Minggu ni agaknya minggu cerita samseng kot? Orang macam ni tunggu saja, betul tak dia berani!
Di entry Chikgu Izuddin "Brahimnyior" bercerita tentang seorang bapa yang "samseng" kononnya mengugut Guru Disiplin sekolahnya kerana merampas gelang murid yang melanggar peraturan. Kononnya dia nak pecahkan kepala Cikgu itu.
Saya copy balik komen saya di blog beliau kerana saya rasa elok juga dijadikan n3 blog sekurang-kurangnya para pembaca boleh menilai nilai ke"samseng"an ini adakah benar samseng di hati mereka-mereka yang digelarkan samseng.
Sebelum itu saya mohon maaf kerana bercerita perkara benar yang pernah saya tempuhi. Bukan niat saya hendak meninggikan diri atau menonjolakan keberanian diri. Juga diminta dijauhkan untuk rasa takbur. Tetapi bercerita semata-mata sebagai peringatan. Ia itu jangan takut atau kecut dengan nama, gelaran atau reputasi mereka-mereka yang digelarkan samseng ini kerana ramai sebenarnya hati mereka tidaklah sebagaimana yang digelarkan pada batang tubuh mereka.
Kadang-kadang kita kecut kerana ugutan dan gertak mereka. Mereka merasa diri mereka ditakuti kerana orang takut akan gertaknya saja. Sekiranya ada yang menyanggah belum tentu lagi yang dia akan menyahut.
Perkara lebih kurang begini juga berlaku pada saya semasa umur 20'an. Pada satu petang sepupu saya dibalun oleh 3 orang pemuda Cina dengan tongkat (maaf ini bukan perkauman tetapi kebetulan) . Bila tak terdaya melawan dia berlari pulang dan beritahu saya. Kebetulan masa itu saya baru selesai solat asar. Saya tukar kain dan pakai seluar pendek dan berlari mengikut sepupu saya ke lokasi dia dipukul.
Setibanya saya di situ, Cina 3 orang itu masih ada. Tanpa berkata apa-apa saya meluru dan membantai ketiga-tiga Cina itu sekali dengan tangan kosong. Selepas kena beberapa biji penangan saya mereka lari masuk ke sebuah rumah Melayu berhampiran. Saya kejar sampai ke tangga rumah Melayu itu.
Tiba di situ saya minta tuan rumah halau Cina tu keluar atau saya akan masuk ke dalam rumah. Tuan rumah tidak berani nak halau, jadi saya menerpa masuk ke dalam dan tibai lagi beberapa biji seorang. Barulah mereka berlari keluar dan melarikan diri. Saya tidak kejar mereka, dan saya terus balik.
Petang itu juga pada jam hampir 5.30 petang, sedang saya minum di kedai kopi berhampiran rumah, datang 2 orang manusia Melayu rasanya berumur lebih tua dari saya. 2 Melayu ini berbadan lebih besar dari saya yang hanya 5'4", terkenal di Kota Bharu sebagai kaki pukul dan memang ada nama gelaran. Seorang bergelar "Bidin Darat" (bukan nama sebenar tapi "darat" tu betul) dan seorang "Leh Komando" juga (bukan nama sebenar tapi "komando" itu betul). Si Leh komando ni semasa itu berdiri dan berpegang pada tiang serambi kedai dan zink atap kedai tu bergegar kerana Leh menggigil kemarahan. SiBidin menanyakan siapa Din. Saya bangun, saya kata sayalah Din. "kenapa" saya tanya. Salah seorang dari mereka bertanya "Kenapa sedap-sedap jer pukul orang?" Saya tanya "Siapa yang saya pukul". Dia jawab Cina 3 orang tadi. Saya soal balik "Kenapa, Cina tu sepupu awakkah?, saya pukul Cina tu sebab mereka pukul sepupu saya dengan tongkat sehingga bengkak bengkil. Kalau Cina tu sepupu awak, jom kita ke luar kedai nih".
Saya bangun sambil berkata " Kalau aku kalah, aku puas hati sebab aku tolong sepupu aku dan aku tidak terjejas apa-apa, orang-orang Kota Bharu tidak ramai kenal Din. Tapi kalau kamu berdua aku kalahkan mana kamu nak letak muka?. Seluruh Kota Bharu kenal kamu orang gedebe, kaki pukul. Kota Bharu akan gempar. Nama aku akan naik!"
Mereka terdiam dan tidak berganjak dari dalam kedai. Tengok mereka tidak berganjak, saya masuk balik dan berkata lagi "Kalau kamu tak nak keluar, jom kita minum. Aku belanja". Mereka diam juga tanpa sebarng kata. Saya orderkan air untuk mereka. Jadi kami pun minum kopi bersama dan akhirnya mereka menjadi rapat dengan saya. Kamudian baru saya tahu rupanya mereka diupah oleh Cina tu untuk pukul saya dengan beberapa ratus ringgit!
Di satu masa yang lain pula di musim pilihanraya. Bidin dilantik oleh Jawatankuasa Peti Undi menjadi Ketua Keselamatan bagi pihak Parti PAS. Ditakdirkan pada suatu malam, Pintu Gerbang PAS di Kg. Sungai Keladi dibakar oleh Pemuda UMNO. Maka tugasnyalah untuk tinjau dan menyelamat. Tapi sebelum ke sana, mereka datang ke rumah saya dengan tergesa-gesa minta saya ikut serta kumpulan mereka ke Kg. Sungai Keladi. Jadi kerana menjaga tali persahabatan (masa itu sudah menjadi kawan) saya tanpa banyak cakap ikut mereka.
Di dalam perjalanan saya tanya Bidin kenapa ajak saya sedangkan dia sudah ada ramai pembantu. Rupanya bagi dia, sekiranya ada apa-apa kekecohan atau pertentangan saya ada! Tak ker lucu tu? Calon yang bertanding di situ adalah diantara Cikgu Wan Rahim (Speaker DUN Kelantan sekarang) dan Dato' Foo Chaw Yong (sudah mendiang) yang di dalam entry saya yang lepas saya gelarkan "Ustaz Yong"
PANDANGAN DAN PENDAPAT BERDASARKAN PENGALAMAN SENDIRI MENYOKONG YANG BENAR MENENTANG YANG SALAH DARI SUDUT PANDANGANKU
Pengumuman
Thursday, April 30, 2009
Samseng Tidak Mestinya Berani
Wednesday, April 29, 2009
Desktop Screen
Screen ini akan mendekatkan
10 atau 11 May akan pulang setelah tamat final exam.
Indonesia
Sambutan Tiba Di Pengkalan Manado
Satey Ria di Manado
Makam Pahlawan Nasional Maria Walanda
Pekan Manado
Sunday, April 26, 2009
Cerita Manusia "Gedebe"
Di Kampung Kelaweh berdekatan dengan pekan Machang, ada seorang manusia yang ditakuti oleh penduduk setempat kerana bengis dan barannya. Dikirakan "gedebe"lah manusia ini. Pantang silap sikit dipukul atau ditakeknya orang itu. Jadilah dia "raja" tidak rasmi di dalam masyarakatnya. Dia mempunyai seorang isteri yang terkenal dengan kecantikannya. Bersama isterinya ini dia dikurniakan seorang anak lelaki. Untuk memudahkan bercerita saya namakan dia Mamat dan isterinya Limah.
Memang menjadi kebiasaan masyarakat Kelantan pada zaman itu, siapa yang gedebe boleh saja mahukan anak siapa atau isteri siapa yang dia berkenan. Maka sudah pasti bila semua orang berkenan adalah wanita yang cantik. Dan kalau sigedebe yang mahukan tiada siapa yang berani menghalang, walau pun bapa siperempuan itu sekali pun. Sesiapa yang berani halang kehendaknya maka padahlah yang menimpa.
Pada suatu hari Mamat, isterinya dan anak lelakinya yang pada masa itu baru berumur 7 tahun bersampan ke kampung seberang. Di kampung seberang juga terdapat seorang yang juga gedebe dan dikelilingi oleh ramai "anak buah" yang menumpang "kegedebelan"nya. Maka dia pun jadilah juga raja yang tidak rasmi di kampung seberang itu. Saya namakan pula manusia ini Seman.
Bila Mamat tiba di kampung seberang bersama isterinya Limah yang cantik dan anak lelakinya itu, maka sampailah berita kepada Seman yang Mamat ada datang ke kampung itu bersama Limah. Memang sejak dari zaman remaja lagi siSeman juga tergila-gilakan Limah yang sekarang sudah menjadi isteri Mamat , tetapi Seman tidak boleh buat apa-apa sebab Mamat orang gedebe yang juga mempunyai anak buah yang ramai di kampungnya.
Sebaik saja berita Mamat dan Limah mendarat di kampung siSeman, maka Seman pun kumpullah anak buahnya untuk merampas Limah dari Mamat. Seman dan gerombolannya bertembung dengan Mamat di jalan ke darat dari sungai dan memberikan kata dua kepada Mamat sama ada serahkan Limah atau Mamat melawan dan kemungkinan besar Mamat dan anak lelakinya akan terbunuh. Oleh kerana pada kiraan Mamat dia tidak ada peluang untuk menang sekiranya melawan bahkan dia pula kecut perut sebab dia berada di kampung orang berhadapan dengan Seman yang mempunyai ramai anak buah, maka dengan kesal dan geram dia serahkan Limah kepada Seman.
Setelah selesai dengan rundingan selamat bagi Mamat dan anak lelakinya tetapi malang bagi nasib siLimah, Mamat pun dengan berat hati membawa anak lelakinya balik bersampan tanpa isterinya Limah yang cantik. Dia berkayuh sehinggalah berhampiran kampungnya, di situ dia sengaja terbalikkan sampannya. Bila sampan terbalik, anak lelakinya hampir lemas tetapi Mamat selamat sebab pandai berenang.
Bila orang kampung ternampak sampan Mamat terbalik dan nampak pula anak lelaki Mamat tenggelam timbul dibawa arus, orang kampung pun sama-samalah berpakat menyelamatkan anak lelaki siMamat dan budak itu juga selamat kerana diselamatnya orang kampung. Bila semuanya selamat orang kampung bertanya Mamat di mana isterinya Limah. Dengan muka selamba Mamat memberitahu orang kampung yang isterinya dibawa arus dan tenggelam. Orang kampung pun kelam kabutlah menyelam dan mencari Limah yang dikatakan tenggelam lemas oleh Mamat. Dua hari dua malam orang-orang kampung bersusah payah berusaha mencari mayat Limah tetapi hampa.
Selepas dua tahun dari peristiwa itu, tiba-tiba Limah muncul di kampung itu dengan membawa seorang anak lelaki yang kecil. Anak Limah bersama Seman. Maka riuhlah dengan berita yang Limah selamat dan pulang. Orang-orang kampung pun bertanyalah Limah ke mana dia menghilang selama ini. SiLimah pun berceritalah apa yang terjadi sebenar. Mamat tinggalkan dia kepada Seman di kampung seberang kerana Mamat pengecut!
Pecahlah rahsia yang dulunya sengaja Mamat terbalikkan sampan dan pura-pura mengatakan Limah tenggelam dibawa arus semata-mata untuk menutup malunya kerana rela menyerahkan bininya kepada Seman kerana takut melawan.
Inilah ceritanya seorang manusia yang mempunyai nama besar di tempatnya tetapi mempunyai hati yang kecil dan hina.
Wednesday, April 22, 2009
Mengusik Perasaan
Hayatilah titipan di bawah. Ianya terjadi kepada kebanyakan kita sebagai ibu bapa.
Posted by muraisenja
**Baca pelan- pelan dan penuh penghayatan
Aku terlanggar seorang asing semasa berjalan,
"Oh maafkan saya, saya tak perasan"
Katanya "Maafkan saya juga,
Saya tak nampak saudara"
Kami amat bersopan dan saling menghormati,
Kami saling melambai sambil berlalu pergi,
Tetapi di rumah lain pula ceritanya,
Bagaimana kita melayan orang tersayang, tua dan muda,
Lewat petang, tika memasak makan malam,
Anak lelaki kecilku berdiri di dapur secara diam-diam,
Bila berpaling aku hampir melanggarnya jatuh,
Jerkahku, "Jangan buat kacau di sini, pergi main jauh-jauh"
Dia berlalu pergi, hatinya hancur luluh dan beku,
Aku tak sedar, bertapa kasarnya kata-kataku,
Sedangku berbaring di katil mendengar musik,
Terdengar suara halus datang membisik,
"Bila bersama orang tak dikenali,
Begitu bersopan dan merendah diri,
Tetapi ahli keluarga tersayang, sering dimarah dan dicaci",
"Cubalah kau pergi lihat di lantai dapur,
Kan kau temui bunga-bungaan berterabur",
"Itu adalah bunga-bunga dibawanya untuk kamu,
Dia memetiknya sendiri, kuning, biru dan unggu",
"Dia berdiri senyap agar jadi kejutan buat kamu,
Kamu tak pernah sedar airmatanya yang datang bertamu",
Pada tika ini, aku merasa amat kecil sekali,
Airmataku mencurah ibarat air di kali,
Senyap-senyap ku kebiliknya, dan melutut di katil,
"Bangunlah, anakku, bangunlah si kecil"
"Apakah bunga-bunga ini dipetik untuk mak?
Dia tersenyum, "Adik terjumpanya belakang rumah di semak"
"Adik memetiknya kerana ia cantik seperti ibu,
ibu tentu suka terutama yang unggu,
"Maafkan ibu, atas sikap ibu hari ini,
Ibu tak harus menjerkah kamu, sebegini,
Katanya,"Oh, ibu, itu tak mengapa,
Saya tetap sayang ibu melebihi segala,
Bisikku, "Anakku, ibu pun sayang kamu,
dan ibu suka bunga itu, terutama yang unggu,
***********FAMILY*************
Adakah kamu sedar, sekiranya kita mati hari ini,
syarikat tempat kita berkerja akan senang-senang mendapat pengganti,
dalam hanya beberapa hari?
Tetapi keluarga yang kita tinggalkan,
akan merasa kehilangan kita sepanjang hayat.
Dan sedarlah, sekiranya kita menghabiskan masa kita kepada kerja,
Melebihi keluarga kita, adalah merupakan suatu pelaburan yang tidak bijak.
Bukankah begitu?
Jadi apakah maksud yang tersirat?
Tahukah anda makna "FAMILY"?
FAMILY = ATHER ND OTHER OVE OU
Di bawah ini adalah cerita saya Mountdweller
Ini mengingatkan saya pada satu peristiwa. Masa itu anak kedua saya Fakhron Elliyana baru berumur 3 tahun. Saya berhentikan kereta di pintu pagar dengan agak mengejut. Botol perfume dari atas dashboard tertanggal dan jatuh di atas kaki saya. Kerana sakit saya ambil botol itu dan saya baling ke tepi pagar. Masa itu hari hujan.
Esoknya bila saya pulang dari pejabat, saya dapati botol itu sudah dibasuh terjemur di atas simen pagar. Saya tanya siapa yang ambil dan basuh botol itu. Anak saya itu menjawab "Adik pungut dan basuh, sayanglah papa, botol itu cantik nanti bila kering papa boleh beli lagi air dia dan isikan. Nanti adik lekatkan betul-betul jangan jatuh lagi" Hampir menangis saya dengan kata-kata anak saya itu. Dia yang kecil mengajar saya bapanya dengan ilham dari Allah pastinya.
Monday, April 20, 2009
Pelik Dan Benar
Pokok tumbuh di dalam paru-paru akibat makan buah telan biji.
Kejadian ini berlaku di Rusia
Cerita lanjut di sini
Sunday, April 19, 2009
Makhluk Mandi Banjir Jam Tiga Pagi
Sementara menuggu air surut kami berborak dan bergurau menghabiskan masa tanpa menjemukan. Geng-geng saya pada malam itu ialah Azmi dan Rosli adalah abang angkat saya, Arwah Tengku Ahmad Faizul, Nik Fadzilah(lelaki), Shafie dan Bukhari. Lebih kurang jam 2 pagi saya terdengar ada makhluk mandi di belakang rumah, masa itu pada anggaran saya air sudah cetek agak-agak sedalam 2 kaki atau lebih sedikit aje lagi. Saya pun bersuara "Eh, sigila mana pula mandi air cetek kul 2 pagi?" Semua kawan berdiam diri mendengar bunyi ceburan air. Lepas tu senyap sepi.
Kami bersembang lagi. Tiba-tiba terdengar pintu di bahagian tengah rumah di ketuk-ketuk. Rosli bangkit untuk buka pintu, ingatkan Arwah Abang Sin (Wan Hussin) seorang saudara yang selalu juga bermalam di sini, dia masih bujang dan selalu suka merayau malam. Bila pintu dibuka tidak ada siapa pun di luar. Simen bahagian depan tangga pun kering. Maknanya tiada siapa-siapa sebenarnya. Rosli tutup pintu dan masuk ke bilik kami bersembang dengan terpinga-pinga. Dan dialah ceritakan kepada kami yang sememangnya tidak ada sesiapa pun di luar. Semua kami buat tak kisah dan terus bersembang. Masa itu kami di bilik Rosli.
Setika kamudian kami mendengar seolah-olah satu tin kosong yang besar dipalu di dalam air dengan bunyinya bergerak mengelilingi rumah. Kami terdiam dan memandang antara satu sama lain. masing bertanya bunyi apa agaknya. Agak lebih kurang lima minit bunyi itu senyap dan kami mula balik menyambung cerita sembang tadi. Sedang asyik dengan borak dan gurau, tiba-tiba dinding di bahagian luar bilik seolah dibaling dengan batu bata atau batu yang agak besar. Bunyinya kuat berdentam menghentam dinding. Shafie buka tingkap dan berkata " Kalau kamu kuat, tunjukkan muka, aku nak tarik janggut minta ilmu". Saya marahkan Shafie dan minta dia tutup balik tingkap dengan berkata "Pie, baik kau tutup tingkap tu, nanti dibaling muka kau dengan batu sebesar tadi baru kau tau!" Shafie tutup tingkap dan kami beralih ke bilik saya.
Kami bersembang lagi dengan saya berlima bersila di lantai dan Shafie bersama Nik Fadzilah di atas katil saya. Kami bising dengan gurau dan sakat, lepas tu ketawa. Tiba-tiba Shafie berkata " Eh, hantu tu dah balik ke, lama tidak buat bising?" . Dengan tiba-tiba saja bunyi lontaran pasir yang kuat di atas bumbung sebanyak dua kali. Kerana terkejut, Tengku Faizul dan Bukhari melompat ke atas katil, dua-dua orang sekali gus dengan pantas dan hentakan yang kuat. Praap... katil saya patah! semua ketawa kecuali Tengku Faizul yang masih pucat dan tidak berkata apa-apa. Selepas itu tidak ada apa-apa berlaku.
Lebih kurang jam 4 pagi air sudah surut dan tiba masanya kami menolak lumpur dan membersihkan dapur. Kami ambillah apa yang patut digunakan seperti penyodok, penyapu dan berus lantai serta sabun. Shafie terus ke pintu dapur membuka pintu dapur untuk menolak air dan lumpur keluar. Sebaik saja pintu di buka, sepotong kayu melayang seperti dibaling melepasi kepala Shafie dan jatuh di hadapanya. Shafie ambil dan belek kayu tu. "Pelik kayu ini kering, dari mana hantu ni dapat kayu kering di musim banjir?" Kata Shafie. Dia ketawa dengan berkata "Tak apa, kalau kau marah aku minta ilmu tadi, lain kali aku pula guna ilmu halau kamu ke neraka".
Lepas itu tidak ada apa-apa lagi kerenah hantu dan kami bersihkan ruangan dapur itu sehingga siap jam 5.30 pagi. Selepas solat subuh kami tidur di lantai kerana katil saya sudah patah!
Saturday, April 18, 2009
Satu Renungan
Apa yang saya nampak, YB. berkenaan tidak mentafsir. Dia cuma membaca terjemahan "Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan". Dia terjemah perkataan “ehsan” sebagai 'belas kasihan'. Itu saja.
Dalam Islam, ada satu perkara yang disebut “ Li iilaafi-quraisy “ seperti yang terkandung di dalam surah Quraisy ayat 1. Maksud bergerak dari kalimat ini saya ertikan sebagai “menjinak atau menjinakkan.” Menjinakkan siapa, jika tidak orang-orang yang belum Islam kepada Islam? Disini, apa salah orang Cina jika dia baca Quran dengan tujuan untuk berjinak-jinak dengan Islam? Jika katakan tersalah(katakan), maka dengan lemah lembut dibetulkan. Tidak berbangkit sama sekali soal keperluan laporan Polis oleh sesiapa. Pada saya, ini percubaan menutup ruang dan menyekat langsung laluan non-Muslim mendekati Islam seperti yang pernah dilakukan oleh sebahagian dari penguasa masjid di tempat-tempat tertentu yang menghalang orang non Islam dari memasuki masjid. Sedangkan dalam surah ‘Abasa, jelas yang Nabi SAW menerima, menegur dan membimbing orang Islam dan non Islam di dalam masjid.
Berbalik kepada isu, jika orang Cina baca salah, maka apa jaminan yang orang Melayu yang kebanyakannya datang dari jenis Islam baka inipun turut tidak salah? Hal ini boleh disahkan oleh guru-guru tajwid seluruh negara pada bila-bila masa. Ambil saja surah al-Fatihah yang menjadi ummul kitab.Saya tidak suka mencabar tetapi saya hampir pasti akan kekurangan yang juga turut melanda orang Melayu yang diperanakkan dalam suasana Islam sepenuhnya. Satu lagi ialah apa gunanya Quran jika tidak untuk dibaca? Bagaimana orang bukan Islam mahu memahami jika diharamkan mereka dari bertatih membaca al-Quran. Ini adalah permulaan. Kita kena faham. Hatta, Saidina Umar sendiri diwaktu belum Islam(kufur) sekalipun direkodkan pernah merampas sesuatu dari tangan adik beliau. Beliau lalu mendapati bahawa ia satu tulisan dari Surah Toha. Lalu beliau membacanya dalam keadaan genggam dan lepas. Sebenarnya kufur zaman dulu adalah orang Cina atau Indialah di zaman sekarang. Sepatutnya, kita berbangga apabila orang bukan Islam boleh memetik dan cuba-cuba membaca ayat dari kitab suci kita.
Pulau Layang-Layang
Friday, April 17, 2009
Share The Award
Terima kasih dan saya cukup menghargainya
10 orang yang saya ingin kungsi ialah :
Anakanda ISA
Erisya
Azza
Rashid
Mak Su
UXOP
Hanis
Galuh
Big Mama
Chikgu Izzuddin
Meredah Jeram (Sambungan)
Tidak lama selepas itu kami menemui beting yang dihajati dan hunjamkan galah ke dasar sungai yang cetek berpasir. Kami ikatkan rakit, pasang lampu dan memasak makan malam. Masakan simple dengan nasi dan ikan masin goreng berkuahkan tomato. Kerana letih dan lapar kami makan dengan lahap. Malam itu kami tidur nyenyak dengan diiringi bunyi ngauman harimau dan tempikan gajah di darat.
Esok, pagi-pagi lagi setelah bersarapan dengan lempeng cecah gula dan minum teh kami mula menolak rakit dengan galah buluh sehinggalah menemui arus deras. Rakit hanya ikut tolakan arus cuma perlu dikemudi sahaja. Bila matahari sudah terik kami tugaskan Fauzi sebagai jurumudi dan yang lain berehat di dalam khemah sementara mengambil giliran menjadi jurumudi secara bergilir-gilir seorang untuk dua jam. Kami masuk ke dalam khemah dan bersembang. Tidak lama kamudian si Fauzi berteriak "Teluk! teluk! teluk". Kami buat dek ajer sebab apa nak risaukan teluk, kalau rakit termasuk ke dalam teluk pun bukannya bahaya. Cuma rakit akan berpusing mengikut arus yang berpusar di dalam teluk. Lama-lama boleh keluar juga, bukannya rakit akan pecah atau pun tenggelam.
Lepas seketika Fauzi berteriak lagi dengan menghentakkan kaki di lantai rakit macam budak mengamuk. Saya keluar dari khemah dan saya dapati bukannya teluk tetapi olak besar. Olak ialah air yang berolak dan berombak disebabkan laluan air yang deras terhalang oleh sesuatu yang besar di dasar sungai seperti bongkah batu atau pun balak besar yang tenggelam. Kalau rakit meredahnya kemungkinan besar akan pecah atau terbalik. Saya panggil kawan-kawan yang sedang berehat untuk sama-sama membantu mengemudi rakit untuk mengelak dari melanggar olak. Selepas mengerah tenaga dan berhempas pulas kami berjaya mengelak walau pun sudah hampir benar. Puuh... lega, lepas satu bala. Rupanya tadi Fauzi tersasul di dalam kegugupan di antara "Teluk" dan "Olak".
Rakit bergerak dengan tenang selepas itu sehinggalah di sebelah petangnya dari jauh saya nampak air sungai memutih berombak dan memercik ke permukaan sungai. Rakit kami mula laju seolah tidak boleh dikawal. Kami rupanya sudah memasukan satu zon air deras. Kami cuba mengawal untuk mengelak dari satu aliran sempit di bahagian kanan sebuah pulau. Di aliran sempit ini air cukup deras tetapi kalau berjaya mengemudi rakit ke aliran besar yang satu lagi itu, arusnya tidaklah deras sangat. Kami mencuba mengubah haluan rakit tetapi kerana tolakan air yang kuat kami gagal dan rakit kami memasuki laluan air yang amat deras.
Rakit dihanyutkan terlalu laju, terasa macam naik motosikal. Memang rakit tidak boleh dikawal. Kami hanya berserah kepada takdir. Sekiranya terlanggar sesuatu pasti akan pecah dan kalau kami sempat berenang ke tepi kami akan selamat tetapi kalau gagal, ajallah jawabnya. Kami hanya tunggu takdir dan bersiap sedia untuk apa-apa saja. Melihatkan arus dan gaya air menerjah cukup menakutkan.
Setelah lebih kurang empat puluh minit dengan keadaan begitu, rakit kami memasuki semula ke sungai yang besar dan arus mula perlahan dan akhirnya kami selamat tanpa apa-apa kecelakaan. Malamnya kami tidur di atas rakit dengan memacak galah di tengah sungai sebagaimana yang kami lakukan malam tadi juga.
Pada hari ketiga di sebelah siangnya tidak ada apa-apa yang memerlukan kecekalan dan tenaga . Kami telah melewati Pekan Tanah Merah dan kami bersepakat akan terus belayar tanpa berhenti walau pun malam sebab nampaknya keadaan sungai tidak bahaya. Kami tiba di kawasan Lemal lebih kurang jam tujuh malam dan kami teruskan perjalan sehinggalah bertentangan dengan Pasir Mas Salor. Sedang kami releks dan bersembang sambil perhatikan lampu-lampu di Pekan Pasir Mas, tiba-tiba saya nampak sesuatu yang besar di dalam air, semacam boat besar yang tenggelam. Tidak sempat mengelak, rakit melanggar bongkah itu dan kami berempat tercampak ke dalam air dengan kuat.
Terpaksalah kami berenang di dalam gelap mengejar rakit yang telah hanyut meninggalkan kami. Setelah bersusah payah berenang dengan pakaian sejuk dan berkasut, kami berjaya juga akhirnya naik ke rakit. Setelah diperiksa, kami dapati pisau dan parang hilang, kamera hilang, kompas pun hilang. Maka tidak adalah gambar kenangan kami. Kami teruskan perjalanan dan tiba di Kota Bharu jam 12.00 tengah malam. Setalah ikat rakit dan makan roti di satu warung, kami terus pulang ke rumah.
Di rumah, setelah makan arwah Emak memberi tahu, kalau saya tidak pulang esok, dia akan buat laporan Polis sebab saya janji akan balik dalam masa lima hari. Maknanya esok adalah hari keenam. Arwah Mak sudah merasa bimbang. Esoknya bila saya ke sungai tengok rakit, sudah ada orang yang tanya nak beli buluh rakit. Saya jual dengan harga RM100.00. tapi rakit curi!
Thursday, April 16, 2009
Kali Pertama Kenal Rakit Dan Air Deras
Tingkatan Empat, ramai pelajar menganggap tahun “Bulan Madu” termasuklah saya dan kawan-kawan. Pada cuti penggal satu persekolahan kami merancang akan melakukan satu ekspedisi yang tidak pernah kami lakukan sebelumnya iaitu “Ekspedisi Berakit”.
Setelah semua peralatan ala kadar yang kami mampu disiapkan, kami bertolak dengan bas ke Kuala Krai dan tiba di sana lebih kurang jam 6.00 petang. Dari stesen bas kami berjalan kaki menuju ke hulu mengikut aliran Sungai Kelantan dari Tangga Bradley ke Kg. La. Kami hanya mengikut naluri dan tanggapan. Setiba di Kg. La hari sudah malam tiba di hujung jalan, kami mencari sungai untuk berkhemah. Setelah menemui sungai, kami mendirikan khemah di tepi sungai itu. Ekspedisi ini disertai oleh empat orang iaitu Fauzi yang paling tua masa itu dia di tingkatan lima, Shafie, Rosli (abang angkat saya) dan saya sendiri.
Pada malamnya selepas makan, sedang kami bersembang datang seorang anak muda yang umurnya agak sebaya dengan kami (dah lupa namanya) bertanya khabar dan tujuan kami. Kami pun berceritalah tentang tujuan dan hajat ke situ. Dia cadangkan esok kami minta buluh untuk ditebang dan dibuat rakit dari orang kampung. Kami bersembanglah macam dah kenal lama. Larut malam barulah anak muda itu pulang.
Lebih kurang jam dua atau tiga pagi salah seorang dari kami yang tidur berhampiran gigi air bising mengatakan khemah di masuki air. Rupanya itulah masanya air sungai pasang. Oleh kerana kami masih buta tentang hukum rekreasi, tanpa memikirkan aras sungai akan naik bila air pasang, kami dirikan khemah. Di atas tebing sana ada sebuah wakaf dan kami naik bermalam di atas wakaf dengan meninggalkan khemah di situ. Kami hanya ambil beg dan peralatan sahaja.
Bila kami bangun paginya barulah kami tahu rupanya wakaf tempat kami bermalam adalah wakaf yang didirikan oleh orang kampung di tengah-tengah perkuburan!. Kami turun ke sungai dan kami dapati khemah kami tenggelam terus, tidak kelihatan walau pun bumbung. Terpaksalah kami tunggu air surut untuk mengambil khemah yang sudah pun berada di dasar sungai. Lebih kurang jam 11.00 pagi barulah air surut dan kami ambil khemah dan berjalan menyusuri sungai. Kami terjumpa satu perdu buluh yang besar dan pada kami memang boleh dibuatkan rakit.
Setelah mendapat kebenaran dari tuannya kami tebang buluh-buluh itu dan kami bawa ke satu pulau kecil di tengah-tengah sungai dan mula mengikat buluh-buluh untuk dijadikan rakit. Sedang kami asyik membina rakit di atas pulau itu hujan turun dengan lebatnya. Kami masih tidak berganjak sehinggalah tiba-tiba air dari hulu sungai menerpa dan naik denga cepat (banjir hulu). Kami berenang ke darat tanpa sempat menyelamatkan rakit yang sedang dibuat dan juga peralatan yang kami bawa seperti gergaji, parang, tali dan sebagainya. Kami hanya sempat menyelamatkan diri berenang dengan ke darat. Semua barang-barang dan rakit tadi telah hanyut dibawa arus deras. Kami terkulat-kulat memandang antara satu sama lain.
Kami berpatah balik ke Pekan Kuala Krai sehinggalah tiba di satu Pengkalan yang terdapat banyak rakit buluh yang digunakan oleh orang hulu untuk membawa produk pertanian seperti pisang dan labu untuk dijual kepada orang tengah di Kuala Krai. Saya cuba bertanya orang-orang di situ siapa tuan punya rakit-rakit ini. Saya diberitahu semuanya telah dijual kepada tauke Cina di pekan itu. Kami seakan putus harap. Kami berbincang sama ada untuk pulang tanpa melaksanakan hasrat kami atau akan buat sesuatu. Setelah berbincang Shafie memberikan idea supaya kami mencuri saja salah satu rakit yang ada di situ. Kami bersepakat akan curi salah satu rakit dan bertolak melayari sungai dengan rakit yang dicuri!
Petangnya lebih kurang jam 4.00 petang di tengah hujan lebat dan rebut petir, kami nekad mencuri rakit yang terbaik pada pandangan kami. Setelah bersusah payah mengendalikan rakit di celah-celah rakit yang banyak di situ akhirnya kami berjaya membuat kerja bodoh itu dan bertolak menghilir sungai. Setelah hujan reda, kami sudah jauh meninggalkan pengkalan.
Kami meredah jeram………………akan bersambung
Monday, April 13, 2009
Kriteria Seorang Pemimpin Islam
Hadith di bawah adalah salah satu peringatan dari Sayyidina Muhammad Rasulallah Sallalahu Alaihi Wassallam kepada semua pemimpin dan peguasa yang mengaku beragama Islam. Hadith ini ditujukan kepada semua Muslim tidak mengira bangsa dan warna kulit.
Tetapi apakah hukumnya pula kepada rakyat yang menyokong dan memperjuangkan kesinambungan kekuasaan pemimpin yang tidak mengikut apa yang disabdakan Rasulallah sebagaimana di bawah?
Hadith Nabi Sallalahu Alaihi Wassallam dari Kitab Ahkam, Sahih al Bukhari. Mukasurat 1024. Bab 85. Hadith # 2201 :
Di riwayatkan oleh Ma`qil bin Yasar Radhiallahu Anha :
Aku mendengar Rasulullah Sallalahu Alaihi Wassallam bersabda dengan maksudnya :
” Mana mana lelaki yang Allah kurniakan pangkat dan kedudukan berkuasa ke atas manusia dan tidak melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya secara beramanah, tidak akan dapat mencium bau syurga”.
Sadaqa Rasulullah.
Saturday, April 11, 2009
Tindakan Yang Melulu
Saya ingin imbas kembali cerita malang yang menimpa seorang Anak Yatim yang menolong ibunya mencari nafkah menapung berbelanjaan keluarga semasa menunggu keputusan SPM dengan bekerja di sabuah Bengkel Motorsikal. Pada saya anak muda ini amat baik dan bertanggung jawab. Bersopan dan berlemah lembut bila bercakap serta cukup menghormati orang tua.
Pada suatu petang setelah semua kawan-kawan sekerjanya pulang dia ditugaskan menutup pintu bengkel tempat dia bekerja. Sebaik saja dia tutup pintu bengkel, dia diserbu oleh sekumpulan manusia dengan tanpa usul pereksa membelasahnya dengan sepak terajang dan topi keledar. Kepalanya luka dan badannya bengkak bengkil dan tentunya sakit yang amat sangat. Setelah puas dibelasah oleh orang-orang tadi barulah dipanggil polis. Polis membawanya ke lokap dan ditahan reman.
Setibanya di Balai Polis dan dilokapkan, polis pula membelasahnya. Penampar, penumbuk dan penyepak. Itulah makanan rujinya di situ. Yang paling perit ialah dibelasah dengan getah paip di belakang dan kaki (betis dan paha). Azabnya tak usah nak kata. Nak kunyah makanan, mulut sakit, nak baring, belakang sakit sehinggakan nak buang air terpaksa merangkak kerana kaki sakit tidak boleh bangun dan berjalan. Cuba bayangkan penderitaan begitu ditanggung oleh anak anda selama seminggu dalam tahanan reman!
Ahkirnya dia dibebaskan kerana tiada bukti yang dia mencuri. Rupanya yang mencuri sebenarnya ialah orang yang lebih senior yang juga pekerja di bengkel itu. Dia tidak tahu menahu pun tentang kecurian yang berlaku. Orang kampung nampak motor itu dibawa masuk ke bengkel itu tetapi tidak cam siapakah yang menonggang motor tersebut ke situ. Jadi dia adalah mangsa tindakan tanpa usul pereksa. Polis pun dua kali lima juga. Tangkap jer terus belasah nak dapatkan bukti dan pengakuan konon.
Tetapi kerana dia anak yatim dan orang kecil pula tidak ada siapa pun peduli. Terimalah hukuman dengan kesakitan walau pun bukan kesalahannya. Berbulan-bulan pula barulah badannya pulih. Parut hentakan topi keledar masih berbekas sehingga kini.
Saya sendiri hampir menangis bila tahu cerita ini dan peristiwa yang dialami oleh anak muda ini. Kalau ramai yang mengatakan kebanyakan anak-anak polis jahat pun logik. Membesar dengan hasil darah dan penderitaan orang selain dari sumpah seranah.
Maruah Melayu
N3 ini ada sedikit bertentangan dari pandangan saya. Bagi saya kesilapan yang lepas adalah pengajaran dan perlu diperbetulkan. Tuduh menuduh tidak akan memberikan apa-apa kebaikan. Saya perpandangan, untuk memperkasakan Melayu dan Agama Islam, Bangsa Melayu mesti di satukan di dalam satu wadah politik yang berpaksikan Hukum Islam tanpa meninggalkan peradaban dan keistimewaan Bangsa Melayu itu sendiri.
Yang melakukan kesilapan perlu insaf dan yang mempunyai idea yang baik dan bernas perlu membantu ke arah itu.
Entry di bawah juga memang ada kebenarannya. Tetapi melemparkan tuduhan dan menuding jari sahaja tidak akan membawa apa-apa penyelesaian. Kita semua harus berusaha memperbetulkan kesilapan yang lalu. Perpecahan akan merugikan kita.
Tetapi perpecahan kita pasti ada bersebab. Saya akur tentang itu. Pertentangan fahaman politik dan mungkin juga pertentangan kepentingan.
Kedudukan, Martabat dan Maruah Orang Melayu Kian Terancam?
Posted by Pakatan Rakyat in Berita Umum. trackback
Artikel berikut dipetik daripada komen pelawat Media Pakatan dan disiarkan untuk tatapan umum.
HIDUP MELAYU
Kami setuju tanpa ragu-ragu bahawa kedudukan, martabat dan maruah orang Melayu kini kian terancam.
Rakyat Melayu marhaen berada dalam posisi yang membimbangkan kerana semakin tertindas dan terpinggir dari segi ekonomi dan politik.
Namun, soalnya, siapa yang menindas dan meminggirkan umat Melayu?
Orang Cina? Kaum-kaum ‘pendatang’ lain yang sudah terlalu lama menjadi setinggan di Tanah Melayu?
Parti Cinakah yang memimpin Malaysia semenjak Merdeka lima puluh tahun lalu sehingga sekarang? Apakah orang ‘pendatang’ yang menjawat jawatan tertinggi dari hari pertama Malaysia merdeka?
Kesusahan yang dihadapi oleh orang Melayu sekarang sebenarnya kesusahan yang dihadapi setiap rakyat Malaysia pada saat gentar ini - ekonomi negara yang meleset, harga barang yang melambung, ketidakpedulian kerajaan dan pihak-pihak berkuasa terhadap cabaran yang dihadapi mereka setiap hari.
Punca masalah-masalah ini bukanlah perbezaan warna kulit atau agama; puncanya adalah pemimpin-pemimpin yang sanggup menggadai maruah rakyat dan bangsa untuk memperkayakan diri sendiri.
Setelah lima puluh tahun berleluasa tanpa kawalan, pemimpin-pemimpin Umno telah mengabaikan cita-cita murni pejuang-pejuang kemerdekaan kita untuk membina Malaysia yang aman dan makmur untuk semua.
POLEMIK KAUM
Tangan di depan menghunus keris kononnya untuk mempertahankan hak-hak Melayu, tangan di belakang merompak tanah Melayu, merompak saham Melayu, merompak sara hidup Melayu.
Budaya rasuah kini meracuni setiap lapis pimpinan parti yang ditubuhkan untuk mengharumi masa depan bangsa sehingga laungan sahaja berbunyi “Melayu!” tetapi hati berbisik “Saya dahulu!”
Sejarah dunia menyaksikan polemik kaum disalahgunakan pelbagai pihak - mahupun di Bosnia, Rwanda dan sebagainya - untuk mengutarakan nafsu politik yang rakus.
Api perkauman dinyalakan demi menghasut rakyat jelata antara satu sama lain; namun amat mudah untuk menjadikan orang yang berlainan warna kulit punca kesengsaraan satu bangsa.
Sebagai generasi baru Malaysia, kita perlu sedar kepada kebenaran dan menembusi ilusi yang dicipta oleh golongan yang berkepentingan.
Kesedaran ini boleh dikatakan susah untuk rakyat Malaysia, yang telah sekian lama diajar oleh kerajaan Barisan Nasional untuk melihat setiap masalah sosial dan isu politik dari sudut perkauman.
Parti-parti politik yang berasaskan kaum sahaja akan terperangkap selamanya dalam wacana sempit di mana dosa-dosa dan penyelewengan individu-individu disembunyikan di belakang tabir perkauman.
Buktinya jelas; Umno sendiri mengakui bahawa tiga puluh tahun selepas perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru, sasaran-sasaran untuk pembangunan taraf ekonomi Melayu masih gagal dicapai.
HIDUP MEWAH
Adakah ini kerana orang Melayu sebenarnya malas manakala kaum-kaum lain rajin? Penjelasan ini tidak munasabah.
Dengan jumlah penyelewengan sehingga berbilion-bilion ringgit oleh ahli-ahli politik Barisan Nasional, tidak hairan Dasar Ekonomi Baru gagal sama sekali. Dasar yang diasaskan dengan matlamat membangunkan rakyat Melayu marhaen diselewengkan sehingga hanya kelompok kecil sahaja yang memperoleh keuntungan dari dasar-dasar tersebut.
Sehingga hari ini, mustahil ternampak seorang pemimpin tinggi Umno yang tidak hidup mewah dengan mahligai dan kereta-kereta besar.
Jelas, nasib Melayu tidak semestinya terbela oleh parti-parti politik yang bertopengkan nama Melayu sahaja, tetapi oleh pemimpin-pemimpin tanpa mengira kaum yang jujur dan berwibawa. Maruah bangsa Melayu hanya dapat dijamin apabila parti yang terbukti gagal mengangkat martabat bangsa diganti dengan saf pimpinan yang baru.
Keputusan pilihanraya umum Mac 8 juga jelas menunjukkan bahawa rakyat jelata sedia menolak politik perkauman yang digunakan untuk menutup budaya rasuah yang telah menghancurkan ekonomi negara dan membebani rakyat.
Sedihnya, golongan politik yang telah mengekalkan sistem ini yang bankrap moralnya kini enggan melepaskan kuasa dan menerima pilihan rakyat.
Mereka berdegil dengan memainkan politik perkauman yang telah jelas ditolak oleh rakyat dalam pilihanraya umum ke-12. Pada bulan Mac, orang Melayu tidak takut untuk mengundi DAP dan orang bukan Islam tidak takut untuk mengundi PAS.
Keberanian mengundi sedemikian, walaupun isu-isu perkauman masih dimainkan oleh Barisan Nasional, adalah kerana rakyat berikhtiar untuk merealisasikan harapan untuk membentukkan sebuah Malaysia di mana kepentingan rakyat dipelihara; harapan bahawa dengan kerajaan yang telus dan prihatin akan melahirkan sebuah Malaysia yang mana semua rakyat terbela.
Di bawah pimpinan Umno, tidak kira ideologi asal yang kini sudah tercemar dan terabai, orang Melayu akan terperangkap dan tidak mungkin maju dan berdikari. Parti-parti yang berulang-ulang terbukti gagal menjaga kedudukan orang Melayu di mata dunia harus diganti sebelum terlambat.
Anak Malaysia
Friday, April 10, 2009
Dihukum Mati
Berdasarkan link ini, apakah pandangan kita. Walau apa pun kita tidak mempertikaikan Mahkamah kerana Mahkamah menjatuhkan hukuman berdasarkan bukti yang ada dan tidak ada keraguan dari pandangan Mahkamah.
Buta Kerana Salah Orang lain
Inilah akibatnya bila masih ada lagi Kumpulan/gerombolan Barbarian di zaman langit terbuka dan bertamaddun ini. Menyusah dan mengakibatkan orang lain menderita. Article ini saya petik dari malaysiakini.com.
Cuba bayangkan masa depan pelajar ini. Kejadian ini berlaku adalah kerana perbuatan barbarian dengan tindak balas juga dengan cara barbarian yang tidak memikirkan akibat yang akan di terima oleh orang-orang tidak terlibat di sekitar tempat kejadian. Pelajar ini hanya mencari rezeki membantu saudaranya berniaga.
Pelajar buta terkena serpihan gas pemedih mata
Apr 10, 09 9:44am
Seorang pelajar buta sebelah mata setelah terkena serpihan objek daripada gas pemedih mata ketika rusuhan penyokong bola sepak Kelantan di luar stadium malam Selasa lepas.
Ketika kejadian, Muhammad Huzaifah Mohd Noor, 18, dari Kampung Pasir Tok Kambing di Kota Bharu sedang mengemas barangan jualan di gerai minuman milik sepupunya, lapor Bernama.
Mata kanan Muhammad Huzaifah, pelajar Institut Latihan Perindustrian Pengkalan Chepa, gagal dipulihkan walaupun menjalani pembedahan lebih empat jam di hospital sejurus selepas kejadian.
Menceritakan detik kejadian, Muhammad Huzaifah berkata kejadian itu berlaku ketika beliau sedang membantu sepupunya Abdul Rahman Hussein di gerai yang terletak 100 meter dariStadium Sultan Muhammed IV, dan bersiap untuk pulang.
"Tiba-tiba saya tengok keadaan jadi kecoh dan orang ramai berlari sambil terdengar polis memberi arahan supaya bersurai.
"Saya berpaling ke arah anggota polis berkenaan yang kebetulan melepaskan gas pemedih mata ke arah saya, tanpa sempat saya mengelak, objek itu terkena mata kanan saya," mangsa dipetik berkata di Hospital Raja Perempuan Zainab II semalam.
Abdul Rahman pula berkata beliau sempat tunduk apabila gas pemedih mata itu dilepaskan yang terkena Muhammad Huzaifah dan beliau melihat darah keluar dari mata kanan mangsa sambil menjerit kesakitan.
"Saya dan beberapa orang lagi terpaksa memapah beliau ke hospital yang letaknya tidak jauh dari tempat berkenaan," katanya.
Ibu mangsa Kamariah Hussein, 60, berkata apa yang berlaku sangat menyedihkan beliau sekeluarga tambahan pula suaminya Mohd Noor Abdul Rahman, 72, baru tiga hari dibenarkan keluar dari hospital kerana sakit jantung.
Menurut Kamariah, lapor agensi berita itu lagi, aduan polis telah dibuat pada malam kejadian dan keluarganya turut menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terlibat.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi kelmarin mengesahkan seorang remaja berusia 18 tahun cedera selepas terkena gas pemedih mata.
Thursday, April 9, 2009
Mohon Bantuan
Meor Yusof Aziddin nama dia. Dia memang begitu- berkemeja T dan berjeans sempoi, bersepatu dan kadang2 berselipar ayam- melaungkan lagu-lagu rakyat bagai duta mewakili jerih marhaen. Di Central Market, di Bangsar, di hotel-hotel, di sebarang majlis tak kira di pentas politik mana pun. Dia bukan ahli politik, dia Meor. Meor kalau menyertai Akademi Fantasia pasti tersingkir sejak ujibakat lagi sebab tiada pakej glamour dan plastik (ah! Meor pun tak teringin ke sana hahaha!). Dia pernah bergelap di lokap hanya kerana disangka penagih dadah walhal Meor mempunyai latar belakang pendidikan yang baik. Ini persepsi biasa. Anda dilihat ganjil jika tidak mengikut arus.
Meor tidak mahu dibayangi dua saudaranya yang mencipta sejarah. Mishar pengasas industri kartun dengan menerbitkan majalah Gila-Gila dan Batu Api manakala Suhaimi Meor Hassan membuai rasa dengan puisi romantisnya. Meor mahu melakar sejarah sendiri dan sejarah itu sudah bermula.
Meor 'lari' dari Luncai Emas kerana tak mahu jadi seperti Awie, Mawi atau yang lain-lainnya. Dia juga tak mahu jadi Iwan Fals, Ebiet atau Bob Dylan walaupun nama-nama itu membakar inspirasinya. Meor mahu jadi Meor. Dia menolak muncul di RTM yang mahukan dia menyanyikan lagu abangnya.
Meor mempraktikkan konsep DIY (Do It Yourself) apabila berjaya menerbitkan sendiri album Pesta Jiwa, Pesta Jiwa ii, Itu Padang Aku Di situ, Aku dan bulan, Yang Terlintas Di Fikiran dan Sakrat. Kekuatan dia adalah semangat dan dorongan teman-teman.
Meor sedang berusaha menghasilkan sebuah album Dari Rakyat Untuk Rakyat . Dia mahu cepat tetapi teman-teman seperti Zunar mahu album kali ini dihasilkan 'betul-betul album' untuk dijadikan khazanah sejarah sebagai album yang mewakili suara rakyat dan perjuangan. Ini bukan album politik, ini album marhaen. Album ini juga adalah himpunan karya nama-nama besar seperti Hishamuddin Rais, Zunar, Rahmat Haron, Pyanhabib, Black Amin dan juga teman-teman seperti Abdullah Jones, Ubilepih dan Benludin (geram sebab aku terlepas peluang, mungkin next project ekk?)
Ayuh kawan-kawan jadikan diri kita sebahagian dari sejarah dengan menyumbangkan dana agar ia dapat direalisasikan! Sumbangkan ke akaun :-
RHB Meor Yusof Aziddin Meor Hassan 10804300441247 atau
CIMB Roslinda Hashim 08090070970523
atau layari DI SINI
KALAU NAK REAL, BELI ALBUM SEBELUM-SEBELUMNYA SAMBIL MENYUMBANG!
* tulisan ni adalah dari kaca mata aku sendiri..
Wednesday, April 8, 2009
Apakah Semenanjung Juga Tolak BN?
Apakah ini juga bermaksud rakyat semenanjung juga menolak UMNO/BN sepenuhnya?
Petikan dari Berita Harian Online :
(Kenyataan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal selepas kemenangan BN mengekalkan kerusi Batang AI)
Kemenangan BN bukti rakyat Sarawak tolak PKR
LUBOK ANTU: Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyifatkan kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Malcom Mussen Lamoh pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Air sebagai membuktikan rakyat Sarawak menolak Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Katanya, bukan saja rakyat Sarawak, malah rakyat Sabah turut sama tidak menerima kedatangan PKR ke negeri berkenaan.
Kemenangan itu juga kata beliau, membuktikan keyakinan rakyat Sarawak terhadap Perdana Menteri yang baru, Datuk Seri Najib Razak.
"Saya yakin rakyat Sarawak khususnya pengundi di DUN Batang Air meletakkan harapan yang tinggi kepada Najib kerana mereka yakin Perdana Menteri keenam itu akan membela nasib penduduk di luar bandar.
"Saya berterima kasih kepada pengundi di DUN Batang Air khususnya pengundi Iban selaku kaum majoriti di situ kerana terus mempertahankan Sarawak sebagai kubu kuat BN.
"Keyakinan dan kepercayaan diberikan pengundi di DUN Batang Air, menaikkan semangat kerajaan BN untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik dan membangunkan kawasan luar bandar di negara ini," katanya kepada Berita Harian, malam tadi.
Shafie yang juga Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan berkampung di DUN Batang Air sejak hari penamaan calon untuk membantu kempen calon BN dan turut berkunjung ke rumah panjang di kawasan hulu bagi meraih sokongan pengundi.
Beliau berlepas pulang ke Kuala Lumpur dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada jam 8 malam tadi, selepas melawat pusat mengundi di DUN Batang Air, sepanjang hari semalam.
Shafie berkata, walaupun pelbagai isu dan sentimen yang cuba dimainkan pembangkang terutama Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun terbukti pembangkang tidak mendapat tempat di hati rakyat Sarawak.
"Kemenangan itu juga satu isyarat kepada PKR bahawa rakyat di Sabah dan Sarawak akan terus mempertahankan dua negeri ini sebagai kubu kuat BN," katanya.
Adakah Kita Tidak Menghina Alqur'an?
1. Jadikan Alqur'an sebagai hiasan(tidak membacanya) di atas rak atau di dalam almari .
2. Membaca Alqur'an tetapi tidak berusaha untuk memahami maksudnya
3. Tahu di dalam Alqur'an adalah perintah Allah tetapi tidak akur dengannya
4. Tahu tentang apa yang wajib dilaksanakan melalui Alqur'an tetapi yang sesuai dengan kehendak hati sahaja diterima pakai tetapi yang tidak menepati kehendak hati/nafsu diketepikan
5. Mengatakan sesetengah perintah Allah di dalam Alqur'an tidak sesuai diamalkan di zaman ini
Monday, April 6, 2009
Ayat Alqur'an Di Pentas Politik
Mana lebih menghina di antara manusia yang belum Islam menyanjungi dengan membaca petikan yang diterima baik oleh mereka dengan manusia yang mengaku sudah Islam tetapi Alqur'an dijadikan hiasan dengan tidak memahami dan tidak juga mengikut perintah yang terkandung di dalam Alqur'an itu sepenuhnya sedangkan Alqur'an itu merupakan perintah Allah kepada orang Islam yang mesti dilaksanakan. Bukan saja politik tetapi juga cara hidup keseluruhannya.
Maafkan saya, selama ini saya cuba menahan diri dari mencampuri urusan politik kepartian. Namun apa bila rasakan perasaan saya seolah-olah sentiasa dijolok-jolok maka saya perturunkan hujah mengikut fahaman saya berlandaskan apa yang telah saya pelajari, membaca dan lalui.
Semasa Pilihanraya tahun 80'an, seorang calon dari MCA mendiang Dato' Foo Chow Yong(saya juga kenal rapat dengan mendiang) yang bertanding di kerusi DUN Sungai Keladi telah menggunakan ayat Alqur'an untuk berkempen. Ayat yang selalu dibacanya ialah "Wak tacimubihablillah" (memang tidak betul sebutanya) dan diterjemahkan kepada hadirin. Ketika itu tidak ada siapa pun yang mempertikaikannya sebab mungkin kami orang Kelantan faham tiada larangan di dalam mana-mana Nas yang melarang orang bukan Islam membaca ayat-ayat dari Alqur'an. UMNO memang tidak membantah sebab yang membaca itu dari komponen BN dan orang-orang PAS pun tiada yang membantah. Kami gelarkan YB berkenaan dengan panggilan "Ustaz Yong". Ustaz Yong ini memang mesra rakyat. YBM Tengku Li pasti ingat tokoh ini.
Tapi kenapa bila orang DAP membaca petikan dari ayat Alqur'an di Bukit Gantang orang-orang UMNOlah yang bising dan buat laporan polis? Saya cukup setuju dengan pendapat cyberboron, sekiranya orang bukan islam dilarang membaca qur'an bagaimana mereka nak faham Islam? Kalau dah orang Islam/Melayu sendiri membaca qur'an lintang pukang dan fahaman Islam tonggang terbalik, tak payahlah marahkan orang bukan Islam memetik ayat-ayat alqur'an dan mempelajarinya.
Bagi PAS pula, sudah tentu untuk memberikan fahaman tentang Islam dan Politik Islam maka ayat-ayat Alqur'an yang menjadi sandaran hujah mereka. Dan di Kelantan juga pada masa itu UMNO juga berhujah menggunakan ayat Alqur'an di pentas politik melalui Usatz-Ustaz mereka. Pada masa itu tidak timbul pun isu mempolitikkan ayat Alqur'an baik dari suara UMNO atau pun PAS. Isu mempolitikkan ayat Alqur'an ini timbul hanya di akhir-akhir ini bila mana di pihak UMNO sudah ketandusan/kekurangan manusia yang fasih membaca dan mentafsirkan alqur'an agaknya. Ini bermakna UMNO marahkan orang membaca petikan ayat dari Alqur'an di pentas politik bukannya ikhlas tetapi juga strategy politik kerana mereka tidak mampu lagi berhujah berdasarkan Nas.
Sesiapa yang nak marah, marahlah. Itu adalah hakikat. Manusia yang enggan menerima hakikat adalah manusia yang telah dibutakan mata hatinya.
Sunday, April 5, 2009
Akan Menjadi Ayah?
1. Azan/Iqamah menyambut bayi. Siayah lakukan sendiri adalah lebih baik
2. Mandikan bayi.- Uncle mandikan bayi ketika ibunya di dalam pantang kerana tidak mahu ibunya banyak bergerak dan mengelakkan tekanan. Ibunya masih kekok dengan keadaan bayi yang masih lembik.
3. Pakaikan bedak, sapu minyak elakkan kembung, pakaikan lampin, barut perut, baju dan bedung.
4. Tuam ketika bayi kembung. Nak tahu macam mana bayi kembung? Ketukkan perut bayi menggunakan satu jari dengan lembut. Bunyi perut bayi yang kembung tidak padat.
5. Buangkan angin dari perut bayi selepas menyusu dengan tegakkan dan tepuk belakang bayi perlahan-lahan. Ini dapat mengelakkan bayi dari muntah.
6. Basuh berak dan kencing bayi
7. Kenalpasti bayi menagis kerana lapar atau sakit. Yang paling senang beri jer susu bayi mengikut jadual/jam.
8. Membasuh dan menggosok lampin sekiranya hari hujan
9. Menjemur bayi di matahari pagi yang lembut untuk mengelak dari kena penyakit kuning
10. Menidurkan bayi
11. Merawat luka dan mengaturkan jadual ubat si ibu.- bantu bersih dan sapukan ubat pada luka siibu sebab bukan senang untuknya melakukan sendiri.
Semua perkara di atas uncle lakukan semasa Along dan Adik lepas dilahirkan sehinggalah ibunya habis pantang dan bayi pun sudah kuat serta tegap. Walau pun ibunya sudah habis pantang tetapi kalau bayi masih belum kuat/lembik uncle akan terus lakukan sehingga siibu yakin boleh lakukan sendiri.
Friday, April 3, 2009
Sentuhan Pertama PM Baru
Berita ini saya copy dari n3 Malaysiakini.
PM umum bebas 13 tahanan ISA, benarkan akhbar PAS, PKR
Apr 3, 09 8:16pm:
Penggantungan dua akhbar berpengaruh Harakah dan Suara Keadilan ditarik balik serta-merta malam ini dan 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) turut dibebaskan.
"Saya ingin mengambil kesempatan ini mengumumkan bahawa kerajaan akan menarik balik larangan penerbitan sementara bagi dua surat khabar, membebaskan 13 tahanan ISA berkuatkuasa serta-merta," kata perdana menteri.
Datuk Seri Najib Abdul Razak, yang secara rasmi mengangkat sumpah di depan Yang di-Pertuan Agong jam 10.10 pagi tadi, membuat kenyataan sulung itu ke seluruh negara di TV1.
Dalam ucapannya bersempena jawatan barunya itu, beliau juga berjanji untuk menyemak semula ISA dalam masa terdekat.
"Proses kajian semula terhadap ISA juga dimulakan," tambahnya.
"Sudah tepat masanya, kita mengambil langkah-langkah sedemikian untuk mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap pihak berwajib atas soal keselamatan dan mengembalikan keutamaan kita untuk mengendalikan ancaman yang dianggap berbahaya dan munasabah.
"Kementerian Dalam Negeri akan memberi butir-butir selanjutnya selepas ini."
Thursday, April 2, 2009
Betulkah?
Satu soalan dari saya. "Adakah semua yang tersenarai ini benar?"