Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Showing posts with label Rasuah. Show all posts
Showing posts with label Rasuah. Show all posts

Friday, December 1, 2017

Azmin nafi beri tender pasir pada anak saudara

mk      Hari ini, 11:51 pm

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali menafikan tuduhan bahawa beliau menganugerahkan tender kepada anak saudaranya yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Azmin menjelaskan bahawa semua tender untuk perlombongan pasir di negeri itu dikendalikan oleh Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) yang merupakan anak syarikat milik penuh Menteri Besar Diperbadankan (MBI Inc).

"Pertama dakwaan itu tidak betul. Dasar kerajaan negeri tanah-tanah dimiliki oleh kerajaan negeri, sekiranya ada permohonan untuk aktiviti perlombongan pasir ia akan diuruskan oleh Kumpulan Semester.

"Semua proses tender dijalankan Kumpulan Semester, saya bukan board member (ahli lembaga pengarah) Semester.

"Saya tidak terlibat dalam sebarang keputusan dan saya yakin pegawai Semester mempunyai integriti tinggi dalam memastikan proses itu berjalan dengan telus dan terbuka,"katanya

Terdahulu hari ini, SPRM dilapor menahan anak saudara Azmin yang berusia 34 tahun dan tiga yang lain atas tuduhan terlibat dalam perlombongan pasir dan batu di sebuah lokasi di Kajang sejak 2014.

Suspek yang terdiri daripada dua pengarah syarikat perlombongan pasir, seorang pengurus tapak projek dan seorang pekerja agensi pengiklanan, didakwa merasuah pegawai pihak berkuasa tempatan di Kajang untuk tidak mengambil tindakan terhadap kegiatan yang menyalahi undang-undang itu.

Sebuah blog mendakwa mereka juga menerima tender daripada menteri besar.

Kesemua lelaki berusia antara 34 tahun dan 67 tahun itu kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 6 Disember.

SPRM juga membekukan wang RM4 juta daripada akuan bank milik salah sebuah syarikat berkenan.
Azmin mengulangi kenyataan di pejabatnya hari ini bahawa terdapat konspirasi politik terhadap kerajaan negeri dalam kes itu.

"Saya tidak mahu membuat tuduhan, tetapi saya merasakan dalam kes ini, saya melihat seolah-olah ada konspirasi politik kerana sebelum beliau ditahan, blogger umno telahpun mengeluarkan maklumat ini lebih awal daripada tindakan SPRM.

"Persoalan saya kenapa ini berlaku. Saya tidak mahu tindakan politik mempengaruhi siasatan ini," katanya.

Ingat weh....roda berpusing beb!

BN jangan guna RCI untuk tutup skandal 1MDB, kata Bersih
TMI · Diterbitkan pada 30 Nov 2017 5:44PM ·
Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah berkata jangan jadikan RCI mengenai kerugian forex Bank Negara Malaysia sebagai alat politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 November, 2017

JANGAN jadikan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) sebagai alat politik untuk mendiamkan pengkritik 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kata badan pemantau pilihan raya Bersih dalam reaksinya terhadap laporan RCI mengenai kerugian mata wang asing Bank Negara, hari ini.

“Bersih 2.0 mendapati kerugian forex dialami Bank Negara pada 1990-an di bawah kepimpinan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dijadikan tabir untuk menutup isu pengubahan wang haram dan 1MDB.

“Apa yang penting ialah RCI tidak digunakan sebagai pendakwaan politik untuk mendiamkan pengkritik 1MDB,” kata Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah dalam satu kenyataan hari ini.

Antara syor RCI ialah siasatan polis terhadap Dr Mahathir, bekas menteri kewangan Anwar Ibrahim, Bank Negara Malaysia dan Jabatan Audit Negara berhubung kerugian forex itu.

Dr Mahathir dan Anwar antara pengkritik tegar 1MDB, syarikat pelaburan negara yang mencetuskan kontroversi sejak beberapa tahun lalu.

BNM sebelum ini mendenda 1MDB kerana melanggar peraturan kewangan tetapi jumlahnya tidak didedahkan tahun lalu.

Jabatan Audit Negara menjalankan audit terhadap 1MDB pada 2015. Laporan itu, yang siap pada 2016 diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Maria berkata kerajaan tidak adil dalam melakukan siasatan terhadap kerugian forex BNM itu dan 1MDB.

“Kami terkejut begitu cepat RCI menjalankan siasatan; sedangkan semua siasatan mengenai 1MDB ditutup walaupun ia masih disiasat di tujuh negara, di mana kes DoJ (Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat) salah satu contohnya,” kata Maria.

Beliau berkata siasatan Switzerland terhadap kes pengubahan wang haram di bawah 1MDB menyebabkan penutupan tiga bank negara itu dan menyita kira-kira RM433 juta.

“Siasatan terpilih dalam kerugian berbilion ringgi dari 20 tahun lalu nampak seperti langkah kerajaan pemerintah, Barisan Nasional untuk cuba mengalih perhatian daripada isu rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dengan 1MDB,” katanya.

Maria berkata panel RIC patut membentangkan dapatannya di seluruh negara untuk diteliti oleh masyarakat awam.

“Kalau tidak, integriti dan keyakinan awam akan terus menjadi tanya tanya.” – 30 November, 2017.

Thursday, November 30, 2017

Lombong pasir dan batu secara haram: SPRM tahan anak saudara Azmin

SPRM reman anak saudara MB Selangor 7 hari
mk      Hari ini, 12:38 pm

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam menahan anak saudara Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan tiga individu lagi atas dakwaan terlibat dalam perlombongan pasir dan batu secara haram.

NST Online hari ini melaporkan, ketiga-tiganya direman selama tujuh hari sehingga 6 Disember untuk membantu siasatan.

Menurut laporan itu lagi, siasatan SPRM menunjukkan syarikat perlombongan pasir itu didakwa merasuah pegawai kerajaan tempatan di Kajang - tempat syarikat itu beroperasi sejak 2014.

"Difahamkan pegawai itu didakwa dirasuah agar tidak mengambil tindakan terhadap kegiatan itu," kata NST Online.

Terdahulu, sumber SPRM mengesahkan kepada Malaysiakini yang anak saudara Azmin adalah salah seorang yang ditahan.

Menurut laporan itu lagi, suspek, termasuk dua pengarah syarikat, seorang pengurus tapak projek dan seorang pekerja syarikat pengiklanan, dibawa ke mahkamah hari ini, lengkap berpakaian lokap SPRM berwarna jingga.

Keempat-empat suspek yang berusia antara 34 hingga 67 tahun, ditahan dalam satu operasi khas yang bermula pukul 10 pagi semalam.

Terdahulu, Bernama melaporkan SPRM turut membekukan beberapa akaun syarikat terbabit bernilai RM4 juta.

"Kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan terhadap aktiviti perlombongan pasir dan batu secara haram di sebuah lokasi di Kajang sejak 2014.

"Pasukan penyiasat memeriksa beberapa lori disyaki membawa pasir haram dalam satu operasi dilancarkan 10 pagi semalam dan beberapa akaun syarikat terbabit bernilai RM4 juta dibekukan," kata sumber SPRM kepada Bernama.

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Datuk Simi Abdul Ghani mengesahkan tangkapan tersebut.

Wednesday, November 29, 2017

Dokumen siasatan kes bocor: SPRM akan lapor polis

SPRM lapor polis selepas dokumen siasatan kes bekas exco Johor bocor

  | November 28, 2017
Suruhanjaya memandang serius kebocoran dokumen kenyataan rakaman percakapan tertuduh kerana kes itu masih dibicarakan di mahkamah.
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuat laporan polis selepas dokumen kenyataan rakaman percakapan tertuduh dalam siasatan kes rasuah hartanah melibatkan bekas exco Johor bocor di Internet.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Datuk Azam Baki berkata pembocoran dokumen itu bersifat prejudis dan dikhuatiri akan mengganggu prosiding mahkamah memandangkan kes itu masih dalam perbicaraan.
“Ingin dinyatakan, dokumen kenyataan rakaman percakapan salah seorang tertuduh telah diberikan kepada peguambela atas permintaan mengikut undang-undang sedia ada untuk tujuan pembelaan selepas suspek dituduh.
“Berhubung satu jadual pembayaran yang dimuat naik di media sosial yang dikaitkan dengan siasatan tersebut, SPRM berpendapat ia telah sengaja diadakan-adakan untuk mengelirukan masyarakat.”
SRPM mengeluarkan kenyataan hari ini selepas satu laman web memuat naik “kenyataan” seorang individu dalam siasatan itu yang mengaitkan seorang lagi ahli politik Johor dengan suapan jutaan ringgit untuk menukar status lot perumahan Bumiputera.
Pada April, Exco Datuk Abdul Latif Bandi didakwa atas 33 pertuduhan bersuhabat bersama seorang jururunding hartanah melibatkan wang suapan RM30.3 juta.
Beliau disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, dalam skandal melibatkan penukaran status rumah Bumiputera kepada bukan Bumiputera melibatkan beberapa pemaju di Johor.
SPRM sebelum ini menyita 45 akaun bank berjumlah RM15.5 juta, di samping merampas 26 kenderaan dan motosikal mewah serta dokumen.

Wednesday, November 22, 2017

Rasuah agensi maritim: Datuk Vietnam dituduh di Mahkamah Sesyen

Datuk Vietnam dituduh rasuah agensi maritim
Hafiz Yatim      hari ini, 2:25 pm
Seorang warganegara Vietnam bergelar datuk, yang didakwa menawarkan rasuah kepada pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk membebaskan bot-bot memancing, dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Tran Thi Mai, 41, yang turut dikenali sebagai Maimunah berdepan dua pertuduhan merasuah seorang pengarah APMM dengan wang keseluruhan berjumlah RM350,000.

Maimunah dikatakan bertemu Pengarah Maritim Daerah Tanjung Sedili Kepten Maritim Amran Daud di Hotel Parkroyal Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada Mei lalu.

Wanita itu didakwa membuat bayaran kepada Amran melalui orang tengah, Mohammad Sani Abdullah yang memastikan pembebasan tiga buah kapal Vietnam BWFSYA3, KNF7636 dan ALYA 5 – yang ditahan di perairan Malaysia.

Tran, yang tinggal di Kuantan, juga mohon dibicarakan atas satu lagi tuduhan merasuah Amran sebanyak RM50,000 di pusat beli-belah Pearl Point, Kuala Lumpur, juga pada Mei, untuk membebaskan kapal Vietnam KG 93397 TS.

Dia diwakili oleh peguam GK Sritharan manakala timbalan pendakwa raya Wan Ahmad Nizam Wan Omar tampil bagi pihak pendakwaan.

Pertuduhan itu dibuat di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Tran sudah tinggal di Malaysia selama 17 tahun dan dikatakan mendapat gelaran datuk daripada Pahang.

Minggu lepas, dia dilapor direman enam hari dan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuantan kerana didakwa cuba menawarkan rasuah RM800,000 kepada dua pegawai APMM.

Saturday, November 18, 2017

'Datuk Seri' tak berpakaian lokap ke mahkamah

'Kenapa 'Datuk Seri' tak berpakaian lokap ke mahkamah?'
Lu Wei Hoong       Hari ini, 1:54 pm
Wakil rakyat DAP mempersoalkan mengapa 'Datuk Seri' yang didakwa memukul anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) tidak perlu memakai pakaian tahanan lokap ketika dibawa ke mahkamah untuk perintah lanjutan reman, baru-baru ini.

Mereka merujuk Liow Soon Hee, 29, ahli perniagaan yang menjadi perhatian awal bulan ini dan kini didakwa atas tuduhan menyerang anggota tiga anggota RELA dan kesalahan berkaitan dadah.

Dia sebelum ini direman empat hari bagi membantu siasatan.

Anggota Dewan Undangan Negeri Kampung Tunku Lau Weng San menggesa Ketua Polis Negara (IGP) Tan Sri Mohamad Fuzi Harun memberi penjelasan berhubung "layanan istimewa" itu.

"Mengapa kita perlu beri layanan istimewa kepada Liow dengan (membenarkannya) memakai seragam syarikatnya? Bukankah itu memberi publisiti kepadanya?" katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP Selangor, hari ini.

Ahli politik dan pakaian lokap

Lau berkata anggota polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sentiasa memastikan tahanan memakai seragam lokap berwarna jingga atau ungu ketika dibawa ke mahkamah untuk perintah lanjutan reman.
Sebagai bukti, beliau menunjukkan gambar Exco kerajaan Pulau Pinang Phee Boon Poh, bekas Exco kerajaan Johor Datuk Abdul Latif Bandi dan ADUN Perak Tan Kar Hing dan Chang Lih Kang.

Phee ditahan reman bagi dakwaan salah guna kuasa berkaitan kilang penapis karbon yang beroperasi secara haram, manakala Abdul Latif direman dan dihadapkan 33 tuduhan rasuah hartanah.

Kedua-duanya memakai pakaian lokap SPRM berwarna jingga ketika dibawa ke mahkamah.

Tan dan Chang pula memakai pakaian lokap ungu PDRM bagi kes himpunan 'Tangkap MO1 (Malaysian Official 1)' tahun lalu.

Lau berkata beliau akan menghantar surat kepada kepimpinan polis untuk mengaturkan pertemuan bagi mendapatkan penjelasan.

'Pakaian sendiri'

Anggota Parlimen Segambut Lim Lip Eng pula berkata, tahanan sepatutnya tidak perlu memakai pakaian lokap kerana mereka masih belum dibuktikan bersalah.

"Mereka ditahan, bukannya didakwa. Tetapi mereka memakai seragam lokap ketika dibawa ke mahkmaha...Mereka sepatutnya bebas memakai pakaian sendiri. Ini adalah prinsip 'tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya'.

"Mereka diaibkan walaupun belum dijatuhkan hukuman bersalah. Keluarga dan anak mereka turut berhadapan aib yang sama," katanya yang juga seorang peguam.

Bekas IGP Tan Sri Khalid Abu Bakar pernah dilaporkan berkata, pemakaian seragam ungu bagi tahanan polis adalah amalan biasa untuk membezakan mereka dengan orang awam.

Namun ia disangkal anggota parlimen Padang Serai N Surendran yang berkata polis telah melanggar prosedur operasi piawai (SOP) mereka sendiri dengan berbuat demikian.

Surendran berkata amalan itu mencetuskan prejudis terhadap suspek.

Bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah sebelum ini juga menyifatkan tindakan memaksa individu memakai baju lokap dan digari ketika ke mahkamah melanggar hak kebebasan asasi yang dilindungi perlembagaan.

Friday, November 17, 2017

Bukti buruknya amalan siasatan terpilih SPRM

1MDB bukti buruknya amalan siasatan terpilih SPRM
MALAYSIADATELINE  -  November 17, 2017 6:07 pm
Tony Pua

Tindakan kerajaan melayan skandal 1MDB seolah-olah ia bahan jenaka menunjukkan betapa buruknya amalan siasatan terpilih di negara ini, selar ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.

Mengulas kenyataan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Wira Razali Ibrahim yang mahu semua pihak bersabar menunggu hasil siasatan skandal 1MDB, Tony berkata laporan polis pertama terhadap 1MDB dibuat pada 2014 namun hanya pada Jun 2015 Menteri Dalam Negeri memaklumkan kertas siasatan telah dirujuk kepada Peguam Negara pada Mac tahun yang sama.

“Ini bermakna sudah lebih dua tahun berlalu, kertas siasatan itu masih berpindah tangan antara Peguam Negara dan polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau membuat perbandingan siasatan SPRM ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang dilakukan dalam tempoh dua bulan.

Tony justeru mempersoalkan mengapa tahap kecekapan yang ditunjukkan pihak berkuasa dalam menyiasat pemimpin pembangkang tidak berlaku dalam skandal 1MDB.

“Dengan kehilangan berbilion ringgit dana awam negara yang dipercayai digunakan bagi menampung gaya hidup sesetengah pihak, perlu untuk kami bertanya siapa sebenarnya yang kerajaan pertahankan… rakyat atau penyangak yang berada di tampuk kuasa?” soal beliau.

Razali ketika ditanya pemberita berhubung perkembangan siasatan skandal 1MDB dipetik sebagai berkata, “Orang Cina kata ‘man man lah man-man’ (perlahan-lahan lah, perlahan-lahan)… Jadi kita tunggu perkara yang sedang disiasat oleh pihak berkaitan, insya Allah kebenaran itu akan terbukti”

Thursday, November 16, 2017

Kes rasuah: Speaker Parlimen Indonesia songlap RM723 juta diburu

Speaker Parlimen Indonesia diburu kes rasuah terus bersembunyi
TMI · Diterbitkan pada 16 Nov 2017 8:27PM
Waran tangkap terhadap Speaker Parlimen Indonesia, Setya Novanto berhubung dakwaan penyelewengan dana pemerintah berjumlah sehingga RM723 juta. – Gambar AFP, 16 November, 2017.

SPEAKER Parlimen Indonesia, Setya Novanto, yang "hilang" selepas hendak ditangkap oleh agensi anti rasuah republik itu malam tadi, sehingga kini masih menyembunyikan diri dan gagal dikesan, hampir 24 jam setelah operasi menangkap dia di rumahnya di Jakarta Selatan tidak berhasil, lapor media di negara itu.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Indonesia (KPK) memberi amaran jangan ada mana-mana pihak melindungi ketua umum Parti Golkar itu daripada tindakan undang-undang, lapor The Jakarta Post.

"Mereka yang melindungi atau menyorok (Setya) boleh dihukum penjara tiga hingga 12 tahun, mengikut undang-undang rasuah," kata jurucakap KPK, Febri Diansyah, seperti dipetik laman web akhbar itu.

Agensi anti rasuah itu awal hari ini memberi tempoh kepada speaker Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) berkenaan untuk menyerah diri dengan segera, dan sekiranya gagal berbuat demikian, namanya akan disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki.


Sementara itu, badan masyarakat aktivis anti rasuah mula menyebarkan poster orang buruan dengan tulisan: "Dicari Ketua DPR Setya Novanto" dan maklumat KPK untuk dihubungi.

Setya minggu lalu dinamakan untuk kali kedua sebagai suspek kes penyelewengan projek kad pengenalan elektronik (e-KTP), dua minggu selepas membatalkan pertuduhan pertama melalui perintah mahkamah pada akhir September lalu.

KPK pertama kali menamakan speaker itu sebagai suspek pada 17 Julai lepas, dengan dakwaan jadi dalang utama penyelewengan dana projek tersebut sehingga menyebabkan kerugian kira-kira RM723 juta. Dia menafikan semua tuduhan.

KPK setakat ini percaya Setya masih berada di Indonesia kerana tiada rekod imigresen dia sudah meninggalkan negara, malah dia sudah dikenakan sekatan perjalanan selama enam bulan sejak 2 Oktober lepas.

Wednesday, November 15, 2017

Felda: “Apa yang penting ialah kita terbuka untuk disiasat,” - Shahrir

Akan ada kes lain melibatkan Felda disiasat SPRM, kata Shahrir 
Amin Iskandar, Asila Jalil · Diterbitkan pada 14 Nov 2017 6:34PM ·
Pengerusi Felda Shahrir Samad ketika bercakap pada sesi Dialog TN50X: Pemimpin Generasi Baharu Felda di Menara Felda di Kuala Lumpur hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 14 November, 2017

TERDAPAT kes-kes lain melibatkan Felda akan disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata pengerusinya, Shahrir Abdul Samad.

Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, pada ketika ini, SPRM masih lagi menyiasat pembelian hotel di Kuching dan hartanah di Kensington di United Kingdom oleh Felda Investment Corporation (FIC).

“Bukan ini sahaja, saya tak fikir ia akan berhenti dengan FIC dan Kensington. Akan ada kes lagi.

“Apa yang penting ialah kita terbuka untuk disiasat,” katanya pada sidang media selepas Dialog TN50X: Pemimpin Generasi Baharu Felda di Menara Felda di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Shahrir berkata, setahunya, FIC merupakan anak syarikat milik Felda secara seratus peratus.

“Siasatan diteruskan berkenaan dengan pembelian hotel di Kuching, tindakan sudah diambil, terdapat reman tetapi saya tidak tahu sudah di peringkat mana.

“Saya sudah tak faham dengan undang-undang pada masa kini,” katanya.

Hotel yang dimaksudkan ialah Hotel Grand Borneo, yang merupakan sebahagian daripada 1Borneo Hypermall, di Kota Kinabalu. 

FIC dilaporkan membayar RM86.4 juta bagi pembeliannya pada 2012. 

Park City Grand Plaza yang dilaporkan dibeli dengan harga RM330 juta, didakwa melebihi RM220 juta daripada nilai sebenarnya iaitu RM110 juta, sementara Merdeka Palace, hotel lima bintang dengan 213 bilik, didakwa dibeli RM50 juta lebih mahal berbanding nilai pasaran.

Ramai individu dipanggil SPRM untuk disoal siasat mengenai pembelian dan serbbuan turut dijalankan di pelbagai lokasi termasuk pejabat bekas pengerusi Felda, Mohd Isa Samad di Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Selain itu SPRM turut membuka kertas siasatan terhadap FIC berhubung pembelian sebuah hotel bertaraf empat bintang yang terletak di kawasan mewah di Kensington dibuat antara 2003 dan 2015. 

Pembelian itu merupakan hartanah pertama FIC di London dan merupakan yang kedua bagi Felda.

Ia dibuat melalui Ketua Pegawai Eksekutif FIC Mohd Zaid Abdul Jalil dan ketika Isa menjadi pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH).

Pada Mac 2015 SPRM mempersoalkan tentang anak lelaki Isa yang tidak dinamakan berhubung pembelian Kensington, lapor Malaysiakini yang merujuk kepada sumber terdekat siasatan itu. 

Kemudiannya dalam bulan yang sama, Paul Low, menteri yang bertanggungjawab atas integriti dan ketelusan berkata SPRM tidak menemui sebarang salah laku berhubung pembelian itu.

Pada Januari tahun ini, Shahrir mengarahkan semua ahli lembaga pengarah FIC meletakkan jawatan bagi memudahkan penstrukturan semula syarikat.

Isa meletakkan jawatan daripada FGVH pada 19 Jun selepas perselisihan dengan Zakaria Arshad berhubung persoalan mengenai tawaran bernilai ratusan juta.

Isa kemudianya dilantik sebagai pemangku pengerusi SPAD.

FIC sebelum ini dikenali sebagai Capital Protocol Sdn Bhd sebelum dikorporatkan oleh Felda pada Julai 2013. – 14 November, 2017.

Monday, November 13, 2017

Rasuah: Berbaloikah.....makan tak seberapa, dahlah tua hilang pencen pulak?

Sarjan polis dipenjara 20 bulan, denda RM20,000 terima rasuah
November 12, 2017 22:07 MYT
Sarjan polis dipenjara 20 bulan, denda RM20,000 terima rasuah
Azahar dituduh secara rasuah bersetuju menerima RM200 daripada Sulaiman sebagai upah membantu mengurangkan hukuman ke atas Sulaiman pada 6.50 petang, 13 Jan 2015, di sebuah restoran nasi kandar di Kulim. - Gambar hiasan
ALOR SETAR: Seorang sarjan polis dihukum penjara 20 bulan dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan menerima suapan RM200 pada 2015.

Hakim Zanol Rashid Hussain menjatuhkan hukuman itu kepada Azahar Abdul Aziz, 53, yang bertugas sebagai Sarjan Detektif di Cawangan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mahkamah turut memerintahkan Azahar menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini, namun membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan hukuman tersebut sementara menunggu proses rayuan.
Untuk pertuduhan kedua, Azahar dituduh secara rasuah bersetuju menerima RM200 daripada Sulaiman iaitu sebagai upah bagi membantu mengurangkan hukuman ke atas Sulaiman pada 6.50 petang, tarikh yang sama di sebuah restoran nasi kandar di Kulim.

Dia didakwa menurut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM A. Hafiizh Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam Ang Chun Pun.   - sumber

Thursday, November 9, 2017

‘godfather’ lindungi sindiket nelayan asing

Raja Bahrin dakwa ‘godfather’ lindungi sindiket nelayan asing

  | November 9, 2017
Pengerusi Amanah Terengganu itu percaya 'pihak atasan' terbabit dalam sindiket itu masih bebas dan mereka yang ditahan sekadar 'ikan bilis'.
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Bahrin Shah mendakwa ada “godfather” yang melindungi dan membawa masuk nelayan asing ke negara ini.
Pengerusi Amanah Terengganu itu percaya “pihak atasan” terbabit dalam sindiket itu masih bebas dan mereka yang ditahan sekadar “ikan bilis”.
“Sindiket sebegini sudah lama berakar umbi di Malaysia dan mempunyai ‘godfather’ yang berpengaruh serta berkedudukan tinggi,” katanya pada sidang media di luar Dewan Rakyat hari ini.
Beliau mengulas laporan 10 anggota Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Sabah, Sarawak, Pahang dan Terengganu kerana disyaki terbabit dalam sindiket membawa masuk nelayan asing.
Seorang wanita Vietnam bergelar “Datuk” turut ditahan dengan wang tunai RM1.9 juta dirampas dan 44 akaun bank berjumlah RM2 juta dibekukan.
Mengulas lanjut, Raja Bahrin bagaimanapun tidak percaya individu yang ditahan sebelum ini mampu mengetuai sindiket berkenaan secara bersendirian tanpa bantuan “pihak atasan”. 
“Ini disebabkan mereka (nelayan asing) mampu menawarkan rasuah setinggi RM100,000 kepada penguatkuasa maritim adalah bukti orang atas yang kaya membiayai sindiket ini.
“Juga, bagaimana seorang wanita warga Vietnam bergelar Datuk ini boleh dapat gelaran? Ini menunjukkan dia mempunyai pengaruh di peringkat tertinggi.
“Bagaimana nelayan haram dari Vietnam ini boleh mengetahui dan mengelak tangkapan sebaik sahaja nelayan tempatan membuat aduan. Ini menunjukkan kebocoran maklumat,” katanya.
Bulan lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, negara mengalami kehilangan hasil laut sebanyak 980,000 tan metrik bernilai RM3 bilion hingga RM6 bilion setahun akibat pencerobohan nelayan asing.
Beliau berkata, dianggarkan 50% ikan yang ditangkap di perairan negara didaratkan di Malaysia dan selebihnya yang tidak dilaporkan bermakna berlaku pencerobohan nelayan asing mencuri hasil laut negara.

Tuesday, November 7, 2017

SPRM jangan tutup sebelah mata kes 1MDB

Tony Pua beritahu SPRM jangan tutup sebelah mata kes 1MDB
Melati A. Jalil · Diterbitkan pada 7 Nov 2017 1:23PM
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata SPRM 'pengecut' kerana menutup sebelah mata dan membiarkan agensi lain menyiasat skandal itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 November, 2017.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah (SPRM) sepatutnya menyiasat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan bukan membiarkan ia dilakukan agensi penguatkuasaan lain, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua.

Ketua publisiti DAP itu juga berkata SPRM 'pengecut' kerana menutup sebelah mata dan membiarkan agensi lain menyiasat skandal itu.

"'Suruhajaya bebas' jenis apa yang membiarkan siasatan, terutamanya skandal berskala sedemikian kepada agensi lain?

"Mengapa SPRM dan Dzulkifli Ahmad takut sangat nak menyiasat skandal rasuah terbesar negara yang dilakukan secara terang-terangan?" katanya pada sidang akhbar di Parlimen hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Paul Low dalam jawapan bertulis di Parlimen berkata SPRM tidak menyiasat 1MDB kerana pihak berkuasa lain sudah melakukannya.

Kaitan'Jawapan memalukan, baik tak payah ada SPRM'

Dalam jawapan bertulisnya bertarikh 1 November bagi menjawab pertanyaan Pua, beliau berkata pihak berkuasa lain seperti Bank Negara, polis dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) telah memulakan siasatan terhadap 1MDB. – 7 November, 2017.

*Baca juga: ‘Bencana’ menanti jika Arul Kanda ke Khazanah, kata Tony Pua

Shafie disiasat SPRM lagi

SHAFIE DISIASAT SPRM LAGI PADA ISNIN, SELASA GILIRAN PETER ANTHONY PULA
November 6, 2017
Oleh PEMBERITA BORNEOTODAY
Shafie Apdal tiba di pejabat SPRM pagi Isnin diiringi oleh peguamnya

KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Sabah, Shafie Apdal disiasat lagi pada hari Isnin, kali ini berkaitan kontrak penyelenggaraan sebuah universiti di Sabah.

Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah pada jam 10.15 pagi dan keluar lebih tiga jam kemudian.

Apabila ditemui di rumahnya pada tengahari, Shafie enggan mengulas apa yang berlaku di pejabat SPRM dan cuma memberitahu beliau akan membantu dalam siasatan itu.

Pada sebelah petang pula, BorneoToday diberitahu bahawa Peter Anthony, naib presiden Warisan Sabah juga dipanggil oleh SPRM bagi membantu siasatan.

Difahamkan, kes ini terlibat dengan kontrak penyelenggaraan di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
PETER ANTHONY

Peter, yang juga presiden KDM Malaysia, pernah disiasat berkaitan kes ini beberapa tahun lalu.

Bulan lepas, dia dilepaskan atas jaminan SPRM berjumlah RM50,000 dengan dua jaminan tempatan, berhubung kes dakwaan penyelewengan dana untuk projek luar bandar di Sabah setelah direman lapan hari.

Mengenai dengan panggilan SPRM yang terbaru terhadap Ahli Parlimen Semporna itu, Setiausaha Warisan, Loretto J Padua menjelaskan Shafie dipanggil berhubung satu kes lama.

“Ia cuma kes kecil berhubung bil lama yang disiasat SPRM,” kata Padua, yang juga salah seorang peguam Shafie.

Difahamkan, ia berkaitan tandatangan Shafie bagi menyokong permohonan sebuah syarikat untuk mendapatkan kontrak yang dikatakan bernilai RM43 juta ketika beliau memegang jawatan menteri.

Shafie sebelum ini direman lapan hari berhubung siasatan penyelewengan dana awam bernilai RM1.5 bilion di Sabah yang dilaporkan berlaku dari tahun 2009 hingga 2015.

Beliau bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM100,000 termasuk RM80,000 deposit.

Bercakap dengan BorneoToday sebelum beliau berlepas ke Kuala Lumpur untuk menghadiri siding Dewan Rakyat, Shafie berkata dia tiada masalah membantu dalam siasatan SPRM.

“Mereka panggil saya minggu lepas, tetapi saya minta tukar kepada hari ini kerana ada temujanji dengan doktor, dan SPRM bersetuju,” kata Shafie.

Beliau enggan mengulas lanjut bila ditanya samada SPRM akan memanggil dia lagi.

Dalam perkembangan lain, difahamkan beberapa pemimpin Warisan Sabah telah dipanggil oleh pihak polis untuk memberi kenyataan di balai polis Karamunsing.

Apabila dihubungi, Junz Wong, salah satu naib presiden Warisan Sabah berkata ia mungkin berkenaan dengan ‘perhimpunan’ di luar perkarangan Makhamah Kota Kinabalu bulan lepas.

Sunday, November 5, 2017

MO1 tak gelabah, Claire yang gelabah?

MO1 gelabah dengan pendedahan Claire
ARIF ATAN  -  November 5, 2017 9:49 am 
Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Hanipa Maidin berpendapat ‘Malaysian Official 1’ (MO1) tidak tentu arah atau gelabah dengan pendedahan editor Sarawak Report, Claire Rewcastle Brown.

Menurutnya, reaksi gelabah MO1 itu ekoran kenyataan pembelaan Claire terhadap saman dikemukakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada April lalu.

“Teknik atau taktik orang yang gelabah kerana tanggung masalah atau beban ada pelbagai macam dan bentuk.

“Antara tekniknya adalah orang yang gelabah itu pula yang tuduh orang yang bikin dia gelabah itu sebenarnya yang telah gelabah.

“Inilah teknik MO1. Dia gelabah dengan pendedahan Claire dalam pernyataan pembelaan Claire ke atas saman Presiden parti suci di London sebab nama dia juga terpalit.
Mohamed Hanipa Maidin

“Jadi nak buat macam mana? Dia kata Claire yang sebenarnya gelabah!” dipetik daripada kenyataannya di Facebook.

Untuk rekod, Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat dalam tuntutan mahkamah ekoran skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengaitkan MO1 dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dokumen itu pada muka surat 13, perenggan 39 contohnya menyebut, “Setelah ditubuhkan, MO1 iaitu Najib mengambil alih kedudukan kuasa dalam 1MDB. MO1 (Najib) mempunyai kuasa untuk meluluskan semua pelantikan, dan penyingkiran, lembaga pengarah 1MDB pengarah dan pengurusan kanan 1MDB.”

Bahkan, menteri Umno di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan sebelum ini turut mengakui MO1 yang disebut dalam tuntutan mahkamah oleh DOJ Amerika itu adalah Najib Razak.

Sehubungan itu, Hanipa yang juga Pengerusi Biro Undang-Undang (KANUN) AMANAH menyifatkan majoriti rakyat Malaysia masih siuman untuk menolak dakwaan kononnya Claire gelabah.

Beliau menganggap cuma individu tidak waras yang menganggap MO1 dan pihak Pas yang mendakwa kononnya mereka mengamalkan politik matang dan sejahtera tidak gelabah.

“Teknik sebegitu hanya mungkin berjaya jika 95 peratus rakyat negara ini bukan berfikiran waras. Hanya orang tak siuman sahaja, bagi sayalah, yang percaya yang sebenarnya gelabah adalah Claire dan bukannya MO1 atau yang sejahtera dan matang dengannya,” kata beliau.

Saturday, November 4, 2017

Johor: Penjawat awam kanan ditahan SPRM

SPRM tahan penjawat awam kanan di Johor
TMI · Diterbitkan pada 4 Nov 2017 10:07AM

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan timbalan pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) (Operasi) Johor kerana disyaki bersubahat dalam meminta serta menerima wang rasuah daripada seorang pengurus projek syarikat kejuruteraan petroleum.

SPRM dalam kenyataan berkata suspek yang berumur 47 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Johor kira-kira 11.00 malam tadi bagi membantu siasatan.

Susulan penangkapan itu pasukan penyiasat telah menyerbu tiga lokasi berlainan di Johor Baru dan menjumpai wang tunai berjumlah  RM40,400 dan Singapura Dollar 1,613 serta merampas beberapa dokumen berkaitan projek berkenaan.

Menurut kenyataan itu, berdasarkan siasatan suspek disyaki menerima wang rasuah berjumlah RM 8,000 daripada pengurus projek tersebut melalui seorang pegawai JKKP yang ditahan sebelum ini sebagai dorongan untuk tidak diambil tindakan terhadap syarikat itu yang memasang Mesin Angkat (Grip Hoist) tanpa mendapat kebenaran daripada JKKP.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a)Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman denda lima kali nilai rasuah atau RM 10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Pengarah SPRM Johor Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata suspek telah dihadapkan ke mahkamah pagi ini untuk permohonan reman.

Pada 31 Oktober lalu, seorang penolong pengarah JKKP Johor ditahan pada 2.40 petang di sebuah hotel di Johor Bahru kerana disyaki terlibat dalam kes meminta dan menerima wang rasuah berjumlah RM30,000 daripada pengurus projek itu. – Bernama, 4 November, 2017.

Thursday, October 26, 2017

Rasuah: Bekas kakitangan di pejabat MB Selangor ditahan

SPRM tahan bekas kakitangan di pejabat MB Selangor disyaki rasuah
BERNAMA  -  October 26, 2017 6:44 am 
Seorang bekas kakitangan pejabat Menteri Besar Selangor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai terlibat dalam perbuatan rasuah dan salah guna kuasa dalam pemberian projek membekal cenderahati ke pejabat Menteri Besar Selangor pada 2016.

Menurut sumber SPRM, suspek berusia 38 tahun yang merupakan bekas pembantu tadbir di pejabat berkenaan ditahan kira-kira pukul 12.30 tengaharisemalam di pejabatnya.

Turut ditahan seorang pemilik syarikat pembekalan cenderahati berusia 59 tahun dan isterinya yang berusia 52 tahun, kira-kira pukul 3.30 petang semalam.

Sumber itu berkata, bekas kakitangan pejabat Menteri Besar terbabit disyaki telah menerima wang rasuah sebanyak RM16,566 daripada pemilik syarikat pembekalan cenderahati itu tahun lalu, sebagai balasan mengesyorkan syarikat tersebut sebagai pembekal cenderahati kepada pejabat berkenaan.

Isteri pemilik syarikat pembekalan cenderahati itu pula ditahan kerana dipercayai bersekongkol dengan kedua-dua suspek, katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Wan Ramli Wan Abdullah ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata kesemua suspek akan direman di Mahkamah Majistret hari 

Tuesday, October 24, 2017

Felda akan saman Rafizi?

Felda bincang tindakan saman terhadap Rafizi esok
mk   -  Hari ini, 6:33 pm
Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) akan mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berhubung dakwaan bahawa firma itu menubuhkan sebuah anak syarikat baru bagi tujuan pembelian hotel di London, semalam.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata dakwaan yang dibuat Rafizi itu jelas satu fitnah.

"Esok FIC akan mengadakan mesyuarat lembaga pengarah yang secara kebetulan akan turut sama membincangkan perkara itu tetapi bukan semata-mata kerana pendedahan oleh Rafizi," kata Shahril dalam sesi penjelasan kepada pihak media di Parlimen hari ini.

Shahril terdahulu diminta mengulas apakah tindakan FIC berhubung dakwaan terbaru Rafizi itu.

Semalam Rafizi yang juga anggota parlimen Pandan mendakwa bahawa anak syarikat FIC itu hanya didaftarkan pada 13 Oktober iaitu pada hari sama beliau membuat pendedahan mengenai firma itu tidak memiliki hotel di London.

Namun, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim mempertikaikan dakwaan itu.

Sebaliknya Razali berkata ia adalah salinan dokumen pendaftaran syarikat yang disahkan sebagai salinan sebenar pada 13 Oktober.

Rafizi pada pada tarikh berkenaan mendakwa Hotel Grand Plaza Kensington dimiliki syarikat yang didaftarkan di British Virgin Islands (BVI) yang dinamakan FIC London Hotel (Private) Limited. (Nota editor: Dibaca sebagai "BVI FLH" untuk kejelasan.)

Rafizi mendakwa bahawa BVI FLH tidak dimiliki oleh FIC atau Felda.

FIC, bersama Shahrir dan Razali menafikan perkara itu pada sidang akhbar Ahad lalu, dengan mengatakan bahawa ia memiliki FLH.

Razali dalam sesi penjelasan itu berkata, Rafizi sudah begitu “obses”.

"Dia daripada dulu pun banyak perkara yang dibina sebuah andaian yang dia percaya bahawa ia adalah benar.

"Kita ambil contoh Tabung Haji dia bina satu cerita ada pendeposit bawa keluar duit, NFC sampai ke mahkamah dia putuskan bahawa apa yang dicerita itu tidak betul dan Felda termasuk 1MDB dibina satu cerita disebabkan maklumat yang diperolehi sebab dia obses, sebab mungkin dia rasa dia yang terbaik dalam percukaian di negara ini.

"Dia tahu tentang perakauan maka dia bina satu cerita sebagai satu perkara yang dia percaya benar," kata Razali.

Menurutnya, sikap Rafizi yang seringkali membina andaian terhadap apa yang dipercayai beliau menimbulkan kerisauan kepada pihak yang percaya dengan apa yang dinyatakannya.

"Saya rasa kecewa sebab semalam ramai yang tengok dia punya FB live tapi sebenarnya dia cakap sorang-sorang tapi semua orang dengar.

“Saya tak risau tentang saya dan apa yang kami buat cuma saya risau orang yang mendengar itu yang sampai hari ini percaya cakap-cakap dia yang tak betul, orang yang dengar semalam pun sampai hari ini marah pada saya dan Shahril, hina kami.

"Saya tak marah tapi kepercayaan dia terhadap apa yang dibuat Rafizi itu yangsaya risau akan ramai rakyat kita yang akan terus percaya dan kalau tak dibetulkan sampai mati dia akan menghukum orang yang salah," katanya.

Monday, October 23, 2017

Tempoh reman Shafie dilanjutkan

Tempoh reman Shafie Apdal dilanjut empat hari 
Jason Santos, Radzi Razak · Diterbitkan pada 23 Oct 2017 3:40PM
Presiden Parti Warisan Sabah Shafie Apdal diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu untuk memohon lanjutan tempoh reman. – Gambar The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2017.

TEMPOH reman terhadap presiden Parti Warisan Sabah Shafie Apdal dilanjutkan lagi empat hari untuk membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan membabitkan dana persekutuan yang disalurkan ke Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah ketika beliau menjadi menterinya.

Mahkamah Majistret Kota Kinabalu membenarkan lanjutan tempoh reman yang dimohon oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang kini sedang menyiasat dakwaan penyelewengan dana yang diperuntukkan untuk pembangunan kawasan luar bandar Sabah. 

Peguamnya Martin Tommy berkata beliau terkejut dengan keputusan mahkamah kerana Shafie memberikan kerjasama yang baik dengan SPRM sepanjang empat hari ditahan. 

"Kita tidak jangkakan akan mendapat lanjutan tempoh reman kerana beliau (Shafie) sudah melengkapkan semua kenyataannya (kepada SPRM), menyerahkan dokumen dan perkara berkaitan. Beliau memberikan kerjasama penuh kepada SPRM.

"Beliau dijangka untuk hadir ke Parlimen dan ia penting berikutan pembentangan Bajet. Saya rasa beliau tidak dapat menghadirinya," katanya kepada pemberita. 

Shafie sebelum ini direman empat hari pada Jumaat bagi membantu siasatan SPRM berhubung kes penyelewengan membabitkan dana persekutuan berjumlah RM1.5 bilion yang diperuntukkan kepada projek pembangunan luar bandar Sabah.

Tempoh reman itu berakhir hari ini dan mahkamah membenarkan lanjutan tempoh reman selepas dimohon SPRM. 

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu turut menolak permohonan Shafie Apdal untuk menyemak dan membatalkan perintah tahanan reman ke atasnya oleh SPRM awal hari ini. – 23 Oktober, 2017.