PANDANGAN DAN PENDAPAT
BERDASARKAN PENGALAMAN SENDIRI
MENYOKONG YANG BENAR
MENENTANG YANG SALAH
DARI SUDUT PANDANGANKU
Pengumuman
Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)
TUESDAY, SEPTEMBER 01, 2015
A Kadir Jasin SEKARANG tahulah kita mengapa bahtera merdeka kita belayar tidak lancar, penumpang pening dan muntah-muntah, hala tuju entah ke mana, kelasi terpaksa disuap dan diekori sepanjang hari – takut mereka terjun tinggalkan pinisi. Nakhoda Bugis kita tersilap cara. Dia kembangkan layar dan labuhkan sauh. (He raised the sail and dropped the anchor). Ini bukan cerita yang saya reka. Ini nakhoda yang kata. Bernama (ya, Bernama) melaporkannya dan Sinar Harian (SH) menyiarkannya. (Tak percaya sila baca).
Mohd Najib: Nakhoda tersilap cara - Gambar Bernama
Kata nakhoda: “Suka saya ulangi di sini, sekali layar sudah dikembangkan, apabila sauh sudah dilabuhkan, pantang nakhoda dan anak-anak kapalnya berbalik haluan.”
Dalam bahasa Melayu labuh turut membawa erti menurunkan - seperti melabuhkan tirai atau kain. Jadi melabuhkan sauh ertinya menurunkan sauh. Daripada labuh terbitlah pelabuhan.
Kalau dah naikkan layar kanalah naikkan juga sauh. Kalau tidak, tersangkutlah kapal dan terkoyaklah layar. Silap-silap langsung karam.
Status negara dunia pertama? Pemimpin perlu ubah mentaliti terlebih dahulu! 04:30PM Sept 01 2015 oleh Edmund Lee
PANDANGAN: “Anda semua telah menjatuhkan air muka setiap politikus Australia,” kata Stephen Callaghan dalam blognya.
Beliau sudah cukup meluat dengan faedah istimewa perjalanan menggunakan duit pembayar cukai yang dinikmati politikus. Sehinggakan beliau menubuhkan laman GoFundMe dan meminta percutiannya turut didanai sama seperti yang diterima politikus.
Callaghan berkata yang kemarahan masyarakat terhadap kelebihan perjalanan yang diberikan kepada politikus Australia itu dicetuskan oleh tindakan bekas speaker Bronwyn Bishop menggunakan helikopter yang memakan kos A$5,000 bagi satu perjalanan jarak dekat. Kemarahan semakin bertambah apabila kelebihan-kelebihan lain turut didedahkan.
Maklumbalas terhadap permintaannya cukup luar biasa – orang awam menyumbang lebih A$6,000, melebihi sasaran asal iaitu A$5,000.
“Saya sudah mengumpul lebih banyak daripada yang disasarkan, saya tidak menjangka akan menerima langsung pada awalnya.”
Katanya lagi, sebahagian besar sumbangan daripada rakyat biasa “yang turut marah sepertinya”.
Sekian lama menteri-menteri dan pemimpin kita yang berkuasa telah mengambil kesempatan terhadap kita – dengan membelanjakan wang awam seperti milik mereka sendiri.
Mereka lupa yang pembayar cukai seperti kita berhak mendesak agar wang tersebut digunakan secara bertanggungjawab dan untuk kebaikan rakyat, bukannya untuk diri, perniagaan atau kroni mereka.
Pembelian jet peribadi untuk perdana menteri tentunya tidak termasuk dalam harapan kita. Isu itu menarik perhatian apabila kita sedar yang wang tersebut boleh digunakan untuk membina lebih banyak sekolah, klinik atau rumah mampu milik bagi warga yang miskin di pedalaman – ironinya orang yang sama yang mengundi Umno BN dan membuatkan mereka kekal berkuasa.
Pada Desember lalu, Malay Mail menyiarkan artikel yang memetik laporan Global Financial Integrity yang berpangkalan di Washington tentang aliran wang haram di negara-negarga membangun yang mencecah US$1 trilion. Ia menunjukkan tahap korupsi, pengubahan wang haram dan dokumentasi dagangan palsu yang tinggi.
Malaysia berada di tangga ke lima daripada sepuluh negara membangun yang disenaraikan dalam laporan itu dengan US$48.93 bilion keluar dari negara – sesuatu yang pasti membuatkan rakyat Malaysia yang patriotik merasa bangga.
Cara utama untuk mengalirkan wang keluar daripada negara ini adalah dengan mengeluarkan invois transaksi yang salah yang membenarkan pengeksport dan pengimport membiarkan wang itu di luar negara.
Dan skandal 1MDB dan transaksinya yang meragukan juga telah menimbulkan syak wasangka yang amalan tersebut sebenarnya lebih parah berbanding yang dinyatakan dalam laporan.
Akhbar Wall Street Journal telah menyiarkan laporan menggemparkan yang wang daripada akaun pelaburan luar negara berkemungkinan telah disalurkan ke akaun peribadi perdana menteri Najib Razak, walaupun ia dinafikan secara terbuka oleh Najib dan mengatakan ia daripada sumbangan pihak dari Timur Tengah.
Maka apakah perbezaan antara Australia dan Malaysia, apabila kedua-dua warganya secara terbuka menyelar salah laku kerajaannya?
Kita telah “bertoleransi” dengan hal ini berdekad lamanya. Warga Australia pula tahu hak mereka, dan tahu yang mereka boleh mengundi kerajaan baru jika kerajaan sedia ada gagal menepati jangkaan mereka.
Di sini, kerajaan Umno BN pula seperti mentadbir dengan kepercayaan yang kita sepatutnya menepati jangkaan mereka.
Jika “keimpinan melalui tauladan” dijadikan kayu ukur kepada pembaziran, rakyat Malaysia pasti tertanya-tanya sama ada pemimpinnya telah mempunyai hobi baru, iaitu mengumpul jet peribadi – dengan pesawat Airbus ACJ320 sebagai koleksi terbarunya.
Patutkah kita memberikan tepukan dan berkata, “kini semua orang boleh terbang”?
Tentu sekali tidak!
Masakan boleh begitu – apabila kita melihat perdana menteri Britain David Cameron menggunakan keretapi London Underground untuk menghadiri temujanji kerana merasakan ia lebih mudah dan menjimatkan masa. Adakah hal seperti ini akan dapat dilihat berlaku di Malaysia?
Jika perdana menteri kita dan barisan kabinetnya jujur mahu mengubah Malaysia menjadi negara dunia pertama, beliau perlu mengambil langkah pertama dengan mengubah mentaliti mereka sendiri, dan sentiasa membuat perkara yang betul.
Dengan kemerosotan nilai ringgit, peningkatan kos sara hidup, tadbir urus yang lemah dan korup, ia tentunya tugas yang hampir mustahil dan mungkin juga sudah terlambat.
Rakyat Malaysia berhak mendapat yang lebih baik, tetapi adakah kita akan mempunyai keberanian yang cukup seperti Stephen Callaghan dan berkata kepada kerajaan – “Anda memang memalukan!”
Cawangan Khas: Berkhidmat untuk siapa, Umno-BN atau negara? 10:30AM Sept 01 2015 oleh Aziz Bari
SUARA LANTANG: Cawangan Khas (SB) ialah cawangan pasukan polis yang merupakan sebahagian daripada perkhidmatan awam negara. Secara perlembagaan, perkhidmatan awam- walaupun berada di bawah kerajaan yang sedang memerintah- perlu berkecuali dan tidak terikat kepada parti politik.
Tetapi kerana kita telah diperintah oleh Umno-BN sejak 1957 dan Umno nampaknya langsung tidak menghormati Perlembagaan, garis sempadan tersebut telah menjadi kabur. Dan untuk memburukkan keadaan, kita tidak pernah melihat parti lain selain Umno yang mengetuai kerajaan. Semua ini menjadikan pengawai kerajaan merasakan bahawa mempertahankan Umno ialah mempertahankan negara.
Tetapi situasi ini tidaklah unik hanya di Malaysia. Pada era pertengahan 1990-an, malah di United Kingdom, perkhidmatan awam di sana sukar menetapkan sempadan antara kepentingan parti pemerintah dan negara.
Maka tidaklah mengejutkan apabila dilaporkan yang pegawai kanan SB Abdul Hamid Bador merasakan mantan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad ialah perwira negara. Walaupun wujud perkara baik mengenai kontroversi perpindahan pegawai polis itu, yang pasti hasil daripada situasi itu kita mengetahui yang SB bekerja untuk parti pemerintah berbanding mengekalkan sikap berkecuali perkhidmatan awam sepertimana dihendaki oleh Perlembagaan.
Ingat lagikah kejadian di mana SB- iaitu pengarahnya Mohamed Said Awang dan para pegawainya- yang didakwa digunakan oleh Mahathir untuk menjatuhkan bekas timbalan Anwar Ibrahim dalam perbicaraan mahkamah selepas pemecatannya pada hujung 1998?
Malah semua pasukan polis digerakkan oleh Mahathir untuk mengekang penyokong Anwar yang melakukan bantahan jalanan di Kuala Lumpur.
Ketika krisis politik itulah yang menyaksikan KPN ketika itu Rahim Noor (kanan) yang akhirnya disabitkan kesalahan kerana mencederakan Anwar sewaktu dia di tahan di ibu pejabat polis persekutuan.
Mereka yang mengambil bahagian dalam bantahan jalanan itu masih mengingati bagaimana pegawai-pegawai SB yang diletakkan dalam bantahan untuk menjadi agen provokasi semasa bantahan berlangsung. Dalam mahkamah dikisahkan bagaimana pegawai-pegawai ini menyoalsiasat pembantah yang ditahan, termasuklah Abdul Malik Hussin yang dipaksa meminum air kencingnya sendiri!
Saya masih ingat cerita yang diberitahu oleh seorang pegawai SB pada awal 1980an bagaimana Menteri Dalam Negeri ketika itu Musa Hitam menggunakan jawatannya untuk menentang musuhnya Tengku Razaleigh Hamzah dalam pertandingan jawatan timbalan presiden Umno. Musa menjadi timbalan Mahathir yang menggantikan Hussein Onn sebagai presiden Umno dan perdana menteri pada tahun 1981.
Menariknya, kedua-dua Mahathir dan Musa hampir menjadi mangsa apabila polis berada di bawah musuh politik mereka, iaitu Menteri Dalam Negeri Ghazali Shafie, yang merupakan pengganti Musa.
Ini didedahkan oleh Dr Syed Husin Ali dalam memoirnya. Bekas profesor sosiologi Universiti Malaya itu menulis yang SB memintanya untuk mengaitkan Mahathir dan Musa dengan elemen komunis dalam kerajaan. Kemudiannya didedahkan juga yang pentadbiran Hussein Onn memenjarakan beberapa politikus Umno dan pembantah di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 pada lewat tahun 1976.
Perlu juga dikatakan yang Suruhanjaya Dzaiddin, yang merupakan suruhanjaya diraja ditubuhkan oleh Abdullah Badawi pada 2003, mencadangkan rombakan besar-besaran kepada penubuhan dan operasi SB dalam laporan mereka. Suruhanjaya yang ditubuhkan untuk menilai kedudukan dan tugas kerja pasukan polis itu juga mendedahkan korupsi yang berleluasa dalam pasukan polis.
Juga di cadangkan pihak pemantau dalam bentuk IPCMC. Awalnya perdana menteri Abdullah Badawi bersetuju. Tetapi akhirnya dia menarik balik keputusan apabila pihak polis, diketuai oleh KPN Mohd Bakri Omar, memberi kata dua kepada kerajaan. Ini sahaja membuktikan bagaimana Umno sangat bergantung kepada pihak polis untuk kelangsungan politiknya.
Selain daripada SB, kerajaan juga mempunyai sebuah lagi agensi perisikan di bawah kuasa tentera. Seperti SB, ia juga diketuai oleh pegawai berpangkat Jusa B, seorang jeneral tiga bintang. Skim ini nampaknya biasa di amalkan oleh tentera di seluruh dunia, tetapi, sewaktu pilihanraya kecil baru-baru ini di Permatang Pauh, seorang pegawai perisikan tentera di tangkap melakukan aktiviti untuk BN yang calonnya akhirnya kalah.
Memandangkan apa yang kita lihat setakat ini dan apa yang telah dicadangkan oleh suruhanjaya diraja, sudah sampai masanya kita mempunyai agensi perisikan yang lebih telus dan bertanggungjawaban yang mana tugas sebenar mereka adalah untuk keselamatan negara.
Dan jelas sekali, SB tidak boleh kekal seperti kini. Kita mempunyai banyak model di seluruh dunia untuk dicontohi; samada CIA-FBI di Amerika Syarikat atau M15-M16 di United Kingdom. SB yang merupakan legasi pemerintahan British dan zaman darurat memerangi komunis sudah tidak relevan lagi.
Seperti mana-mana demokrasi, agensi ini perlu juga boleh dipantau oleh Pembangkang di Parlimen. Pemimpin politik pembangkang sepatutnya menjadi tuan mereka dan bukannya sasaran mereka sepertimana berlaku di bawah pentadbiran BN selama ini.
Pembayar cukai tidak lagi perlu mengekalkan penjawat awam yang berkelakuan seperti Savak milik Shah Iran atau agen Nazi Gestapo, menzalimi atau cuba memaksa mereka menerima kepentingan parti pemerintah.
Dr Abdul Aziz Bari adalah bekas profesor undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di mana dia mengajar undang-undang selama lebih 22 tahun.
Published: 1 September 2015 12:32 PM | Updated: 1 September 2015 1:31 PM
Bekas setiausaha agung PAS, Datuk Kamarudin Jaffar berkata reaksi PAS yang dilihat berlebihan terhadap aksi segelintir peserta Bersih 4 memijak gambar pemimpin mereka akan menjauhkan lagi parti Islam itu dari pentas utama politik negara. – Gambar fail The Malaysian Insider, 1 September, 2015.
Reaksi PAS yang dilihat berlebihan terhadap aksi segelintir peserta Bersih 4 memijak gambar pemimpin mereka akan menjauhkan lagi parti Islam itu dari pentas utama politik negara, kata seorang bekas pemimpin parti itu.
Ini kerana, tindakan itu hanya akan menjauhkan mereka daripada ratusan ribu peserta Bersih 4 dan penyokong mereka selepas berpisah daripada rakan dalam Pakatan Rakyat iaitu PKR dan DAP, kata bekas setiausaha agung PAS, Datuk Kamarudin Jaffar.
Katanya, tindakan PAS itu juga dibuat ketika mereka sedar perbuatan itu satu provokasi pihak luar dan bukan datangnya dari penganjur Bersih 4, kumpulan reformasi pilihan raya Bersih 2.0.
"PAS akan semakin jauh dari pentas utama politik negara dengan tindakan itu setelah tidak bersama-sama dengan rakyat Malaysia dari pelbagai kaum menyertai Bersih 4.
"Sudahlah mereka tidak bersama Bersih, kini mereka mahu menyerang peserta Bersih dan penganjurnya dengan alasan ada yang memijak gambar pemimpin mereka.
"Padahal mereka tahu itu kes terpencil dan perbuatan agen provokasi," kata Kamarudin kepada The Malaysian Insider.
Ahli Parlimen Tumpat itu mengulas tindakan PAS yang mahu membuat bantahan besar-besaran termasuk laporan polis, ekoran tindakan segelintir peserta Bersih yang dilihat memijak gambar presiden mereka Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Gambar dan video tindakan beberapa wanita yang menyertai perhimpunan Bersih itu kini viral melalui media sosial khasnya kumpulan perbincangan WhatsApp.
Sedangkan pada masa sama, pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB) Mohamad Sabu, juga tidak bersetuju dengan tindakan memijak gambar sebegitu walau dilakukan oleh sesiapapun.
"Perbuatan memijak gambar walaupun dilakukan oleh sesiapa, terhadap sesiapa pun, amat saya tidak setuju," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau sendiri mengakui pernah merasa pilu apabila gambarnya dipijak sebahagian ahli dan pemimpin PAS pada satu demonstrasi di depan pejabat PAS menjelang muktamar tahunan dahulu.
"Saya timbalan presiden ketika itu, alangkah pilu dan malunya saya dan sebahagian pemimpin tidak melenting pun waktu itu," katanya yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu.
Sehubungan itu bagi Kamarudin, tindakan ini selain menjauhkan lagi PAS dari pentas utama politik negara, juga menunjukkan parti itu tidak ikhlas kerana tindakan sebegini juga dilakukan pemimpin mereka sebelum ini.
Kumpulan yang memimpin PAS sekarang juga yang memijak gambar sebahagian yang lain dalam satu demonstrasi di depan ibu pejabat parti ketika berkempen menghalau sebahagian pemimpin yang kini berada dalam GHB.
Sementara itu, ketua Dewan Ulama PAS Pusat Datuk Dr Mahfodz Mohamed hari ini berkata, penghinaan peribadi perlu ditolak dalam amalan berpolitik di negara ini kerana ia merupakan politik emosi dan nafsu.
Katanya, apa yang perlu dikembangkan sebagai gantinya ialah politik ilmu dan politik hujah.
"Insiden ini, meskipun kecil dalam satu himpunan besar seperti Bersih, dan diperlakukan oleh mungkin anak muda yang agak beremosi, mengajak kita para pemimpin utama politik menilai pendekatan dan batasan masing-masing dalam mengemukakan perbezaan pandangan dan pendapat, termasuk dalam berpolitik," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, menjadi kewajipan setiap pemimpin utama mana-mana parti politik mendidik ahli membezakan antara perbezaan pendapat dan penghinaan terhadap peribadi seseorang.
"Penghinaan kepada mana-mana pemimpin utama parti politik boleh mengundang reaksi balas yang tidak dapat dijangka.
"Akhirnya, ia boleh membawa kepada pertembungan yang lebih buruk terhadap keharmonian bermasyarakat" katanya yang mengakui sayap parti itu meneliti dengan prihatin insiden itu menerusi rakaman video yang viral tersebut. – 1 September, 2015. # Kalau pun gambar Najib dan Hadi dipijak, ada tak sesiapa yang bertanya kenapa? Dan apakah salah mereka (Najib dan Hadi) sehingga mereka dibenci sebegitu rupa? Adakah mereka/rakyat saja-saja nak pijak untuk tunjukkan yang mereka memang kurang ajar?
Kesiannya jadi Cina Published: 1 September 2015 | Updated: 1 September 2015 3:00 PM - Mohsin Abdullah
Ketika "era reformasi" dulu, tidak ramai masyarakat Cina menyertai demonstrasi jalanan yang kerap berlaku khusus pada setiap hujung minggu.
Untuk melumpuhkan atau melemahkan semangat peserta demonstrasi yang majoriti terdiri daripada orang Melayu, jentera propaganda kerajaan, yang dianggotai majoriti orang Melayu juga, "mengguna faktor Cina".
Orang Cina mereka tuduh "ketawa dan bertepuk tangan melihat si Melayu reformis bertempur dengan kerajaan yang diterajui orang Melayu". Maksudnya "Cina seronok tengok Melayu lawan Melayu".
Si reformis Melayu mereka tuduh "bodoh kerana dibelasah, disemburi air dan ditangkap polis sementara orang Cina bersorak dan membuat duit". Tidak perlu jadi "genius" untuk tahu matlamat strategi itu ialah supaya seluruh masyarakat Melayu tidak menyokong gerakan reformasi walaupun terdiri majoriti Melayu.
Dalam erti kata lain, Cina diguna untuk momokkan orang Melayu.
Jika trend mengundi pilihan raya umum (PRU) pada 1999 dijadikan kayu pengukur, strategi itu tidak atau kurang berjaya (sedikit huraiannya di hujung rencana).
Namun itu kisah dulu. Cerita baru ialah Bersih. Khasnya Bersih 4.0. Sekali lagi nampaknya "faktor Cina" digunakan.
Perhimpunan 29 dan 30 Ogos lalu menyaksikan penyertaan ramai masyarakat Cina walaupun Melayu, keturunan India dan komuniti lain rakyat Malaysia turut serta.
Namun berdasarkan bilangan mereka, orang Cina dituduh "mahu berkuasa di negara ini dan menjadikan orang Melayu kuda tunggangan". Dan DAP dituduh dalang.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi "mengingatkan" orang Melayu "jangan biar diri diperalatkan DAP". Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia menasihati BN jangan "bersusah payah meraih sokongan Cina kerana usaha itu tidak akan berbuahkan hasil".
Pendek kata Utusan mahu BN "to forget the Chinese after Bersih 4" kerana katanya "sebahagian daripada masyarakat Cina mempunyai keberanian luar biasa menunjukkan protes terhadap kerajaan secara terbuka".
Tentunya ramai masih ingat saranan sama dan tajuk akhbar Utusan "Apa lagi Cina mahu?" berikutan pencapaian kurang memuaskan BN pada PRU13 lalu.
Datuk Seri Najib Razak sendiri menyalahkan apa yang beliau panggil "tsunami Cina" sebagai punca prestasi tidak baik BN ketika itu walaupun kekal memerintah negara.
Benar masyarakat Cina kebanyakan berpaling muka daripada BN. Namun imbas kembali PRU 1999.
Perlu diingat orang Cina yang menyelamatkan BN pada pilihan raya itu - semasa sebahagian besar orang Melayu tidak menyokong Umno dan bersedia menumbang kerajaan BN.
Peranan orang Cina pada 1999 diakui Tun Dr Mahathir Mohamad selaku pemimpin utama BN ketika itu.
Persoalan penting - mengapa orang Cina bertukar daripada penyokong kepada penentang BN? Apa yang mendorong mereka? Persoalan susulan yang tidak kurang penting ialah: Adakah orang Cina saja yang bak kata Utusan Malaysia "punya keberanian luar biasa" sekarang melawan BN? Bagaimana dengan komuniti lain?
Dan adakah sokongan Melayu khususnya di luar bandar terhadap Umno sesuatu yang "terjamin" dulu, kini dan selamanya?
Hayati kata-kata bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi perutusan Hari Kebangsaan tahun ini.
"Pada masa ini, ramai pihak berpandangan negara kita sedang menghadapi masalah defisit kepercayaan yang parah. Kepercayaan rakyat terhadap kerajaan sudah semakin longgar.
“Kepercayaan pelabur dan komuniti perniagaan kepada ekonomi negara semakin luntur,” katanya.
Jika apa yang dikatakan Muhyiddin itu benar, jelas setiap langkah negatif yang membawa kepada keadaan sedemikian tidak berlaku sekelip mata. It did not happen over night.
Sayang Muhyiddin tidak menojolkan kepincangan itu semua semasa beliau berada di dalam Kabinet Najib untuk memperbetulkan keadaan. Atau mungkinkah beliau ada berbuat demikian dan sebab itulah beliau kini berada di luar?
Tidak dapat untuk dipastikan.
Tapi yang pasti , Cinalah yang dijadikan momok. Lantas mudah dipersalahkan. – 1 September, 2015.
Aku berasakan gerakan atau organisasi BERSIH akan mendapat perhatian jawatankuasa pencalonan Hadiah Nobel Untuk Keamanan tidak lama lagi.
Kenapa?
Lima tahun lalu, dalam bulan Ogos 2010, Cambridge University Press menerbitkan sebuah kajian yang sangat penting. Judulnya, Competitive Authoritarianism: Hybrid Regimes After the Cold War yang ditulis oleh dua saintis politik, Steven Levitsky dari Universiti Harvard dan Lucan A Way dari Universiti Toronto. Buku tersebut bagaimanapun bermula dengan sebuah artikel akademik The Rise of Competitive Authoritarianism di sebuah jurnal pada tahun 2002.
Apakah isi mustahak kajian tersebut yang berkait dengan BERSIH?
Kedua-duanya, meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara dibawah kategori ‘rejim hibrid’. Kelompok bersama Malaysia adalah Kemboja, Kenya, Nigeria, Peru, Rusia, Ukraine, Serbia dan Zimbabwe.
Apakah persamaan yang ada antara Malaysia dan negara-negara tersebut? Menurut Steven Levitsky dan Lucan A Way, negara yang disenaraikan di atas adalah pengamal ‘competitive authoritarianism’ atau secara mudahnya, negara yang mana kerajaannya adalah pengamal pilihan raya dengan elemen autoritarianisme.
Harus diingatkan, mereka berdua bukanlah satu-satunya kelompok saintis politik yang pernah menamakan Malaysia selaku pengamal ‘competitive authoritarianism’; bersama dengan mereka, Larry Diamond dengan artikel bertajuk Thinking About Hybrid Regimes turut menamakan Malaysia sebagai negara yang tidak mengamalkan demokrasi penuh di mana nama yang beliau gunakan adalah ‘pseudo democracy’; pada tahun 2008 Leonardo Morlino, seorang profesor sains politik dari Florence, Itali yang menulis Hybrid Regimes or Regimes in Transition? turut meletakkan Malaysia dalam rejim hibrid dengan Tonga, Djibouti, Gabon dan Ethiopia iaitu rejim hibrid yang kukuh dan telah mengalami kestabilan, atau sukar diubah menjadi demokrasi penuh.
Dalam tahun 2011, Jiri Holik dari Association for International Affairs berpangkalan di Prague mengelompokkan Malaysia dalam kategori tersebut menerusi kajian beliau bertajuk Malaysia: Between Democracy and Authoritarianism. Dalam erti kata lain, terminologi ini sudah cukup terpakai dalam bidang sains politik. Atau dalam bahasa yang menyedihkan Malaysia dikelompokkan dalam ‘negara bangsat demokrasi’ oleh ramai sarjana.
Sayugia diingatkan, kepincangan demokrasi di Malaysia bukanlah dibangkitkan oleh cendekiawan luar negara sahaja. Isu ini dibangkitkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia dalam tahun 2007. Dalam satu persidangan sempena hari hak asasi manusia peringkat Malaysia pada 9 September 2007 di Kuala Lumpur, SUHAKAM telah menegaskan bahawa demokrasi bukanlah hanya pilihan raya tetapi ‘apa yang terisi antara pilihan raya tersebut’.
Bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman dalam ucap utamanya ketika persidangan itu mengatakan selepas 50 tahun merdeka, masanya sudah tiba untuk Malaysia melihat semula perjalanan sistem demokrasinya khusus melibatkan pilihanraya. Ia harus dilakukan menerusi dialog dan forum awam. Abu Talib melihat segala ketidakadilan dalam pilihanraya berlaku sehingga menjejaskan keadilan dan kesetaraan yang ditekankan dalam sistem ‘dari rakyat untuk rakyat ini’. SUHAKAM malah menegaskan, secara nyata ciri-ciri penting yang menunjangi ‘competitive authoritarianism’ wujud dalam sistem demokrasi negara ini.
Akan tetapi semua saranan SUHAKAM pada tahun 2007 itu jatuh ke telinga yang pekak. Dalam keadaan bangsat itulah BERSIH muncul untuk rakyat. Meskipun ia dilatari dan sering dijadikan tebusan oleh ahli politik berkepentingan seperti Anwar Ibrahim dan kini Mahathir Mohamad (being hijacked by opportunists politician like Anwar Ibrahim and Mahathir Mohamad) tetapi secara asasnya BERSIH sehingga ini yang keempat adalah gerakan dan milik rakyat atau orang awam.
Terlepas dari itu, sebelum peranan BERSIH dipanjangkan, apakah ciri penting yang mendasari ‘competitive authoritarianism’ yang diamal oleh rejim hibrid? Steven Levitsky dan Lucan A. Way, mengatakan pengamal ‘competitive authoritarianism’ adalah rejim hibrid yang mana, di negara mereka, pertandingan atau pilihanraya yang merupakan komponen paling utama dalam demokrasi tidak setara.
Tiga keadaan paling jelas adalah pertama, institusi kerajaan dicabul, dieksploit dan digunakan sewenang-wenangnya oleh parti yang sedang memerintah. Kedua, mereka yang sedang berkuasa mempunyai kelebihan dalam semua segi berbanding pembangkang hatta ke tarikh penentuan pilihan raya yang tidak pernah diseragamkan dan ketiga, gerakan dan usaha pembangkang sama sekali cacat kerana tidak punya akses kepada sumber awam, media malahan undang-undang digubal untuk memihak kepada parti yang sedang berkuasa.
Kedua-dua saintis politik itu juga mengatakan, dalam rejim hibrid, apa yang ada ialah demokrasi olok-olok di mana kelihatan seolah-olah parti politik boleh bergiat cergas tetapi sebenarnya mereka dikekang dan tidak dapat melakukan apa-apa kerana tangan sedang terikat ke belakang.
Dalam keadaan ilusi sedemikian, pembangkang mungkin memenangi pilihan raya dan percaya atau perasan boleh menang, tetapi hakikat sebenarnya ia tidak akan berlaku sama sekali. Yakni pembangkang tiada peluang untuk mengganti rejim sedia ada.
Steven Levitsky dan Lucan A Way dalam buku mereka, berkali-kali membuat contoh Malaysia termasuklah bagaimana terdapatnya monopoli akses kepada kewangan sektor swasta yang dicipta untuk mendanai pilihan raya.
Mereka malah menyebutkan perihal derma atau pendanaan yang tidak didedahkan sehingga jurang kebolehdayaan bertanding amat jauh. Kedua-duanya menyebutkan di banyak tempat, Mahathir Mohamad adalah antara pencipta, dan pengukuh ‘competitive authoritarianism’ di Malaysia.
Levitsky dan Way menyebut pada tahun 1998-1999, tekanan menerusi undang-undang, legal repression, dilakukan dan dimanfaatkan pentadbiran Mahathir dengan sasaran terhadap jurnalis, editor dan media independen.
Adalah satu yang penuh kebalikan, apabila Mahathir muncul di Dataran Merdeka ketika berlangsungnya BERSIH 4 dan mengatakan “teruskan” sementara isterinya pula menyebut, seperti dilaporkan media, “ini kuasa rakyat”.
Sarjana yang mengkaji fenomena atau gejala ‘competitive authoritarianism’ ini tidak menawarkan satu penyelesaian yang konkrit untuk rakyat atau warga yang menderita di bawah rejim hibrid. Tiada satu solusi yang dapat diguna pakai.
Ini kerana gejala ini masih dianggap baharu dan membingungkan. Para sosiologis masih berhempas pulas memberi penawar kepada ketidakadilan ini. Ini kerana untuk dihujahkan tiada demokrasi, pengamal rejim hibrid seolah-olah mengamalkan demokrasi; untuk mengatakan tiada pilihanraya yang adil, tampaknya ia semacam adil. Saintis politik dalam gagau menanganinya.
Maka dalam galau tersebut BERSIH boleh dikatakan satu fenomena yang juga menarik untuk pengkaji hak asasi manusia sepertiku. Ini kerana BERSIH menggunakan satu strategi yang tidak terfikirkan. Ia mengambil pendekatan aman, dan ia menggunakan pendekatan keingkaran sivil. Setiap larangan pemerintah untuk menghalang mereka akan disahut dengan keingkaran yang kreatif.
Dalam keingkaran sivil, moto terpakai adalah yang diketengahkan oleh Henry David Thoreau “government is best which governs not at all.”
Ia menjadi metode yang digunakan oleh penggiat hak asasi manusia seperti Martin Luther King apabila dengan sengaja dan degil menerokai kemungkinan demokrasi (hak pengundian) untuk bangsa kulit hitam di bandar Selma, Alabama, Amerika Syarikat pada 25 Mac 1965. Dr Martin Luther King mengetuai ribuan demonstran aman, nonviolent demonstrators, dalam satu perarakan berjalan kaki ke Montgomery, Alabama, iaitu selama lima hari. Hasilnya amat menarik, hari ini, hak pengundian untuk bangsa kulit hitam di Amerika diiktiraf malah mereka memiliki Presiden pertama dari bangsa berkulit hitam iaitu pemain golf tegar, Obama.
Tema melawan rejim hibrid pasti menarik minat jawatankuasa Hadiah Nobel tahun ini dan tahun-tahun mendatang. Ini kerana wacana tentang rejim hibrid sangat diminati di Eropah. Apatah lagi BERSIH juga mempunyai satu belahan lain iaitu Global BERSIH yang mana rakyat Malaysia di luar negara melakukan keingkaran sivil dan protes yang sama.
Sekiranya BERSIH mendapat pengiktirafan seumpama itu, iaitu Nobel, ia akan memberi satu jalan besar dan kekuatan moral untuk penentang rejm hibrid di seluruh dunia. Malaysia tentu tidak mahu berada di atas ‘peta yang tidak dikehendaki’. Tidak ada jalan lain untuk menahan ini dari terjadi.
Aku yakin kita perlu kembali kepada saranan SUHAKAM. Bahawa demokrasi adalah ‘apa yang terisi antara pilihanraya tersebut’ dan setelah 50 tahun merdeka, Malaysia perlu muhasabah kembali perjalanan sistem demokrasinya khusus melibatkan pilihanraya. Ia harus dilakukan menerusi dialog dan forum awam.
Oleh kerana cadangan ini masih dipandang sepi, malah dipersendakan, BERSIH menjelma dan menawarkan kepada rakyat yang bingung dan resah satu jalan keluar yang kreatif: keingkaran sivil lawan rejim hibrid. BERSIH akan terus kuat meskipun tiga kali haram difatwakan. Ia malah disahut secara aneh oleh pencipta rejim hibrid itu sendiri; Mahathir Mohamad.
Published: 31 August 2015 7:03 AM | Updated: 31 August 2015 9:22 AM
Kaji selidik menunjukkan perubahan dalam kerajaan dan kepimpinan akan dialu-alukan kebanyakan rakyat Malaysia demi melihat kesejahteraan negara yang dicintai. – Gambar fail The Malaysian Insider, 31 Ogos, 2015.
Sejumlah besar majoriti rakyat Malaysia yang mengambil bahagian dalam satu kaji selidik baru-baru ini berkata, mereka mahu perubahan kerajaan dan kepimpinan ketika negara meraikan ulang tahun kemerdekaan ke-58 hari ini, menunjukkan kebimbangan rakyat terhadap situasi terkini politik negara.
Kaji selidik atas talian dijalankan The Malaysian Insider menunjukkan 67% responden mahu perubahan dalam kerajaan, sementara 22% mahu kepimpinan lebih baik. Sejumlah 9% pula berkata mereka mengharapkan prospek ekonomi yang lebih baik.
Sebanyak 66% mengakui mereka bimbang dengan keadaan hal ehwal negara pada masa ini, sementara 14% bersedih. Hanya 13% yang terlibat merasa gembira dengan keadaan sekarang.
Penganalisis memberitahu The Malaysian Insider, ini menunjukkan kebanyakan rakyat tidak gembira dengan skandal politik dan mengalu-alukan perubahan dalam kerajaan dan kepimpinan.
“Gabungan 80% rakyat sama ada bimbang atau sedih untuk negara. Seseorang itu pada awalnya akan berfikir ini adalah kesan ekonomi yang lemah dan skandal politik, tetapi hampir 90% sebenarnya mahukan perubahan kerajaan atau kepimpinan lebih baik, dengan kurang 10% mahu prospek ekonomi lebih baik,” kata Penganalisis Politik Dr Oh Ei Sun dari S. Rajaratnam School of International Studies, Singapura.
“Ini menunjukkan rakyat faham, paling penting dalam mendorong pembentukan negara Malaysia ialah politik dan bukan ekonomi, dan politik mendorong ekonomi, dan bukan sebaliknya.
“Mereka percaya dengan menyelesaikan krisis politik terlebih dulu, ekonomi kemudiannya akan pulih sendiri,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Sejumlah 8,922 pembaca mengambil bahagian dalam kaji selidik itu, yang dikendalikan di laman web The Malaysian Insider dari 20 Ogos hingga 29 Ogos.
Tiga soalan diletakkan di kaji selidik atas talian itu. Soalan pertama ialah “Apa satu harapan anda untuk negara ini?”.
Kedua ialah “Bagaimana perasaan anda ketika Malaysia menyambut Merdeka?” dan ketiga ialah “Apa satu masalah yang anda harap dapat diselesaikan sebelum merdeka?”.
Sebanyak 33% berkata mereka mahu skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) diselesaikan, sementara 26% berkata kejatuhan nilai ringgit.
Selebihnya, 24% mahukan masalah perpecahan bangsa dan agama yang makin meningkat diselesaikan, dan 17% pengundi bimbang dengan terhakisnya kebebasan bersuara.
Pengarah Centre of Public Initiative Dr Lim Teck Ghee (gambar, kiri) berkata kaji selidik itu menunjukkan perubahan dalam kerajaan dan kepimpinan – apa juga perubahan – akan dialu-alukan kebanyakan rakyat Malaysia.
“Rakyat Malaysia sangat bosan dengan skandal yang tiada penyelesaian dan peningkatan dalam pertelingkahan antara bangsa dan agama.
“Dapatan yang hanya 13% rakyat Malaysia gembira menjelang sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-58 negara amat membimbangkan kerana ia menunjukkan mood majoriti besar rakyat kita pesimis, tidak berpuas hati dan tidak bersemangat,” kata Lim.
Keputusan kaji selidik itu dikeluarkan serentak dengan ribuan rakyat Malaysia yang berkumpul di jalanan di Kuala Lumpur pada hujung minggu ini mendesak peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, reformasi institusi, kerajaan bersih, hak untuk memprotes dan langkah menyelamatkan ekonomi.
Najib dikritik teruk sejak beberapa bulan ini berikutan tuduhan pembabitannya dengan skandal syarikat sarat hutang 1MDB selain pendedahan RM2.6 bilion dimasukkan ke akaun bank peribadinya.
Beliau yang juga presiden Umno itu baru-baru ini mendakwa beliau dibersihkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada tuduhan rasuah melibatkan wang AS$700 juta atau RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya, yang beliau sendiri sering ulangi merupakan sumbangan untuk Umno, bukan untuk kegunaan peribadinya.
Laporan SPRM selanjutnya mengesahkan wang itu adalah sumbangan dana politik dari penderma di Timur Tengah. – 31 Ogos, 2015.
Semua parti BN terlibat dalam masalah Umno, jelas ahli kanan MCA 06:30PM Ogos 31 2015 oleh Alyaa Alhadjri
SEKILAS PANDANG: Barisan Majlis Tertinggi Nasional perlu bertemu untuk membincangkan pilihan yang mungkin mereka ada, jika mereka perlu mengundi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada sesi akan datang pada bulan Oktober.
Ahli veteran MCA, Yap Pian Hon memberitahu Semut Harian bahawa ini kerana adalah mustahil bagi mana-mana 12 parti komponen BN untuk mengelak dari kesan-kesan masalah yang melanda Umno.
"Majlis Tertinggi Umno bermesyuarat pada 9 September. Majlis Tertinggi BN juga perlu bertemu dan membincangkan reformasi segera," kata Yap dalam satu temu bual di pejabatnya pada 27 Ogos.
Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno dijangka berlangsung panas sewaktu pemimpin-pemimpin parti itu bertemu buat kali pertama selepas Najib memecat timbalan presiden Umno, Muhyiddin Yassin dan naib presiden Umno Shafie Apdal daripada jawatan Kabinet mereka.
Yap, seorang bekas naib presiden MCA selama tiga penggal, berkata beberapa pembaharuan telah dipersetujui tetapi tidak pernah dilaksanakan sejak zaman perdana menteri sebelum Najib, Abdullah Ahmad Badawi.
Beliau menegaskan bahawa survival BN selepas PRU14 akan memerlukan komitmen untuk melaksanakan sejumlah pembaharuan.
Yap berkata bahawa mesej daripada rakyat sejak PRU12 pada 2008 dan PRU13 pada tahun 2013 adalah jelas tetapi Umno – sebagai parti komponen utama – dan pemimpin-pemimpin BN yang lain masih mengekalkan sikap "sombong" mereka.
"MCA kini dikenali sebagai parti 7-11. Seperti kedai runcit terkenal itu.
"Selepas PRU14 mungkin kita akan menjadi seperti Da Ma Cai 3 1," katanya.
Walaupun Umno sebahagian besarnya telah mengekalkan pegangan mereka di kalangan pengundi-pengundi Melayu, 12 parti-parti komponen BN – terutamanya MCA dan Gerakan yang disokong kaum Cina – hilang sokongan secara besar-besaran kepada pembangkang Pakatan Rakyat.
Dalam PRU13, MCA bertanding di 37 kerusi Parlimen dan 90 kerusi Dewan Undangan Negeri, tetapi hanya menang di '7-11' kerusi secara keseluruhannya, kebanyakannya tewas kepada DAP yang menyapu bersih hampir kesemua kerusi bandar yang ditandinginya.
Awal bulan ini, Menteri Besar Negeri Sembilan Mohamad Hasan telah memberitahu Najib – sebagai pengerusi BN dan presiden Umno – untuk mempertimbangkan semula peruntukan kerusi kepada MCA dan MIC di negeri ini, mendakwa bahawa parti-parti ini tidak banyak menyumbang kepada BN dari segi sokongan.
Yap memetik bantahan awal tahun ini terhadap seruan Menteri Luar Bandar dan Pembangunan Wilayah, Ismail Sabri Yaakob kepada pengguna supaya memboikot perniagaan-perniagaan kaum Cina, sebagai contoh apabila MCA gagal menyatakan pendiriannya.
"Saya tidak mahu mengkritik kepimpinan saya sendiri (MCA) tetapi mereka tidak bersuara apabila mereka perlu berbuat demikian. Mereka tidak memikirkan cara untuk memperbaiki institusi (parti)," kata Yap.
Liow Tiong Lai
Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai pada masa itu berjanji untuk membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat Kabinet, tetapi beliau tidak mengecam Ismail Sabri atas kenyataan beliau.
Baru-baru ini, Ismail Sabri sekali lagi dikritik kerana cadangan beliau untuk menubuhkan "Low Yat 2", kedai elektronik Melayu-sahaja yang terletak di tingkat tiga Medan Mara, sebagai saingan kepada Plaza Low Yat yang lebih dikenali.
"Kenapa dia (Ismail Sabri) berfikiran begitu sempit? Ini tidak baik pun untuk orang Melayu," kata Yap yang menyatakan bahawa langkah itu akan terus mengecutkan pasaran untuk semua peniaga tanpa mengira kaum.
Sementara itu, Yap juga berkata yang bekas naib presiden MCA, Gan Ping Sieu dan bekas ahli Majlis Tertinggi Umno, Saifuddin Abdullah adalah antara pemimpin-pemimpin BN yang mewakili "suara harapan" dalam parti pemerintah itu.
Beliau berkata bahawa peringkat akar umbi perlu memastikan bahawa mereka boleh terus bersuara, bukan sahaja melalui NGO masing-masing – Centre for a Better Tomorrow (Cenbet) dan Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) – tetapi juga dalam parti masing-masing.
Komen-komen dan cadangan boleh dihantar kepada penulis di alamat alyaa@hckmedia.com
Aku bukan tak suka pendedahan yang memuaskan hati rakyat, cuma kenapa cepat sangat kepoh tentang masalah orang lain sedangkan RM2.6b belum terjawab serta 1MDB masih kelabu. Itu adalah tahi dari bontot sendiri yang belum dibersihkan. Tapi untuk larikan isu belum apa-apa dah bising dengan bau kincit orang lain. Hang ingat DEIG sahajakah yang rakyat berkepentingan.........1MDB dan RM2.6b dalam akaun Najib rakyat tiada berkepentingan? Ini jer taraf pemikiran seorang TPM yang Najib lantik? Azmin pun satu hal........elok-elok rakyat sedang fokos terhadap 1MDB dan RM2.6b, dia pula buat lubang melalui DEIG........nak tolong UMNO divert isu jugakah? Dedah kelemahan DEIG demi kepentingan rakyat Selangor, kata Zahid Published: 31 August 2015 10:09 PM | Updated: 1 September 2015 6:09 AM
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Puchong di Serdang, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin, 31 Ogos, 2015.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu pemimpin Umno khususnya di Selangor mendedahkan kelemahan penubuhan Darul Ehsan Investment Group (DEIG) demi kepentingan rakyat negeri berkenaan. Naib presiden Umno itu berkata penubuhan DEIG menimbulkan keraguan pelbagai pihak, maka Umno Selangor perlu mendapatkan bukti kukuh mengenai kelemahan penubuhan DEIG yang mengambil alih peranan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dalam menguruskan pelaburan anak-anak syarikat di bawah pemerbadanan itu. "Kita harus membuktikan bagaimana DEIG telah disalahgunakan untuk kepentingan politik kerajaan negeri Selangor. "Dedah...jangan tidak dedah. Kita wajib mendedahkan keburukan dan kelemahan DEIG. Jangan rasa takut demi kepentingan rakyat Selangor," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Puchong di Tapak Expo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang, hari ini. Sebelum ini, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor termasuk bekas menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, melahirkan kebimbangan mereka terhadap ketelusan penubuhan DEIG yang akan mengambil alih peranan MBI. Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali, bagaimanapun berkata DEIG yang dimiliki sepenuhnya oleh MBI dan ditubuhkan pada Disember lepas, adalah untuk memberi fokus kepada sektor pelaburan, aset dan perniagaan semata-mata. – Bernama, 31 Ogos, 2015.