Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, October 8, 2017

Shahrir dah selesaikan masalah Felda?

Jual hotel macam jual Ferrari, kata pengerusi Felda
mk   -  Hari ini, 4:42 petang
Tindakan Felda menjual pegangan dan hotel miliknya di London adalah kaedah biasa untuk meraih wang, kata pengerusinya Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Beliau yang juga anggota parlimen Johor Bahru menafikan tindakan itu akibat Felda berhadapan masalah kewangan.

"Kita membeli aset apabila dalam keadaan agak selesa, dan menjualnya semula apabila memerlukan wang tunai. Lagipun ia bukan penjualan aset yang melibatkan perniagaan teras kita, atau mana-mana kawasan Felda," katanya dalam wawancara yang disiarkan akhbar bahasa Cina hari ini.

Sharir membandingkan hotel itu dengan kereta mewah, yang pastinya akan menjatuhkan ego seseorang jika terpaksa menjualnya namun tidak memberikan apa-apa kerugian besar kepadanya.

"Hotel seperti Ferrari yang anda jarang pandu. Ia tidak memberikan apa-apa kerugian apabila anda menjualnya, hanya maruah yang sedikit tercalar," katanya seperti dipetik akhbar China Press.

Shahrir juga menafikan dakwaan pembangkang berhubung keadaan kewangan Felda yang lemah. Menurutnya, nilai aset Felda kini melebihi hutang.

Shahrir berkata, Felda telah membayar insentif tunai RM5,000 kepada semua 94,956 peneroka Felda, dengan mencecah jumlah RM474.7 juta, seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Julai lalu.

"Dari mana kami dapat wang itu? Ia daripada aset yang dijual serta daripada bon Ismalik, yang diperolehi daripada bank yang percaya kepada kami.

"Ketika saya mula mengambilalih Felda Januari lalu, tiada bank yang yakin dengan kami. Hanya baru-baru ini mereka sanggup membantu, selepas merasakan kami telah insaf," katanya.
Felda memulakan proses penjualan aset pada November 2016, apabila menjual 2 peratus pegangannya dalam Malayan Bank Bhd dengan nilai RM280 juta, dan disusuli dengan hotel di London.

Secara sinis, Shahrir berkata semua pihak ingin menjadi penyelamat Felda dan negara apabila pilihan raya umum (PRU) kian hampir.

Namun katanya lagi, pihak berkenaan tidak tahu yang masalah Felda sudah selesai selepas beliau menjadi pengerusi.

Beliau berkata, Felda telah melakukan penstrukturan semula terhadap pentadbiran tertinggi subsidiarinya dan kini mempunyai aliran wang tunai yang sihat.

Felda 2.0 jadi produk pelancongan

Shahrir turut mengumumkan rancangan untuk menjadikan sejumlah kawasan Felda sebagai pusat pelancongan, di bawah inisiatif "Felda 2.0" dengan peruntukan berjumlah RM10 juta.

Kawasan Felda pertama untuk tujuan itu adalah Lurah Bilut di Bentong, Pahang, yang dijadual dibuka kepada umum bulan depan, katanya.

Berhubung permintaan adiknya yang juga Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH) Khalid Samad agar beliau tidak bertanding di parlimen Johor Bahru pada PRU akan datang memandangkan trend menunjukkan majoritinya yang kian merosot, Shahrir berkata beliau keliru dengan kenyataan itu.

Menggunakan hujah sama, Shahrir berkata AMANAH juga perlu menimbang semula penyertaannya dalam PRU ke-14, ekoran kekalahan parti itu dalam pilihan raya negeri Sarawak dan dua pilihan raya kecil, Kuala Kangsar dan Sungai Besar, pada tahun lalu.

"Samada ada keputusan berdasarkan politik atau trend, biar pengundi yang membuat pilihan. Majoriti saya mungkin merosot, tetapi pilihan dibuat oleh rakyat," katanya.

1 comment:

  1. Esta é uma das marcas que mas vendem nas redes sociais.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa