Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Friday, September 26, 2008

Suara Azan Di Gunung Ayam

Kami tiba di Puncak Gunung Ayam sekitar jam 6.00 petang. Kami berkhemah dan masak sementara menunggu hari malam. Di sebelah malamnya selepas isyak saya mengambil masa peserta untuk sesi penerangan tentang "penjagaan alam sekitar/conservation dan keselamatan di hutan". Peserta kali terdiri daripada pelajar-pelajar sebuah sekolah elit di Kota Bharu. Sekitar jam 12 malam sebelum tidur saya berpesan supaya semua kena bangun sembahyang subuh walau cuaca amat sejuk.

Pagi esoknya bila masuk waktu subuh saya terdengar suara azan yang sungguh merdu. Saya cuba mencari arah suara berkenaan tetapi gagal mengesannya. Mungkin di situ ada terdapat perkampungan Bunian Islam. Nak katakan manusia, jaraknya terlalu jauh dari kampung. Memang tidak ada perkampungan manusia biasa. Saya solat dan ada juga yang ponteng.

Paginya selepas sarapan pagi ala kadar, bersiap dan memulakan perjalan turun. Saya minta teman saya arwah Cikgu Azizi mengepalai peserta turun dan saya akan ekori dari belakang. Cikgu Azizi gagal mengesan jalan turun dan dia panggil saya. Yang peliknya saya sendiri pun keliru. Tidak tahu mana satu denai untuk turun. Ikut satu denai, salah. Patah balik. Ikut denai lain pula salah juga dan patah balik lagi. Di akhirnya saya arahkan semua berhenti dan rehat. Saya naik semula ke puncak berseorangan.

Setiba di puncak saya termenung dengan bertenggek di atas satu batu besar sambil berfikir dan mencari-cari arah turun. Tiba-tiba saya terfikir yang pagi tadi ada yang ponteng sembahyang subuh. Mungkin makhluk baik di sini marah. Saya baca surah alfatihah sambil mohon pertolongan dari sesiapa yang boleh tolong. Sedang asyik saya termangu, saya terdengar satu suara yang lembut"Kau pergilah ke kiri sikit. Ini tidak asyik termenung" Saya pun beredar ke arah kiri saya. Saya berjalan tak sampai pun 20 meter, saya sudah menemui jalan untuk turun. Saya pasti. Saya pergi dapatkan group dan arah naik semula untuk mengikuti denai yang jumpa tadi. Kami pun turun. Saya sendiri pula mengepalai peserta turun.

Lebih kurang 3 jam berjalan, tiba-tiba seekor harimau belang melompat dari semak sebelah kanan saya dan menyorok di sebalik satu batang balak tumbang di kiri saya dalam jarak tidak sampai 5 meter di hadapan saya. Saya berhenti dan saya tahu harimau itu masih di situ. Peserta lain di belakang saya dalam jarak 10 meter, mereka tidak nampak apa yang saya nampak. Ada juga baiknya, kalau tidak kacau saya nanti bila dia orang terkejut dan sudah pasti takut dan lari bertempiaran tanpa kawalan.

Saya serba salah, macam mana nak buat ni. Akhirnya saya nekad tidak akan berganjak dan saya bersuara"Hai rimau, kamu diamlah di situ dulu. Biarkan budak-budak ni jalan. Lepas tu bolehlah kamu beredar" Saya dapati harimau itu memang terdiam di situ. Saya juga berdiri tunggu di situ sehinggalah semua peserta lepas. Tapi bau hapaknya dapat juga dikesan oleh peserta dan mereka sibuk menaya siapa yang bawa belacan. Saya tidak layan dan suruh beredar cepat. Saya arahkan supaya menuggu saya di seberang sebatang sungai kecil di lurah bukit itu.

Setelah semua peserta dan pengiring lepas dari tempat itu, saya pun berkata kat harimau " Kau boleh pergi sekarang, semua orang sudah lepas". Dan seperti mendengar arahan, harimau itu melompat ke semak di sebelah kiri dan menghilang. Saya terfikir adakah betul kata orang tua-tua yang harimau dan gajah faham cakap kita. Wallahu aklam.

Bila harimau itu beredar saya pun turun mendapatkan peserta yang lain dan berehat. Semasa berehat di anak sungai itulah saya terjumpa Cendawan Susu Harimau. Saya ambil dan bahagikan secebis seorang kepada semua pembantu saya. Sepanjang pengalaman saya mendaki dan meredah rimba tidak pernah pun saya menemui Cendawan Susu Harimau. Selapas rehat dan minum kami turun ke Stong Resort.

Di ekspedisi kali ini 4 perkara aneh berlaku :

1. Dengar suara azan subuh (siapa yang azan)
2. Suara yang menunjuk arah (suara siapa)
3. Harimau yang mendengar kata (betul ke itu memang harimau)
4. Menemui Cendawan Susu Harimau (kebetulan atau hadiah)

Tidak siapa yang tahu termasuklah saya. Hanya Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui.

Tuesday, September 23, 2008

Orang Tua Di Gunung Stong

Aku telah bosan. Bosan dan sudah naik menyampah dengan orang-orang politik. Gawat, kecuh tidak kian sudah. Entah bila akan berakhir agaknya. Entah bila pula banduan-banduan di penjara dunia politik akan bebas. Bebas untuk memikir dan bekerja untuk kepentingan rakyat dan negara. Sedar tidak sedar mereka merengkuk di dalam penjara buatan sendiri dan mereka yang melontarkan diri mereka kedalamnya! "Penjara Dunia Politik". Mereka bergaduh sesama sendiri, mereka bertekak sesama mereka. Mereka balun membalun sesama meraka. Mereka tuduh menuduh sesama mereka. Agaknya bila runtuh bumi yang tercinta ini, barulah mereka menengadah ke langit dan menyesali tindak tanduk mereka.

Sedarkah mereka yang rakyat memilih mereka. Rakyat mengundi mereka untuk kepentingan rakyat dan negara. Kita memilih mereka untuk membela nasib kita. Kemakmuran tanah air kita. Membela kedaulatan Negara kita. Tetapi tidak, mereka tidak habis-habis berjuang untuk kuasa dan periuk nasi mereka. Bertelagah mempertahankan orang-orang mereka.

Dan sekiranya mereka berperang sesama sendiri tidak kunjung tamat, maka bilakah masanya untuk mereka memikirkan kita, memikirkan pentadbiaran negara kita, memikirkan untuk memakmurkan negara kita? Bukankah itu pecah amanah namanya? Tidak bertanggung jawab maknanya?

Aku sudah pekak mendegar hujah mereka, aku sudah tidak ingat lagi janji mereka, aku sudah muak menonton lakonan mereka. Aku sudah jijik mendengar pandangan mereka. Sedar tidak sedar mereka sedang memperbodohkan diri mereka sendiri. Alangkah baiknya sekiranya pihak Pembangkang bekerjasama dengan parti Pemerintah berfikir dan bekerja kearah kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat? Entahlah, lantak kamu lah Labi......

Kita tinggalkan mereka sekarang. Jom kita pergi ke gunung bersama aku. Kali ini aku nak bercerita tentang pertemuanku dengan seorang orang tua di Gunung Stong, Kelantan.

Suatu hari beberapa tahun yang lalu, kami bertiga berkhemah di Jeawang Jungle yang terletak di permulaan Air Terjun Gunung Stong yang jarak perjalanan treking dari Kg. Jelawang mendaki Gunung Stong lebih kurang 2 ke 3 jam. Dari Jelawang Jungle ke Puncak Gunung Stong pula lebih kurang 2 ke 3 jam pula. Bersama saya ialah Tuan Saharizam dan Mohd. Shah. Setalah satu malam di sini, petang esoknya kami mendaki ke puncak Stong.

Kami mendaki tanpa membawa apa-apa bekalan dan lampu suluh juga tertinggal. Kami melalui trek balak tinggal, merentasi Sungai Rantai dan melewati Gua Stong untuk ke puncak, treknya memang mencanak hanya sedikit saja terdapat tempat-tempat yang landai. Setibanya di satu permatang lebih kurang 40 minit dari puncak saya terasa amat mengantuk. Saya minta dua orang lagi rakan saya meneruskan perjalanan ke puncak sementara saya nak tidur. Saya minta bila mereka turun nanti kejutkan saya. Mereka meneruskan perjalanan ke puncak dan saya sandarkan badan ke satu banir pokok dan lena.

Saya terjaga, dan hari sudah gelap, hampir maghrib tetapi saya tidak dikejutkan oleh dua rakan tadi. Saya sangka mereka sengaja tinggalkan saya untuk melawaklah konon. Bergurau! Memang gurau geng-geng gunung ni gila-gila. Oleh kerana hari sudah gelap tanpa lampu dan sangkaan saya dua kawan tadi sudah tinggalkan saya, saya turun dengan berjalan cepat dan kadang-kadang berlari.

Di pertengahan jalan saya terserempak dengan seorang lelaki tua yang memakai kain pelikat lusuh dan bersemutal (lilit kain di kepala longat Kelantan) sedang mendaki menghala ke puncak. Saya beri salam dan bertanya " Pak Cik nak ke mana?" Dia kata "Oh.. Pak Cik nak pulang ke atas, anak dari mana?" Saya jawab "Saya dari puncak dan nak balik ke kem di Jelawang Jungle"
"Anak jalanlah baik-baik, hari dah gelap" Saya ucapkan terima kasih dan toleh ke hadapan. Sekejap saya pusing belakang dan orang tua itu sudah hilang dari pandangan saya. Baru saya terfikir, orang tua ni nak balik ke atas tetapi di atas mana ada kampung atau orang tinggal. Sah dia ni bukan orang. Perkara ni rasanya Wak Jono boleh jawab kot?. Saya terus berlari turun.

Hampir jam 8.00 malam saya tiba di kem tetapi saya dapati dua orang rakan tadi tiada di situ. Saya jadi keliru. Adakah dia orang tersesat atau memang belum turun lagi? Saya menunggu. hampir jam 10.00 malam mereka sampai di kem dan memarahi saya meninggalkan mereka. Saya kata saya ingatkan mereka yang tingglkan saya. Rupa-rupanya bila mereka sampai di puncak, mereka juga mengantuk dan tertidur. Bila terjaga hari sudah gelap. Mereka turunlah tanpa lampu.

Di perjalanan mereka turun, mereka diekori oleh satu lembaga berbulu. Sekali tengok macam orang, sekali tengok macam mawas. Bila mereka berlari, lembaga itu ikut berlari. Bila mereka berjalan lembaga itu ikut berjalan. Jadi mereka berjalan buat macam tidak ada apa-apa.

Setiba di satu Beta Balak Lama (tempat longgokan balak yang sudah dipotong) mereka berjumpa dengan satu kumpulan pendaki dari Gua Musang yang membuat kem di situ. Kebetulan yang menjadi Trekker kumpulan ini kami kenal. Mereka berhenti dan bersembang sekejap sementara lambaga itu masih berdiri tidak jauh dari mereka.

Selepas bersembang dan bertanya khabar dua orang kawan saya tadi hendak memulakan perjalanan turun ke kem. Tuan Saharizam (Tuan : gelaran salah satu keturunan Raja di Kelantan) berkata kepada lembaga itu "Kamu tunggulah kawan-kawan aku ni di sini, kami nak turun ke bawah sekejap" Lembaga itu pun tunggulah di situ dan mereka turun. terlepaslah mereka dari diekori oleh lembaga tadi. Tapi entah apalah pula yang berlaku kepada kumpulan yang mendirikan kem di situ pada malam itu tak tahulah. Itulah cerita mereka.

Saturday, September 20, 2008

Komen Musafir Kelana

Saya telah coretkan satu komen diBlog Kerajaan Rakyat terhadap posting yang bertajuk : Surat Rakyat Kepada YAB Perdana Menteri Malaysia. Lantaran itu seorang hamba Allah yang bernickname : Musafir Kelana memberi komen yang pada sangat baik dan boleh direnung bersama. Sama ada beliau betul atau tidak, bergantunglah di atas penilaian masing-masing. Saya pastekan seperti mana di bawah. Izinkan saya Sdr. Musafir Kelana.

  1. Musafir Kelana Says:

    Salam.

    Mountdweller kata: “Saya juga kagumi YAB Perdana Menteri dari segi peribadinya. Tapi sayang, keperbadian beliau yang lembut dan berhati-hati membuatkan beliau lambat bertindak dan telah diambil kesempatan oleh musuh-musuhnya.”
    ———————————————-

    Sdr. Mountdweller,

    Maaf saya kurang setuju dengan pandangan anda kerana pada hemat saya sifat yang dicanang2 kononnya ada pada PM kita itu sebenarnya hanya indah khabar dari rupa. Pada mulanya saya pun seperti yang lain2 mempunyai tanggapan yang muluk2 terhadap beliau apabila melihatkan kelembutan budibicara dan tingkahlakunya.

    Namun, setelah berkesempatan memerhatikannya dari jauh selama beberapa tahun ini iaitu semenjak beliau menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia, sedikit demi sedikit persangkaan positif saya kepadanya luput dari benak fikiran saya sehinggakan sukar sekali untuk saya merubah persepsi buruk itu hingga ke saat ini.

    Antara faktor2 yang mendorong timbulnya pandangan negatif saya terhadap beliau ialah seperti berikut:
    1. sikapnya yang suka berdolak-dalih dalam melakukan banyak perkara terutamanya yang menyangkut mengenai kepentingan rakyat umum umpamanya dalam membuat keputusan untuk menurunkan harga minyak baru2 ini..

    2. sifatnya yang kelihatan suka bermuka2 dan cenderung berpura2 alim di hadapan khalayak ramai terutamanya apabila tibanya musim2 pilihanraya. Gendang2 Umno selalu saja dipalu untuk mewarwarkan ke seluruh pelusuk tanahair megenai keperibadian Abdullah Badawi yang kononnya sangat terbilang ilmu agamanya bahkan sejarah keturunannya juga selalu disebut2 untuk membuktikan ketokohan agama beliau. Walhal, pada pendapat saya itu semua tidak lebih dari omong kosong semata2 kerana peribadi beliau sehari2 tidak mencerminkan kebenaran hakikat itu.

    3. kelemahannya dalam mengawal kegelojohan anak menantunya, ahli2 keluarga terdekatnya dan juga mereka yang ‘berbau2 bacang’ dengannya dari terlibat dalam urusan pentadbiran dan kewangan negara sehingga mengakibatkan berlakunya pelbagai penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan wang rakyat sepanjang tempoh pemerintahannya selama ini.

    4. keterlanjurannya memperkenalkan fahaman ‘Islam Hadhari’ yang sehingga kini masih diragui kedudukannya samada benar atau salah menurut kaca mata Islam. Oleh itu, pelaksanaannya sedikit sebanyak telah menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam di negara ini.

    5. sifatnya yang suka berbohong kepada rakyat contohnya semasa ditanya berkenaan dengan tarikh pembubaran parlimen dan tarikh pilihanraya umum ke-12 yang lalu. Beliau menafikan khabar2 angin mengenainya sedangkan ia kemudiannya ternyata benar selepas itu.

    6. kegagalannya untuk memberikan kepastian kepada rakyat Malaysia berhubung dengan matlamat utama projek2 mega negara yang dirancang sebaik sahaja beliau mengambilalih tampuk pemerintahan negara, umpamanya Projek WPI yang dikatakan kepentingannya lebih memihak kepada sebuah negara asing.

    7. kegagalannya untuk memastikan Akta Hasutan (ISA) tidak disalahgunakan demi kepentingan politik kerajaan BN yang berada di bawah pimpinannya sehingga ramai musuh2 politik mereka yang menjadi mangsanya kini.

    Begitulah antara beberapa isu yang dapat saya kongsikan di sini yang menjadi penyebab kepada hilangnya kepercayaan saya kepada beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia.

    Saya juga tidak bersetuju bila saudara katakan sifatnya yang lambat bertindak menyebabkan musuh2nya mengambil kesempatan. Bagi saya soal musuh mengambil kesempatan tidak timbul atau perlu digembar-gemburkan kepada rakyat. Ini kerana sebagai Perdana Menteri, segala kuasa untuk membuat keputusan berada di tangannya dan beliau tidak boleh menyalahkan orang lain sekiranya berlaku sebarang konflik atau masalah kerana yang jelas beliau perlu bertanggungjawab atas segalanya.

    Saya juga menganggap beliau bukan lambat atau lembap dalam berbuat sesuatu tapi itu mungkin menunjukkan bahawa beliau seorang yang licik permainan politiknya sehingga gerak-langkahnya sukar dihidu lawan apatah lagi untuk mempersalahkannya atas apa yang berlaku. Selalunya bagi orang2 berkarakter begini, orang jadi mudah bersimpati kepadanya kerana perilaku mereka yang ibarat kata orang tua2 “pijak semut pun tak mati”.

    -Sekadar pandangan-

    Wassalam.

Wednesday, September 17, 2008

Satu Peristiwa Lalu

Di suatu pagi pada tahun 1978, masa itu saya masih bujang dan saya berada di pejabat. Saya terima satu panggilan telefon dari Balai Polis Kota Bahru. Sipemanggil memperkenalkan diri sebagai ASP Kahar dari Bukit Aman, Cawangan politik. Beliau minta saya hadir ke Balai sekarang juga. Beliau bari dua pilihan, sama ada saya datang sendiri atau pihak Polis datang "jemput". Saya bertanya sebab apa? Beliau jawab kita akan "bincang" di sini (Balai Polis). Saya jawab ok, saya akan datang tak payah dijemput nanti malu saya kepada semua rakan pejabat kerana kereta polis akan menarik perhatian! Kalau saya pergi sendiri tidak akan siapa pun tahu kecuali Pengarah saya. Itu pun saya kata kat pengarah yang saya ada urusan penting di Balai Polis.

Setiba di Balai saya memperkenalkan diri. Saya disambut oleh 3 orang anggota polis yang berpakaian awam. Salah seorang daripadanya memperkenalkan diri sebagai ASP kahar dan beliau memperkenalkan saya kepada 2 orang lagi rakannya yang juga ASP tetapi saya sudah lupa nama-nama mereka.

Saya diiringi ke dalam sebuah bilik tertutup dengan lampu yang terpasang dan ada 2 unit aircond yang sedia terpasang. ASP Kahar tanya saya sudahkah saya bersarapan pagi? saya kata sudah. Saya bertanya kenapa saya diarah datang? mereka kata mereka menerima arahan untuk menyoal siasat saya bersabit dengan "komplot menjatuhkan kerajaan dengan kekerasan". Di masa itu Allahyarham Tun Hussein yang menjadi PM. Beliau menyambung katanya saya sepatutnya ditangkap untuk soal siasat tetapi beliau memilih untuk memanggil saja saya suapaya lebih tenang dan rasa selesa. Saya ucapkan terima kasih dan saya kata ok, tuan-tuan boleh memulakan sesi soal siasat sekarang, saya sudah sedia.

Soalan pertama adalah berkenaan diri saya, ibu bapa, akademik, kegemaran, persatuan yang saya anggotai, seni silat yang saya pelajari, parti politik yang saya bergerak cergas dan blaaa... blaa... dan saya jawab semua soalan yang dikemukan. Ok, suasana masih lagi tenang.

Kedua adalah berkenaan rakan dan kenalan saya ..... Setelah saya selesai memberitahu mereka berkenaan kawan dan rakan mereka menyoal saya tentang guru agama dan guru kebatinan saya pula. Saya menjawab tetapi suasana sudah mula panas. Mereka asik ulang-ulang soalan yang sama membuatkan saya jemu untuk menjawab. Kekadang kami bertekak. Bila suasana agak panas mereka mententeramkan saya pula. Mereka minta minuman,kueh, rokok jenama yang saya hisap serta makanan untuk makan tengahari. Suasana tenang kembali. Soalan dan jawapan di dalam keadaan tenang. Soal jawab berlangsung sehingga jam 7 petang. Seingat saya bermula dari jam 10 pagi. Macam-macam perasaan ada. Marah, jemu, letih, bengang dan adakalanya saya rasa saya dipermainkan.

Di peringkat ini macam-macam soalan yang kekadang saya tahu saya jawab. Tetapi soalan yang saya tidak tahu saya dipaksa menjawab. Itu membuatkan saya bengang. Nasib baik petang itu saya dibenarkan pulang ke rumah dengan syarat esok pagi jam 8 saya mesti datang lagi untuk sesi seterusnya. Sesampai rumah saya tidur bungkam, letih sangat!

Saya akan sambung soal siasat hari kedua kemuadian.

Monday, September 15, 2008

Along Sudah Baik Dari Athma

Ramai orang kepuh tentang 16 Sept. Ada yang berdebar-debar, ada yang kecut perut dan ramai juga yang selamba rock. Saya salah seorang dari yang selamba rock itu. Mungkin dan tak mungkin! sebab apa? sebab semuanya ada dalam pengentahuan Allah rabul alamin. Di kala orang sibuk, orang kecuh, orang gelabah saya pula mahu bercerita. Cerita yang mungkin tidak logik bagi sesetengah orang tetapi ianya memang berlaku. Anak saya yang sulung (Along) sudah menerima nikmatnya hanya dengan sebentuk cincin tanpa permata. Allah maha berkuasa.

Ceritanya juga berkenaan Gunung tebu, di Jabi, Terengganu. Pada masa itu Along di dalam tingkatan 2. Along sebenarnya bermasalah sejak lahir. Lemas semasa proses kelahiranya. Doktor sudah confirm yang Along akan menghidap athma. Sebaik saja lahir, Along dimasukkan ke dalam incubator selama 10 hari dan disuntik 10 suntikan. Maknanya satu hari satu suntikan. Bayangkan bapa mana yang tidak sayu dan sedih baru mendapat cahaya mata pertama tetapi begitu pula keadaannya. Jadi sejak dari lahir Along membesar dengan bergantung kepada ubat.

Pada satu masa saya diminta untuk membawa perserta Kelab Rekreasi yang terdiri dari murid-murid Sekolah Menengah Kebangsaan Zainab I bersama 2 orang guru dan seorang 3 orang kawan yang membantu saya. Kami akan trekking pada waktu malam. Kami bertolak selepas sembahyang isyak. Setelah saya berikan taklimat dan kemas kini persiapan dan bekalan. Memanglah banyak masalah bila membawa murid-murid perempuan trekking, waktu malam pulak tu. Setelah berjaya harungi rintangan dan kepayahan kami sampai di Puncak Gunung Tebu jam 2 pagi.

Saya arahkan mereka rehat dan makan. Tidak payah pasang khemah kerana cuaca baik. Tidur saja bawah pokok. Setelah makan, kami tidur. Saya bentangkan sleeping mate dan letak cermin mata saya di kepala tidur supaya senang ambil dan tidak hilang. Kami tidur.

Esoknya selepas sembahyang subuh, hari sudah cerah saya perlukan cermin mata tetapi saya dapati cermin mata saya tidak ada. Saya minta perserta sama-sama mencari sehingga jumpa. Cari di punca air tempat saya basuh muka ketika mula-mula sampai dan ambil wudhu' tidak ada. Cari di merata tempat perkhemahan juga tidak ada. Cermin mata itu gagal ditemui. Jadi terpaksalah trekking turun Gunung Tebu tanpa cermin mata. Nasib baiklah untuk pulang saya tidak perlu memandu sebab isteri datang ambil dan dialah pandu.

Sebelum turun dari Puncak Tebu, terlintas di benak hati saya yang cermin mata saya diambil oleh makhluk yang menghuni di situ. Setelah peserta turun saya kembali ketempat itu dan saya kata " Aku tahu engkau ambil cermin mata aku. Ok, kalau kau memang perlu kau ambillah tetapi bila aku ke sini lagi lain kali aku hendakkan balasannya sebagai ganti" Saya pun turun dan pulang.

Selang 3 bulan selepas itu saya ditugaskan oleh Ketua Pengarah saya untuk membawa Pasukan Tindakan Khas Anti Penyeludupan jabatan saya ke Gunung tebu sebagai sebahagian dari latihan fizikal pasukan berkenaan. Ikut serta ialah Pengarah dan Penolong Pengarah Pasukan tersebut.

Kali ini kami mendaki pada waktu pagi dan tiba di puncak di waktu petang. Kami bermalam di Puncak Kubur. Dinamakan Puncak Kubur adalah kerana di situ terdapat satu kubur lama. Entah kubur siapa.

Jam 3 pagi saya dikejutkan oleh Pengarah untuk makan meggi. Saya pun heran kenapa pula makan meggi jam 3 pagi? Rupanya beliau tidak dapat tidur kerana kesejukan. Setalah menghabiskan meggi saya turun ke lurah puncak itu mencari kayu untuk dibuat unggun.

Semasa saya melewati di celah 2 batu besar saya amat terkejut sebab di hadapan saya, di tengah-tengah denai ada selonggok ular berwarna hijau. Cantik warnanya, bukan hijau biasa. Saya amati, rupanya ular itu bukannya banyak. Cuma seekor tetapi longgoknya setinggi lutut. Saiz badanya hanya sebesar lengan. Maknanya ukuran ular itu amat panjang. Maka tahulah saya, itu bukanlah ular biasa tetapi jadian!. Saya berkata " Aku tahu engkau bukannya ular, janganlah engkau duduk di sini nanti aku tersepak atau terpijak. Siapa yang akan nanya. Aku atau engkau?. Pergilah kau" . Saya elak sedikit dari denai dan turun ambil kayu kering dan bawa naik ke tempat kami tidur. Bila saya naik dan melalui tempat itu semula, ular itu sudah tiada.

Sesudah nyalakan unggun saya kembali tidur. Esoknya selepas sembahyang subuh saya dapati sebentuk cincin emas tanpa permata berada di kaki saya tidur tadi. Saya sarung ke jari tetapi hanya jari kelingking saya yang muat. Cincin budak! Saya bertanya kepada semua orang di situ kalau-kalau ada sesiapa yang hilang cincin. Dia orang ketawa sebab cincin itu kecil, mana ada orang dewasa pakai cincin sebesar itu. Mana nak muat. Saya teringat yang dulu pernah saya minta cermin mata saya diganti dengan balasan. "Oh.. ular malam tadi rupanya".

Saya bawa pulang dan hati kecil saya teringin nak sarungkan kat Along bukannya Adik! Bila disarung cincin itu cukup-cukup muat di jari manis Along. Jadi saya suruh Along pakai. Setelah lebih kurang tiga bulan Along pakai, athma Along sudah hilang. Tidak perlukan ubat lagi. Sehinggalah sekarang Along sudah menjawat jawatan Leftenan Laut TLDM setelah menamatkan pengajian di Universiti Pertahanan National Malaysia. Along ambil bidang Kejuruteraan Komputer.

Malangnya cincin itu mungkin diambil tuannya kembali setelah Along sembuh. Sebab saya tanya Along ke mana cincin itu?. Along tidak dapat menjawab sebab hilang/jatuh pun tidak, tiba-tiba cincin itu ghaib dari jarinya!. Itulah kebesaran Kau ya Allah. Apa saja dikehendakinya terjadi.

Kun fayakun!

Friday, September 12, 2008

Persahabatan

Malam ini saya tidak bertarawih di Masjid. Saya tidak sampai hati meninggalkan isteri saya yang tidak sihat berseorangan di rumah. Tadi saya bawa dia ke klinik. Jadi saya bertarawih berseorangan di rumah sahajalah. Mungkin kalau isteri saya nampak ok, jam 12.00 nanti saya akan ke Masjid untuk bertadarrus.

Berbalik kita kepada tajuk di atas. Saya tertarik dengan posting Tok Janggut di dalam blognya berkisah tentang beliau dengan sahabat Cina ayahnya. Cina Kelantan setakat yang saya tahu memang tidak sama dengan Cina di luar Kelantan. Maafkan saya sekiranya tanggapan saya salah.

Sejak dari zaman saya di sekolah menengah saya ada dua orang kawan Cina dan satu orang India yang memang akrab. Kawan cina saya ini seorang Ah Lau dan seorang lagi Ah Kok. Si Lau ini emak saya panggil Lah/Dollah dan Kok dengan Kob/Yaakub. Kawan India ini pula bernama Raj Kumar tetapi mak saya panggil dia Mar/Omar. Kami bersahabat baik. Rumah saya rumah dia, rumah dia rumah saya. Sekiranya kami tersangkut di mana-mana rumah pada waktu makan, di situlah kami makan. Di rumah saya atau di rumah mereka. Pendek kata keluarga masing-masing melayan kami sebagai anak beranak. Bahasa komunikasi antara kami juga adalah bahasa daerah Kelantan dan Inggeris.

Kadang-kadang bila saya sembahyang mereka juga ikut bersembahyang di belakang saya. Tetapi satu saja yang buat saya terkilan, sehingga sekarang Allah belum memberikan hidayah kepada mereka untuk memeluk Islam. Tetapi tidak apalah, saya sedar hidayah itu adalah "Hak Allah" sebagaimana firman Allah kepada rasulallah takala Rasulallah bersedih di atas kematian Abu Talib tidak di dalam agama Islam. Sehingga sekarang masing-masing sudah tua tetapi persahabatan kami berterusan walau pun kami jarang berjumpa kerana sibuk dengan urusan masing-masing.

Arwah emak juga ada dua orang sahabat Cina yang akrab. Meraka adalah Mek Yap dan Mek Siew. Mek Yap dan Mek Siew juga melayan saya macam anak-anak mereka. Emak dan dua sahabat Cina ini cukup akrab sehinggakan kalau emak masak kari ayam pun disuruhnya saya hantar sama kepada dua sahabat dia ini. Begitu jugalah dengan kedua-dua orang sahabat Cina emak ini, kueh bakul ker, ketupat abu ker atau paling kurang limau menderin mesti dihantar ke rumah saya. Akan tetapi kedua-dua mereka juga tidak menerima hidayah sehinggalah emak saya meninggal akibat kemalangan di Kuala Lumpur sekembalinya dari Bangkok. Jenazah emak disemadikan di Perkuburan Ampang.

Itulah latar belakang kehidupan dan setia kawan kami di kalangan bangsa-bangsa di Kelantan. Seingat saya di Kelantan tidak pernah ada kececuhan etnik atau agama. Kami saling hormat menghormati. Persahabatan terjalin dengan sendirinya.

Apa yang saya nampak di luar Kelantan memang berlainan. Cina dengan Cinanya, India dengan Indianya dan Melayu dengan Melayunya. Kalau begini situasinya sudah tentu berbagai pertentangan akan timbul. Curiga mencurigai pasti ada. Apa yang saya lihat keadaan ini berlaku adalah kerana sikap. Selagi sikap masing-masing etnik ini tidak berubah selagi itulah situasi sebagai mana sekarang akan berterusan.

Tuesday, September 9, 2008

Diekori Syaitan Sehingga Ke Gunung Berapit

Nampaknya saya terpaksa minta maaf sebab saya tidak dapat uploadkan gambar-gambar makhluk anih di Gunung Tebu sebagaimana yang saya janjikan. Gambar-gambar itu dirakam oleh Sdr. Mohd. Azmi wartawan paranormal yang mendaki bersama saya. Beliau tidak kirimkan gambar berkenaan kepada saya atas sebab yang saya faham gambar-gambar tersebut sudah menjadi hak exclusive beliau sebagai wartawan. Tidak apalah! Saya faham dan saya harap anda juga faham.

Berbalik pada janji saya mahu sambung cerita Lembaga Huduh Di Kem Mengkuang.

Setelah bermalam di Kem Mengkuang, paginya jam 8.30 kami bertolak menuju puncak Gunung Tahan. Lewat petang kami tiba di Puncak Gunung Tahan tanpa apa-apa halangan dan bermalam di situ.

Pada sebelah paginya di puncak, para peserta sempat menikmati panorama yang indah semasa matahari terbit. Pemandangan sungguh cantik pada pagi itu kerana cuaca cerah dan keadaan kabus pun tidaklah tebal sangat. Bunga-bunga renek di bawah pokok-pokok bonzai yang tumbuh bebas dengan batu-batu kapur putih serta granite yang mengeluarkan cahaya menjadi hiasan yang sungguh menakjubkan. Di tambah pula dengan burung-burung kecil terbang berkicau mencari madu bunga. Sungguh indah ciptaan mu wahai Tuhanku!

Sekitar jam 3.00 petang kami turun dari Puncak Gunung Tahan menuju ke Kem Padang. Dari puncak kami terpaksa menuruni lurah Tahan dan mendaki Gunung Berapit. Dari Gunung Berapit menuruni lembahnya dan baru sampai ke Padang/Padang Kem.

Setibanya di lembah Tahan saya terasa amat mengantuk sehingga tidak larat melangkahkan kaki. Jadi saya perlu tidur dulu sekejap. Saya minta Cikgu Ali (sekarang Pengetua SM Jengka 21 dan Tuan Saharizam (sekarang A.D.O Daerah Jeli) untuk membawa semua peserta ke Kem Padang dan saya akan tidur sekejap di sini. Waktu pada masa itu lebih kurang 4.30 petang dan hari nampak cerah. Sebelum mereka meneruskan perjalanan turun ke Kem Padang saya pesan kepada Cikgu Ali dan Tuan Saharizam sekiranya malam ini saya masih tidak sampai di Kem Padang, jangan cari saya. Saya janji pagi esok saya akan sampai ke tempat mereka bermalam di Kem Padang.

Mereka meneruskan perjalanan mendaki Gunung Berapit untuk ke Kem Padang. Saya sandarkan badan pada Back-pack dan terlena. Sungguh lena. Saya tersedar apabila terasa titisan hujan jatuh ke muka saya. Rupanya hujan turun rintik-rintik. Saya bangun, masak air dan bancuh milo cecah biskut. Sudah makan saya mulakan trekking mendaki Gunung Berapit. Jam sudah menunjukkan pukul 7.30 malam. Setiba di Puncak Gunung Berapit hujan cukup lebat dengan langit hitam pekat macam buntut kuali dapur kayu! Guruh berdentum dentam, kilat sabung menyabung. Saya berlari menuruni lurah Gunung Berapit dengan di terangi lampu suluh dan cahaya kilat yang terang. Untuk berlengah di puncak gunung semasa petir memang bahaya. Kita akan jadi point of contact!

Setibanya saya di satu kawasan yang akan memasuki hutan kecil dan jalan agak berlumpur, saya dapati jalan yang sedang saya lalui sudah menjadi "Air Terjun" yang sederhana. Saya heran macam mana dari trek yang kering tidak bertakung air telah menjadi air terjun. Satelah berfikir sejenak baru saya sedar rupanya makhluk di Kem Mengkuang semalam telah mengekori saya sehingga ke sini dan cuba mengenakan saya!

Saya sudah naik marah. Saya cabar supaya dia menjelma dan bertarunglah dengan saya sekiranya dia betul-betul marah dan dendam saya. Setelah saya cabar, suasana sunyi seketika dan saya memang berada di dalam keadaan siaga. Tidak ada apa yang muncul, yang kedengaran hanyalah guruh. Lebih kurang setengah jam di dalam keadaan siaga, saya berkata "Sekiranya engkau takut untuk berhadapan dengan aku, kau jangan kacau aku lagi. Kau bukalah laluan aku"

Saya menyuluh trek tadi, masih lagi air terjun. Saya pun berkata lagi "Kalau kau nak jaga air terjun kau jagalah, aku nak rehat" . Saya duduk di atas back-pack saya dan kepala saya tutup dengan plastik shade putih nipis dan saya pasangkan dapur/Stove di celah kangkang saya untuk panaskan badan kerana memang cuaca sejuk sehingga menggigil. Setelah badan panas/hilang sejuk, saya terlena sambil duduk.

Lebih kurang jam 10.00 malam tiba-tiba saya terjaga disapa oleh 2 orang keturunan Cina. Dia tanya saya kenapa tidur di sini berseorangan? dia kata ini jalan, ikutlah sama-sama turun. Saya tanya mereka berdua dari mana. Meraka kata mereka dari Puncak Tahan melalui Merapuh dan menuju ke Kem Padang. Dalam pada itu saya masih lagi mendengar deruan air terjun tetapi mereka kata ini adalah jalan. Saya minta mereka turun dulu, saya nak sambung tidur. Lagi pun saya kata lampu saya sudah kehabisan bateri. Sebenarnya saya tidak mahu saya diperdaya oleh makhluk itu. Saya tidak boleh mengalah!. Mereka turun dan saya sambung tidur.

Jam 3.30 pagi saya terjaga dan hujan sudah berhenti. Bunyi air terjun sudah tidak kedengaran lagi. Saya suluh laluan yang menjadi air terjun tadi. Saya dapati air terjun tidak ada. Yang ada hanyalah trek yang agak kering. Saya ketawa sambil berkata " Kau sudah letih yek tunggu aku tidur, kamu sudah mengalah. Sekarang aku nak jalan" Saya teruskan perjalanan dan saya tiba di Kem Padang pada jam 6.00 pagi di sambut oleh geng dengan riuh.

Sebenarnya tadi makhluk itu cuba memperdayakan saya. Bila saya dapati trek sudah jadi air terjun, saya akan mencari jalan lain. Itulah peluang dia memesungkan perjalanan saya dan sudah tentu saya akan sesat. Tetapi dia tidak berjaya, kerana manusia Allah jadikan lebih bijak dari golongan syaitan.

Saya tanya teman-teman ada tak 2 orang keturunan Cina sampai ke situ. Mereka jawab ada, hanya 10 minit sebelum saya. Jadi ke mana mereka? mereka dari jam 10.00 malam dari tempat saya berhenti dan tiba pada jam 5.50 pagi, bermakna mereka ambil masa hampir lapan jam sedangkan saya bermula pada jam hampir 4.00 pagi dan tiba di situ jam 6.00 pagi. Bermakna perjalanan saya hanya lebih sedikit dari 2 jam!

Paginya saya pergi cari 2 orang Cina tadi. Saya tanya mereka kenapa lambat. Mereka jawab " Kami ikut laluan itu juga tetapi rasanya terlampau jauh sehingga cukup letih. Entah ke mana kami dibawa"

Saya hanya senyum dan bersyukur.

Monday, September 8, 2008

Ada Lagi Rupanya Musang Di Reban Ayam

Kita tengah ngairah menunggu 16 Sept. dan saya yakin majoriti rakyat Malaysia sedang menanti detik itu dengan punuh debaran. Tiba-tiba abe li kapak jangak sudah dapat menghidu bau musang di reban ayam yang selama ini disangkakan reban tertutup rapat. Tidak disangka walau pun ditutup rapat masih ada musang yang berjaya menyelinap masuk dan menunggu masa dan ketika yang baik sahaja untuk membaham dan membawa lari ayam di reban.

Itulah adat dan tabiat makhluk yang bernama manusia dan lumrah alam. Ada jujur ada penyangak, ada yang pemurah ada yang tamak, ada yang setia ada pembelot, ada pembela ada penghianat. ada yang menurut ada yang engkar, Itulah yang menbentuk pancaroba alam ini dan juga melengkapkan sebuah alam yang memang diciptakan begitu.

Hakikatnya pengkhianat ada di mana-mana. Cuma yang membuatkan saya terkilan kerana pengkhianat ini datangnya dari Negeri Kelantan, negeri Tok Guru dan juga melibatkan salah seorangnya adalah orang yang diberi kepercayaan menjadi Calon dan seterusnya dipilih menjadi MP oleh rakyat yang percayakannya dan parti Tok Guru. Dan seorang lagi adalah dari MP PKR. Kalau betul bagai yang dikata, mereka berdua ini adalah sebenarnya pengkhianat rakyat bukan saja di Kelantan tetapi juga menghancurkan harapan rakyat Malaysia yang berjiwa bebas.

Musang-musang ini juga dipercayai akan membawa keluar bersama beberapa ADUN yang berkemungkinan besar akan merubah senario politik Kelantan dan mencabar kewibawaan pimpinan Tok Guru Menteri Besar.

Apakah yang mereka kejar pun tidak siapa yang tahu. Cuma khabarnya tiada apa-apa habuan yang ditawarkan oleh UMNO tetapi hanya marahkan kenyataan pembesar parti yang menyatakan kronisma adalah juga amalan Rasulallah saw. Siapa pemimpin yang membuat statement tersebut saya pun tak terbaca lagi. Kalau betullah begitu, memang tidak cerdiklah seorang pemimpin yang membuat kenyataan yang mencabar wibawa kita sendiri. Amat tidak cerdik juga kepada yang ingin meninggalkan perjuangan selama ini hanya kerana satu kenyataan yang belum tentu benarnya.

Walau apa pun mereka bebas memilih haluan sendiri, orang lain juga bebas memilih jalan yang akan dilalui. Cuma jalan mana yang membawa kita ke matlamat yang dituju. Adakah jalan berliku dan berdebu atau pun jalan lurus dan terurus? Tepuk dada tanyalah selera. Fikir dulu jangan menyesal kemudian.

Janganlah di satu masa nanti yang setia menitis air mata gembira tetapi pembelot menitis air mata kekesalan!

Thursday, September 4, 2008

16 September Dalam Penantian

Penantian 16 Sept. 2008 terlalu lambat rasanya perjalanan masa. Semua penyokong dan pendokong PR dalam keadaan yang resah, gelisah dan sudah tentu debarannya semakin kencang. DSAI sedang berusaha, anggota lain di dalam PR juga sedang berusaha. Rakyat marhaen juga sedang berdoa. Pendek kata semua harapan sedang tertumpu kepada detik 16 September. Tetapi di sebalik usaha, doa dan harapan ketentuannya adalah di dalam bidang kuasa Allah subhanahuataala. Kita hanya makhluk yang bersandarkan takdir. Hanya tertakluk di dalam rahmat Allah. Di dalam kuasa yang Hak. "Apa kataNya itulah akan terjadi"

Saya "pastekan" lirik di bawah untuk renungan bersama. Lirik ini saya copy daripada komen Nostradamus di dalam blog kudaranggi. Izinkan saya saudara nostradamus!

(Lyrics written by Jay Livingston and Ray Evans
for Alfred Hitchcock's 1956 re-make of his 1934 film
"The Man Who Knew Too Much" starring Doris Day and James Stewart.)

When I was just a little girl,
I asked my mother, "What will I be?
Will I be pretty?
Will I be rich?"
Here's what she said to me:

"Que sera, sera,
Whatever will be, will be;
The future's not ours to see.
Que sera, sera,
What will be, will be."

When I was just a child in school,
I asked my teacher, "What will I try?
Should I paint pictures"
Should I sing songs?"
This was her wise reply:

"Que sera, sera,
Whatever will be, will be;
The future's not ours to see.
Que sera, sera,
What will be, will be."

When I grew up and fell in love.
I asked my sweetheart, "What lies ahead?
Will we have rainbows
Day after day?"
Here's what my sweetheart said:

"Que sera, sera,
Whatever will be, will be;
The future's not ours to see.
Que sera, sera,
What will be, will be."

Now I have Children of my own.
They ask their mother, "What will I be?"
Will I be handsome?
Will I be rich?"
I tell them tenderly:

"Que sera, sera,
Whatever will be, will be;
The future's not ours to see.
Que sera, sera,
What will be, will be.
Que Sera, Sera!"

Wednesday, September 3, 2008

Bicara Merdeka

Hari ini masuk hari ketiga umat islam di malaysia berpuasa. Tiga hari juga lepas sambut kemerdekaan. Namun saya masih tercari-cari apakah kita sudah merdeka? Memang di zaman saya kanak-kanak saya faham merdeka adalah kita bebas dari penjajahan Brittish tetapi bila saya sudah dewasa saya masih mencari apakah merdeka itu sebenarnya.

Dulu di masa anak-anak saya masih kecil saya galakkan mereka kibar bendera dan di kereta sendiri pun tegak berdiri bendera Malaysia kononnya menyambut hari merdeka. Kepada anak-anak memang mereka faham merdeka yang separuh masak ini adalah merdeka. Hanya merdeka dari penjajah orang putih! Itu saja fahaman mereka. Setakat itulah saja merdeka pada mereka sebab pada masa mereka masih kecil memang saya merdekakan mereka. Apa yang mereka hajati saya akan penuhi seadanya. Mereka juga bebas seadanya. Minda mereka juga bebas sebagaimana bebas minda kanak-kanak yang diberikan ruang untuk meluahkan rasa dan naluri kanak-kanak yang memang tidak akan mereka pendam. Tetapi bila anak-anak saya sudah dewasa mereka juga tertanya-tanya sebagaimana juga bapanya. Apakah hakikatnya kita merdeka?

Merdeka...merdeka.... merdeka... bagaikan burung tiung yang mengikut apa yang diucapkan oleh tuannya. Itu sajakah taraf kita? Itu sajakah taraf pemikiran manusia yang merdeka? Sedih, sungguh sedih kita ditanam dan dilekakan pemikiran kita oleh Pemerintah kita, oleh orang tua kita dan oleh kebodohan kita sendiri.

Merdekakah kita bila kebebasan kita diikat dengan berbagai-bagai akta yang mencerut leher? Merdekakah kita bila Agama Islam yang kita anuti juga dibelenggu? Kebebasan mengembangkannya di sekat? Merdekakah kita jika kebebasan berkata-kata kita juga dibisukan? Merdekakah kita bila ekonomi kita dijerut, perut diikat dengan kenaikan harga barangan yang tidak sepadan dengan pendapatan?

Merdekakah kita bila sambutan kemerdekaan yang disambut oleh anak-anak muda kita masih lagi berwadahkan orang putih? Merdekakah kita bila hiburan kebaratan disokong dan ibadah kita disekat? Bebaskah kita berceramah agama Islam yang kita sanjungi tidak sebebas sebagaimana bebasnya hiburan dengan penganjuran jutaan ringgit?

Rupanya merdeka yang disambut hanya sebagaimana berhimpunan untuk berpesta dan menonton perbarisan sahaja.