PANDANGAN DAN PENDAPAT BERDASARKAN PENGALAMAN SENDIRI MENYOKONG YANG BENAR MENENTANG YANG SALAH DARI SUDUT PANDANGANKU
Pengumuman
Thursday, July 31, 2008
Satu Soalan Untuk PAS
Peristiwa pertemuan ini yang pada mulanya dirahsiakan dari umum oleh pemimpin PAS telah pun mengundang teka-teki. Lebih-lebih lagi bila ada pula pemimpin PAS yang berbohong, sehinggalah diakui sendiri oleh PM Abdullah Ahmad barulah PAS mengakuinya. Kalau tidak ada udang di sebalik mee atau kalau tidak ada kekasih di sebalik pintu, segala peristiwa yang berlaku sudah tentu bukan menjadi rahsia. Inilah yang membuat rakyat yang menyokong PR menjadi keliru dan tertanya-tanya. Kalau tidak ada apa-apa takkan pemimpin sebuah parti islam sanggup berbohong dan berjangkit dengan wabak penyakit yang hidapi oleh pemimpin-pemimpin UMNO.
Dari benak saya yang bukan arif ini terbit beberapa soalan yang saya gagal mencari jawapan bagi memuaskan hati naluri saya sendiri dan terpaksa saya luahkan di sini.
Soalan pertama ialah apakah yang PAS dapat dari pertemuan ini. Mungkinkah PAS ditawarkan ganjaran dunia berupa kebendaan atau pun pangkat? Kalau itu yang mereka bincangkan, maknanya pemimpin PAS sudah buang tabiat. Kalau makhluk yang hidup dan buang tabiat maknanya ianya sudah nak mati/kojol. Saya berani katakan begitu adalah kerana sepanjang yang saya bergaul dan pernah berada di dalam PAS dulu saya difahamkan dan ditanamkan dengan perjuangan menegakkan Islam dan Hukum Allah berteraskan siasah. Itu sebabnya PAS ikut bertanding di dalam pilihanraya. PAS mengejar keredaan Allah bukannya harta dunia atau pun pangkat. Di atas sebab dokongan PAS terhadap Islamlah PAS diterima oleh rakyat yang cinta Islam tanpa batasan keturunan.
Soalan ke dua ialah saya difahamkan perjumpaan ini adalah berasaskan kepentingan Melayu, perpaduan Melayu dan kuasa Bangsa Melayu. Bila pula PAS jadi perti yang memperjuangkan melayu? Dulu semasa di dalam PAS, saya ditanamkan dengan fahaman yang "Islam" tiada batasan etnik atau bangsa. Sebab tingginya makam seseorang itu di sisi Allah bukan sebab bangsanya tetapi sebab Taqwanya/Imannya. Jadi agak anih bin ajaib bila tup.. tup... PAS bincang masalah orang-orang/bangsa/etnik melayu dengan UMNO.
Soalan ke tiga siapa yang perlukan siapa lalu berlangsungnya bertemuan ini? Siapa yang lemas? UMNO yang lemas atau pun PAS yang kepinginkan sesuatu? Apa yang saya nampak UMNO yang kelemasan dan berada di ambang maut. Selama ini PAS bekerja keras siang malam untuk melemahkan dan menghapuskan UMNO bagi menghapuskan sekularisma yang dokongi parti melayu mandul itu. Tetapi yang peliknya bila apa yang diusahakan selama ini sudah dekat dengan gapaian diberikan pula tali hayat. Bukankah tindak tanduk begini mengundang banyak persoalan?
Soalan ke empat pula seandainya perbincangan itu berdasarkan kepentingan umat islam, selagi UMNO tidak membuang sekularisma dan asobiahnya apakah intipati yang dipersetujui boleh diaplikasikan? Selagi UMNO dengan fahamannya dan PAS dengan dasarnya, memang tidak akan mendatangkan apa-apa hasil yang positif. Pertentangan dasar masih lagi menjadi halangan yang teguh kecuali realisasikan apa yang dicadangkan Tuan Guru Dato' Nik Abd. Aziz Menteri Besar Kelantan baru-baru ini. Bubarkan PAS, bubarkan UMNO dan tubuh parti baru yang berteraskan Islam dan mendaulatkan Islam. Kalau tidak, memang perbincangan ini hanyalah sia-sia bahkan mengundang banyak kekeliruan. Pada saya orang UMNO tidak akan membubarkan UMNO sama sekali. Selagi UMNO tidak dibubarkan, itulah UMNO dengan dasar sekular yang didokong selama lamanya.
Hasilnya tidak ada apa-apa yang melayu akan dapat. Tidak ada apa-apa untungnya bagi perjuangan Islam. Bagi saya lebih baik PAS mendekatkan lagi dirinya dengan penyokong-pengokongnya, kelab-kelab penyokongnya dan rakan-rakannya di dalam PR. Tidak payahlah cuba membersihkan tong taik yang sememangnya kotor dan berpenyakit itu. Silap-silap wabak yang di dalam tong taik itu dijangkiti pula. Tengoklah baru-baru ini, baru saja PAS nak mendekatinya, simpton penyakit autanya sudah ada pada PAS pula!
Wednesday, July 30, 2008
Apakah Untungnya Rakyat Marhaen
Di kala PR riuh rendah dengan hilai tawa kemenangan, walau pun masih lagi menjadi pembangkang. UMNO/BN pula dirundung gelisah dan amat pilu mengenangkan nasib diri. Walau pun masih menjadi kerajaan tetapi hanyalah sebuah kerajaan yang lemah dan mungkin juga rapuh. Lebih membimbangkan dan menambahkan lagi gundah gulana serta kebimbangan di pihak UMNO/BN apabila PR dengan diketuai oleh Penasihatnya Parti Keadilan Dato' Sri Anwar Ibrahim mencanangkan yang tiga puluh orang atau lebih MP dari BN akan menyeberang ke PR pada bila-bila masa menjelang September nanti dan akan menubuhkan kerajaan baru PR.
Maka untuk mengekang pengaruh PR dan DSAI, macam-macam isu yang ditimbulkan oleh UMNO untuk melemah dan nengikis populariti PR di kaca mata rakyat.
Isu pertamanya dilaung dan diwar-warkan kononnya parti komponan di dalam PR telah tidak sebulu dan rapuh kerana merebut jawatan terutama di Negeri Perak. Setelah isu itu tidak mendatangkan hasil dan berkesan kerana pemimpin-pemimpin di dalam PR telah dapat atasi masalah mereka secara musyawarah dan di timbulkan pula isu kedua.
Isu ke dua dicanangkan PKR sudah tidak laku dan kepercayaan pemimpin mereka sendiri goyah dengan kemasukan Ezam Mohd. Noor ke dalam UMNO dan kononnya ramai lagi pemimpin PR akan menyeberang. Rupa-rupanya hanya Ezam yang pada ketika itu bukan lagi salah seorang pemimpin PKR dan beberapa orang saja yang masuk UMNO maka isu itu pun lenyap. Sedang sibuk mencanangkan Ezam sudah masuk UMNO, Pulau Batu Putih pula terlepas kepada Singapura dengan keputusan ICJ. Lagilah parah maruah UMNO/BN di dalam menjamin kedaulatan negara. Rakyat Malaysia cukup marah dengan keputusan ICJ ini. Tetapi malangnya Menteri Luar Malaysia memberikan kenyataan yang longgar dan dianggap lawak oleh rakyat bila menteri berkenaan mengatakan kita dalam keadaan "Win-Win situation" . Singapura dapat pulau yang sebelumnya milik kita dan kita dapat ketulan batu yang sememangnya hak kita!
Isu ke tiga ialah bila pihak Polis Malaysia mendapatkan perintah mahkamah bagi menghalang DSAI dan penyokong-penyokongnya mendekati parlimen di dalam lingkungan lima kilometer dari Bangunan Parlimen . Pihak polis mengadakan sekatan/kepungan di kawasan Parlimen setelah kononnya mendapat maklumat hasil dari risikan yang DSAI dan penyokongnya akan mengadakan demonstrasi besar besaran di parlimen semasa parlimen bersidang. Dan satu usul tidak percaya terhadap PM akan dikemukan. Sekatan ini juga menjadi isu besar kepada warga kotaraya KL kerana menyusahkan pengguna jalanraya akibat daripada kesesakan lalu lintas yang teruk. Alasan tindakan polis ini dipertikaikan oleh rakyat.
Isu ke empat pula timbul bila seorang pemuda pembantu DSAI di dalam PKR bernama Saiful telah membuat laporan polis yang dia telah diliwat oleh DSAI. Maka riuh rendahlah lagi dengan tohmahan dan tuduhan. Pihak polis dan kerajaan mempertahankan budak Saiful ini sehingga memberikan perlindungan polis. Di pihak DSAI pula sibuk berpancak silat mempertahankan diri sehinggalah peristiwa penangkapan DSAI oleh pihak Polis dengan cara yang anih dan polis juga dikatakan mungkir janji berkenaan masa yang dipersetujui untuk DSAI melaporkan diri ke Balai Polis. DSAI dibebaskan ke esokan harinya dengan jaminan polis. Maka berkerut-kerut dahilah pihak polis memberikan alasan mewajarkan tindakan dan cara mereka menahan DSAI walau pun kadang-kadang menjadi lawak bodoh.
Rentetan dari peristiwa ini berpanjangan dengan tindakan DSAI enggan memberikan sapel DNA kepada pihak hospital/polis. Macam-macam manusialah memberikan hujjah dan alasan kenapa DNA DSAI amat diperlukan. Sehinggalah Menteri Dalam Negeri dan PM Malaysia. PM walau pun bukan kelulusan Doktor dan Undang-Undang pun turut berhujjah. Di pihak DSAI pula mencari lojik dan justifikasinya bagi menentang alasan pihak polis dan kerajaan. Di akhirnya pula timbul isu kebocoran Laporan Perubatan dari sebuah hospital swasta yang menyatakan si Saiful tidak diliwat. Maka riuh rendahlah pula pihak hospital, polis dan kerajaan meyakinkan rakyat yang laporan tersebut tidak betul. Walhal laporan polis siSaiful ini pula yang dipohon oleh DSAI sampai ke hari ini pun masih tidak dapat dipenuhi oleh pihak polis!
Di dalam sibuk dan bising-bising tentang kes liwat DSAI timbul pula isu ke lima di mana PM DS Abdullah Ahmad telah mengakui PAS dan UMNO telah mengadakan "Perbincangan/Muzakarah/Mubahalah" demi kepentingan "Melayu". Akibat dari pendedahan ini membuatkan penyokong dan ahli PAS dalam keadaan rimas dan keliru. Calon-calon PR menang di dalam PRU12 adalah kerana undi rakyat yang marah dan tidak puas hati dengan BN yang menekan rakyat dan pemimpin BN yang kaki bohong dan kelentung. Tiba-tiba PAS cuba pula berbaik-baik dengan UMNO. Pengundi PAS telah terguris hati. Kawan-kawan PAS di dalam PR terutama DAP telah merasa curiga terhadap tindak tanduk PAS.
Di akhirnya di dalam isu muzakarah ini pada pendapat saya UMNO yang banyak mengaut untung dari segi moralnya dan di pihak PAS pula meragukan penyokongnya. PAS kerugian banyak.
Jadi semua isu-isu yang ditimbul/dicipta oleh UMNO/Kerajaan adalah untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap kerenah yang ditimpakan oleh kerajaan kepada rakyat. Yang paling utama adalah untuk menggagalkan DSAI dan PR dari membentuk kerajaan baru pada september ini sebagaimana yang di war-warkan oleh DSAI dan pemimpin-pemimpin PR.
Dalam kesibukan UMNO/BN (kerajaan) menjana isu demi mempertahankan kuasa dan PR yang kepinginkan kuasa, rakyat makin tertekan dan tersiksa oleh himpitan tuntutan hidup. Akibat dari kenaikan harga minyak secara mendadak yang diumumkan oleh kerajaan, semua harga barang-barang keperluan melambung. Rakyat marhaen terkial-kial untuk hidup kerajaan pula sibuk mencipta isu mempertahankan kuasa dan harta.
Jadi walau pun apa yang dibuat oleh orang-orang politik sekarang, rakyat tidak mendapat apa-apa keuntungan. Hasil dari Muzakarah, apa yang rakyat dapat? Hasil dari isu liwat, apa yang rakyat dapat? Hasil dari larangan ke parlimen, apa yang rakyat dapat selain dari kesesakan jalanraya yang amat menyusahkan?
Segala janji kerajaan kepada rakyat sudah tidak ambil hirau lagi. Rakyat sudah lali dengan pembohongan pemimpin. Di masa yang sama walau apa-apa pun, kita harus bersyukur kepada Allah kerana negara masih lagi aman walau pun kita semua hidup susah.
Tuesday, July 29, 2008
Monday, July 28, 2008
Apa Yang Saya Nampak
Muzakarah PAS - UMNO
Isu ini menyentuh diri saya sebagai seorang pengundi. Pada PRU12 dulu saya dan isteri berikan undi kami kepada Calon dari PAS kerana sudah tidak menyenangi UMNO. Pilihan ini adalah berdasarkan PAS adalah sebuah parti yang berteras dan memperjuangkan Islam. Dari segi pimpinannya, yang saya suka dan banyak perkara yang saya setuju hanya Dato' Tuan Guru Nik Ab. Aziz Nik Mat seorang sahaja. Separuh dari pimpinan PAS yang ada hari ini yang saya nampak adalah seiras juga dengan pemimpin UMNO walau pun PAS mendokong Islam. Saya amat setuju dengan kenyataan Tok Guru tentang dialog PAS dan UMNO tempoh hari.
Bagi saya dialog tu bagus, cuma apakah natijah perbincangan itu? apakah yang dikatakan membawa untung kepada melayu itu? Setakat ini melayu masih tidak dapat apa-apa. hanya UMNO yang mendapat politacal mileage, kecualilah PAS masuk BN. Bila PAS masuk BN barulah sama-sama boleh buat polisi dan di implementasikan. Atau pun seperti yang dicadangkan oleh Tok Guru, bubarkan PAS dan UMNO dan tubuh parti lain berdasarkan Islam dan perjuangan Islam.
Kalau setakat bercakap, hanyalah buat cair air liur dan berbuih mulut jer? tapi sanggupkah PAS masuk BN atau PAS dibubarkan dan pada masa yang sama orang-orang UMNO membubarkan parti mereka dan bergabung di bawah payung yang baru dengan perjuangan yang baru? Saya yakin dan pasti orang UMNO tidak akan sanggup kerana tombolok dan kuasa masing-masing.
Kalau PAS boleh duduk semeja dengan PKR dan parti perkauman cina iaitu DAP, saya rasa PAS pun boleh juga duduk bersama BN. cuma yang membuat PAS berhati-hati ialah kerana fobia dengan pengalaman lepas. PAS pernah diperalatkan dan ditendang dari BN. Kalau PAS mahu dan akan duduk di dalam BN dengan meninggalkan Pakatan Rakyat maka PAS membuat tiga kesilapan sekali gus.
Pertama PAS akan mengkhianati amanah pengundi yang bukan totok PAS yang bencikan UMNO dan cuba berjinak-jinak dengan PAS. Lebih menyedihkan dikatakan di dalam dialog itu juga ada menyebut pihak UMNO menawarkan jawatan dan sebagainya. Jadi kalau untuk jawatan, kenapa tidak masuk saja UMNO? Jangan diheret parti PAS sekali.
Kedua PAS telah tidak jujur kepada kawan-kawan di dalam PR dengan berunding di pintu belakang dan meniggalkan apa yang diperjuangkan bersama semasa menghadapi PRU12 dulu. Di atas sebab-sebab itulah juga Calon-Calon pembangkang mendapat jumlah undi yang tidak diduga dan menafikan majoriti 2/3 parti kerajaan.
Ketiga Pas menyorongkan kepalanya ke dalam rahang buaya dan tunggu pada bila-bila masa sahaja akan dibaham. Adakah betul tindakanya bagi sebuah parti Islam yang dua kali "Dipatuk oleh ular yang sama dari lubang yang sama" sekiranya ini terjadi?.
Satu lagi persoalannya adakah UMNO memang ikhlas. Di masa ini hanyalah bergantung kepada seikhlas mana UMNO memerlukan rakan parti melayu dan Islam seperti PAS dan kononnya demi perpaduan Melayu. apakah UMNO perlukan PAS kerana survival politiknya atau pun ikhlas untuk survival melayu. sewaktu hampir lemas, akan dicapai apa sahaja walau pun seketul taik!
congak-congak dan buatlah tanggapan dan andaian sendiri.
Penangkapan Anwar
Bagi saya perkara ini berlaku ada akibat kegelojohan dan alpa di pihak Anwar sendiri.
Pertamanya Anwar mewar-warkan PR akan menubuhkan kerajaan baru september serta menerima lompatan MP dari BN secara ramai-ramai. Berita ini mengundang kebimbangan dan kita semua tahu pemimpin BN sangat takut akan kehilangan kuasa. Jika dibenarkan Anwar menubuhkan kerajaan baru PR bermakna pemimpin BN menyediakan tali gantung ke leher sendiri akibat dosa-dosa yang dilakukan ketika berkuasa. Itu sebab Mahathir pun meronta-ronta dan meraung-raung kerana dosa-dosanya yang lalu telah dilakukannya dahulu baik kepada Anwar atau pun kepada rakyat dan negara. Semuanya takutkan hantu dan bayang Anwar. Jadi sesuatu harus dirancang dan dilaksanakan. Mereka menghantar Saiful menyempurnakan misi mereka
Keduanya kealpaan di pihak Anwar. Kenapa dengan senangnya siSaiful ini masuk dan menempatkan diri pada tempat yang begitu srategik? Latar belakang budak ini tidak diselidiki tetapi terus diberikan kepercayaan. Siapa yang pasang perangkap dan hantar Saiful itu bukan persoalannya. Tetapi bagaimana Saiful boleh menembusi tempat itu. Seandainya semua orang di pihak Anwar berhati-hati dan waspada sudah tentu perkara begini boleh dielakkan.
Penangkapan Anwar adalah kemuncaknya konspirasi atau pun kerja jahat orang-orang yang terlibat. Walau pun tidak sempurna, cara penangkapan itu memberikan sedikit tekanan kepada Anwar dan juga ahli-ahli Keadilan dan kawan-kawan di dalam PR. Pihak Anwar akan sibuk mempertahankan diri dan kawan-kawan di dalam PR nampaknya sedang perhati-hati dan menganalisa fakta. Walau pun dari fakta penangkapannya memihak kepada Anwar, tetapi ada juga segelintir penyokong yang was-was. Itu adalah perangkap yang dipasang untuk Anwar yang telah tersangkut umpan walau pun hasilnya amat kecil.
Perangkap yang dipasang untuk PAS pula memang mengena. Dengan mengadakan dialog/muzakarah melalui pintu belakang memang memberikan impak. Populariti PAS memang terjejas. Ada ahli yang mengutuk dan ada penyokong yang menyatakan kekesalan menyokong PAS di dalam PRU dulu. Macam-macam tohmahan dilemparkan kepada PAS. Perpecahan pendapat juga timbul di kalangan pemimpin PAS, sehinggalah diredakan oleh Majlis Syura'. Dalam pada itu pun masih lagi kedenganran suara-suara penyokong yang sudah tidak mempercayai PAS.
Di kalangan kawan-kawan di dalam PR juga telah ada bibit-bibit curiga terutamanya DAP. Memang hak DAP pun untuk mencurigai PAS. Perkara ini timbul adalah kerana rundingan di pintu belakang. Suami mana yang tidak cemburu sekiranya isteri bersembang dipintu belakang dengan jejaka lain? Kenapa tidak menjadi tetamu dan berkunjung melalui pintu besar di hadapan sekiranya PAS dan UMNO betul-betul jujur di dalam ikatan PR?
Kesimpulannya perangkap yang dipasang oleh UMNO kedua-duanya mengena. Saham UMNO dikalangan ahlinya dan rakyat sedikit naik dan saham PAS yang banyak merudum. Kepercayaan rakyat terhadap PAS masih lagi menjadi persoalan. Anwar pula sedang sibuk mempertahankan diri.
Bagi saya adalah lebih baik bagi Anwar merencana dan melaksanakan perencanaannya dalam diam tetapi berkesan. Sampai masanya tubuh saja kerajaan baru. Tiba masanya tandingilah mana-mana kerusi yang dihajati.
Bila bertindak di dalam diam begini, tidaklah ada manusia yang kepanasan dan meraung tidak tentu hala. Gerak kerja akan lebih tenang dan lancar.
Sunday, July 27, 2008
Maaf Kerana Tidak Sempat Update Blog
Dalam dua minggu ini saya terpaksa berulang alik dari Kota Bharu ke Ipoh kerana Ibu Mertua sakit yang agak tenat. Kalau 24 Jun 2008 Biras saya meninggal akibat kemalangan juga di Ipoh dan seminggu juga saya sekeluarga di sana. Dan dua minggu ini pula terpaksa berulang alik terasa juga penatnya. Saya juga terpaksa tinggalkan isteri di sana untuk menjaga ibunya. Isteri saya terpaksa bercuti dan saya pula terpaksa berulang alik kerana tidak sampai hati untuk meniggalkan pejabat berterusan sehingga dua minggu.
Agak malang bagi isteri, saya tinggalkan dia di sana untuk menjaga emaknya yang sakit tetapi dia pula yang kena demam dan naik pelentung. Habis seluruh badan sehingga nak bergerak pun sakit. Pagi tadi 26 Julai, saya membawanya pulang ke Kota Bharu untuk berehat di rumah sambil berubat.
Agak sedih juga bila isteri sakit yang sepatutnya di temani tetapi saya terpaksa juga ke pejabat dan anak-anak pula berjauhan. Yang sulung sedang menyertai operasi di Kota Kinabalu dan adiknya pula sedang menuntut di Pulau Pinang. Tinggallah kami berdua di Kota Bharu. Emaknya terpaksalah tinggal berseorangan semasa saya bekerja.
Kepada Along dan Adik, Mama memang teruk, walau pun demamnya tidak seberapa tetapi sentiasa mengadu sakit badan dan kulit. Seluruh muka dan badan mama berbintat-bintat yang mengandungi air. Muka mama jadi sembab dan kulitnya sakit bila terkena apa-apa hatta kain sekali pun. Papa memang kesihan melihatnya tetapi apakan daya Allah yang memberi dan menyembuhkan penyakit. Kita makhluk yang lemah hanya mampu berikhtiar dengan ubat dan doa.
Tuesday, July 15, 2008
Tajul Muluk
Pak Nawi pakai kitab Tajul Muluk. Ni kitab lama orang Melayu tapi telah difatwakan oleh Persatuan Ulama Malaysia, sebagai, "baca boleh tapi jangan percaya." Kali terakhir Pak Nawi buat study tentang kitab Tajul Muluk ialah sebelum pembinaan Istana Seri Menanti, kat Negeri Sembilan. Istana tu tak pakai Feng Shui, tapi pakai kitab Tajul Muluk.
Ini kunci utama dia.
1 A J S
2 B K T
3 C L U
4 D M V
5 E N W
6 F O X
7 G P Y
8 H Q Z
9 I R
Pertama sekali, semua huruf huruf mesti ditukar menjadi nombor.Kemudian campur nombor-nombor itu sehingga ia menjadi satu nombor. Contoh: ANWAR : 15519 = 1+5+5+1+9 = 21. 2+1=3.
Nombor peribadi Anwar ialah 3.
Kemudian, kita tengok nombor-nombor parti-parti politik yang ada.
UMNO: 3456 = 18 = 9
PAS: 711 = 9
PKR: 729 = 18 = 9
DAP: 417 = 12 = 3
MCA: 431 = 7
MIC: 493 = 16 = 7
GERAKAN: 7591215 = 30 = 3
"Kamu tengok Mat. Pertembungan antara parti ini bukan disebabkan oleh prinsip atau kepimpinan, tapi pasai takdir. Tu pasai, orang dulu-dulu, sebelum bagi nama pada anak-anak, dia pergi jumpa Tok Halaq, orang India pun dia pi jumpa sami, tengok sama ada nama tu sesuai atau tidak. Kalau tak sesuai, dia bagi nama lain." jelas Pak Nawi.
"Umno, Pas dan PKR sampai mati pun tak boleh bersatu, sebab masing-masing nak tunjuk kuat. Dan depa ada kekuatan masing-masing, depa akan lawan sampai yang lain mati. Hang tengok, Umno, Pas dan PKR, masing-masing bernombor 9. Kalau dicampur ketiga-tiganya, jadi 27. 2+7=9. Tak boleh!
Tapi cuba kamu tengok BN, depa masih boleh tahan sebab Umno yang kontrol. Yang lain cuma ikut. Kalau Pas masuk BN, salah satu mesti out, kalau tidak, BN lingkup.
Tengok pulak BA, tahun 99, masa tu ada Pas, Keadilan (PKN) dan DAP. BA menang banyak masa tu. PKN masa tu, nombor dia ialah 725. 7+2+5=14. 1+4=5. PAS 9, PKN 5, DAP 3. Jadi, BA dah boleh kuat, walaupun masih belum boleh nak lawan BN.
Tahun 2003, PKN tukar jadi PKR. Nombor dia pun dah tukar jadi 9, sama macam Pas. Mana boleh dua-dua sama kuat. Kalau laki bini, gerenti bercerai! Tengok la, apa jadi tahun 2004?
Tapi tahun 2008, DAP masuk balik jadi geng tiga serangkai. DAP masuk sebab dia tahu, dia mesti untung kali ini. Pas 9, PKR 9, DAP 3. campurkan semua jadi 21. 2+1=3. Ini nombor DAP!
Itu pasai sekarang ni, DAP tak ada masalah, yang jadi masalah ialah Pas dan PKR!.
Kalau Pas nak keluar PR, tak jadi masalah. Memang baik. Itu lah yang sebaiknya" Kata Pak Nawi.
"Kalau Pas join dengan UMNO?" aku tanya.
"Serupa jugak. Lingkup! Tak percaya, kamu tengok masa Pas bergabung dengan Semangat 46. Berapa nombor Semangat 46?" Pak Nawi tanya kat aku.
15415712 46. 1+5+4+1+5+7+1+2+4+6=36. 3+6=9!!!!!! Patut la S46 dengan Pas tak boleh ngam!
"Habis, apa ketetapan agenda kita yang pertama ni, Pak Nawi?" aku tanya Pak Nawi.
"Tukar nama." jawab Pak Nawi. "PAS kena tukar jadi PIS. Baru betul, Parti Islam Semalaysia. 7+9+1=17. 1+7=8.
Ataupun, UMNO kena tukar jadi PEKEMBAR. 75254219.7+5+2+5+4+2+1+9= 35. 3+5=8.
PIS boleh kerjasama dengan UMNO tapi dia akan kena buli sebab nombor UMNO ialah 9.
Kalau PAS nak lead, dia kena minta Umno tukar nama kepada PEKEMBAR. PAS 9, PEKEMBAR 8.
PIS juga boleh bekerjasama dengan PKR, tapi PKR kena lead.Sebab PKR 9, PIS 8.
Tapi kalau PAS dan PKR masing-masing tak mau tukar nama, siap kain kapan la.
OK Mat, lepas asar nanti kita masuk Agenda kedua." Pak Nawi menangguhkan mesyuarat.
Tuesday, July 8, 2008
Pesanan Papa Buat Along
Papa dan Mama ucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas pencapaian Along setakat ini sama ada di dalam bidang akademik dan juga kerjaya. Berita di surat khabar hari ini 08 Julai 2008 cukup membanggakan Papa dan Mama juga sangat menggembirakan adik. Papa bangga kerana salah seorang daripada enam orang pegawai wanita menjadi perintis kepada yang lain bertugas di dalam Kapal Operasi TLDM adalah anak sulung Fakhruddin dan Zainab. Itu adalah kejayaan buat Along dan hadiah Along yang kedua buat Papa dan Mama selepas Ijazah yang Along terima dari ATMA/UTM.
Sebagai seorang Bapa atau Ibu hanya dua suasana saja yang amat menggembirakan kami. Suasana pertama ialah bila Along lahir dengan selamat serta dalam keadaan yang sempurna dan suasana yang kedua adalah bila Along mendapat kejayaan. Kegembiraan kami adalah kerana kami merasakan yang kami telah dapat menunaikan amanah Allah kepada kami. Dengan kejayaan anak-anak, menunjukan kami mampu memberikan dunia (meterial) dan akhirat (agama) dengan rahmat Allah kepada zuriat kurniaanNya.
Di sini Papa ingin menyatakan sesuatu yang mungkin Along tidak tahu. Sebenarnya Along telah menyambung kerjaya salasilah keluarga kita yang Papa sendiri gagal lakukan. Along telah menjayakan kegagalan Papa. Sekiranya kedua-dua Datuk Along masih hidup, Papa yakin merekalah manusia yang paling gembira.
Kedua-dua orang Datuk Along dari sebelah Papa dan Mama adalah keturunan Penglima. Moyang Along di sebelah Papa adalah Penglima Raja Patani yang menjadi pelarian di Kelantan setelah Kerajaan Patani kalah perang dengan Karajaan Siam. Sebenarnya keturunan sebelah Papa adalah keturunan yang Bergelar, tetapi tetapi Moyang Papa membuang gelaran untuk keselamatan setelah berhijrah ke Negeri Kelantan sebagai pelarian. Moyang di sebelah Mama pula adalah Penglima dari Negeri Pahang yang berhijrah ke Negeri Perak suatu masa dahulu. Jadi darah yang mengalir di dalam diri Along adalah darah Penglima. Itulah sebabnya Papa cukup bangga bila anak Papa cenderung untuk berkhidmat di dalam angkatan tentera. Maafkan Papa kerana membuka salasilah di blog ini. Papa bukannya hendak membanggakan diri tetapi Papa mahu Along mengenali diri Along sendiri. Siapakah Along sebenarnya. Papa dedahkan ini semua adalah demi jatidiri Along sebagai seorang Pegawai Tentera. Janganlah lagi ada keturunan kita yang terpaksa menjadi pelarian kerana kehilangan negara dan kedaulatan!
Pesan Papa buat Along,
Harungilah kerjaya Along dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas kerana Allah, Nusa dan Bangsa. Patuhlah segala arahan selagi tidak melakaui Ajaran Agama. Bertindaklah dengan adil dan kasih sayang. Berlembut dan sayangilah rakan-rakan umpama saudara sendiri. Bertegas dan berkeraslah serta kerahkan keberanian yang ada di dalam diri bila berhadapan dengan musuh. Musuh jangan dicari tetapi bila berhadapan tentanglah habis-habisan. Gunakan akal dan kewarasan.
Bertindaklah dengan bijaksana dan kewarasan akal di dalam apa saja situasi dan sesuaikan dengan keadaan. Dan di akhirnya bertaqwalah kepada Allah dan ikutlah pimpinan Nabi Muhammad saw. Along akan selamat dunia dan akhirat. Insya Allah.
"Tahniah Puteriku Along" 6 WANITA PERTAMA MALAYSIA DALAM KAPAL OPERASI TLDM
Utusan Malaysia
|
|
KOTA KINABALU 7 Julai - Enam pegawai wanita yang ditugaskan di kapal operasi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berazam memberikan komitmen yang tinggi bagi membuktikan kaum wanita di negara ini setanding dengan lelaki.
Sebagai kumpulan wanita pertama di Malaysia yang ditugaskan di kapal operasi, mereka merasakan ia satu peluang keemasan bagi berbakti kepada negara seterusnya memartabatkan lagi kaum wanita di negara ini.
Leftenan Komander Normah Amir Hussien, 31, berkata, peluang yang diberi merupakan satu penghargaan kepada kaum wanita di negara ini untuk sama-sama berjuang mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara.
Beliau yang telah sembilan tahun berkhidmat dengan TLDM berkata, tugas itu merupakan satu cabaran kepada kaum wanita bagi membuktikan kemampuan mereka melaksanakan tanggungjawab mengawal keselamatan negara.
Katanya, meskipun telah berkahwin dan mempunyai seorang anak, ia bukan menjadi penghalang kepadanya untuk melaksanakan tugas yang diberikan.
Kata Normah, beliau sentiasa mendapat dorongan daripada suami dan tidak pernah lupa tanggungjawab terhadap anaknya.
"Ia merupakan tanggungjawab yang mesti dipikul dan paling lama saya keluar ialah sebulan ke China. Walaupun terpaksa berjauhan dengan suami dan anak, ia dilakukan demi tugas dan negara," katanya.
Leftenan Norhidayati Md. Akil, 29, berkata, setelah 11 tahun berkhidmat dengan TLDM tawaran untuk bertugas di kapal operasi sememangnya amat dinantikan.
Norhidayati yang berasal dari Alor Star berkata, justeru itu peluang yang diberi akan digunakan sepenuhnya bagi membuktikan kemampuannya setanding dengan kaum lelaki.
"Bukan selalu peluang seperti ini datang dan saya akan membuktikan saya mampu melaksanakan tugas yang diberi," katanya yang bertugas sebagai Timbalan Pegawai Bekalan dan Perkhidmatan di KD Pahang.
Bagi Leftenan Komander Halimaton Saadiah Nor Yusof, 30, yang bertugas sebagai Jurutera Elektrik dan Jentera, peluang itu akan digunakan bagi menimba sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman berguna.
Katanya, selain memberi tumpuan pada kerja, dia juga akan sentiasa meminta tunjuk ajar daripada semua pegawai dan rakan-rakannya.
Leftenan Rabiatul Adawiyah, 26, pula berkata, sejak memulakan tugas sebagai Timbalan Pegawai Jurutera Elektrik dan Senjata di KD Kedah pada November tahun lalu, tiada sebarang masalah yang timbul dan dia dapat melakukan tugas dengan baik serta lancar.
Katanya, pengalaman bekerja di dalam kapal operasi juga begitu menyeronokkan dan memberi banyak pengalaman baru kepadanya.
Sementara itu, Leftenan Fakhron Diyana Fakhruddin, 23, berkata, sebagai wanita termuda bertugas di kapal opersi KD Kedah, dia sentiasa mendapat bantuan dan tunjuk ajar daripada pegawai dan anggota lain.
"Saya tiada masalah di sini, semua orang di sini baik dan banyak membantu serta memberi tunjuk ajar," ujarnya.
Friday, July 4, 2008
Melayu Dan UMNO
Alhamdulillah majoriti orang Melayu, Cina dan India sudah sedar dari tidur lena ulitan mimpi indah ciptaan BN - UMNO pada PRU ke 12 yang lalu. Orang-orang yang masih bersama BN-UMNO hanyalah orang-orang di Sabah dan Sarawak yang ketinggalan kapal. Nyanyian dan dendangan UMNO tidak merdu dan tidak melenakan lagi. Cerita-cerita dongeng yang dilipurlarakan oleh UMNO sudah tidak menarik lagi bahkan dijadikan bahan ketawa rakyat marhaen. Gertakan BN-UMNO sudah menjadi lelucon dan tidak menggerunkan lagi. Tinggallah segelintir Melayu masih bersama BN-UMNO. Mereka yang berada bersama UMNO pada hari ini adalah Melayu tidur yang diibaratkan tunggul mati yang menunggu reput dan dimakan anai-anai.
Rakyat sudah kenal siapa dia BN-UMNO, Melayu sudah kenal siapa dia Abdullah Ahmad Badawi dan para pencacainya. UMNO sudah tua dan sudah amat uzur. Keuzuran UMNO adalah sama dengan keuzuran pemikiran "Imam" mereka. Selama ini UMNO hidup dan perkasa kerana sokongan dan dokongan Bangsa Melayu. Tetapi di sebalik sokongan dan dokongan itu apa yang Melayu dapat selain dari beban minyak dan barangan naik. Adakah agama Islam yang dianuti Melayu makin gah atau makin dihina? Adakah kononnya Ketuanan Melayu yang diperjuangkan oleh UMNO memberi manafaat kepada majoriti Bangsa Melayu selain dari kroni dan juak-juaknya? Apa yang Melayu dapat adalah kehinaan, baik dari segi maruah, kedudukan maupun pemikiran. Rakyat marhaen dihina dalam bentuk pemikiran dengan janji-janji dan kata-kata yang tidak pernah betul dan tertunai.
Apa lagi nak diharapkan dari BN-UMNO ketika ini? Dari segi pemikiran, Melayu masih dijajah dengan fahaman sekular dan perkauman. Islam dihina dari segi haknya. Masih tidak lengkap dengan Islam yang selama ini dianuti oleh majorit rakyat, dicipta pula Islam Hadhari mengikut olahan Imam Besar UMNO untuk mewajarkan tindak tanduk dan perlakuannya serta disokong pula oleh burung-burung kakak tua di Pusat-Pusat Pemikiran Islam kononnya. Pada masa yang sama maruah negara juga dilelong. Apa jadi dengan jambatan bengkok, apa jadi dengan Pulau Batu Putih dan apa dah jadi dengan sempadan perairan Johor? Dan kita tengok apa pula akan terjadi kepada Wilayah Iskandar nanti. Sudahlah banyak saham-saham perniagaan yang berkaitan dengan kerajaan telah jatuh ke tangan Singapura. Keistimewaan hak orang Melayu telah disalah gunakan untuk kepentingan kroni dan pemimpin UMNO. Semua musibah ini berlaku adalah kerana orang-orang Melayu di dalam UMNO telah silap memilih dan melantik pemimpinnya.
Rakyat marhaen telah dibebankan dengan segala jenis bebanan. Dari minyak sehinggalah ke barang keperluan dapur. Yuran pengajian juga telah dinaikkan, harga buku rujukan juga telah meningkat. Pinjaman PTPTN untuk penuntut universiti masih tidak dinaikkan. Maknanya Mahasiswa juga telah terbeban dan secara langsung Ibu/Bapa juga akan terbeban. Tuntutan gaji minimum pekerja juga masih terperam. Jadi apa nak jadi? Merangkaklah rakyat marhaen di dalam debu-debu kehidupan yang menyesakkan nafas dan kian melemaskan.
Rakyat marhaen sudah seakan putus asa. Institusi Perundangan sudah merudum, Badan Penguatkuasaan Undang seperti Polis, rakyat marhaen telah maklum. Ianya sudah menjadi serigala yang membaham siapa saja dengan arahan yang empunya tahta. Rakyat marhaen sudah menjadi musuh mereka. Dan sehari dua ini Tentera juga akan dikerah sama. Walau pun khabarnya akan direformasikan semua institusi ini tetapi sekatakat masa ini hanya menjadi retorik saja. Menjadi penyedap mulut pemimpin dan menyedapkan hati rakyat.
Satu lagi budaya baru yang cukup bahaya dibawa oleh pemimpin UMNO ialah menderhakai Raja-Raja Melayu. Kalau sudah pemimpin Melayu tidak menghormati Raja-Raja Melayu, ini akan merintis jalan penderhakaan kepada etnik lain untuk tidak menghormati Raja-Raja Melayu. Contohnya Cina DAP Johor baru-baru ini. Semua ini adalah dimulakan oleh mantan Imam besar UMNO, Mahathir Mohammad. Mungkin Mahathir tidak merasai apa-apa terhadap penderhakaannya sebab Mahathir Mohammad bukannya Melayu tulin kalau mengikut salsilah Islam. Berbapakan India beribukan Melayu, adakah Melayu sebenarnya?.
Kerana pemimpin besar UMNO tidak menghormati Raja-Raja Melayulah terjadinya penderhakaan di Terengganu, di Perlis dan di Perak. Yang terakhirnya adalah di Johor. Isunya bukan besar, songkok saja. Kita yang merintis jalan membesarkan kepala etnik lain.
Fikir-fikirkan wahai Melayu. Ke mana arah kamu, ke dahan mana kamu patut berpaut, ke tepian mana akan direnangi!
Thursday, July 3, 2008
Kes Liwat DSAI - Pandanganku
Sepanjang yang aku baca baik di dalam blog atau portal berita penjurusan dalangnya adalah kepada Najib sebab dikatakan budak ini rapat dengan Najib dan Rosmah. Ada juga yang menuduh Abdullah Badawi PM kita akan tetapi fokusnya lebih condong ke arah Najib sebab banyak gambar-gambar budak ini berlatar belakangkan pejabat TPM dan kakitangannya. Maka munculah Najib menyangkal tohmahan itu dengan muka yang tidak menyakinkan beralaskan alasan yang cukup bongok. Budak yang tercicir pengajian pergi mohon biasiswa di pejabat TPM!
Alahai TPMku, aku yang tak sekolah di England pun rasanya tidak akan serendah itu kredibaliti alasan lawatan budak itu ke pejabat TPM dan berjumpa beliau. Tapi yang seronoknya tu, bila pokok bergoyang entah dirempuh angin atau helang, banyak pula ungka-ungka yang galak sahut menyahut dengan nada yang bermacam-macam di rimba seberang!
DSAI kata budak ini dipaksa oleh pihak polis untuk membuat laporan palsu terhadapnya kerana beliau ada bukti KPN dan Peguam Negara sekarang telah menggelap dan mengubah bukti di dalam kes beliau dulu. YB. DS Wan Azizah kata ini adalah konpirasi kumpulan Najib untuk menyekat DSAI ke puncak kuasa. Ada lojik juga dengan bukti yang ada. Kumpulan Najib ada banyak sebab untuk menjahanamkan DSAI. Abdullah Badawi pula ada sebab tersendiri. Beliau mungkin sudah gayat di puncak mahligai Putrajaya bila sering digoncang oleh DSAI.
Tetapi satu lagi manusia yang tidak boleh dilepas pandang ialah Ezam. Ezam pernah bersumpah mula-mula beliau masuk UMNO dulu yang beliau akan menghalang DSAI untuk menjadi Perdana Menteri dengan apa jua cara sekali pun. Pembahagian peratus pembabitan Ezam tidak boleh dilepas pandang begitu sahaja. Budak Ezam ini pun licik juga menciluk. Tengoklah macam mana dia tipu kawan-kawan dia dulu (10 budak hitam). Malah komen dia ialah "tak terperanjat"
Bagi aku dalam kes DSAI meliwat ini, kalau mengikut akal yang waras Beliau tidak akan melakukannya. Kecualilah DSAI sudah gila. Sebabnya ialah :
# Beliau sudah berada di puncak kepercayaan rakyat dan pemimpin parti-parti di dalam gabungan PR.
# Beliau hanya beberapa tapak saja lagi untuk menjejaki Putrajaya
# Beliau dan keluarga baru saja pulang ke tanah air dari Umrah
# Takkan beliau tidak ambil iktibar dari peristiwa lepas yang beliau telah alami
# Sebagai seorang pemimpin, tidakkah beliau malu umpamakan " mengata dulang paku serempih mengata orang dia yang lebih"
# Dengan umur beliau sudah 60 tahun, mampukah meliwat dengan paksaan keatas budak lelaki yang berumur 23 tahun. Lojikkah ianya berlaku?
Bagi aku semua yang berlaku adalah secebis kotoran yang melimpah keluar dari sebuah parti yang kotoran dan kejijikannya yang tidak terbendung dan dilimpahkan keluar semoga ianya memberikan sedikit kelegaan dengan dihamburkan ketempat lain. Maka riuh rendah bab minyak naik, barang naik, Pulau Batu Putih, Altantuya dan isu lompat parti dapat dialihkan buat sementara waktu. Keredaan sementara ini akan memberikan ruang untuk mereka mengatur dan menyusun strategi yang berikutnya pula.