Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Friday, August 29, 2008

Ramadhan Almubarak

Assalamu alaikum semua teman-teman,

Saya baru saja pulih dari sakit migrane yang menyerang saya sejak petang semalam. Malang bagi saya ubat yang sepatutnya disimpan sudah habis dan saya keluar ke farmasi. Tapi malam tadi adalah malam jumaat dan di sini semua kedai tutup. Menanggung deritalah saya semalaman dengan tidur pun titak berapa nyenyak kerana sakit kepala yang amat. Pagi ini baru dapat ubat di farmasi cina. Sekarang dah ok, alhamdulillah.

Saya teringatkan Ramadhan akan tiba, dengan itu Mountdweller mengucapkan selamat menyambut bulan ramadhan yang penuh berkat dan selamat berpuasa kepada :
Dan kepada semua yang melintasi blog saya semuga amal ibadah tuan/puan diberkati olehNya.

Terima kasih dan wassalam.

Wednesday, August 27, 2008

Tahniah "Permatang Pauh"

Rasanya baru seminggu tidak update blog dan melilau di blog rakan-rakan. Tetapi dari perasaan sudah terasa amat lama. Sejak sabtu 23 Ogos 2008 saya dan isteri berada di Ipoh kerana Ibu Mertua saya Hajjah Saedah Binti Pandak Ahmad meninggal dunia. Terima kasih banyak-banyak kepada rakan saya melayuangkat.blogspot.com di atas ucapan "Takziah" beliau untuk keluarga terutama suri saya.

Pada jam 12.00 tengahari sabtu saya terima berita pemergian Allahyarhamah. Dan kami bersiap ala kadar dan jam 2.00 petang saya terus ke Ipoh dengan memandu macam "orang gila"( guna istilah anak saya yang bungsu/kedua) melalui jalan raya timur-barat. Dalam masa tiga jam setengah sahaja saya sampai di rumah Ibu mertua dengan menempuh jarak lebih kurang 350km.

Lantaran itulah saya tidak dapat mengikuti perkembangan PRK Permatang Pauh dan tidak juga sempat untuk merayau-rayau ke blog rakan-rakan. Maka ketinggalanlah saya dari semua maklumat dan keadaan terkini. Namun di dalam perjalanan saya pulang ke Kota Bharu dari Ipoh malam tadi saya mendengar berita kemenangan DSAI di Permatang Pauh dengan majoriti melebihi 15,000.

Sempena dengan kemenangan DSAI di Permatang Pauh saya dengan rasa bangga mengucapkan "Tahniah" kepada para pengundi PR di Permatang Pauh kerana berani membuat pilihan yang dianggap baik bagi mereka walau pun terpaksa melawan kerajaan. Tahniah juga untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim (YB) kerana berjaya menjadi pilihan rakyat di Parlimen Permatang Pauh.

Saya ucapkan tahniah kepada rakyat Permatang Pauh adalah kerana sifat keterbukaan mereka di dalam membuat pilihan. Mereka saya anggap bijak dan tidak terikut-ikut dengan arus kempen yang kotor dan jijik BN. Bila saya layari blog rakan-rakan dan blog-blog lain yang bukan pro pembangkang sekembali saya ke rumah, saya rasa saya sudah dapat cukup maklumat tentang apa yang sebenarnya berlaku semasa kempen PRK Permatang Pauh. Saya naik mual dan jijik dengan cara kempen yang dijalankan oleh BN/UMNO.

Kenapakah BN masih memainkan isu perbadi, fitnah dan sumpah? Bukankah isu ini menjatuhkan imej Agama Islam itu sendiri? Kalau diri kita sudah bacul, jangan dibaculkan Agama Islam itu sekali. Islam adalah syumul dan bersih! kenapa kita kotorkannya hanya kerana kerakusan kuasa politik dan kebendaan? Kita sanggup jatuhkan air muka orang lain yang juga seagama dengan kita kerana hanya tidak sehaluan. Sanggup kita ajar generasi baru kita untuk berlaku kurang ajar kerana runtunan nafsu kita. Hilang akal kita, hilang tata susila, hilang budaya kita hanya kerana kerakusan kuasa. Keadaan ini memang membuat saya benci dan muak dengan BN/UMNO.

Surat khabar melacur, TV melalut dan para menteri memperbodohkan diri sendiri dengan statements yang di bawah tahap kecerdikan mereka. Bagi saya BN/UMNO kalah kerana memang rakyat sudah cuak dengan BN tetapi yang lebih mencuakkan lagi apabila manusia seperti KJ, Ezam, Tan Seri RahimTambi Cik yang diketuai oleh Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak yang memang disangsikan imejnya oleh rakyat memainkan peranan yang besar di dalam kempen UMNO/BN. Isu sumpah dan liwat juga rakyat sudah tidak mahu dengar lagi tetapi masih dijaja di Permatang Pauh. Ezam dan Khairy Jamaluddin tidak sepatutnya di bawa ke Permatang Pauh. Mereka ini sudah disenarai hitamkan oleh pengundi di sana. Mungkin mereka tidak tahu tetapi takkan tidak ada maklumat dari risikan.

Bukannya semua petugas dan penyokong PKR/PR itu baik belaka. Tetapi bagi saya dari maklumat yang saya dapat, mereka menjadi kasar kerana provokasi. Kelakuan yang tidak senonoh BN/UMNO di balas dengan lebih tidak senonoh oleh penyokong PKR/PR. Naluri manusia memang suka berlawan. Sepatutnya pihak kerajaan lebih memaparkan ketertiban di dalam kempen. Ini tidak, mentang-mentang UMNO/BN parti pemerintah dan segala agensi di bawahnya, semuanya menjelma menjadi "Bota".

Dari segi keselamatan, pujian harus diberikan kepada pasukan polis. Walau bagaimana pun tindakan membuat terlalu banyak Road block/Pemeriksaan polis membuatkan rakyat tidak selesa. Bayangkan pada hari sabtu perjalanan saya dari Kota Bharu ke Ipoh terpaksa saya lalui enam road block. Lebih malang, saya dapati perjalanan di Lebuh Raya Utara Selatan berlaku kesesakan yang teruk adalah hanya kerana road block! Bukankah itu merimaskan rakyat dan menerbitkan kebencian rakyat? Di masa itu Malaysia seolah-olah menghadapi darurat! Wajarkah road block sebegini buat?

Walau apa pun saya ucapkan selamat memikul amanah rakyat buat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan syabas kepada semua petugas PKR/PR. Saya harap UMNO/BN belajarlah dari kesilapan. Rakyat tidak menolak sepenuhnya UMNO/BN tetapi UMNO/BN perlu memperbaiki diri!

Thursday, August 21, 2008

Lembaga Huduh Di Kem Mengkuang

Sebelum ini saya berjanji akan muatkan posting saya dengan gambar dan cerita berkenaan saya dan kawan-kawan yang ghairah memburu perkara-perkara yang bersabit dengan paranormal. Walau bagaimana pun saya mohon maaf kerana gambar-gambar yang dirakam oleh Sdr. Mohd. Azmi masih belum saya perolehi. Saya berjanji bila gambar-gambar tersebut sudah ada di tangan saya, saya akan muatkan di blog ini. Insya Allah.

Sekarang ini (malam ini) saya rasa bosan, tengok tv3 dan tv kerajaan lagilah buat saya biul. Mengarut mengalahkan senario. Bodoh lagi membodohkan. Baca surat khabar arus perdana pun serupa macam jugak, sama biul. Nak tengok pesta sukan olimpik di astro pun dah tak ada mood.

Jadi untuk mengelak diri saya jadi biul macam segala jenis wartawan di segala media kerajaan dan pro kerajaan, saya fikir lebih baik saya ceritakan sedikit pengalaman saya semasa mendaki Gunung Tahan pada tahun 1994 dalam bulan Julai. Perjalanan kami ialah ke puncak Gunung Tahan melalui Pekan Merapuh-Sungai Relai-Kuala Juram-Puncak Tahan dan turun melalui Gunung Gedong-Kuala teku-Melantai- Kuala Tahan(Taman Negara)-Kuala Tembeling. Ekspedisi ini memakan masa selama seminggu.

Anggota ekspedisi kami tiba di Kem Kol sekitar jam 5.30 petang setelah bertolak dari Kuala Juram pada jam 8.30 pagi. Saya sebagai Ketua Ekspedisi meminta semua anggota berhenti rehat dan dirikan khemah serta memasak untuk makan malam. Kami berkhemah dengan khemah anggota perempuan di tengah-tengah dan anggota lelaki mendirikan khemah mengelilingi khemah perempuan. Sebenarnya anggota ekspedisi kali ini lebih ramai perempuan dari lelaki. Dari 24 orang semuanya, hanya 8 orang lelaki.

Selepas selesai makan malam dan solat jamak, saya menyendiri di satu sudut gelap di bawah pokok yang agak rimbun sambil memerhatikan keadaan keliling. Di dalam mata saya melilau-lilau sekeliling kem, saya terpandang satu lembaga yang agak besar. Agak saya setinggi lebih kurang 2 meter melintasi dari penjuru kanan kem, menyeberangi sungai kecil di hadapan kawasan perkhemahan dan meluru masuk hutan menyerung ke sebelah kiri kem dan menghilang di dalam semak. Saya cuba mengejar tetapi gagal kerana gelap dan dia mungkin terlalu pantas . Saya berpatah balik ke khemah tetapi saya rahsiakan dari anggota-anggota lain bimbang mereka akan ketakutan. Saya juga yang akan susah!

Saya tidak dapat pastikan bagaimana rupa makhluk itu kerana keadaan samar. Yang saya sempat lihat hanyalah susuk tubuh yang besar dan berbulu macam beruk tetapi lebih tebal dengan warna merah kehitaman. Mukanya saya tidak nampak jelas. Dia berjalan menegak dengan pantas dan sedikit bongkok. Saya tidak pasti dari jenis beruk besar, big foot atau mawas. Itulah kali pertama saya nampak binatang sebegitu sepanjang saya bergiat di dalam bidang rekreasi dan mendaki selama hampir 10 tahun pada ketika itu.

Esoknya dari Kem Kol kami tiba di Kem Pandan lebih kurang jam 5.00 petang. Seperti biasa kami rehat, mendirikan khemah, mandi dan memasak. Semasa anggota lain turun mandi beramai-ramai mengikut arahan saya, saya berehat bersama seorang kawan sambil menjaga kem.

Apabila semua anggota sudah balik dari mandian dan ambil air, saya menanggalkan pakaian. Waktu itu sudah jam 7.00 malam, sudah hampir gelap. Dengan bertuala saya berjalan turun bukit ke arah anak air untuk mandi. Sebenarnya maaf cakap, saya suka mandi telanjang. Sudah menjadi kebiasaan saya kerana rasa lebih selesa dan senang nak bersihkan badan. Sebaik saja saya nak menuruni bukit, saya dipanggil oleh Cik Gu Ali. Dia nak ikut sama untuk mandi. Tidak boleh bertelanjanglah saya nampaknya.

Sebaik tiba di Anak Air tempat mandian, saya minta Cik Gu Ali mandi dulu kerana saya hendak buang air besar. Saya turun ke bawah lagi mencari tempat sesuai untuk saya gali lubang dan membuang. Setelah puas membuang, saya dapati tidak ada tempat di sepanjang aliran air itu yang sesuai mengikut syarak untuk membersihkan diri. Saya turun lagi ke bawah dan terjumpa satu kolam kecil anggaran 2x2 meter besar dan bila saya turun airnya di paras bawah lutut dengan aliran air mengalir dari tanah tinggi di atasnya ke dalam kolam dan melimpah ke bawah. Saya kira sesuai untuk membersihkan diri. Jadi saya bersihkan diri di dalam kolam itu dengan selamkan punggung dan basuh. Bila dah bersih saya naik semula ke tempat mandian yang saya tinggalkan Cik Gu Ali tadi. Cik Gu Ali dah balik ke kem, hari pun dah gelap. Saya mandi, berwudhuk dan balik ke kem.

Sebaik saya selesai solat maghrib dengan jamak isyak, saya nampak satu lembaga berdiri di muka lorong untuk turun ke anak air tempat mandian tadi dalam jarak 10 meter dari saya. Saya boleh nampak dengan jelas sebab saya arahkan anggota memasang satu lampu di hadapan lorong itu, dan lembaga itu berdiri hampir dengan lampu. Saiznya sama dengan saiz kita, hanya bercawat tanpa baju dengan rambut gonderong yang panjang tetapi kelihatan amat kotor dengan berpintal-pintal (bukan dipintal). Giginya basar sebab kerana giginya menjadikan bibirnya terbuka tidak rapat. Matanya yang merah meliar macam mencari sesuatu.

Ketika itu saya sudah boleh menduganya yang memang dia mencari saya. Sebabnya ialah mungkin saya telah menceroboh dan mencemari kolamnya tadi. Atau mungkin juga saya terpijak anaknya. Saya perhatikan orang lain tidak mempedulikannya. Maknanya orang lain tidak nampak kecuali saya. Di sebabkan bimbang dia buat hal kepada orang lain, lebih-lebih lagi di antara kami ramai perempuan, saya nekad mendekati dan berhadapan dengannya.

Saya bangun dengan tetapkan hati kepada Allah merapati lembaga itu. Dalam jarak 3 meter saya lihat kulitnya hitam dan kasar. Lantas saya mencabarnya. Saya kata "Aku tahu kau marahkan aku seorang saja. Kalau kau nak sangat, aku cabar kau. Kita bertarung lain kali. Malam ini tak boleh sebab ramai orang lain, nanti orang lain akan kecuh. Kau setan bukan boleh percaya. Lain kali aku datang sorang dan kau tunggu aku di sini. Kau kena percaya aku akan tepati janji" Selepas saya berkata-kata kami bertentang mata. Matanya merah dan kelihatan amat marah. Saya pagar diri saya dengan kalimah Zat Allah. Saya tentang matanya dengan berzikir tanpa berkelip. Lepas seketika dia ghaib.

Saya berpatah balik ke khemah dan arahkan buat posisi khemah sebagaimana di Kem Kol. Malam itu saya tidur dalam berhati-hati. Kejadian itu saya tidak ceritakan kepada sesiapa pun bimbang anggota perempuan akan menggelabah. Bila pagi baru saya tahu, bila lembaga itu gagal kenakan saya dia kenakan Cik Gu Ali sebab Cik Gu Ali bersama saya turun ke tempat mandian. Cik Gu Ali disumbat telinganya dengan seekor lipas. Kami gagal keluarkan lipas tersebut. Jadi kami terpaksa mematikan lipas itu supaya tidak menggelupur di dalam telinga yang menyebabkan kesakitan yang amat sangat. Bila balik lipas itu yang tinggal kerangka berjaya dikeluarkan di HUSM Kubang Kerian.

Esoknya jam 8.30 pagi kami meneruskan perjalan ke Puncak Gunung Tahan dan selamat tiba di puncak bila hari dah hampir malam. Rupanya syaitan itu juga ikut kami ke puncak!.

Saya akan teruskan cerita ini bagaimana syaitan itu cuba kenakan saya di Gunung Berapit di dalam perjalanan turun dari puncak Gunung Tahan untuk bermalam di Kem Padang di dalam posting saya yang akan datang. Kalau berminat tungguuu...

Tuesday, August 19, 2008

Oh Bangsaku

Di dalam mana-mana pilihanraya di Malaysia, terutama di semenanjung tidak kira pilihanraya kecil atau pun besar semuanya memaparkan gambaran orang Melayu yang lupa dirinya Melayu dan Islam. Hilang tatasusila melayu dan terbangnya maruah Islam dengan tingkah laku dan tandak tanduk manusia yang menggelarkan dirin mereka orang Melayu dan beragama Islam.

Saya rasa amat sedih dan terkilan dek perangai mereka-mereka yang berkempen dan menyokong kumpulan atau parti masing-masing yang bertanding. Mereka bersikap seperti mereka di rimba raya yang melihat mereka hanyalah beruk-beruk dan monyet-monyet. Tanpa segan silu mereka menjadi monyet yang pandai berkat-kata.

Ejek-mengejek, kata-kata dan aksi lucah, menyumpah seranah, bergaduh, pukul memukul, finah berleluasa, sogok dengan beli undi, ugut mengugut, berbohong, menipu, caci mencaci semuanya ada. Ibarat kata, kita umpamakan berperangai seperti pagan. Hilang kewarasan. Tidak bertamddun!

Malu saya yang juga bergelar Melayu dan beragama Islam sebagaimana mereka. Kini lagak dan bagak mereka berleluasa di Permatang Pauh. Walau pun saya tidak ke sana dan hanya bergantung maklumat dari posting kawan-kawan bloggers, ianya cukup bermaklumat untuk memahami dan menilai apa yang berlaku di sana.

Kerana politik dan taksub kepada fahaman politik anutan masing-masing, mereka sanggup membuang tata susila orang Melayu dan lebih parah, mereka sanggup menodai kesucian ajaran agama Islam yang syumul semata-mata mengikut hawa nafsu dan ketaksuban kepada pemimpin masing-masing. Mereka hilang maruah diri dan lupa tuhan. Mereka lupa mereka adalah orang Melayu. Mereka lupa agama anutan mereka adalah Islam. Segala-galanya mereka humban ke laut. Apalah nak jadi dengan bangsaku!.

Para pemimpin kerajaan sentiasa sibuk dengan politik dan survival masing-masing tanpa hiraukan tugasan hakiki membela rakyat. Fikirkan kebajikan dan kemajuan rakyat. Rencana dan laksanakan perancangan kemajuan negara. Semuanya mereka abaikan. Sepatutnya mereka memikul tanggung jawab yang diamanahkan rakyat yang memilih mereka. "Dari rakyat kepada pemimpin, dari pemimpin kepada rakyat" . Prinsip ini sudah hilang dari pegangan pemimpin kita di negara ini.

Bagi pemimpin pembangkang pula, mereka sibuk dengan mengejar cita-cita politik yang kononnya akan membela rakyat. Akan tetapi sedarkah mereka-mereka ini sedang menggunakan kesusahan rakyat untuk mengaut laba politik? Dan di akhirnya rakyat marhaen tidak akan mendapat apa-apa. Yang mendapat untung hanya segelintir juak-juak dan tukang-tukang usung di kiri kanan mereka sahaja.

Yang kemponan adalah manusia-manusia yang bergelar rakyat marhaen yang daif dan sengsara menghadapi kehidupan yang semakin menyeksakan.

Sunday, August 17, 2008

Lembaga Hitam Di Batu Tok Mat Hassan

Dalam pada semua orang fokus ke Permatang Pauh, saya lencungkan sedikit untuk berkungsi tentang apa yang saya alami semasa mendaki Gunung Tebu minggu lepas bersama-sama seorang Pawang dan seorang Wartawan paranormal.

Dari kaki Gunung Tebu (Sungai Cakah Dua) kami bertujuh bertolak tepat jam 3.33 petang selepas solat dan makan tengahari. Saya bersama Pak Jik (Aziz), Pak Him (Ibrahim) panggilan saya kepada mereka kerana kami hampir sebaya bersama Mat Ju (Marzuki), Mie (Mohd. Azmi), Din dan seorang anak lelaki kepada Mohd. Azmi yang berumur 15 memulakan trekking dalam keadaan cuaca yang amat baik. Pak Jik adalah orang yang berupaya untuk mengundang orang halus. Saya tidak pasti Jin atau Bunian sementara Mohd. Azmi pula adalah seorang Wartawan paranormal yang berhidmat sambilan dengan sebuah majalah yang berkaitan dengan perkara tersebut. Pak Jik dan Mohd. Azmilah yang mengajak saya ke sana kerana saya agak mahir dengan trek di gunung itu.

Jam 6.30 kami tiba di Batu Tok Mat Hassan dan berehat. Ada yang makan malam tetapi saya hanya minum dan makan sedikit roti. Disebabkan masa sudah hampir maghrib saya cadangkan kami berehat di sini dulu dan sambung perjalanan/pendakian selepas waktu maghrib.

Jam 8.00 malam, Pak Jik mengatakan ada ramai rupanya makhluk ghaib di tempat kami berhenti dan berehat itu. Jadi Mohd. Azmi cadangkan Pak Jik cuba mengadakan upacara memanggil makhluk berkenaan. Pak Jik minta jangan sesiapa pun berdiri di belakangnya sementara dia berzikir dan menyeru makhluk berkenaan untuk hadirkan diri supaya dapat dilihat.

Selepas Pak Jik sudah berupacara, Pak Jik suruh tengok di belakangnya. Memang saya nampak beberapa makhluk dengan bayang-banyang yang lut sinar berada di sekeliling tempat itu seketika dan menghilang dari pandangan mata kasar. Bagi saya tidak menakutkan sebab saya sudah beberapa kali diganggu semasa beberapa kali mendaki Gunung Tahan dan Gunung Rabung. Saya juga pernah nampak secara zahirnya satu makhluk yang huduh di Kem Mengkuang di perjalanan ke Gunung Tahan. Kejadian di Kem Mengkuang akan saya ceritakan di dalam posting saya yang akan datang. Insya Allah.

Setelah beberapa makhluk tadi menghilang, saya termenung memikirkan apa yang saya telah lihat. Adakah itu semua hanya ilusi atau pun memang benar. Saya nak tanya kepada Pak Jik tetapi saya takut dia berkecil hati, tidak percayakannya. Jadi saya diam sambil berfikir dan sambil itu mata saya liar meleret ke sekeliling. Saya perhatikan sebuah batu yang agak besar dan setinggi 4 meter di hadapan saya yang dipanggil Batu Tok Mat Hassan. Kononnya mengikut cerita mulut ke mulut batu inilah tempat Tok Mat Hassan bertapa suatu ketika dulu. Saya nampak satu lembaga hitam sedang bertenggek di atas batu besar itu yang jaraknya dari saya tidak sampai 5 meter.

Saya perhatikan betul-betul kerana bimbang apa yang saya nampak itu hanyalah perasaan saya saja. Lama saya renung dan perhatikan barulah jelas yang ianya satu lembaga berambut panjang dan beruban yang masih bercampur dengan rambut hitam (separuh uban). Mukanya bulat tembam dan berkulit gelap. Dia pandang saya tanpa senyum tidak menunjukkan apa-apa emosi. Saya pandang dia, dia juga pandang saya tanpa suara dengan mimik muka yang bersahaja. Saya cakap kepada Mohd. Azmi supaya tengok kat atas batu itu dan kalau boleh ambil gambarnya.

Mohd. Azmi pandang ke arah itu dan mengiyakan apa yang saya nampak. Dia mengeluarkan kamera dan ambil gambar. Yang anihnya, bila Mohd. Azmi mengambil gambarnya dia beralih tempat pula. Dia menggelunsur sedikit ke bawah dan duduk berjuntai kaki di satu lekok di batu itu seolah-olah tiada apa yang berlaku. Makhluk itu hilang selepas lebih kurang 10 atau 15 minit. Memang agak lama juga. Di dalam kamera Mohd. Azmi hanya nampak satu bayang hitam macam di dalam film negetif. Selepas itu kami berkemas dan memulakan pendakian pada jam 9.00 malam lebih, saya tidak berapa pasti secara tepat. Air bekalan kami sudah hampir kehabisan kerana kebanyakan anggota tidak bercermat menggunakan air.

Pendakian dari sini memang mencabar. Treknya licin dan mencanak. Selepas mendaki lebih kurang sejam setengah kami tiba di satu puncak bukit dan bertanda punca air sejauh 120 meter. Kami berhenti rehat dan lima anggota turun ambil air. Saya dan Mohd. Azmi menunggu di puncak itu bersama beg dan barangan kami.

Sedang kami releks dan berehat, tiba-tiba kami nampak satu makhluk putih melayang lebih kurang 5 saat melintasi kami. Sayangnya saya dan Mohd. Azmi gagal mengeluarkan kamera kerana kami berada di dalam gelap. Tidak berapa lama kemudian geng yang turun ambil air sudah sampai dan kami meneruskan perjalanan.

Di perjalanan inilah si Mat Ju menceritakan yang dia nampak pagar yang memagari kawasan punca air tadi. Dia tidak berani turun ke tempat air itu tetapi yang lain mendesak hendak turun juga ambil air. Di masa inilah dia tergelincir dan botol airnya jatuh ke dalam aliran air tetapi Pak Him sempat mengambilnya dengan bergayut pada akar.

Setelah bersusah payah akhirnya kami tiba di puncak Gunung Tebu pada jam 12.30 tengah malam. Di puncak ini semasa kami berehat makhluk-makhluk itu datang menjenguk lagi, tetapi mereka berada agak jauh, agak dari jarak 10 meter dari kami. Saya nampak macam kabus tetapi memang berbentuk manusia yang sederhana. Saya mengeluarkan kamera dan membetulkan fokusnya. Sedang saya terbelek-belek itulah salah satu lembaga melintas di hadapan kamera saya dalam jarak agak dekat. Tapi sayangnya saya gagal menangkap gambarnya. Yang ada dalam kamera saya hanyalah satu lembaga putih yang halus. Selepas itu mereka menghilang dan kami tidur.

Kalau ada gambar yang terang yang telah Mohd. Azmi rakam, saya akan muatkan di dalam posting saya kemudian. Buat masa ini saya masih belum berjumpa dengannya lagi selepas kami sama-sama pulang dari Gunung Tebu.

Friday, August 8, 2008

Jelajah Gunung Lagi

Esok jam 09:00 saya akan menjelajah Gunung Tebu lagi, tetapi kali ini dengan wartawan berita misteri dan kawan-kawan yang mahir dengan alam ghaib. Saya juga terasa ghairah untuk meneroka dan mengetahui alam yang asing bagi saya tetapi biasa bagi yang sudah menempuhnya.

Hendak percaya? Aku belum pasti. Walau apa pun saya akan tunggu esok dan esok malam. Apakah upacara dan kaedahnya akan diketahui. Sebenarnya saya pernah alami satu peristiwa anih, luar biasa dan sukar untuk dipercayai sekiranya tidak alami sendiri.

Insya Allah akan saya ceritakan nanti di masa yang lain.