Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Umno kini dilihat begitu tenat selepas berdepan pelbagai krisis termasuk yang tidak pernah dialami dalam sejarah penubuhannya.

“Saya kira kenyataan Pengerusi BN Negeri, Datuk Mustapa Mohamed (kelmarin) bahawa sekarang masa paling sesuai untuk merampas Kelantan agak terpesong daripada realiti sebenar.

“Misalnya dengan kewujudan ‘pasukan Najib’ dan ‘pasukan Muhyiddin’ yang tidak mustahil akan mencetuskan implikasi tidak baik pada parti itu menjelang pilihan raya umum nanti,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda Pasir Mas berkata, keyakinan rakyat tehadap kemampuan Umno dan BN juga berada pada tahap yang sangat rendah ekoran situasi ekonomi semasa yang tidak menentu.

Dakwanya, mata wang negara yang diniagakan dengan nilai sangat rendah membayangkan keyakinan pelabur asing juga berada pada tahap membimbangkan.

“Sekadar yakin untuk merampas Kelantan bukanlah satu perkara baru bahkan menjelang PRU 2008 dahulu pun, Umno Kelantan pernah menabalkan bakal ‘Menteri Besar’ yang hari ini telah hilang dari landskap politik.

Beliau berkata, Pemuda Pas sedia menyahut cabaran dalam usaha mengekalkan kedudukan parti itu di negeri ini.