Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Wednesday, October 11, 2017

SPRM geledah rumah, tahan adik Shafie Apdal

mk   -   10 Okt 2017, 10:18 malam
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan Hamid Apdal, adik kepada Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Seri Shafie Apdal.

Sumber memberitahu Malaysiakini, Hamid ditahan pada pukul 9.30 malam, selepas tiga jam sesi soal siasat di pejabat SPRM di Kota Kinabalu.

Hamid hadir ke pejabat SPRM pada pukul 10 pagi tadi, selepas badan itu gagal menemuinya ketika pergi ke rumahnya semalam.

Malaysiakini difahamkan Hamid diambil dari rumahnya di Putatan oleh lima pegawai SPRM pada pukul 3.30 petang.

Mereka mencari bahan bukti bagi membantu siasatan terhadap dakwaan penyelewengan dana bagi projek pembangunan luar bandar di negeri itu.

Mereka berada di sana sehingga pukul 6 petang, sebelum membawa Hamid ke pejabat SPRM semula.

Menurut The Star Online, sekurang-kurangnya dua anggota Dewan Undangan Negeri dan seorang senator dijangka akan dipanggil untuk memberikan kenyataan.

Semalam, seorang senator dari parti komponen BN dibebaskan selepas memberi kenyataan berhubung isu itu, kata laporan itu.

Pagi tadi, dua pemuda pemimpin Umno Sabah dan ketua pemuda WARISAN direman lima hari.

Ketua Penerangan Pemuda Umno Sabah yang juga Ketua Pemuda Umno Tenom Jamawi Jaafar dan Ketua Pemuda WARISAN Mohd Azis Jamman ditahan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kota Kinabalu, semalam. Manakala Ketua Pemuda Umno Tawau Ariffin Kassim pula ditahan di pejabat SPRM di Tawau.

Jamawi kini adalah pegawai khas di Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Namun, difahamkan yang penahanan itu berkaitan dakwaan kesalahan yang dilakukan ketika dia menjadi pembantu kepada Presiden WARISAN Datuk Seri Shafie Apdal ketika Shafie menjadi menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Mohd Azis merupakan Ketua Pemuda Umno Semporna sebelum keluar parti dan menyertai WARISAN.

Tempoh reman Naib Presiden WARISAN Peter Anthony yang ditahan Khamis lalu turut dilanjutkan selama tiga hari.

Dakwaan penyelewengan dana itu dikatakan bagi projek pembangunan yang sepatutnya dilaksanakan Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, sebelum pemecatan Shafie daripada portfolio itu ketika rombakan kabinet pada 2015.

Hati-hati bila masukkan nombor PIN kad kredit, elak terbayar dua kali

10:29 PM -  Facebook
Jika anda biasa menggunakan kad kredit atau kad debit untuk membuat pembayaran, anda dinasihatkan untuk memerhatikan skrin mesin pembayaran sebelum menekan nombor pengenalan peribadi (PIN) anda. Jika tidak, anda mungkin dikenakan 'bayaran tambahan' tanpa sedar. 

Lapor The Star, dalam satu kejadian baru-baru ini, seorang pelanggan restoran telah menekan nombor PIN tanpa melihat pada skrin mesin pembayaran. 

"Juruwang itu kata transaksi tidak dapat dilakukan dan dia meminta saya untuk memasukkan nombor PIN sekali lagi. 

"Rupa-rupanya sebelum skrin meminta nombor PIN itu, terdapat skrin yang bertanya berapa banyak 'tip' yang saya berikan kepada mereka. 

"Nombor PIN saya itu akan menjadi amaun tip tersebut dan akhirnya saya terbayar harga makanan dua kali ganda tanpa disedari," kata individu berkenaan dalam sebuah mesej yang tersebar di media sosial. 

Bagaimanapun, juruwang terbabit telah memulangkan wangnya dalam bentuk tunai dan mangsa memuat naik insiden itu di media sosial bagi agar orang ramai berhati-hati supaya tidak menjaya mangsa seterusnya. 

Sementara itu, peguam, Jonathan Looi, 28, berkata, dia hampir membayar tip berjumlah ribuan ringgit pada sebuah restoran apabila dia menekan nombor PIN, namun tersedar ada sesuatu yang tidak kena. 

"Saya bernasib baik dan sedar lebih awal sebelum menekan butang pengesahan bayaran," katanya. 

"Saya rasa mesin kadk redit itu telah diprogram seperti itu tetapi kakitangan restoran sepatutnya memaklumkan kepada saya mengenai ciri-ciri tersebut. 

"Tetapi juruwang berkenaan hanya menghulurkan kepada saya mesin itu tanpa berkata apa-apa. Jadi saya menyangka ia hanya prosedur biasa di mana saya perlu menekan nombor PIN dan tekan butang pengesahan bayaran," katanya lagi. 

Menurut Looi, sejak dari insiden yang berlaku sekitar dua bulan yang lalu, dia akan melihat paparan di skrin terlebih dahulu sebelum menekan butang PIN. 

"Saya rasa orang ramai perlu dimaklumkan mengenai perkara ini kerana kebiasaannya kita tidak memerhatikan paparan di skrin mesin bayaran tersebut," katanya. 

Seorang penolong pengurus di sebuah restoran steamboat di Pulau Pinang berkata, restorannya telah menghadapi masalah tersebut sejak dua bulan lalu semenjak pihak bank menaik taraf mesin pembayaran kad kredit mereka. 

"Baru-baru ini, pihak bank telah mengubah mesin bayaran tersebut dan sejak dari itu kami terpaksa menekan butang 'enter' sehingga kami nampak paparan pembayaran di skrin mesin itu. 

"Kemudian kami serahkan mesin itu kepada pelanggan untuk memasukkan nombor PIN mereka untuk membuat pembayaran. 

"Setakat ini, kami belum mengalami transaksi di mana jumlah tip yang salah telah diberikan. Kami telah memberi taklimat kepada semua kakitangan kami untuk memastikan mereka menekan butang 'enter' untuk melangkau ciri-ciri itu," katanya. 

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, S.M Mohamed Idris berkata, pihak yang bertanggungjawab perlu memperbetulkan masalah itu. 

"Pihak bank perlu membuat pengumuman bagi memastikan pengguna menyedari masalah terbaru ini," katanya.

Tuesday, October 10, 2017

Aku rasa kata-kata ini lebih kepada amaran kepada yang seumpamanya

Mufti Perlis sindir Kassim Ahmad?
TMI  -  Diterbitkan pada 10 Oct 2017 9:17PM
Catatan Dr Asri di Facebook mengenai cara pengebumian mengikut hadis itu kelihatan menyindir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Oktober, 2017.

MUFTI Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin didakwa menyindir Kassim Ahmad, yang meninggal dunia hari ini, kerana pendirian cendekiawan Melayu-Islam itu berhubung kedudukan hadis sebagai sumber perundangan Islam.

Menggunakan laman Facebook rasminya DrMaza.com, Asri menulis pengurusan jenazah tidak disebut dalam Al-Quran secara terperinci.

Kenyataannya ini, walaupun tidak menamakan Kassim secara langsung, dilihat sebagai menyindir Kassim yang semasa hidupnya dituduh sebagai seorang yang anti hadis.

“Cara pengurusan jenazah secara terperinci disebutkan dalam hadis-hadis Nabi s.a.w.

“Maka, untuk menguruskan jenazah memerlukan hadis-hadis yang thabit dari Nabi s.a.w. Ertinya, Muslim sebenarnya memerlukan hadis-hadis Nabi s.a.w. dalam banyak perincian amalan hidupnya,” tulis Asri hari ini.

Tulisan Asri itu dimuat naik sekitar tengahari, kira-kira dua jam selepas Kassim meninggal dunia di Hospital Besar Kulim pukul 10 pagi hari ini setelah tidak sedarkan diri sejak awal pagi semalam.

Kassim mencetuskan kontroversi dalam kalangan golongan agama berfikiran konservatif apabila bukunya “Hadis: Satu Penilaian Semula” yang terbit pada 1986 mengupas hadis secara kritikal.

Beliau antara lain mengkritik kelemahan hadis sebagai sumber hukum termasuk mengkritik proses periwayatan hadis serta menonjolkan percanggahan antara hadis dengan Al-Quran, sains dan sejarah.

Pandangan Kassim itu menyebabkan beliau menjadi mangsa apabila diputarbelitkan dengan mendakwa kononnya beliau membawa satu fahaman baru yang mengajak umat Islam menolak semua hadis.

The Malaysian Insight cuba mendapatkan komen daripada Asri tetapi belum berhasil

Tulisan Asri itu menerima pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial.

Aliff Ashraf yang menulis komentar terhadap kenyataan Asri di Facebook kesal dengan tulisan mufti itu yang "sebagai mujtahid dan intelektual Islam" sepatutnya mengucapkan hal-hal yang baik tentang orang yang sudah meninggal dunia.

Katanya, Kassim sudah menulis secara ilmiah tentang kajian hadis yang sehingga hari ini tidak dipatahkan oleh golongan ulama.

“Nampaknya you sendiri tak ikut apa yang Nabi buat pada musuh/orang yang berbeza pendapat," tulis Aliff.

Seorang pengguna Facebook dengan nama Amirul Mukminin pula menulis: “Daripada Aishah r.a: Nabi s.a.w. bersabda: Janganlah kalian mencela orang-orang yang sudah mati, karena mereka itu sudah sampai kepada apa yang telah mereka lakukan (Riwayat Bukhari).”

Tidak kurang juga ada pengguna Facebook yang menyokong tulisan Asri.

“Kita nak tengok juga bagaimana golongan anti hadis nak uruskan jenazah rakan mereka guna al Quran sahaja, tanpa merujuk hadis,” tulis Ahmad Fairuz Saad.

Jenazah Kassim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan di Masjid Al-Huda di Kulim, Kedah selepas Maghrib, malam ini.

Kassim menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 84 tahun. Beliau sebelum itu dirawat di Hospital Besar Kulim kerana masalah jangkitan paru-paru.

Shauqi sebelum ini dilaporkan berkata bapanya yang uzur dan berkerusi mengalami tekanan kerana naik turun mahkamah setelah didakwa menghina Islam oleh Jabatan Agama Wilayah Persekutuan.

Hanya dua bulan lepas, Mahkamah Syariah melepas dan membebaskan beliau daripada tuduhan tersebut.

Kassim mengharungi cabaran selama tiga tahun selepas dituduh menghina Islam dan ingkar fatwa yang dikeluarkan oleh Wilayah Persekutuan dalam sebuah seminar pada Februari 2014.

Beliau ditangkap di rumahnya di Kulim, Kedah pada Mac 2014. Beliau dibawa ke Kuala Lumpur dan didakwa atas dua tuduhan itu.

Selepas Mahkamah Rayuan pada Disember 2015 dan Mahkamah Persekutuan pada Mac 2016 memutuskan tindakan Jawi itu bercanggah dengan undang-undang, pendakwa syariah kemudian pada 7 Ogos lepas menggugurkan tuduhan terhadap Kassim. – 10 Oktober, 2017.

Dah mental yang jadi masalah, nak buat kerja macam mana?

Jangan diskriminasi pekerja hadapi masalah mental - Lam Thye
Oktober 10, 2017 18:44 MYT
Jangan diskriminasi pekerja hadapi masalah mental - Lam Thye
LAM THYE: Majikan juga perlu menekankan soal promosi kesihatan mental melalui Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan supaya pekerja yang menghadapi masalah itu diberi perlindungan dan pembelaan.
PETALING JAYA: Majikan perlu menghentikan sebarang diskriminasi terhadap pekerja yang berdepan masalah kesihatan mental dan sebaliknya memastikan mereka mendapat rawatan serta sokongan sewajarnya.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye berkata majikan perlu bertanggungjawab memastikan pekerja menghadapi masalah itu menerima kaunseling dan dirujuk kepada pakar psikologi.

Pekerja yang mengalami masalah kesihatan mental juga tidak harus digantung atau dibuang kerja dengan sewenang-wenangnya, katanya ketika menjadi panel perbincangan pada sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia anjuran Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) di sini hari ini.

''Majikan juga perlu menekankan soal promosi kesihatan mental melalui Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan supaya pekerja yang menghadapi masalah itu diberi perlindungan dan pembelaan," katanya.

Beliau berkata langkah menjaga kesihatan mental dan emosi pekerja pas-tinya akan meningkatkan produktiviti yang membawa kebaikan kepada sesuatu organisasi.
Menurutnya, pembangunan indeks penilaian psikologi seumpama itu boleh dilaksana Kementerian Kesihatan dan hasilnya digunakan untuk merancang program berterusan bagi menangani isu-isu kesihatan mental.

"Saya juga mencadangkan supaya setiap organisasi mengambil kira risiko tekanan dan aspek psikososial berkaitan pekerjaan sebagai sebahagian daripada strategi keselamatan dan kesihatan ke arah mengurangkan kemalangan dan kecederaan di tempat kerja,'' tambah Lee.

Di BESUT, majikan digesa berusaha menyediakan persekitaran kerja yang kondusif supaya wujud keseimbangan antara kehidupan dan pekerjaan bagi mengelakkan tekanan mental serta kemurungan, kata Anggota Dewan Undangan Negeri Kota Putera, Mohd Mahdi Musa.

Katanya, sekiranya perkara itu diambil mudah oleh majikan, pekerja mereka akan sentiasa menghadapi tekanan dalam tugasan harian yang akhirnya boleh membawa kepada kerendahan dalam kualiti kerja dan gagal menyumbang kepada peningkatan produktiviti.

"Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan yang dilaksanakan pada tahun 2015 mendapati prevalens masalah kesihatan mental di kalangan penduduk termasuk pekerja yang berumur 16 tahun ke atas di seluruh negara ialah sebanyak 29 peratus manakala di Terengganu mencatatkan angka 26 peratus", katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri, Roslee Daud merasmikan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2017 peringkat negeri Terengganu di Kompleks Rakan Muda Besut di sini hari ini.

Mohd Mahdi seterusnya memberitahu tugasan kerja boleh mencabar kesihatan mental pekerja sekiranya mereka terlalu terbeban dengan tugasan, tidak merasa selamat atau dihargai serta dihormati majikan masing-masing semasa menjalankan tugas seharian.

Katanya, antara petanda kesihatan mental di kalangan pekerja terganggu boleh dikenal pasti melalui meningkatnya kesilapan dalam menjalankan tugasan, mudah hilang tumpuan semasa bekerja, bermasalah dalam membuat keputusan, prestasi kerja merosot dan kurang ceria.

Beliau menyarankan agar majikan sentiasa membuat pemantauan terhadap pekerja masing-masing bagi memastikan tidak berlakunya gangguan kesihatan mental yang sekiranya dibiarkan boleh membawa kepada kesan yang lebih buruk.

-- BERNAMA

Adakah ini bermakna isu rasuah Annuar akan ditutup begitu saja?

Usah dikenang isu rasuah Annuar, kata pengerusi baharu Mara

  | October 9, 2017
Awang Adek Hussin berkata, pihaknya mahu memfokuskan pembangunan masa depan di bawah kepimpinan baharu.
KUALA LUMPUR: Pengerusi baharu Majlis Amanah Rakyat (Mara) menyifatkan dakwaan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dana membabitkan bekas pengerusi, Tan Sri Annuar Musa ialah isu lama yang tidak perlu dibangkitkan lagi.
Sebaliknya, Datuk Awang Adek Hussin berkata, pihaknya mahu memfokuskan pembangunan masa depan di bawah kepimpinan baharu.
“Kes itu (siasatan terhadap Annuar) sudah berlalu, usah dikenang yang lalu, kita pandang ke depan.
“Cerita itu sudah habis, tidak perlu bincang. Dulu Datuk Dr Yusof Yacob (pengerusi sementara Mara) sudah jelaskan semua.
“Kita ini pengerusi baharu mesti ada modal baharu, jangan modal lama,” katanya pada sidang media penganjuran Mara-OISCA International Business Forum (MOIBF) 2017 di bangunan Mara, hari ini.
Februari lalu, Jawatankuasa Audit Dalaman Mara yang dipengerusikan Prof Datuk Dr Abu Azam Md Yassin memanggil Annuar untuk membantu siasatan susulan dakwaan rasuah terhadapnya, termasuk penajaan pasukan bola sepak Kelantan.
Annuar turut disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atas dakwaan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dana.
Bagaimanapun, sehingga hari ini, hasil siasatan tidak diumumkan dan tiada tindakan diambil ke atas Annuar.
Ahli Parlimen Ketereh itu digantung tugas sebagai pengerusi Mara dan Pelaburan Mara Bhd (PMB) mulai 31 Januari lalu.
Pada 25 April lalu, Annuar menafikan pembabitannya dalam rundingan pembelian pakej komersial membabitkan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan PMB dengan pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors.
Sebaliknya, beliau berkata, keputusan pembelian pakej komersial sebanyak RM500,000 oleh UniKL dan RM200,000 oleh PMB dibuat di peringkat pentadbiran tanpa merujuknya.

Tajuk berkaitan: 
Tajaan skuad Kelantan: Mara akan panggil Annuar beri keterangan
Fitnah totok’ saya paksa taja Kelantan, kata Annuar selepas dipanggil Mara
EHH...EHH...SENANG-SENANG GITU SAJA NAK TUTUP KES RASUAH MARA?

Bukankah berita ini baik dan menarik?

CNN: Asam laksa P. Pinang antara hidangan terbaik dunia
Bernama    9 Okt 2017, 9:46 malam
Asam laksa Pulau Pinang dari Malaysia disenaraikan antara 50 hidangan terbaik dunia dalam laporan tinjauan oleh Channel News Network (CNN).

Turut tersenarai hidangan Pho Pho (mi sup) dan Goi cuon (popiah segar) dari Vietnam, lapor agensi berita Vietnam (VNA).

Hidangan lain termasuk ayam muamba dari Gabon, tom yum goong (Thailand), burger (Jerman), itik Peking (China), sushi (Jepun), cokelat (Mexico), pizza Neapolitan (Itali) dan kari Massaman (Thailand).

Menurut laporan itu, Pho merupakan simbol masakan Vietnam yang boleh didapati di mana sahaja warga Vietnam berada di seluruh dunia.

Sunday, October 8, 2017

Shahrir dah selesaikan masalah Felda?

Jual hotel macam jual Ferrari, kata pengerusi Felda
mk   -  Hari ini, 4:42 petang
Tindakan Felda menjual pegangan dan hotel miliknya di London adalah kaedah biasa untuk meraih wang, kata pengerusinya Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Beliau yang juga anggota parlimen Johor Bahru menafikan tindakan itu akibat Felda berhadapan masalah kewangan.

"Kita membeli aset apabila dalam keadaan agak selesa, dan menjualnya semula apabila memerlukan wang tunai. Lagipun ia bukan penjualan aset yang melibatkan perniagaan teras kita, atau mana-mana kawasan Felda," katanya dalam wawancara yang disiarkan akhbar bahasa Cina hari ini.

Sharir membandingkan hotel itu dengan kereta mewah, yang pastinya akan menjatuhkan ego seseorang jika terpaksa menjualnya namun tidak memberikan apa-apa kerugian besar kepadanya.

"Hotel seperti Ferrari yang anda jarang pandu. Ia tidak memberikan apa-apa kerugian apabila anda menjualnya, hanya maruah yang sedikit tercalar," katanya seperti dipetik akhbar China Press.

Shahrir juga menafikan dakwaan pembangkang berhubung keadaan kewangan Felda yang lemah. Menurutnya, nilai aset Felda kini melebihi hutang.

Shahrir berkata, Felda telah membayar insentif tunai RM5,000 kepada semua 94,956 peneroka Felda, dengan mencecah jumlah RM474.7 juta, seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Julai lalu.

"Dari mana kami dapat wang itu? Ia daripada aset yang dijual serta daripada bon Ismalik, yang diperolehi daripada bank yang percaya kepada kami.

"Ketika saya mula mengambilalih Felda Januari lalu, tiada bank yang yakin dengan kami. Hanya baru-baru ini mereka sanggup membantu, selepas merasakan kami telah insaf," katanya.
Felda memulakan proses penjualan aset pada November 2016, apabila menjual 2 peratus pegangannya dalam Malayan Bank Bhd dengan nilai RM280 juta, dan disusuli dengan hotel di London.

Secara sinis, Shahrir berkata semua pihak ingin menjadi penyelamat Felda dan negara apabila pilihan raya umum (PRU) kian hampir.

Namun katanya lagi, pihak berkenaan tidak tahu yang masalah Felda sudah selesai selepas beliau menjadi pengerusi.

Beliau berkata, Felda telah melakukan penstrukturan semula terhadap pentadbiran tertinggi subsidiarinya dan kini mempunyai aliran wang tunai yang sihat.

Felda 2.0 jadi produk pelancongan

Shahrir turut mengumumkan rancangan untuk menjadikan sejumlah kawasan Felda sebagai pusat pelancongan, di bawah inisiatif "Felda 2.0" dengan peruntukan berjumlah RM10 juta.

Kawasan Felda pertama untuk tujuan itu adalah Lurah Bilut di Bentong, Pahang, yang dijadual dibuka kepada umum bulan depan, katanya.

Berhubung permintaan adiknya yang juga Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH) Khalid Samad agar beliau tidak bertanding di parlimen Johor Bahru pada PRU akan datang memandangkan trend menunjukkan majoritinya yang kian merosot, Shahrir berkata beliau keliru dengan kenyataan itu.

Menggunakan hujah sama, Shahrir berkata AMANAH juga perlu menimbang semula penyertaannya dalam PRU ke-14, ekoran kekalahan parti itu dalam pilihan raya negeri Sarawak dan dua pilihan raya kecil, Kuala Kangsar dan Sungai Besar, pada tahun lalu.

"Samada ada keputusan berdasarkan politik atau trend, biar pengundi yang membuat pilihan. Majoriti saya mungkin merosot, tetapi pilihan dibuat oleh rakyat," katanya.

RUU355: Sekali lagi UMNO berjanji pada PAS

Umno bersedia bantu PAS pinda RUU355 sekali lagi
TMI  -  Diterbitkan pada 8 Oct 2017 3:20PM
Ketua Penerangan Umno Annuar Musa berkata Umno dan PAS perlu lebih fleksibel dalam soal mencari titik persamaan demi kepentingan umat Islam dan pertelagahan yang berterusan tidak membawa sebarang  keuntungan kepada rakyat termasuk di Kelantan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Oktober, 2017.

UMNO sudah bersedia untuk bekerjasama dengan PAS bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 walaupun kedua-dua parti tidak dapat berkompromi dalam perkara-perkara lain, kata Annuar Musa.

Menurut laporan Bernama, Ketua Penerangan Umno itu berkata Umno dan PAS perlu lebih fleksibel dalam soal mencari titik persamaan demi kepentingan umat Islam dan pertelagahan yang berterusan tidak membawa sebarang  keuntungan kepada rakyat termasuk di Kelantan.

"Jika PAS mahu bekerjasama atau membincangkan soal itu, Umno sebenarnya tiada apa-apa masalah,” katanya kepada pemberita pada majlis santai bersama media di Bachok, malam tadi.

Annuar berkata walaupun Umno tidak boleh berkompromi dengan PAS dalam perkara-perkara tertentu masih banyak perkara lain yang boleh dibuat bersama melalui konsep ta’awun (tolong-menolong dalam kebaikan) seperti dalam meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Ahli Parlimen Ketereh itu juga berkata Umno kini bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Kita ingin menegaskan siapa-siapa (parti) yang menyokong DAP kita akan tentang seperti Bersatu dan PKR. 

"Bagi saya pada PRU-14 akan datang, mana-mana yang menyokong DAP kita wajib tentang kerana kita tidak mahu DAP 'menguasai' walaupun mereka tidak memerintah seperti yang berlaku di Selangor," katanya. 

Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada April mencipta sejarah apabila menjadi ahli parlimen dari kalangan pembangkang yang pertama dibenarkan membentang Rang Undang-undang Persendirian di Dewan Rakyat.

Pada hari terakhir sidang pertama tahun ini, Ahli Parlimen Marang itu membentangkan usulnya kepada kerajaan untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau dikenali sebagai RUU355.

Hadi mahu kerajaan menaikkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah kepada penjara 30 tahun, denda sebanyak RM100,000 dan 100 sebatan.

Bagaimanapun, Speaker Pandikar Amin Mulia  menghentikan perdebatan RUU355 sebelum mereka yang menentangnya menyampaikan hujah mereka, dan menangguhkan prosiding, menyebabkan kekecohan di Parlimen. Pandikar membuat pengumuman itu selepas Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan melengkapkan hujahnya terhadap usul itu.

Pada Muktamar PAS di Alor Setar bulan berikutnya, Hadi melahirkan penghargaan dengan mengucapkan berterima kasih kepada Putrajaya dan berkata tidak akan melupakan jasa kerajaan kerana memberinya peluang membentangkan rang undang-undang persendiriannya di Parlimen – 8 Oktober, 2017.

Kerjasama UMNO-PAS: Nampaknya Ku Li ragu, namun Annuar Musa penuh ghairah!

'Kaji dahulu kerjasama dengan Pas' - Tengku Razaleigh
Vivi SumantiAstro Awani |  Oktober 08, 2017 13:53 MYT
'Kaji dahulu kerjasama dengan Pas' - Tengku Razaleigh
Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mahu pucuk kepimpinan UMNO mengkaji dahulu kerjasama dengan PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU-14). - Gambar fail
GUA MUSANG: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mahu pucuk kepimpinan UMNO mengkaji dahulu kerjasama dengan Pas pada Pilihan Raya Umum (PRU-14) akan datang.

Beliau bimbang keadaan seperti 'pisang berbuah dua kali' berlaku dalam hubungan kedua-dua parti terbesar orang melayu itu.

Ini kerana, beliau mengambil iktibar sebelum ini kerana sejarah di Kelantan sudah membuktikan perjuangan kedua-dua parti itu tidak sekata.
Bagaimanapun, beliau tetap menyokong sekiranya kerjasama itu dapat memberi faedah kepada rakyat.
"Tidak ada cadangan kita nak bergabung, saya tidak fikir orang bawahan akan menyokong untuk bergabung dan pihak Pas pun tidak ada cadangan hendak bergabung dengan kita (UMNO).

"Asalkan kita memperjuangkan hak rakyat dan memenuhi kepentingan bersama, saya rasa tidak ada sebab untuk kita boleh bekerjasama," katanya ketika ditemui di Bukit Cekati, di sini hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kemungkinan pertandingan tiga penjuru di Kelantan pada PRU-14, Tengku Razaleigh berkata, perkara itu adalah baik.

Katanya, perkara itu dapat menjadi ujian kepada pengundi di Kelantan bagi memilih parti mana yang mereka suka dan dapat berjasa kepada rakyat.

"Orang UMNO tak boleh tunggu lagi dah sebab kita hendak cuba diterima atau tidak di Kelantan ini dan saya percaya orang UMNO yakin rakyat di Kelantan ini memihak kepada kita sekarang.

"Kerana selama Pas berkuasa di sini rakyat tidak mendapat peluang mencari kehidupan yang terjamin, sebab itu rakyat di Kelantan hampir 50 peratus cari makan di luar negeri terutama di Lembah Klang," katanya lagi.

Saturday, October 7, 2017

Kanak-kanak akui balik lambat punca dirantai bapa tiri

TMI  -  Diterbitkan pada 7 Oct 2017 5:43PM

KANAK-KANAK berusia 10 tahun yang dirantai pada tong gas Khamis lalu mengakui kesilapannya kerana balik lewat malam dan menjadi punca bapanya tirinya hilang sabar dan bertindak sedemikian terhadapnya.

Perkara ini dinyatakan kanak-kanak itu kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Shahaniza Shamsuddin yang menziarahinya di Hospital Tengku Ampuan Afzan di Kuantan hari ini.

Kanak-kanak itu turut memaklumkan perasaan kesal dengan perbuatannya dan itu kali pertama dia diperlakukan sebegitu oleh bapa tirinya.

“Perkara ini diceritakan sendiri oleh mangsa ketika dilawat tadi dan berdasarkan pemerhatian, dia dapat berbual dengan baik, malah turut menyatakan hasratnya ingin berjumpa dengan ayah kandungnya di Melaka yang kali terakhir ditemuinya tahun lepas.

“Saya juga berpuas hati setelah mendapat taklimat daripada doktor yang merawatnya yang menyatakan mangsa kini sihat dan tiada tanda-tanda trauma atau kesan kecederaan fizikal kelihatan badan mangsa,” kata Shahaniza kepada pemberita.

Namun katanya laporan lanjut berhubung dengan kejadian itu akan ditentukan menerusi siasatan pihak polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mengetahui situasi sebenar.

Buat sementara waktu kata Shahaniza, mangsa akan berehat di hospital di bawah pengawasan JKM dan akan diberi kaunseling dari semasa ke semasa.

Kanak-kanak itu diselamatkan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan setelah memecah masuk bahagian belakang rumahnya yang terletak di Indera Mahkota 1, Kuantan.

Semasa ditemui mangsa hanya memakai seluar dengan lehernya diikat pada tong gas menggunakan rantai besi serta kunci mangga dan dia dipercayai telah berada dalam keadaan itu selama dua jam sebelum ditemui.

Berikutan itu seorang anggota tentera yang berusia 32 dan isterinya yang berusia 37 tahun, yang merupakan ibu kepada mangsa ditahan reman selama enam hari bermula semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016 iaitu mendera, mengabai dan menganiaya kanak-kanak yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

Sementara itu Shahaniza turut melawat warga emas berumur 80 tahun yang diselamatkan pasukan polis Rabu lalu yang dikurung oleh anaknya sejak Isnin di sebuah rumah di Taman Inderapura, Kuantan.

Mangsa yang lumpuh separuh badan dijangka akan ditempatkan di bawah seliaan JKM sekiranya mendapat persetujuan anak-anaknya. – Bernama, 7 Oktober, 2017.

Sebab Tian Chua tidak meneruskan rayuan dan bagaimana keadaannya dalam penjara

Dr M: Tian Chua bimbang rayuan membawa kepada hukuman penjara lebih lama
Koh Jun Lin       Hari ini, 12:01 tengahari
Ahli Parlimen Batu, Tian Chua telah menyuarakan kebimbangan tentang hukuman penjara yang lebih panjang sekiranya beliau meneruskan rayuannya, kata Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau mendakwa Chua, sebelum menjalani hukuman penjara, telah menghubunginya untuk menyuarakan kebimbangan itu, dan ini, menurut Dr Mahathir, memperlihatkan kurang keyakinan terhadap sistem kehakiman Malaysia.
Menurutnya, Tian Chua berkata dia boleh membuat rayuan, tetapi jika merayu (hukuman penjara) boleh dinaikkan hingga lima bulan, jadi lebih baik masuk penjara selama sebulan.

Dr Mahathir berkata (Tian Chua berpandangan begitu) kerana kurang keyakinan terhadap sistem perundangan dan sistem kehakiman negara, sehingga terlalu takut untuk merayu.

"Jika kita merayu, hukuman kita mungkin meningkat - (akhirnya kita mungkin dapat) bukan sebulan, tapi lima (bulan)," tambahnya.

Mantan perdana menteri itu berkata itulah situasinya sekarang, dan berkata negara mesti dipulihkan kepada mematuhi kedaulatan undang-undang.

Dr Mahahathir berkata demikian dalam perhimpunan solidariti yang diadakan di luar pejabat Chua di Jalan Sentul, Kuala Lumpur malam tadi.

Seramai 200 orang menghadiri acara tersebut.

Sementara itu, Dr Mahathir menolak tuduhan terhadap Chua sebagai tidak berasas, dan mendesak mereka yang hadir mengundi Pakatan Harapan untuk berkuasa supaya dapat menubuhkan sebuah kerajaan yang menghormati kedaulatan undang-undang.

Beliau meminta hadirin supaya menghadiri perhimpunan anti-kleptokrasi pada 14 Oktober ke arah mencapai matlamat itu.

Tian Chua lakar kehidupan di penjara, kata peguam
Koh Jun Lin      Hari ini, 11:59 tengahari

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua memanfaatkan bakat melukisnya ketika peguamnya melawatnya pada hari Isnin untuk bertanya mengenai keadaannya, kata peguam Latheefa Koya.

Sambil menunjukkan buku notanya kepada orang ramai yang berkumpul di luar pejabat Chua untuk menunjukkan solidariti malam tadi, Latheefa berkata, malah Chua turut memasukkan dimensi sel penjaranya dan ketebalan tilamnya apabila ditanya mengenai selnya dan kemudahan yang ada.

Katanya, ramai yang mengenali Tian Chua sebagai ahli politik, aktivis dan sebagainya, tetapi ramai yang tidak tahu dia juga seorang seorang artis, dalam erti kata dia boleh melukis.

Apabila dia menemuinya pada hari Isnin, katanya, Tian Chua melukis biliknya - rupa bentuk biliknya, dan tilam setebal satu setengah inci bersama dengan satu bantal kecil - dan bilik itu sangat kecil.

Dia juga menulis bahawa ia berukuran 15 kaki panjang dan sembilan kaki tinggi dan menulis butirannya secara terperinci.

Inilah Tian Chua, katanya, dan gambaran itu menunjukkan bagaimana dia sanggup mengorbankan kebebasannya untuk berada di penjara.

Lukisan itu juga menunjukkan selnya lapan kaki lebar.

Chua disabitkan oleh Mahkamah Sesyen pada Januari 2014 di bawah Akta Kawasan dan Tempat Perlindungan 1959 dan dihukum penjara satu bulan dan denda RM1,000.

Dia dituduh menolak perintah untuk meninggalkan kompleks Pulapol di Jalan Semarak pada 29 April 2012, selepas berada di sana sehari sebelum ketika perhimpunan BERSIH 3.

Apabila kes itu sampai ke Mahkamah Rayuan pada minggu petang Jumaat, Chua tiba-tiba menarik balik rayuannya tetapi berkata ia tidak bermakna satu pengakuan salah.

Malam tadi, kira-kira 200 penyokongnya berkumpul di luar pusat khidmat Tian Chua di Jalan Sentul, Kuala Lumpur, untuk menunjukkan solidariti bersamanya, yang akan menjalani hukuman di Penjara Kajang sehingga 27 Oktober.

Menurut pengerusi majlis itu, Rozan Azen Mat Rasip, hadirin menyumbang sebanyak RM740.

Satu kain rentang besar digantung dari pejabat Tian Chua di tingkat pertama yang sampai ke bawah. Ramai penyokong menulis ucapan di kain rentang yang memaparkan karikatur Tian Chua seolah-olah berdepan dengan orang ramai.

Di bawah kain rentang itu, lilin-lilin kecil dinyalakan dan disusun untuk membentuk perkataan "Solidarity Tian Chua".

Trak pikap digunakan sebagai pentas bagi acara itu, yang bermula kira-kira pukul 8.30 malam hingga 11.30 malam.

Latheefa berkata Chua juga melukis barang-barang yang diberikan kepadanya dalam penjara ketika ditanya mengenai hal itu. Ini termasuk sudu, gelas, berus gigi, sebuku sabun mandi, sebuku sabun basuh, dan dua set pakaian penjara.

Tetapi anehnya, tambah Latheefa, Tian Chua berkata tidak ada tuala. Selepas mandi, mereka diminta mengeringkan diri begitu sahaja.

Mungkin, tambahnya, Tian Chua merasakan ianya okay kerana tidak ada kipas, dan ia lebih sejuk begitu.

Katanya, apabila ditanya apa yang dia makan, Tian Chua mengambil pen dan melukis sebuah talam berisi makanan yang amat 'simple'.

Bagaimanapun, dia berkata Chua nampak tidak kisah kerana dia sudah biasa dengan makanan yang sederhana sebelum ke penjara.

Lukisan yang dilihat oleh Malaysiakini termasuk nasi, ikan, karot dan sayur-sayuran, dan sup atau sos untuk makan tengahari.

Latheefa berkata Chua nampak sihat, bersemangat tinggi, walaupun dia kelihatan sedikit penat

Seleweng wang kementerian: “Ke mana semua duit itu hilang dan mengapa ia berlaku?”

DAP Sabah mahu penjelasan kes seleweng wang kementerian
TMI  -  Diterbitkan pada 7 Oct 2017 11:53AM 
Hampir RM1.5 bilion dipercayai diselewengkan daripada RM7.5 bilion yang diperuntukkan untuk pembangunan masyarakat luar bandar Sabah. Skandal ini terdedah selepas Sabah digemparkan dengan penyelewengan Jabatan Air Sabah tahun lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2017.

PENGERUSI DAP Sabah, Stephen Wong akan meminta penjelasan di Parlimen mengenai dakwaan salah guna dana persekutuan Kementerian Pembangunan Wilayah dan Luar Bandar yang dianggarkan mencecah RM1.5 bilion.

Borneo Post melaporkan hari ini yang Wong sudah menghantar soalan bertulis Parlimen secara rasmi mendesak kerajaan dan kementerian terbabit memberikan penjelasan apabila Dewan Rakyat kembali bersidang pada 21 Oktober hingga 30 November ini.

“Sebuah lagi skandal korupsi besar berlaku di Sabah selepas skandal ‘Watergate’ di Jabatan Air Sabah yang terjadi tahun lepas.

“Selaku ahli politik Sabah, saya perlu bercakap bagi pihak rakyat Sabah dan meminta kerajaan dan kementerian berkaitan memberikan jawapan di Parlimen kerana ia tanggungjawab kepada rakyat Sabah.

“Ke mana semua duit itu hilang dan mengapa ia berlaku?” soalnya.  

Semalam, SPRM membekukan sejumlah RM180 juta dalam pelbagai akaun bank dan menyerbu 15 lokasi di Sabah dalam siasatan mereka berkaitan kes penyelewengan yang didakwa suruhanjaya itu mencecah RM1.5 bilion yang dirompak daripada RM7.5 bilion peruntukan persekutuan bagi membantu masyarakat luar bandar di Sabah pada 2009 sehingga 2015.

Katanya, sangat menyedihkan yang pegawai korup boleh mencuri wang tersebut, menyebabkan rakyat di kawasan pedalaman Sabah terus hidup dalam kesusahan dan kemiskinan.

Tiga individu yang sudah ditahan oleh SPRM setakat ini termasuklah Naib Presiden Parti Warisan Negara Sabah Peter Anthony, seorang rakan rapat kepada bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno Shafie Apdal dan seorang pembantu setiausaha Kementerian Pembangunan Wilayah dan Luar Bandar.  – 7 Oktober, 2017.

Marah tapi malas........

Malaysia yang marah-marah malas
Izmil Amri
Diterbitkan pada 7 Oct 2017 7:00AM ·

KETIKA diwawancara Dr Aim Sinpeng, ahli akademik di University of Sydney, Australia, tentang kesan dan faktor media sosial terhadap perhimpunan Bersih 4 dua tahun lalu, saya memberitahunya bahawa rakyat Malaysia itu sifatnya si pemarah yang malas.

“Angry but lazy,” saya kata padanya ketika disoal sama ada perhimpunan 34 jam di Dataran Merdeka akan membawa sebarang perubahan atau memberi sebarang tekanan kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Saya terlebih dahulu membentangkan kepadanya angka-angka capaian kempen media sosial menuju perhimpunan bersejarah itu. Kalau angka-angka itu boleh dijadikan indikator; nescaya Malaysia ini sudah boleh bertukar kerajaan berkali-kali, lantaran semangat rakyatnya mendesak perubahan.

Namun ternyata masuk lima kali Bersih turun ke jalanraya, rakyat Malaysia masih begitu juga. Yang berhimpun adalah orang yang sama. Yang ditangkap dan dikurung juga orang yang sama. Anak-anak muda tetap tidak peduli, melainkan sangat sedikit sekali.

Tidak peduli

Disebabkan itu saya pertahan pendirian saya kepada Dr Aim. Rakyat Malaysia memang pemarah. Namun marahnya itu malas-malas sifatnya. Kemarahan rakyat Malaysia tidak cukup untuk mengubah pendirian politik orang lain, atau membawa kesan jangka panjang.

Tidak seperti rakyat di negara Dr Aim, iaitu Thailand; rakyat Malaysia tidak cukup lapar. Masih boleh makan sedap, boleh beli telefon pintar secara ansuran, dan boleh beli kereta tanpa wang deposit. Maka demonstrasi di jalanraya hanya setakar jam 5 petang.

Kalau pun hadir Bersih 4 yang berlangsung selama 34 jam, masih sempat pulang ke rumah, mandi tukar baju dan datang semula untuk muatnaik gambar-gambar ke laman sosial. Tidak cukup lapar. Marah-marah malas.

Pembentangan Merdeka Center tentang sikap tidak peduli anak muda terhadap politik Malaysia adalah satu manifestasi sikap ‘marah-marah malas’ ini.

Saya tahu, kerana sebenarnya saya pun tergolong dalam kelompok yang sama. Kelompok yang membesar lewat 90’an dan melihat jatuh bangun politik parti-parti pembangkang pasca Reformasi ‘98 sehinggalah mengecap nikmat kekuasaan selepas tsunami politik 2008.

Selepas tsunami

Hampir sepuluh tahun berlalu, parti-parti tersebut masih bergelar pembangkang walaupun membentuk kerajaan di beberapa negeri. Lebih penting lagi, kesemua parti-parti itu sudah tidak lagi suci. Faktor kesucian ini adalah permainan persepsi, dan memandangkan media massa dipegang telurnya oleh pemerintah, maka parti pemerintahlah yang menang dalam permainan persepsi ini.

Oleh sebab itu, ramai dari kalangan kita yang letih. “Seperti Pepsi dan Coca Cola,” kita kata.

Hampir sepuluh tahun dalam kerajaan, DAP di Pulau Pinang dan PKR di Selangor tidak lagi boleh menyalahkan ‘kerajaan sebelum ini’ apabila rakyat berdepan masalah; meski kita tahu wujudnya anasir-anasir jahat yang tersisa daripada rejim sebelum 2008.

Tidak kurang juga siasatan-siasatan terkait rasuah dan salahguna kuasa di kedua-dua negeri. Media terlebih dahulu menghakimi, dan seperti biasa; yang memberi makan media memenangi permainan persepsi.

Kelantan, tidak perlu lah kita bahas. Orang putih kata ‘gone case’.

Rakam jejak kerajaan ‘pimpinan pembangkang’, meski lebih banyak baik berbanding buruk; adalah tertakluk kepada manipulasi dan persepsi yang terhasil daripada sikap marah-marah malas rakyat Malaysia.

Malang juga bagi parti-parti pembangkang ini, nasib mereka di peti undi juga ditentukan oleh sikap yang sama. Tambah celaka, apabila populasi dengan sikap ini kian bertambah berkadaran dengan masa serta disumbat otaknya dengan hal-hal yang menjauhkan perhatian daripada masalah pokok urustadbir negara.

Lihat sahaja lah nanti ketika perhimpunan Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi di depan Amcorp Mall itu selesai hujung minggu depan. Berapa ramai yang marah, dan berapa ramai bermalas-malas di ‘flea market’ seberang jalan sana, setelah singgah di A&W sebelum pulang tidur petang dan menanti bila masanya akan tiba untuk marah-marah lagi.

Sebab ini lah tuan-tuan dan puan-puan, United Malays National Organisation akan terus berkuasa untuk seribu tahun lagi. – October 7, 2017

Kenapa: Wanita lebih cemerlang di dalam akademik namun merosot di dalam kerjaya

Wanita jauh lebih cemerlang dalam pendidikan berbanding lelaki, tetapi
Ahmad Khairol Shafizan JohariAstro Awani |  Oktober 06, 2017 19:16 MYT

ANTARA semua bidang, kehebatan wanita paling terserlah dari segi pencapaian akademik apabila kadar kemasukan wanita ke universiti melebihi lelaki.

Pada 2013 sahaja, lebih 86,798 wanita memasuki menara gading berbanding lelaki, meningkat daripada 67,734 orang pada 2009.

Data yang diperoleh Kementerian Pengajian Tinggi menyatakan bahawa wanita melebihi lelaki dalam tujuh daripada lapan bidang utama terutamanya pendidikan, kesihatan dan kebajikan.

Wanita juga menyerlah dalam bidang sains, matematik dan pengkomputeran yang kebiasaannya didominasi lelaki di negara lain.

Lelaki hanya ke hadapan dalam bidang berkaitan kejuruteraan, pembuatan dan pembinaan.

Bagaimanapun, penglibatan wanita dalam bidang berkenaan masih tinggi berbanding negara lain.

Sebagai contoh, 45 peratus pelajar kejuruteraan di Malaysia adalah wanita berbanding hanya 17 peratus di Amerika Syarikat.

Laporan UNICEF menyebut prestasi cemerlang wanita dalam bidang akademik mungkin disebabkan  kecermerlangan mereka sejak bangku sekolah lagi dan jurang kecemerlangan pendidikan antara dua jantina ini semakin menebal apabila mereka meningkat dewasa.

Sebagai contoh, Program Ujian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2012 yang mengkaji prestasi pelajar sekolah dalam sains dan matematik meletakkan Malaysia sebagai negara yang merekodkan prestasi pelajar perempuan yang lebih tinggi berbanding pelajar lelaki.

Malah trend berkenaan terserlah apabila empat sekolah yang semua pelajarnya perempuan berada dalam 10 sekolah terbaik SPM 2016 berbanding hanya satu sekolah lelaki.

Begitupun, kecermerlangan wanita tidak berterusan selepas bergelar graduan dan sebaik sahaja mereka memasuki pasaran pekerjaan kerana jumlah lelaki adalah lebih ramai dalam pasaran buruh dan memegang jawatan strategik.

Kajian Indeks Kemajuan Wanita MasterCard yang memberi gambaran prestasi wanita berbanding lelaki dalam bidang kerjaya jauh ke belakang.
Perbezaan purata pendapatan mengikut jantina
Perbezaan purata pendapatan mengikut jantina

Berdasarkan kajian Indeks Kemajuan Wanita MasterCard, skor yang melebihi 100 menunjukkan golongan wanita sangat cemerlang dalam bidang tersebut.

Jika skor 100 menunjukkan wujud kesamarataan antara jantina.

Berikut adalah skor kajian Indeks Kemajuan Wanita MasterCard:

Pendidikan Tinggi: 122.8

Penglibatan sektor pekerjaan: 57.7

Kepimpinan: 19.8

Pemilik Perniagaan: 17.9

Pemimpin Perniagaan: 28.5

Pemimpin politik: 15.3


(Sumber: Indeks Kemajuan Wanita MasterCard, 2016)

Malah, Malaysia pada 2016 merekodkan skor keseluruhan terendah dalam lima tahun.

Kajian Bank Pembangunan Asia (ADB) menyatakan rekod rendah itu adalah disebabkan mentaliti dan persepsi masyarakat yang memandang wanita kurang berkemahiran berbanding lelaki.

Wanita juga memperoleh gaji dan kualiti kerja yang lebih rendah berbanding lelaki.

Akan tetapi, kajian ADB juga menunjukkan, sekiranya keseimbangan jantina dalam sektor pekerjaan dapat dicapai ia diramal mampu meningkatkan pendapatan per kapita sebanyak 30 peratus.