Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Friday, December 30, 2016

Yemen: Perang regional atau sektarian?

MEMAHAMI PERANG YEMEN: APA SEBENARNYA BERLAKU?
Posted on December 28, 2016
Syed Hussein Al Houthi pejuang pembebasan Yemen

Ada yang meminta saya menganalisa perang yang tengah berlangsung di Yaman (Yemen). Berbeza dengan Syria, pergolakan di Yaman kurang mendapat perhatian. 

Tak ramai yang nak berhashtag #SaveYemen atau #SanaaBerdarah walaupun lagi 3 bulan akan genap 2 tahun perang ini berlangsung dan jumlah korban telah pun mencecah 10,000 nyawa. 

Di samping mengebom orang awam Yaman menggunakan pesawat F15 buatan Amerika Syarikat, Arab Saudi juga mengenakan sekatan laut ke atas Yaman dan menyebabkan orang Yaman mati kebuluran.
Tak ramai yang mahu mengambil perhatian pasal krisis kemanusiaan di Yaman, kerana kita diwawarkan dengan naratif popular yang mengatakan bahawa perang tersebut ialah perang sektarian di antara Sunni dan Syiah. Naratif popular berbunyi: pemberontak Syiah Houthi yang ditaja Iran telah menggulingkan kerajaan Sunni di Yaman, jadi Saudi bercampur tangan untuk membela nasib umat Sunni. Justeru itu, kalau pendapat kita bercanggah dengan naratif ini, bersedialah untuk dicop “Syiah” atau “pro-Syiah”.

Sektarianisme membuat kita menidakkan kemanusiaan rakyat Yaman, seolah-olah kita kata “biarlah mereka mati, Syiah je pun”.

Konflik ini berpunca daripada tindakan sekumpulan pemberontak bernama Houthi (atau Ansar Allah) yang terdiri daripada penganut ajaran Syiah Zaidiyyah (Syiah 5 Imam). Pada September 2014, militia Houthi telah menggulingkan kerajaan Abd Rabbuh Mansur Hadi (Sunni) dengan kerjasama bekas presiden Ali Abdullah Saleh (Zaidiyyah). Hadi melarikan diri ke Aden. Seterusnya, Saudi menyatakan sokongan kepada Hadi dan mengisytiharkan perang ke atas Houthi bermula Mac 2015. Saudi disokong oleh negara-negara Teluk (GCC) yang lain termasuk Qatar, dan paling penting sekali ialah Amerika yang telah untung berbilion-bilion dengan menjadi pembekal senjata api kepada Saudi.

King Salman penerus Empayar Saudi Ibn Saud penganut  Wahhabism


Perang Yaman bukan perang sektarian. Pertama, Saudi dan Qatar bukan wakil Sunni. Kedua, Syiah di Yemen bukan ‘pemberontak’ dan Sunni di Yaman bukan ‘kerajaan’ dan tiada sesiapa menindas sesiapa. Seramai 45% rakyat Yaman ialah penganut Syiah Zaidiyyah manakala 53% ialah Sunni Syafiʿi. Syiah Zaidiyyah (akidah dan fekahnya jauh berbeza dengan Syiah Imamiyah atau Syiah 12 Imam) dan Sunni Syafiʿi telah pun hidup secara damai di bumi Yaman lebih dari seribu tahun, kenapa boleh tiba-tiba terjadi kebencian sektarian?

Ketiga, hubungan Hadi, Saleh dan Houthi tidak menggambarkan konflik sektarian. Hadi merupakan timbalan kepada Saleh selama 18 tahun (1994-2012) sebelum menggantikan Saleh yang turun akibat demonstrasi rakyat membantah kerajaan Saleh yang telah memerintah selama 33 tahun. Ketika perang saudara Yaman berlaku pada tahun 1994, Hadi telah menyokong Saleh dan dengan itu Hadi dilantik sebagai Menteri Pertahanan dan Naib Presiden.
Untuk memahami sebarang konflik geopolitik, adalah penting untuk kita memahami konteksnya terlebih dahulu. Selepas kita memahami konteks, kita akan sedar apa yang berlaku di Yaman ialah perang regional, bukan perang sektarian. Sentimen kabilah juga memainkan peranan, namun dalam kabilah yang sama terdapat Syiah dan Sunni, jadi sektarianisme bukan punca konflik. Puncanya ialah regionalisme di mana penduduk Yaman selatan menganggap kerajaan pusat di Sanaa (Yaman utara) telah meminggirkan mereka dari segi sosioekonomi, dan persepsi itu membawa kepada gerakan pemisahan dan konflik berpanjangan. Gerakan Houthi hanya sebahagian daripada cerita Yaman yang rumit.

Yaman yang kita kenali hari ini ialah sebuah negara yang wujud selepas penggabungan Yaman Utara dan Yaman Selatan pada tahun 1990. Yaman Utara mempunyai sejarah sebagai mukim penganut Zaidiyyah dan mereka telah mendirikan pemerintahan keimaman dari tahun 897 hingga tahun 1962 (namun di dalam sempadan Yaman Utara juga terdapat Sunni). 

Berbeza dengan pegangan Syiah Imamiyah, imam Zaidiyyah tak semestinya dipilih dari golongan Ahlul Bayt. Imam terakhir, Muhammad Al-Badr telah digulingkan pada tahun 1962 dan digantikan dengan pemerintahan republik. Perang saudara menyusul dan melanjut sehingga tahun 1970 di mana golongan tentera mengalahkan kerajaan Imam Zaidiyyah. Ironiknya, Saudi telah menyokong Imam Zaidiyyah dalam perang tersebut kerana golongan tentera disokong oleh Gamal Abdel Nasser dari Mesir iaitu musuh ketat Saudi.

Yaman Selatan pula merupakan jajahan British di bawah nama Aden Protectorate dari 1839 hingga 1967. Masyarakat Yaman Selatan berpegang kepada mazhab Syafiʿi dan hidup berkabilah. Ramai keturunan Arab di Nusantara adalah berasal dari situ, terutamanya dari Hadramawt (seperti Al-Attas, Al-Bar, Al-Haddad). 

Selepas Aden merdeka pada tahun 1967, Yaman Selatan dikuasai parti berideologi komunis dan menjadi sebuah negara satelit kepada Soviet Russia. Kenapa Russia mahu mengawal Yaman Selatan pada ketika itu? Ingat teori “pelabuhan air suam”. Disebabkan pemerintahan komunis, ramai Sunni telah berpindah ke Yaman Utara di bawah naungan Zaidiyyah.
Apabila rejim Soviet runtuh dengan ketamatan Perang Dingin, Yaman Selatan yang kehilangan payung Soviet telah diserap ke dalam Yaman Utara menjadi negara Yaman yang bersatu. Namun Yaman bersatu gagal menjadi negara yang stabil. Perang saudara meletus pada tahun 1994 kerana orang Selatan menganggap kepentingan mereka dipinggirkan oleh kerajaan pusat yang mementingkan orang Utara. Hadi mendapat sokongan di Aden bukan kerana dia Sunni, tetapi kerana dia ialah anak jati Selatan.

Gerakan Houthi yang diasaskan oleh Hussein al-Houthi pada tahun 2004 memberontak terhadap kerajaan Saleh yang dianggap pro-Saudi dan pro-Amerika, bukan kerana ada sektarianisme Sunni-Syiah di Yaman. Ia pernah berperang dengan kerajaan Saleh selama 6 kali, jadi adakah berlaku perang saudara di kalangan Zaidiyyah? 

Pelepasan kuasa Saleh atas desakan rakyat pada tahun 2012 (Sunni dan Syiah sama-sama protes terhadap Saleh) tidak berjaya memenuhi tuntutan Houthi. Jadi, Houthi sekali lagi melancarkan pemberontakan terhadap kerajaan pusat.
Pada masa yang sama Houthi juga berperang dengan kumpulan Islah yang diketuai Sheikh Abdullah al-Ahmar dari kabilah Hashid yang juga merupakan Zaidiyyah. Selain Houthi, juga terdapat gerakan pemisah lain seperti Al-Hirak (Southern Movement) yang aktif sejak 2007. Gerakan kumpulan-kumpulan seperti ini jarang dihighlight dalam laporan media arus utama, kerana ia akan menggagalkan pembentukan naratif “Sunni vs. Syiah”.

Siapa yang sebenarnya untung daripada sentimen sektarian? Tidak lain ISIS dan Al-Qaeda. Al-Qaeda beroperasi di bawah Ansar Al-Sharia telah mengkafirkan Zaidiyyah, menyerang dan mengebom masjid-masjid Zaidiyyah di mana Sunni juga solat bersama. Mengambil kesempatan ke atas keadaan huru hara, Ansar Al-Sharia dapat menguasai kawasan Selatan.

Tidak dinafikan Iran dan Saudi juga cuba memanipulasi kerumitan konteks Yaman untuk kepentingan masing-masing. Untuk sementara waktu, peranan Iran sangat terhad dalam Perang Yaman, tidak seperti di Syria. Keutamaan Iran ialah untuk mewujudkan kawasan Bulan Sabit Syiah (Shia Crescent) yang menyambungkan Iran, Iraq, Syria dan Lubnan. Yaman terlalu jauh dan tidak strategik bagi Iran. Boleh rujuk kajian Thomas Juneau dari Universiti Ottawa berjudul ‘Iran’s Policy towards the Houthis in Yemen: a Limited Return in a Modest Investment’.

Tujuan Saudi pula lebih kepada pengukuhan keabsahan rejim Banu As-Saud. Campur tangan di Yaman sama seperti campur tangan di Bahrain di mana Saudi dan GCC membanteras demonstrasi rakyat yang majoritinya Syiah. Saudi risau dengan kebangkitan politik orang Syiah yang akan menggugat keutuhan wilayah Saudi di mana ia juga mempunyai kawasan yang bermajoriti Syiah di wilayah timur, dan di situlah kawasan simpanan minyak Saudi.

Pendek kata, tanpa memahami konteks negara-negara Timur Tengah, kita akan mudah terpedaya dengan dakyah/propaganda sesetengah pihak dan gagal memahami punca masalah. Yaman mempunyai persamaan dengan Syria di mana kegagalan membentuk negara bangsa yang jitu telah menjadikan negara terdedah kepada perpecahan dan manipulasi kuasa-kuasa asing.

Bacaan Lanjut:

Stephen W. Day (2012), Regionalism and Rebellion in Yemen: A Troubled National Union
Noel Brehony (2013), Yemen Divided: The Story of a Failed State in South Arabia
Uzi Rabi (2015), Yemen: Revolution, Civil War and Unification - sumber

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa