Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Wednesday, October 4, 2017

Tawar dedak: 'H' perlu tampil nafikan!

* 'H' (dalang rangkaian dedak) rasanya selagi nama sebenar tidak didedahkan tidak akan ada siapa yang akan menonjolkan diri untuk menjadi fokus dan mengaku atau menafikannya.

Selagi tidak mendedahkannya, Syed Saddiq boleh saja dianggap merapu dan mereka cerita karut-marut!

Namun begitu kenapa Hamidah Osman pula yang menggelupur?

'H' perlu nafi tawar dedak
SITI ZUBAIDAH MAT ISA & MOHD HAFIZ ISMAIL  -  3 OKTOBER 2017
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendesak 'H', iaitu dalang sebenar rangkaian dedak sistematik tampil menafikan segala dakwaannya.

Syed Saddiq berkata, beliau tidak pernah bersemuka dengan 'H' yang didakwa penasihat kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Tetapi saya tidak pernah bertemunya hanya orang tengah. Setiap kali berjumpa, saya akan bertemu orang yang berbeza,” katanya pada pertemuan bersama Sinar Harian di Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.

Beliau mendedahkan, sidang media yang dilakukan semalam juga dirancang 'H' melalui orang tengahnya.  

Syed Saddiq berkata, kali terakhir beliau bertemu dengan orang tengah tersebut adalah pada 27 September lalu, dan sehingga hari ini tiada sebarang panggilan diterima.

“Keluarga saya juga tidak menerima sebarang panggilan daripada mereka sehingga hari ini. Mungkin mereka takut.

“Saya berharap dia saman saya, jika perkara ini tidak benar. Jika ini hanya dakwaan, tampillah dan nafikan. Kalau saya salah, samanlah saya,” katanya.

Semalam, Syed Saddiq membuat kejutan apabila mendedahkan wujud rangkaian dedak sistematik yang didakwa didalangi pegawai sebuah kementerian menawarkan geran RM5 juta untuk membuka sekolah debat dengan syarat beliau meninggalkan Bersatu dan memburukkan kepimpinan parti itu.

Syed Saddiq mendakwa, terdapat juga kes di mana pengasas dan pemimpin kanan Bersatu diugut dan diumpan oleh rangkaian dedak sistematik terbabit supaya mereka meninggalkan parti.

Dakwanya, mereka turut diberikan ‘skrip’ untuk dibaca pada sidang media yang telah ‘diatur’ rangkaian dedak itu.

Skrip itu antaranya menyatakan mereka perlu mengumumkan keluar parti kerana sudah terkeluar daripada perjuangan asal. Ia hanyalah perjuangan peribadi Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu naikkan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Bahkan, pada sidang media yang diaturkan pihak ketiga didalangi 'H' kelmarin, Syed Saddiq mengakui beliau juga perlu memberi kenyataan yang sama seperti mana bekas exco yang meninggalkan parti itu.

“Rancangannya saya tidak perlu umum masuk Umno. Tetapi umum saya keluar parti dan akan sambung pelajaran ke Universiti Oxford. Bila dah masuk universiti nanti, barulah saya akan terima bayaran.

“Bayaran pertama sebanyak RM500,000. Kemudian barulah saya dibayar baki selebihnya. Macam mana hendak dapatkan bayaran tersebut, saya perlu ikut arahan yang seterusnya,” katanya.

Dakwa Syed Saddiq, apabila ramai pengasas dan pemimpin kanan Bersatu keluar parti, maka mudahkan mereka (rangkaian dedak) melabelkan perjuangan parti sebagai perjuangan peribadi Mahathir  dan Muhyiddin.

Menurutnya, ramai ahli  Bersatu didakwa telah ‘dibeli’ rangkaian dedak berkenaan,  namun tidak dapat dipastikan jumlahnya dan berapa bayaran yang mereka terima.

“Mereka hanya cakap tidak akan beri duit selagi ‘kerja’ tidak selesai. Siapkan kerja dulu baru dapat duit. Bukan semua duit mereka dapat serentak tetapi dibayar ikut ‘kerja’ yang telah diarahkan.

“Contohnya mereka dijanjikan RM50,000. Jadi bekas exco perlu membuat kenyataan media dan saya perlu bidas.

"Kemudian buat kenyataan balas lagi dan begitulah seterusnya. Selesai tugas ini mereka akan terima bayarannya,” dakwa beliau.

Syed Saddiq juga mendakwa ada beberapa bekas exco datang kepadanya menceritakan mengenai ‘tawaran’ yang menjanjikan sejumlah wang untuk mereka meninggalkan parti.

“Saya ingat mereka hendak menolak tawaran itu, sebaliknya saya pula ditanya, berapa banyak pula parti boleh tawarkan untuk mereka kekal bersama Bersatu,” katanya.

Protes roboh kuarters masjid, 9 ahli PSM ditahan

Alyaa Alhadjri      Hari ini, 3:01 petang

Seramai sembilan ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) ditahan pagi ini selepas mengadakan protes terhadap perobohan tiga rumah dan dua kedai berdekatan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz di Subang, Selangor.

Setiausaha Agung PSM yang turut ditahan, A Sivarajan berkata, perobohan yang diarahkan Malaysian Airports Holdings Bhd (MAHB) itu dilakukan kira-kira pukul 11 pagi tadi.

Rumah dan kedai tersebut sebelum ini didiami ahli jawatankuasa Masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, dan tindakan merobohkannya dijalankan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam dan Pejabat Tanah dan Daerah Petaling.

"Kami mula berkumpul kira-kira pukul 7 pagi tadi dan cuba berunding dengan pihak berkuasa. Mereka tidak mendengar dan perobohan diteruskan," katanya kepada Malaysiakini.

Katanya, polis kemudian menahan peserta protes tanpa memaklumkan kesalahan yang dilakukan mereka.
Dilaporkan lapan lagi ahli parti itu yang ditahan ialah ketua pemuda Khalid Mohd Ismath, ahli pemuda Sharan Raj dan Paranjothi KS Joma, ahli PSM Subang T Mohan, dan aktivis yang hanya dikenali sebagai Ahmad Ridzuan, Ahmad Fauzi, Hafizudin dan Mohamad Anaqy.

Difahamkan kesemua sembilan yang ditahan dibawah ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Sivarajan mendakwa Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali gagal memberi maklumbalas terhadap permintaan agar beliau campur tangan dalam perobohan itu yang dilaporkan untuk tujuan pembangunan.

"Tiada kenyataan (dari Azmin setakat pagi ini)," katanya.

Pada Mac lalu, laman Berita Dailu melaporkan dua bekas ahli jawatankuasa masjid menghantar memorandum kepada Azmin untuk menggesa beliau tidak membenarkan MAHB selaku syarikat swasta menggunakan pegawai Pejabat Tanah dan Daerah petaling bagi tujuan perobohan.

Ketika itu, turut dilaporkan yang dua pegawai itu didakwa selama 20 tahun diarahkan untuk mengosongkan kediaman mereka tanpa pampasan yang wajar daripada MAHB.
 
 
 

Janji pilihan raya Najib cecah RM3 bilion

Menjelang Bajet 2018, janji pilihan raya Najib cecah RM3 bilion
Asila Jalil, Sheridan Mahavera, Chan Kok Leong
Diterbitkan pada 4 Oct 2017 7:00AM
Najib Razak dalam usaha memikat undi rakyat Malaysia kini sudah menabur janji dalam pelbagai projek dan program mensasarkan kelompok utama negara termasuklah peneroka Felda dan pesara ATM yang mencecah RM3 bilion. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2017.

BERBAKI hanya 11 bulan sebelum mandatnya berakhir, Perdana Menteri Najib Razak dan kerajaan Barisan Nasional telah menjanjikan RM3.182 bilion dalam bentuk projek dan program untuk menang pilihan raya umum akan datang.

Najib, yang juga menteri kewangan, sedang merangka Bajet 2018 yang akan dibentangkan pada 27 Oktober ini, yang diramalkan banyak penganalisis sebuah "belanjawan pilihan raya" menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang perlu diadakan sebelum Ogos depan.

Lawan politiknya dalam Pakatan Harapan (PH) belum lagi mengemukakan janji pilihan raya atau cadangan bajet alternatif seperti tahun-tahun sebelumnya namun sudah mengumumkan rangka besar perubahan dasar dan pembaharuan yang hendak ia bawa.

Janji-janji kewangan Najib yang mensasarkan peneroka Lembaga Pembangunan Tanah Persekutuan (Felda) dan pesara Angkatan Tentera — semuanya blok undi yang penting ditujukan dengan tepat sekali.

Pada Julai, beliau mengumumkan pakej enam insentif bagi lebih 110,000 keluarga peneroka bernilai RM1.59 bilion. Ini termasuk pelupusan hutang, geran tanam semula, pinjaman perumahan dan bayaran khas RM5,000.

Najib juga mengumumkan skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) layak diberikan kepada lebih kurang 80,000 veteran Angkatan Tentera tidak berpencen yang berumur lebih 60 tahun.

Mereka yang layak menerima BR1M akan mendapat RM1,200 manakala yang tidak layak bakal menerima RM600 asal sahaja mereka berumur lebih 60 tahun. Jumlah peruntukannya ialah RM85.8 juta.

Beliau juga mengumumkan tambahan kadar pencen antara RM300 hingga RM800 bagi veteran tentera yang menerima pencen antara RM500 hingga RM2,000.

Najib, yang mengintai mandat untuk penggal kedua, turut memperuntukkan RM1 bilion melalui pelbagai program di bawah Pelan Tindakan India Malaysia bertujuan menaik taraf segmen termiskin dalam kelompok masyarakat negara yang berjumlah 1.7 juta orang.

Beliau juga mengumumkan sejumlah projek perumahan di Langkawi, sebuah sekolah agama di Pulau Pinang dan dua buah hospital di Kelantan.

Kerajaan Pulau Pinang diterajui oleh DAP sejak dua pilihan raya lalu manakala PAS memerintah Kelantan sejak 1990.

Jumlah projek-projek bernilai RM3.182 bilion ini dikumpulkan daripada laporan media tahun ini. Ini belum lagi merangkumi  bajet pembinaan sebanyak RM55 bilion bagi Landasan Pantai Timur (ECRL) dan RM43 bilion untuk Projek Melaka Gateway.

Pengkritik sebelum ini mempersoalkan kos tinggi projek ECRL dan Melaka Gateway serta manfaatnya kepada rakyat Malaysia kerana kedua-duanya melibatkan konglomerat China.
Pakatan Harapan pula dalam usahanya merampas Putrajaya lebih menumpu kepada pelbagai janji untuk mengubah peranan dan fungsi dalam masyarakat termasuklah janji menubuhkan RCI untuk skandal rentas negara, 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2017.

Sebagai perbandingan, tawaran PH tidak menyatakan sebarang kos namun konsepnya tertumpu kepada perubahan fungsi pelbagai lapisan segmen masyarakat Malaysia.

Janji PH yang paling memikat ialah untuk menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan tol di Lebuhraya Utara Selatan.

Pentadbiran Najib mendakwa GST memberikan sejumlah RM41.2 bilion pendapatan kepada kerajaan pada 2016.

Manakala sebahagian daripada pelan untuk menonjolkan tadbir urus yang baik dan membanteras rasuah, PH mengumumkan hasrat membebaskan beberapa institusi daripada pengaruh cabang eksekutif. Ini termasuk badan kehakiman, badan perundangan, Pejabat Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pemimpin PH juga berjanji akan menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang jumlah kehilangan dianggarkan mencecah RM39 bilion kerana dicuri atau rugi disebabkan salah pengurusan dana kerajaan itu.

PH bulan lalu melancarkan manifesto berasingan untuk Sabah dan Sarawak yang antara lain menjanjikan pelantikan timbalan perdana menteri kedua khas untuk wilayah Malaysia Timur itu.

Ia juga berjanji menaikkan royalti minyak untuk Sabah daripada 5% kepada 20% dan memberikan lebih autonomi kepada negeri itu untuk menggubal dasar berkaitan pendidikan, pelancongan, kesihatan dan pengangkutan. – 4 Oktober, 2017.

Nik Abduh mabuk?

Nik Abduh usahlah mabuk
Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa      3 Okt 2017, 11:33 malam
ULASAN - Mabuk ada macam-macam, selain mabuk hakiki ada mabuk majazi. Adinda Nik Abduh Nik Abdul Aziz sudah mabuk cinta dengan pembenci Pakatan agaknya, maka semua yang disuka oleh kekasihnya itulah yang dimadahkan dan setiap sesuatu yang yang dibenci kekasihnya itulah yang dipenakan.

Adat mabuk cinta begitulah adanya. Orang mabuk cinta memang begitu, katanya kurang difahami. Hanya kekasihnya sahaja yang mengetahui apa yang diungkapkan namun bagi pendengar lain kata-katanya hanyalah bebelan yang layak dikatakan ‘meraban’ aja (baca meghaban, dialek Melaka)

Contohnya adinda mengatakan AMANAH anti reformis dalam masyarakat sedangkan AMANAH diasaskan dan ‘meninggal’ PAS kerana kejumudan PAS. Kejumudan adalah sifat bertentangan dengan ciri reformis.
Tiada yang lebih jumud daripada parti yang telah berjaya merobohkan tembok perkauman berpuluhan tahun, tiba-tiba generasi adinda kembali membinanya semula.

Dalam ungkapan adinda tersirat hanya PAS sahaja yang boleh mereformasi masyarakat lantas AMANAH gopoh dan mengganggu usaha ini.

'Takabur eksklusif dan parti suci'

Orang mabuk tak sedar apa yang diungkapkan, dalam kata adinda sendiri sudah ada sifat ‘takabur eksklusif’ iaitu perasaan bangga dia sahaja yang buat baik, orang lain tidak. Meminjam kata-kata saudara Hanipa Mydin (gambar), ‘parti suci’, ingatkah adinda lagi pada Hanipa?


Tup,tup, orang lain pula jadi sasaran. IKRAM ‘duri dalam daging gerakan Islam’. Jika benar cinta itu buta, butakah mata adinda?

IKRAM atas apa kelemahannya telah melahirkan institusi pendidikan berkualiti, para profesional dan ulamak serta produk ahlinya yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Bagaimana duri dalam daging begitu berjaya?

Mungkin ‘gerakan Islam’ yang tidak ada masalah ialah yang melahirkan golongan takfiri, maki hamun saudara se Islam, halalkan darah yang tidak setuju dengannya atau yang ala-ala ISIS. Saya maafkan adinda kerana dalam lamunan adinda penilaian agak lemah, al maklum sajalah.

Adinda Nik Abduh ada sebut tentang ‘Fiqh al waqie Al Malayzi’ dengan sinis. Apa yang sinisnya kalau para ulamak silam telah menjelaskan bahawa keadaan sesuatu tempat dan masanya menentukan sesuatu hukum.

Selamatkan Malaysia daripada kleptokrasi

Saya maafkan sekali adindaku, saya lupa, hanya parti adinda sahaja yang boleh menyebut istilah Arab sebab itu menandakan betapa Islamiknya adinda. Istilah ‘taa’wun’ pun parti adinda sajalah yang ada hak cipta terpelihara menafsirkannya.
Sekali lagi ‘sang pemabuk cinta’ mendedahkan apa yang ada dalam kepalanya. Bukan sahaja DAP yang mahu selamatkan Malaysia, seluruh rakyat yang waras dan segar kepalanya mahu negara ini selamat dari pemimpin kleptokrasi.

Kami dari Pakatan Harapan hanya menyedarkan rakyat ‘bahaya’ yang akan menimpa jika rakyat terus leka kerana negara ini bisa sahaja dijual dan dilelong macam mereka melelong RUU355, ingatkah adinda?

Itulah kejujuran adinda, bahawa segala yang membahayakan Malaysia angkara Umno/BN yang makan dedak dan MO1 yang merompak seolah hanya sandiwara DAP untuk menakut-nakutkan rakyat.

Kali ini kekanda harus bagi kredit pada adinda, sekurangnya bab ini adinda tidak meraban hanya ulang skrip sahaja.

Satira Mamat Khalid

Zombi Kampung Pisang adalah tentang watak yang berhadapan dengan bahaya kampungnya. Watak-watak itu adalah tipikal watak Melayu yang penting diri dan ada agenda tersendiri.

Ia bukan tentang zombi tetapi bagaimana kita bertindak balas dengan bahaya. Mamat Khalid terkenal pengkritik masyarakat Melayu melalui satiranya. Cubalah adinda cari sendiri watak manakah dalam cerita itu sesuai dengan cara berfikir adinda.

Tulisan adinda penuh rasa ingin membuktikan sesuatu kepada kekasih bukan soal isi kandungannya. Kekanda rasai, ia satu siksaan menanti keputusan sebenarnya.

Lirik lagu ini boleh menenangkan tidur adinda tapi jangan lupa baca 3 qul dulu ya.

"Jika benar cinta itu buta
butakah mata ku
berkali terluka masih jua ku menunggu
apa yang ku ingin kan
hanya kejujuran dalam perhubungan
jika itu tiada apalah ertinya
penantian ini hanya sia-sia."

Kekanda mu, bekas Ahli yang ‘meninggal’ Pas.

* Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa ialah Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) dan anggota parlimen Parit Buntar.

Video inside: Teruknya perangai wanita sekarang!

Video tular wanita terajang wanita: 'Kalau nak panggil polis, panggillah!'
Nazialita Geynna Maharan, Astro Awani |  Diterbitkan pada Oktober 03, 2017 21:19 MYT
Kekecohan yang tercetus di pekarangan stesen KTM Ipoh itu mengejutkan orang awam yang kebetulan berada di lokasi tersebut. - Sumber: Media Sosial

IPOH: Suasana di sekitar stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Ipoh gempar apabila seorang wanita bertindak ganas dalam satu pergaduhan yang tercetus pada petang Isnin.

Kekecohan itu turut dirakam oleh mereka yang berada di tempat kejadian yang terkejut dengan pertelingkahan tersebut yang dipercayai hanya berpunca daripada pintu kereta yang tidak sengaja dikemikkan.

Rakaman video yang berdurasi 41 saat itu viral di laman sosial Facebook sejak semalam yang menunjukkan aksi seorang wanita menjerit dan menyepak seorang wanita lain.

“Kalau nak panggil polis, panggillah, saya tak kenal dia.” Itu adalah antara ayat yang terkeluar dari mulut wanita itu selepas dia menyepak wanita yang dilihat terduduk di lantai di pekarangan KTM Ipoh.

Menurut saksi kejadian, kekecohan tersebut berlaku berikutan pintu kereta salah seorang wanita itu kemik akibat terhentak yang kemudiannya mencetuskan pergaduhan antara dua wanita itu.

Rakaman menunjukkan wanita yang dipercayai pemilik kenderaan dengan pintu kemik itu bertindak menyerang dan menggunakan kekerasan fizikal sebelum menjerit-jerit bahawa dia tidak takut jika mangsa membuat laporan polis.

Rata-rata pengguna laman sosial Facebook memberi komen negatif terhadap tindakan wanita tersebut yang disifatkan mereka sebagai telah hilang rasa hormat sesama wanita.

Antara komen yang dilontarkan ialah; “sifat hormat dah hilang, kaki pun boleh.”

Astro AWANI akan membuat laporan susulan mengenai insiden ini dengan mendapatkan maklum balas daripada pihak berkuasa.

Curi dua kerbau, sumbat dalam MPV

Dua kerbau dicuri, disumbat masuk dalam kenderaan MPV
Oktober 03, 2017 20:32 MYT
Dua kerbau dicuri, disumbat masuk dalam kenderaan MPV
Dua ekor kerbau yang ditemui di temat duduk penumpang belakang kenderaan tersebut. - Bernama
SEREMBAN: Polis menggagalkan cubaan dua lelaki mencuri dua ekor kerbau dengan menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Taman Happy di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Supt Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, kejadian jam 5.20 pagi itu disedari polis peronda lebuh raya sebelum bertindak mengejar suspek selepas dilihat mencurigakan di Kilometer 263 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Senawang sebelum mengekorinya.

"Kenderaan jenis Mitsubishi Grandis itu telah keluar di Plaza Tol Port Dickson arah selatan menghala ke Jalan Rasah dan didapati telah memberhentikan kenderaan di tepi jalan.
Sulizmie Affendy juga berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh pihaknya ke atas kenderaan terbabit telah menjumpai dua ekor kerbau di bahagian tempat duduk penumpang belakang dipercayai dicuri.

"Hasil semakan nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan suspek adalah palsu.

"Kenderaan itu dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut dan dua ekor kerbau itu diserahkan kepada Jabatan Veterinar Seremban untuk dijaga sementara kes masih dalam siasatan," katanya.

Beliau berkata, usaha menjejaki dan menangkap suspek sedang dilakukan dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil dan Seksyen 108(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA

Tuesday, October 3, 2017

Datuk Boy Iman ditahan polis: Kalau kes sabit, tak adalah beriman sangat!

Datuk Boy Iman ditahan, polis terima 188 aduan daripada mangsa

PIHAK polis semalam dilaporkan telah menahan Datuk Boy Iman, atau nama sebenarnya Nuruliman A Rahman, Pengarah Urusan DBI Properties dan dua orang lagi suspek bagi membantu siasatan berhubung penipuan jualan rumah berjumlah RM6.2 juta.

Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, dilaporkan berkata, pihak polis telah menerima 188 aduan berkaitan penipuan jualan rumah yang dilakukan oleh Syarikat DBI Properties dan Syarikat Juta Kelulut Global Resources.

Semalam ketika bertekak dengan Yusuf Azmi (PPIM), isteri Boy Iman ada tanya, kalau suami dia tipu kenapa tak buat 'report' Polis?

Rujuk video ini


Rupa-rupanya, semalam juga Datuk Boy Iman kena tangkap. Polis beritahu ada 188 aduan berhubung penipuannya.
"Berdasarkan siasatan yang dijalankan, didapati syarikat ini menawarkan rumah kepada pembeli dengan harga yang jauh lebih murah daripada pasaran iaitu sekitar RM60,000 untuk sebuah rumah banglo berkeluasan 1,650 kaki persegi.

"Bagaimanapun, selepas bayaran dilunaskan pembinaan rumah berkenaan tidak dijalankan," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Pihak polis katanya turut merampas sebuah kereta jenis Nissan Fairlady, dan sebuah BMW E92, serta 3 telefon pintar, sijil doktor falsafah dari Samaritan Mission International University berserta pelbagai dokumen Syarikat DBI Properties.

Katanya, berdasarkan penelitian yang dilakukan polis didapati sindiket penipuan semakin bijak memanipulasi kehendak dan keperluan masyarakat untuk mewujudkan pelbagai skim penipuan serta pelaburan bagi menarik perhatian mangsa.

"Ini dapat dilihat melalui kewujudan pelbagai skim berasaskan perniagaan, emas, perumahan dan seumpamanya.

"Masyarakat diingatkan untuk sentiasa berwaspada dan tidak terpedaya dengan skim atau tawaran luar biasa yang dibuat oleh mana-mana orang atau syarikat," katanya.

Menurut Acryl Sani, semua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - sumber

Mungkinkah dua beradik ini akan bertembung di kerusi Johor Bahru

AMANAH cuba bawa Khalid bertanding di Johor, mungkin lawan Shahrir
HAZAYANI ZAKARIA  -  October 3, 2017 5:17 pm 
Timbalan Presiden AMANAH Salahuddin Ayub tidak menafikan bahawa parti itu sedang merancang meletakkan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad untuk bertanding di Johor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau berkata, parti-parti lain dalam Pakatan Harapan (PH) juga sedang memikirkan beberapa tokoh untuk memperkemaskan kedudukan mereka di Johor.
Salahuddin Ayub

“Kita telah bersedia untuk menurunkan tokoh-tokoh besar yang lain dan saya tidak boleh menafikan AMANAH sedang dalam proses untuk memastikan YB Khalid dibawa ke Johor mewakili AMANAH untuk memperkukuhkan lagi barisan calon-calon AMANAH untuk memberikan sumbangan kita dalam memberi kemenangan kepada PH di Johor,” katanya pada sidang media di Wisma AMANAH Negara hari ini.

Pengarah Pilihan Raya PH Johor itu berkata demikian sebagai menjawab spekulasi mengenai PH akan meletakkan pemimpin-pemimpin kanan mereka di Johor.

Menjawab kemungkinan Khalid akan berdepan abangnya Tan Sri Shahrir Samad di Johor Baharu, Salahuddin juga tidak menolak kemungkinan itu namun katanya, ia terserah kepada persetujuan PH.

“Kalau Khalid Samad ke Johor tak semestinya Johor Baharu sebab Johor Baharu kerusi PKR,” katanya.

Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad kelmarin berkata, beliau sedia berdepan dengan nama-nama besar dalam pakatan pembangkang yang mahu bertanding di Johor pada pilihan raya umum akan datang.

“Pada awal ramalan saya PRU ke-14 adalah yang paling mudah. Tetapi apabila sudah dengar macam-macam (nama) hendak datang ke Johor termasuk Khalid Abd Samad (Anggota Parlimen Shah Alam), jadi, saya ingat kalau semua sudah berminat pada Johor, saya pun berminat jugalah berdepan dengan mereka dalam apa pun kedudukan,” katanya kepada pemberita selepas program Dialog Perjuangan 4 All di Johor Bharu malam semalam.

Desas desus mengatakan empat pemimpin utama PH sudah bersedia bertanding di Johor pada PRU14.

Pemimpin yang dimaksudkan ialah Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, Timbalan Presiden AMANAH Salahuddin Ayub dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

‘Front line state’

Dalam pada itu Salahuddin berkata, PH serius dalam menjadikan Johor sebagai ‘front line state’.

Menurut beliau, dengan pelantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi PH negeri itu, diyakini Johor mampu mengambil alih tadbir urus negeri itu daripada BN.

“Saya sendiri telah hampir satu tahun setengah fokus di Johor bersama rakan yang lain dan semua orang tahu dengan kita bersetuju secara konsensus dan sebulat suara tanpa ada sikit pun bangkangan telah menerima baik pelantikan Tan Sri Muyiddin Yassin untuk mengetuai PH di Johor, saya sendiri telah diamanahkan untuk memegang satu jawatan yang cukup penting iaitu Pengarah Pilihan Raya PH Johor.

“Dengan kehadiran Tan Sri Muhyiddin saya rasa kita tidak ada isu tentang kredibiliti, wibawa, ketokohan, dan beliau adalah bekas Timbalan Perdana Menteri dan juga bekas Menteri Besar Johor selama dua penggal dan beliau sendiri ialah ahli parlimen Pagoh yang saya rasa rakyat tidak ada sebab untuk tidak meletakkan keyakinan yang tinggi pada kali ini untuk kami mengambil alih tadbir rus Johor,” katanya.

Harapan mimpi: Siasat sang penyiasat?

Bersih mahu gangguan berterusan polis terhadap aktivisnya disiasat
Melati A. Jalil  -  Diterbitkan pada 3 Oct 2017 12:39PM
Maria Chin Abdullah berkata sejak 1 Oktober 2016 hingga 15 Ogos 2017, kira-kira 122 tangkapan atau siasatan berkaitan aktiviti Bersih 2.0. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Oktober, 2017.

BERSIH 2.0 menggesa Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menjalankan satu siasatan ke atas gangguan berterusan pihak polis terhadap aktivis Bersih 2.0 semasa sebelum dan selepas perhimpunan Bersih 5.

Pengerusinya, Maria Chin Abdullah berkata sejak 1 Oktober 2016 hingga 15 Ogos 2017, kira-kira 122 tangkapan atau siasatan berkaitan aktiviti Bersih 2.0.

Aduan hari ini merupakan yang ketiga difailkan selepas dua laporan dengan pejabat Paul Low, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas Tadbir Urus, Integriti dan Hak Asasi Manusia serta Suhakam.

"Sehingga kini, tiada maklum balas terutamanya dari pejabat Paul Low, juga polis yang tidak memberi kami sebarang perkembangan mengenai kes-kes tersebut. Sekarang mereka (EAIC) akan membawa kes kami kepada polis dan dapatkan maklum balas dari polis, kita akan tunggu.

"Tetapi kita akan pasti akan menyusul dengan ketiga-tiga institusi itu," katanya kepada pemberita selepas mengemukakan laporan itu di ibu pejabat EAIC di Putrajaya.

Daripada 122 kes, 63 tangkapan atau siasatan adalah terhadap Konvoi Bersih 5 (dari 1 Oktober hingga 18 Oktober, 2016); 36 siasatan atau tangkapan atas perhimpunan Bersih 5 (19 November, 2016); 14 siasatan  berkaitan penahanan Maria di bawah Seksye 124C Kanun Keseksaan dan 9 siasatan ke atas vigil Bebas Maria.

Maria berkata kesemua 122 kes bertumpu kepada dakwaan pelanggaran Akta Perhimpunan Aman, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Seksyen 147 Kanun Keseksaan (rusuhan), Seksyen 504 dan 505 Kanun Keseksaan, juga Seksyen 124C Kanun Keseksaan (cubaan menjejaskan demokrasi Parlimen).

"Selepas perhimpunan itu, ramai aktivis dipanggil ke Bukit Aman untuk disiasat, tetapi sehingga kini tiada maklum balas dan kami mahu jawapan dari polis.

"Apabila kami anjurkan konvoi atau perhimpunan, agenda kami mudah saja. Kami mahukan pilihan raya yang bersih dan adil, jadi apa masalahnya dengan agenda itu sehingga kami terus diancam hingga kami tak boleh jalankan aktiviti kami?

"Ia agenda yang jujur, tiada agenda tersembunyi," katanya.

Antara tuntutan lain ialah Bersih 2.0 mahu EAIC menyiasat adakah polis gagal bertindak terhadap ancaman bunuh yang diterima Maria, Mandeep Singh, Ambiga Sreenevasan serta tiga anak lelaki Maria; penyalahgunaan kuasa oleh polis semasa perhimpunan Bersih 5 bagi menghalang ia diteruskan; serbuan ke atas pejabat Bersih 2.0 dan tahanan Maria di bawahAkta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), termasuk tindakan polis semasa penahanannya.

Pada Jun, Bersih meminta Suhakam menjalankan siasata ke atas gangguan berterusn polis terhadap aktivis Bersih 2.0. – 3 Oktober, 2017.

Banyak betul duit UMNO!

Wujud rangkaian dedak sistematik: Syed Saddiq
MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS  -   2 OKTOBER 2017
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR - Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa wujud rangkaian dedak yang sistematik supaya beliau keluar daripada Bersatu.

Menurutnya, gerakan itu dilakukan sejak tahun lalu, supaya beliau mengikut tindakan beberapa kepimpinan tertinggi Bersatu yang meninggalkan parti itu.

"Malah, sidang media hari ini bukan dirancang oleh saya, tetapi dirancang oleh puak yang sama.

"Mereka ini bukan sahaja menyasarkan saya, malah mereka menyasarkan beberapa kepimpinan parti yang telah pun keluar, akibat sogokan serta ugutan ini," katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, hari ini.

Ditanya apa sogokan yang paling besar diterima olehnya, beliau mendakwa bahawa pihak tersebut menawarkan geran berjumlah RM5 juta untuk membuka sekolah debat di seluruh negara.

"Pada peringkat awal, mereka janjikan untuk beri biasiswa untuk saya melanjutkan pelajaran di Universiti Oxford. Tapi apabila saya terima biasiswa ini, mereka ini panik dan tidak tahu buat apa.

"Jadi, mereka janji benda lain, iaitu mereka beri duit dan geran berjumlah RM5 juta untuk membuka sekolah debat di seluruh negara memandangkan mereka tahu minat saya dalam dunia debat," katanya.

Tetapi ujarnya, terdapat beberapa syarat yang perlu dipersetujuinya sekiranya beliau menerima tawaran itu dan salah satu syarat yang perlu dipatuhinya adalah, memburukkan kepimpinan parti Bersatu kepada rakyat Malaysia.

Syed Saddiq berkata, beliau mempunyai bukti kukuh berhubung dakwaannya itu dan akan mendedahkannya kepada kepimpinan parti dalam masa terdekat.

Ditanya adakah beliau akan membuat laporan rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkara ini, jelas Syed Saddiq, beliau akan berbincang dengan peguamnya terlebih dahulu.

Cemar nama negara lagi, kelakuan biadap di negara orang!

Tindakan konvoi bikers Malaysia halang lalu lintas di Thailand dikecam
Kohilah Sekaran, Astro Awani |  Diterbitkan pada Oktober 02, 2017 22:05 MYT
Sebuah video yang memaparkan tindakan konvoi penunggang motosikal berkuasa tinggi dari Malaysia yang menyekat pergerakan lalu lintas di Thailand mengundang kecaman netizen.

KUALA LUMPUR: Sebuah video viral yang memaparkan tindakan konvoi penunggang motosikal berkuasa tinggi dari Malaysia yang menyekat pergerakan lalu lintas di persimpangan jalan yang sibuk di selatan Thailand baru-baru ini mengundang kecaman netizen.

Video berdurasi dua minit itu menunjukkan empat penunggang motosikal berkuasa tinggi bertindak seperti 'marsyal’ yang menahan kenderaan dari laluan kiri dan kanan di persimpangan lampu isyarat bagi memberi ruang kepada konvoi motosikal besar kumpulan berkenaan berlalu terlebih dahulu.

Insiden yang dilapor berlaku pada 22 September lalu itu mengundang reaksi tidak puas hati kalangan rakyat di negara itu.

Mereka menyifatkan tindakan bikers itu sebagai ‘angkuh’ kerana tidak menghormati undang-undang jalan raya di negara lain.

Sementara itu, Kelab Chopper Garage Kelantan (CGK) hari ini membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Gabenor Narathiwat dan seluruh rakyat Thailand di atas kecuaian dalam mengawal pergerakan konvoi motosikal berkuasa tinggi di wilayah tersebut.

Memetik laporan portal Bernama, presidennya Diami Yusoff berkata surat permohonan maaf itu sudah dihantar kepada pemangku Konsul Jeneral Thailand di Kota Bharu, Jantarat Ngamchana di Pejabat Konsul Jeneral, Royal Thai Consulate kira-kira 10 pagi tadi.

"Kejadian itu berlaku di persimpangan lampu isyarat jalan raya di Wilayah Narathiwat, Selatan Thailand ketika kami dalam pergerakan konvoi sempena Program Mahabbah Keenam pada 22 Sept lepas," katanya
.

Dr M dituntut tunai janji.....

Lajim harap Dr M tunai janji kaji semula Perjanjian Malaysia

 | October 2, 2017
Bekas ahli majlis tertinggi Umno berkata Dr Mahathir tidak pedulikan Sabah dan Sarawak selama menjadi perdana menteri.
KOTA KINABALU: Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah Datuk Seri Lajim Ukin berhati-hati menerima janji Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad yang berjanji akan mengkaji semula Perjanjian Malaysia 1963 jika pembangkang menang pilihan raya umum ke-14.
“Saya harap bila pembangkang menang, beliau akan ingat janji itu dan menebus maruahnya selepas berdekad pelanggaran terhadap Sabah dan Sarawak semasa pentadbirannya,” katanya kepada FMT.
Bekas ahli majlis tertinggi Umno antara 2000 dan 2003 itu berkata beliau sentiasa menghormati Dr Mahathir sebagai pemimpin negara tetapi bekas perdana menteri itu tidak pedulikan Sabah dan Sarawak.
“Mungkin itu dasar kerajaan persekutuan. Dr Mahathir tidak banyak memikirkan mengenai negeri-negeri Borneo.
“Kalau dia selalu fikirkan mengenai negeri Borneo, Sabah mungkin dalam keadaan lebih baik berbanding sekarang. Mungkin akan sama tahap dengan negeri di Semenanjung,” katanya.
Lajim berkata semasa bersama Umno, beliau selalu menyuarakan hal ehwal Sabah terus kepada Dr Mahathir.
Ketika itu, beliau mengingatkan Dr Mahathir bahawa Sabah amat memerlukan perumahan, pendidikan, prasarana dan banyak lagi manakala rakyat Sabah mahu dilayan sama rata dengan rakyat di Malaysia Barat.
Malangnya, Dr Mahathir akan menepis komen beliau walaupun mengakui kebimbangan Adun Klias itu mengenai Sabah, katanya.
“Kita tak mencemburui kemajuan di Semenanjung, terutamanya Kuala Lumpur kerana itu wilayah ibu negara. Tetapi saya beritahu Sabah dan Sarawak mesti tumbuh bersama atau sekurang-kurangnya capai standard sama,” katanya.
Lajim mengenang kembali kejadian pada 1994 apabila bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat Sabah dan berjanji membina 30,000 unit rumah kos rendah.
Selepas Anwar dipecat pada 1998, Lajim bertanyakan perkara itu kepada Dr Mahathir dan bila projek itu akan berlangsung.
“Kamu tahu dia cakap apa? Dia cakap janji itu bukan janjinya tapi Anwar. Saya tanya apa bezanya kerana kerajaan masih sama dan dia perdana menteri walaupun Anwar sudah dipecat,” katanya.
Lajim percaya beliau memahami gaya pentadbiran Dr Mahathir dan keperluan untuk mengawal dengan memusatkan banyak perkara, yang bertentangan dengan Perjanjian Malaysia 1963.
Meskipun begitu, Lajim berkata partinya dan rakyat Sabah akan mengalu-alukan Dr Mahathir jika bekas perdana menteri tu menyedari kesilapannya dan mahu membetulkan kesilapan lalu.
Ini kerana gabungan yang dipimpinan Dr Mahathir berjanji untuk memberikan 20% bahagian daripada pendapatan minyak dan gas kepada Sabah dan Sarawak dan memulangkan 40% daripada pendapatan bersih yang dikutip di Sabah kepada negeri itu.
“Jika itu dilakukan, bermakna berbilion ringgit boleh kita guna untuk bangunkan Sabah.
“Kita lebih suka urus wang sendiri dan sediakan program tersendiri untuk menangani masalah pendidikan, pembasmian kemiskinan, pembangunan prasarana, pengangguran dan lain-lain,” katanya.

Monday, October 2, 2017

Lagi kejadian tembak di US

Lebih 20 terbunuh dalam kejadian tembakan di Las Vegas
mk     Hari ini, 6:19 petang

Angka kematian dalam satu kejadian tembakan di Las Vegas diangggar lebih 20 orang manakala mangsa yang cedera mungkin lebih 100 orang.
 
Agensi berita Reuters melaporkan, polis bagaimanapun telah menembak suspek dalam kejadian itu.

Terdahulu, New York Times melaporkan tembakan itu berlaku di festival muzik berhampiran Kasino Mandalay Bay.

Dalam klip video yang dimuat naik dalam talian itu, kedengaran bunyi tembakan senjata automatik dilepaskan dan orang ramai yang panik menjerit ketakutan.

Saksi-Saksi mendengar banyak tembakan berlaku di hotel - kawasan di mana pasukan polis mencari penyerang berkenaan, lapor CNN dan New York Times.

Penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa McCarran ditangguhkan sementara selepas kejadian itu, kata pihak pengurusan lapangan terbang berkenaan menerusi Twitter.

Apa jadi TLDM ni: Lagi dua anggota dicederakan buat laporan Polis

Dua anggota TLDM lapor polis dakwa dicederakan
Bernama      Hari ini, 6:00 petang
Dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membuat laporan polis selepas mengalami kecederaan di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan.

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata dua anggota tersebut yang masing-masing berumur 30 tahun cedera di bahagian abdomen dan kini dirawat di Hospital Manjung.

"Laporan polis dibuat hari ini dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 325/506 Kanun Keseksaan. Pihak polis sedang menjalankan siasatan sama ada insiden ini berlaku ketika di dalam bilik tahanan, ketika dikurung atau di luar.

"Kita juga akan menyiasat sekiranya ada lagi anggota TLDM terlibat dengan insiden seperti ini," katanya kepada pemberita.

Beliau menghadiri Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri di Ipoh hari ini.

Susulan kejadian itu, dua anggota TLDM yang masing-masing berumur 29 dan 37 tahun kini sedang ditahan dan akan direman di Mahkamah Seri Manjung hari ini.

Mengenai kematian dua anggota TLDM di bilik tahanan yang sama sebelum ini, Hasnan berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan forensik terhadap kamera litar tertutup yang telah dirampas.

"Jabatan Siasatan Jenayah Perak kini dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman bagi menyiasat insiden ini," katanya.

Pada Jumaat lepas dua anggota TLDM iaitu LK 1 Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, dan LK 1 TLS Muhammad Lailatuliman Mohd Sukri, 26, meninggal dunia di bilik tahanan tersebut dipercayai akibat didera, berdasarkan laporan bedah siasat daripada Jabatan Patologi Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Bedah siasat yang dilakukan ke atas Nik Muhammad Baihaqy mendapati kematiannya disebabkan pendarahan paru-paru akibat trauma tumpul manakala Muhammad Lailatuliman meninggal akibat pendarahan paru-paru serta trauma tumpul pada tisu lembut.

Susulan itu tiga anggota TLDM direman selama tujuh hari mulai semalam bagi membantu siasatan.

Panglima ATM kata dera bukan amalan di pusat tahanan

Dera bukan amalan di pusat tahanan, kata panglima ATM
Kow Gah Chie       Hari ini, 1:35 tengahari
Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyerahkan kes kematian dua anggotanya Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28 dan Muhammad Lailatulman Mohd Sukri, 26 kepada polis untuk siasatan lanjut.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata selain itu pihaknya akan cuba membantu pihak berkuasa itu dalam siasatan mereka.

"Kami akan biarkan polis ambil kes itu dan kami akan bantu mereka dengan apa juga cara yang kami dapat," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri sambutan Hari Pahlawan di Putrajaya hari ini.

Bagaimanapun, beliau menafikan terdapat amalan penderaan dalam pasukan tentera laut dan menyatakan kejadian itu hanya membabitkan kes terpencil.

"Ia bukan budaya atau amalan, jika budaya (kematian akan berlaku) hampir setiap hari, ia adalah kes terpencil," katanya sambil menambah insiden serupa berlaku lima atau sepuluh tahun lalu.

Menurutnya lagi, pusat tahanan di kem tentera juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

"Tetapi orang mungkin tak ikuti SOP," katanya.

Polis kini mengklasifikasi kes dua anggota TLDM yang meninggal dunia dalam Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan itu sebagai kes bunuh.