
mk      Hari ini, 12:13 tengahari

Ahli perniagaan bergelar Tan Sri yang dikatakan cuba merasuah Sultan Johor untuk mendapatkan gelaran dari Yang Di-Pertuan Agong hari ini dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk mendapatkan perintah reman.

Suspek berumur 54 tahun itu tiba di mahkamah berkenaan dengan berpakaian lokap berwarna oren pada jam sekitar 9.30 pagi tadi, memetik laporan Utusan Online.

Semalam, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki mengesahkan individu
yang dikaitkan dengan cubaan merasuah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyerah diri di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.

"Siasatan sedang dijalankan," kata Azam.

Azam ketika ditemui pemberita pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang SPRM di Putrajaya sebelum itu memberitahu, SPRM memberi tempoh sehingga 12 malam semalam kepada individu yang cuba merasuah Sultan Johor itu untuk menyerah diri.

Media yang berkumpul di pekarangan ibu pejabat SPRM itu tidak dapat melihat kelibat lelaki berkenaan.

Difahamkan, lelaki itu menyerah diri bersendirian dan tidak ditemani peguam.

Sementara itu, Bernama melaporkan, suspek ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan kes cubaan merasuah Sultan Ibrahim.


Perintah reman yang bermula hari ini sehingga 4 April itu dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan permohonan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM kerana secara rasuah meminta atau menerima atau bersetuju untuk menerima bagi dirinya atau mana-mana orang lain sebagai dorongan untuk melakukan atau tidak melakukan apa-apa jua perkara atau transaksi yang berkaitan kesalahan.

Dia diwakili tiga peguam iaitu Datuk K Kumaraendran, Datuk Joshua Kevin dan JR Tey.

Pada 25 Mac lalu, Sultan Johor mendedahkan baginda menerima tawaran RM2 juta daripada seorang individu untuk mencadangkan nama kepada Ketua Setiausaha Negara bagi mendapatkan gelaran "Tan Sri" daripada Yang di-Pertuan Agong.
 

Wednesday, March 15, 2017

Adakah ini isyarat yang banyak lagi akan dibongkar di Johor?

Tiada tempat untuk individu korup di Johor
MOHD FIRDAUS YON - 15 MAC 2017
TMJ

JOHOR BAHRU - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan tiada tempat individu mahupun pihak tidak berintegriti dan korup di negeri ini.

Menurutnya, individu yang diberikan amanah dan tanggungjawab diingatkan supaya menjalankan kewajipan untuk berkhidmat kepada rakyat dengan baik.

“Saya ingin beri nasihat sedikit terhadap isu berbangkit berkaitan dengan negeri Johor Darul Ta’zim.

“Perlu saya ingatkan di negeri Johor ini tidak akan ada tempat untuk mereka-mereka yang tidak mengamalkan integriti dalam tugasan yang diberikan serta terlibat dengan budaya korup.

“Kepada mana-mana individu yang diberi amanah dan tanggungjawab, jalankan kewajipan anda untuk berkhidmat kepada rakyat dengan baik,” katanya seperti dipetik dari laman Facebook Johor Southern Tigers, semalam.

Tunku Ismail berkata, individu yang mengutamakan kepentingan peribadi lebih daripada rakyat juga tidak layak berada di negeri ini.

“Sekiranya anda mengutamakan kepentingan peribadi lebih daripada rakyat, sebagai mana yang DYMM Tuanku pernah bertitah, anda tidak layak berada di negeri Johor dan kami akan pastikan anda tidak mempunyai tempat di negeri berdaulat ini,” katanya.

Di KLUANG, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan negeri akan memastikan unsur-unsur rasuah dan penipuan di negeri ini dapat dibanteras dalam usaha menjayakan Gagasan Johor Berkemajuan.

“Ini peringatan kepada semua bahawa dalam zaman ini banyak mata memandang. Mereka yang diberikan amanah oleh rakyat perlu melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin kerana apa pun yang kita lakukan kita tidak akan terlepas.

“Apa pun yang berlaku, kita percaya PDRM dan SPRM ada maklumat lebih lengkap, biarkan badan  ini menjalankan siasatan,” katanya.

Katanya, kes penahanan seorang exco kerajaan negeri dan tangkapan sindiket berkaitan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri Johor baru-baru ini seharusnya jadi pengajaran kepada semua.

Kaitan: 'Istana tak campur tangan, tak akan lindungi sesiapa'

Monday, November 7, 2016

Harakahdaily atau PAS yang biadap terhadap istana?

Harakahdaily biadab terhadap istana Kelantan
 | ZIKRI ABDULLAH
Artikel Hari Ini Dalam Sejarah yang disiarkan di HarakahdailyArtikel Hari Ini Dalam Sejarah yang disiarkan di HarakahdailyTindakan Pas menerbitkan artikel yang dianggap menghina Sultan Ismail Petra amat mengejutkan rakyat Kelantan.
Artikel bertajuk Hari ini dalam sejarah PAS (6 November 1996) menyebut Baginda Sultan Kelantan itu telah 'dimalukan' kerana tidak dibenarkan menyertai mesyuarat Majlis Raja-raja Kali Ke-174 amat mengejutkan rakyat Kelantan.
Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan, Hazmi Hassan mahu Pas dan lidah rasminya Harakahdaily segera menarik balik artikel berkenaan kerana perkara ini mencabar kehormatan raja dan rakyat negeri itu.
"Kita minta mereka (Pas) tarik balik kenyataan konon Sultan dimalukan kerana allahyarham Tok Guru sudah tiada dan Sultan Ismail berada dalam keadaan gering," katanya ketika menghubungi Malaysia Dateline.
Menurutnya, artikel sebegini sangat tidak sesuai dan menimbulkan pelbagai persepsi dan portal rasmi Pas seharusnya peka terhadap persekitaran semasa dan sensitif dengan perkara sebegini.
"Kita amat kesal dan tertanya-tanya apa motif dan faedah Harakahdaily mengeluarkan berita sebegini," katanya.
Dalam artikel berjudul "Sultan Kelantan gagal sertai mesyuarat majlis raja-raja" yang disiarkan harakahdaily semalam, disebut pada hari ini dalam tahun 1996, Sultan Kelantan, Sultan Ismail Perta telah gagal menyertai mesyuarat Majlis Raja-raja Kali Ke-174 di Istana Negara, Kuala Lumpur kerana tidak diiringi oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat atau wakilnya.
"Keengganan Menteri Besar Kelantan melantik wakilnya ke mesyuarat Majlis Raja-raja ekoran krisis politik Kelantan ketika itu telah menyebabkan Sultan Kelantan yang menghadiri mesyuarat tersebut bersama Timbalan Menteri Besar II Kelantan, Dato' Mohamed Rozali Isohak telah tidak dibenarkan menyertainya," kata artikel itu.
Turut disebut, Sultan Kelantan yang enggan diiringi oleh Menteri Besar kerana krisis ini, dan juga gagal diiringi oleh Ustaz Dato' Abdul Halim Abdul Rahman kerana tidak diberi pelepasan oleh Menteri Besar, terpaksa membawa Timbalan Menteri Besar II, Dato' Mohamed Rozali Isohak sebagai pengiring dalam mesyuarat pada 6 November 1996 itu tanpa surat pelepasan Menteri Besar.
"Oleh kerana kedua-dua Timbalan Menteri Besar tersebut tidak diberikan surat pelepasan untuk mengiringi Sultan Kelantan, Baginda Sultan Kelantan telah 'dimalukan' kerana tidak dibenarkan menyertai mesyuarat Majlis Raja-raja Kali Ke-174 pada 6 November 1996 tanpa diiringi oleh Menteri Besar atau wakilnya," artikel berkenaan ditamatkan.

* ini kena tanya pengendali Harakah. Nak pakai siku dan lutut jugakah nak tepis?

Saya bukan ‘penjilat’, ‘penderhaka’,

Saya bukan ‘penjilat’, ‘penderhaka’, kata Syed Saddiq

  | November 6, 2016
Syed Saddiq melahirkan kekesalan kerana perbezaan pendapat tidak diraikan.
PETALING JAYA: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempertahankan tindakannya menulis surat terbuka kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dengan berkata beliau bukan “penjilat” atau “penderhaka”, sebaliknya seorang yang berprinsip.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan di Facebook, Syed Saddiq melahirkan kekesalan kerana perbezaan pendapat tidak diraikan.
Ini terbukti dengan beberapa tuduhan “penjilat” yang diterimanya apabila memuji Sultan Johor dan Tengku Mahkota Johor (TMJ) dalam beberapa isu.
Namun, apabila beliau berbeza pendapat dengan Sultan Johor, orang yang sama memanggilnya “penderhaka”.
“Bila saya menulis surat memuji tindakan Sultan dan TMJ kerana lantang bersuara menentang rasuah, saya dipanggil ‘penjilat’. Bila saya menulis surat mengutuk tindakan YB Nazri Aziz yang merendah-rendahkan TMJ, saya dipanggil ‘penjilat’.
“Bila saya menyokong usaha Tuanku untuk menggagaskan semangat pemuafakatan sesama kaum dan agama melalui #BangsaJohor, saya dipanggil penjilat. Bila saya menyokong kenyataan TMJ untuk menubuhkan sekolah satu aliran demi perpaduan, saya dipanggil ‘penjilat’.
“Malangnya, orang sama yang sebelum ini memanggil saya ‘penjilat’, sekarang ini memanggil saya ‘penderhaka’ kerana berbeza pendapat dengan Tuanku,” katanya.
Menerusi kenyataan itu juga, beliau mengakui baru sahaja dimaklumkan akan disiasat di bawah Akta Hasutan kerana surat terbuka itu.
Hari ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memaklumkan pihaknya akan memanggil Syed Saddiq untuk diambil keterangan dalam siasatan berhubung kandungan surat terbuka yang ditujukan kepada Sultan Johor.
Dalam surat terbuka yang dimuat naik di laman Facebooknya, Syed Saddiq mengkritik larangan mengadakan demonstrasi di Johor yang dititahkan Sultan Johor pada Khamis lepas.
Siasatan dibuat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan.
Ketua Armada PPBM disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan

Saturday, October 29, 2016

Sultan Kelantan berjalan malam bersama rakyat

ROSMIZA KASIM - 28 OKTOBER 2016
Sultan Kelantan berjalan malam bersama rakyat

KOTA BHARU - Sejarah terus terlakar apabila Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, berkenan berjalan sambil beramah mesra dengan lebih 21,000 rakyat jelata sempena Walkaton D' Raja Kelantan 2016, Let' Go With Me di sini malam ini.

Baginda bersama rakyat jelata memulakan perjalanan sejauh tujuh kilometer bermula dari perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV sehingga ke Jambatan Sultan Yahya Petra dan kembali semula ke stadium.

Baginda berjalan beramai-ramai bersama rakyat bermula jam 10 malam yang tutrut disertai ditemani adindanya, Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra.

Turut sama berjalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan kepimpinan kerajaan negeri yang lain.

Acara yang pertama kali diadakan pada sebelah malam itu juga ‘bermandi cahaya’  dan terdapat kelainannya dengan kemeriahan tembakan bunga api serta persembahan kebudayaan di setiap 'check point'.

Walaupun hujan lebat pada awalnya namun rakyat jelata tidak berganjak dan terus setia bersama-sama baginda untuk menjayakan program malam ini.

Baginda tiba di perkarangan stadium pada jam 9.40 malam. ‎

Program yang memasuki edisi kelima sebelum ini dikenali sebagai Walk With Me itu merupakan cetusan idea daripada baginda sendiri untuk bersama dengan rakyat jelata dan ia turut dicatat di dalam Malaysia Book of Records.

Tuesday, May 3, 2016

Masalah dengan istana mungkinkan Razif tidak kekal lama

Majoriti, hubungan dengan istana mungkinkan Razif tidak kekal lama, kata Mustafa Ali
03 Mei 2016 | MALAYSIA DATELINE
PM umum Razif kekal

“Kerajaan tidak boleh berjalan dengan stabil dan saya tidak yakin Ahmad Razif boleh kekal lama sebagai Menteri Besar Terengganu kerana kerajaannya kurang majoriti,” kata Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas Pusat, Dato’ Mustafa Ali dalam satu sidang media yang diadakan di Pusat Media, Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat), Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu seperti dilaporkan buletinonline.net.

Menurutnya kedudukan Ahmad Razif semakin sukar apabila Sultan Terengganu, Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin melucutkan semua darjah kebesarannya.

"Dari segi moral seseorang apabila Sultan menarik balik gelaran darjah kebesaran ianya membawa implikasi yang besar," katanya.

Menurut beliau, perkara itu tidak boleh dipandang ringan kerana melibatkan moral seseorang sekaligus menjejaskan imejnya.

Katanya, bagaimana kerajaan boleh berjalan dengan baik jika hubungan seorang Menteri Besar dengan Raja yang memerintah negeri tidak harmoni.

“Apabila Tuanku Sultan (Mizan Zainal Abidin) tarik balik gelaran (darjah) yang diberi kepada seseorang itu. Dia mempunyai implikasi yang besar sebenarnya dari sudut politik.

“Perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana seseorang Menteri Besar itu dilantik dengan perkenan Tuanku (Sultan).

“Ertinya, ada sesuatu yang tidak kena dan hubungan sudah tidak jadi baik. Jadi macam mana sesebuah kerajaan boleh berjalan di mana hubungan seorang Menteri Besar dengan seorang Raja yang memerintah, yang berdaulat dalam negeri itu tidak harmoni, tidak baik.

“Kerajaan tidak boleh berjalan dengan stabil juga tidak yakin Ahmad Razif boleh kekal lama sebagai Menteri Besar Terengganu kerana kerajaannya kurang majoriti,” jelasnya.

“Mahu tidak mahu sebagai seorang manusia yang ada moral, tidak ada jalan lain (melainkan) kena buat sesuatu (letak jawatan). Saya tidak fikir dia (Ahmad Razif) akan boleh terus dengan keadaan yang sedemikian rupa.

“Majoriti parti (Umno) yang memerintah sekarang ini terlalu tipis. 17 kerusi asalnya, ditolak dengan Adun Kijal (Ahmad Said) tinggal 16 kerusi. Sebab, 16-16 (kerajaan dengan pembangkang) menjadikan kerajaan telah hilang majoriti,” tegasnya.

Sehubungan itu, kata mantan Exco Kerajaan Pas Terengganu itu partinya tidak akan bersama dengan Umno membentuk kerajaan baharu atau Unity Government (UG).

“Pas tidak memilih untuk membentuk kerajaan atau Unity Government (UG) dengan Umno dan tidak mungkin akan berlaku, itu pendirian yang diambil oleh Pas.

“Saya lihat Pas Terengganu ini bersedia untuk menghadapi pilihan raya. Jadi saya selaku Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, kena tengoklah sejauh mana tahap persediaan Pas negeri untuk pilihan raya.

“Persiapan tetap ada (ke arah) untuk Pas Terengganu menghadapi sebarang kemungkinan berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak,” ujarnya pada sidang media itu yang turut dihadiri Presiden Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat), Ayob Mamat.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak baru-baru ini setelah mengadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zinal Abidin mengumumkan Ahmad Razif kekal sebagai Menteri Besar.

Keputusan itu mengekalkan Ahmad Razif Abdul Rahman sebagai Menteri Besar Terengganu meski pun darjah kebesarannya dilucutkan oleh Sultan Terengganu.

Sultan Terengganu telah melucutkan semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Ahmad Razif berkuatkuasa 22 April lalu.

Thursday, April 28, 2016

Laa.......patut ler......baru berapa bulan di kerusi tu, negeri dijadikan milik peribadi!

Ikut perangai sape tu?

EXCO Terengganu tidak pernah bincang isu beri pulau pada Dr Zakir
 | April 28, 2016
EXCO Terengganu tidak pernah bincang isu beri pulau pada Dr Zakir
ghazali-taib_ahmad-razif_zakir-naik_600
KUALA TERENGGANU: Cadangan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd Rahman menawarkan tiga pulau di Tasik Kenyir kepada pendakwah kontroversi, Dr Zakir Naik tidak pernah dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
EXCO Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-tugas Khas Negeri, Ghazali Taib mendedahkan cadangan sebaliknya keputusan peribadi Ahmad Razif dan beliau mempunyai alasan tersendiri berhubung perkara itu.
“Oleh kerana Menteri Besar yang cakap, maka kena tanya pada beliau. Isu ini juga tidak pernah dibincangkan di dalam mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri Terengganu,” katanya kepada FMT.
Malah, menurut ADUN Ajil itu sebarang penggunaan rizab tanah Kerajaan Terengganu hendaklah mendapat persetujuan daripada Tuanku Sultan.
“Semua tanah di Terengganu ini selain milik individu, adalah kepunyaan kerajaan dan Raja. Bahkan keputusan muktamad Ahmad Razif (mahu beri tanah kepada Dr Zakir Naik) terletak pada Tuanku Sultan. Kalau Tuanku Sultan kata tidak boleh maka kena akur malah, membuat pengumuman tanpa maklum kepada Tuanku Sultan pun sudah dikira salah,” katanya.
Difahamkan, tindakan Zakir memberi syarahan di Terengganu turut tidak disenangi Jabatan Mufti Negeri Terengganu dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, kerana dikhuatiri mungkin menyebarkan ajaran sesat.
Menurut laporan China Press, selain menghadiri ceramah pendakwah dari India itu, Ahmad Razif turut menawarkan tiga pulau di Tasik Kenyir kepada Zakir, bagi tujuan penubuhan cawangan atau pusat penyelidikan Islam bagi rantau Asia Tenggara di negeri itu.
Tindakan Ahmad Razif menyokong pendakwah kontroversi juga diduga sebagai punca darjah kebesarannya dilucutkan Sultan Terengganu.

Wednesday, April 27, 2016

“Ini bukan masalah besar cuma mungkin masalah dalaman Terengganu" - Betul ke bukan masalah besar?

Lucut darjah kebesaran tidak gambarkan krisis politik

April 26, 2016
Bukan masalah besar cuma mungkin masalah dalaman Terengganu, kata menteri
azalina-rzaif
KUALA LUMPUR: Pelucutan semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, tidak menggambarkan krisis politik di negeri itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata melucutkan sesuatu darjah kebesaran yang dikurniakan merupakan hak Sultan sesebuah negeri.
“Bagi saya, tidaklah saya rasa ada krisis politik. Itu merupakan hak Tuanku sama ada mahu memberi atau menarik balik sesuatu darjah. Ia tersenarai dalam peraturan dan perlembagaan negeri itu.
“Ini bukan masalah besar cuma mungkin masalah dalaman Terengganu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Jamuan Penghargaan Bekas Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.
Sultan Mizan Zainal Abidin melucutkan semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Ahmad Razif berkuat kuasa Jumaat 22 April, dan perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu kepada Bernama semalam.
Azalina yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO yakin langkah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menghadap Sultan Mizan dalam masa terdekat akan dapat menyelesaikan spekulasi terutama dalam kalangan rakyat negeri itu.
Beliau juga yakin Ahmad Razif akan terus menerajui Terengganu sebagai Menteri Besar.
-BERNAMA

Sunday, April 24, 2016

Memeranjatkan: Apakah isu sebenarnya........baru beberapa hari dok di kerusi tu!

Isu gelaran ditarik: Ahmad Razif elak bertemu wartawan
Astro Awani |  April 24, 2016 13:28 MYT
Isu gelaran ditarik: Ahmad Razif elak bertemu wartawan
Beliau dilihat bergegas menaiki kenderaan rasminya ketika dikerumuni wartawan pada Ahad. - Foto Astro AWANI
TERENGANU: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman enggan mengulas lanjut berhubung desas-desus penarikan semula darjah kebesaran Istana Terengganu oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

Beliau dilihat bergegas menaiki kenderaan rasminya ketika dikerumuni wartawan selepas Majlis Persidangan Wakaf Senusantara 2016, Hotel Primula pada Ahad.

Di majlis tersebut, gelaran rasmi Datuk Seri dilihat tidak digunakan oleh pengacara majlis dan digantikan dengan sekadar gelaran Yang Amat Berhormat (YAB) Menteri Besar Terengganu.

Pada Jumaat, terdapat laporan mengatakan bahawa Razif menyerahkan semua darjah dan bintang kebesarannya selepas dimurkai oleh pihak Istana ketika beliau mengiringi Tuanku Sultan Terengganu menunaikan solat Jumaat.

Sehingga kini, tiada kenyataan rasmi yang dikeluarkan pihak Istana berkenaan perkara ini, mahupun titah rasmi oleh Sultan Mizan.

Ahmad Razif, 49, yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir telah mengangkat sumpah sebagai MB Terengganu ke-14 di hadapan Sultan Mizan pada 12 Mei, 2014.

Beliau mengangkat sumpah menggantikan Datuk Seri Ahmad Said yang meletak jawatan sebagai MB Terengganu susulan krisis politik yang melanda negeri itu.
Ahmad Razif dianugerahkan pingat Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZ) yang membawa gelaran Datuk Seri sempena sambutan ulang tahun ke-53 pada 24 April 2015.

Sunday, September 27, 2015

Apa kena dengan Polis Wanita ni? Biol atau sengaja cari penyakit?

Anggota Polis Wanita Hina Sultan Johor dan Pahang...
 SUARAKAMI 


PUTRAJAYA - "Raja Paling Sial", itulah kenyataan seorang wanita yang juga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dimuat naik di laman Facebook miliknya, semalam.
"Raja yang paling sial aku kenal Raja Johor dengan Raja Pahang. Raja Johor perangai macam iblis. Raja Pahang kaki perempuan. F*ck semua raja-raja yang ada dalam Malaysia ni. Bullshit," katanya.
Tidak diketahui apakah motif anggota bernama Rashidah Rijal berpangkat konstabel ini. Namun, tindakannya itu dikritik oleh rakan-rakannya sendiri. 

Justeru, orang ramai meminta PDRM menyiasat akaun Facebook ini yang dipercayai anggota PDRM ini dan dikenakan tindakan tegas jika terbukti bersalah.

Ketika artikel ini ditulis, Facebook wanita ini masih lagi aktif.