Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Friday, January 30, 2009

Kungsi Rumah Bersama Lembaga Ghaib

Saya membeli rumah ini (tempat kami tinggal sekarang) pada tahun 1986 tahun kelahiran anak saya yang kedua. Lokasinya ketika itu agak sunyi tetapi dikelilingi dengan sekolah-sekolah rendah dan menengah di dalam jarak yang agak dekat. Saya fikir di lokasi ini, anak saya tidak perlu dihantar untuk ke sekolah. Rupanya tidak begitu jadinya. Hanya semasa mereka di sekolah rendah sahaja mereka bersekolah di sekolah yang berhampiran. Bila masuk sekolah menengah terpaksa juga menghantar dan mengambil kerana ke dua-duanya ditempatkan di sekolah-sekolah yang terpilih. Jadi beban menghantar dan mengambil terpaksa dipikul juga. Tapi tak apa itu adalah sebahagian dari amanah Allah kepada Ibu dan Bapa.

Berbalik kepada tajuk di atas, saya beli rumah ini dari seorang kawan rapat yang sekarang sudah arwah. Rupanya tapak rumah ini di satu masa dahulu merupakan tempat orang-orang kampung membuang segala macam iblis/setan yang mengacau dan menghasut orang-orang di sini. Di sini juga tempatnya mereka menghantar Ancak/menjamu hantu. Tempat ini adalah jauh dari kawasan kampung yang agak terpencil dan berpaya di mana terdapat satu lubuk yang mengikut ceritanya tidak pernah airnya kering walau pun kemarau panjang.

Selepas saya pindah ke sini lebih kurang 3 bulan, semasa saya hendak ke kedai pada suatu malam, saya bertembung dengan satu lembaga yang tidak berkepala berjalan di dalam hujan renyai-renyai. Pada mulanya saya ingatkan orang, tetapi saya fikir manusia gila mana pulak yang berjalan dalam hujan tanpa payung dan tanpa lampu di hujung kampung? (masa itu belum ada lampu jalan di kampung ini) Saya tinggikan lampu kereta. Barulah saya nampak rupanya manusia berbadan besar tanpa kepala! Saya berkata sendirian " Kalau kau tidak lari aku langgar engkau, tengok siapa lebih kuat". Saya tukar gear dan saya pecut, bila hampir dilanggar tiba-tiba lembaga itu melompat ke dalam semak di tepi jalan dan hilang. Saya berhentikan kereta dan perhatikan semak di tempat lembaga itu menghilang tetapi saya dapati tidak ada langsung kesan dipijak atau dirempuh. Lepas itu saya terus ke kedai.

Di kedai saya ceritakan peristiwa tadi kepada seorang tua di situ. Dia gelak, dia kata di situ bukan saja terdapat makhluk yang tidak berkepala tetapi kalau nasib tidak baik akan bertemu dengan satu perempuan yang mendodoi anak kecil di dalam gerimis! "Wah.. manarik" kata saya. Dia tanya saya apa yang menarik? Saya kata saya memang nak tengok, cantik ke tidak ibu yang mendodoikan itu? Dengan muka heran dia berkata "Eh.. kamu ni betul ke tidak?" Saya gelak dan berlalu pulang.

Di dalam rumah pula kekadang di tengah malam ada sesuatu yang berkejaran di atas siling rumah. Melompat-lompat dan kekadang macam menggaru siling rumah. Tapi bila saya kata " Oii.. kamu yang kat atas tu diamlah, aku nak tidur" dia akan diam. Di satu peristiwa lain pula pada satu malam anak saya yang kedua baru nak tidur tiba-tiba radio di biliknya berbunyi. Dia ingatkan dia lupa tutup radio sebelum tidur, dia tutup dan balik ke katil. Tiba-tiba radio itu 'on' balik, dia 'off' dan bila nak tidur, radio berbunyi lagi. Dia cabut plug dari socket dan kembali ke katil tetapi lepas seketika radio itu 'on' balik. Akhirnya anak saya kata "Lantaklah kamu nak dengar radio kamu dengarlah, aku nak tidur". Dia terlena dengan radio masih berbunyi. Tapi esok paginya bila dia bangun, radio itu memang 'off'.

Di bahagian dapur pula kekadang ternampak kelibat orang berkulit hitam tidak berbaju keluar masuk dari dapur ke bilik anak sulung saya. Kekadang dari bilik mandi di bahagian dapur ke dapur. Yang membawa masalah bila ada orang lain datang bertandang dan bermalam. Adatnya kena ganggulah!.

Satu peristiwa lain pula, anak kedua dan pertama saya mengepung satu lembaga semacam orang di laman bahagian belakang rumah. Si Along keluar dari pintu belakang dan si Adik keluar dari pintu hadapan. Mereka cuba pintas lembaga itu, tetapi lembaga itu ghaib bila terkepung. Saya pun tidak sedar peristiwa malam itu. Saya hanya tahu bila kedua-dua anak saya masuk ke rumah dan bertanya mereka dari mana. Baru mereka ceritakan yang mereka kepung lembaga itu tetapi ghaib.

Saya tidak bercadang untuk menghalau lembaga ini kerana saya rasa dia wajar berada di sini kerana di sini memang tempat dia. Saya datang kemudian darinya. Jadi selagi dia tidak mendatangkan mudarat, saya benarkan dia di sini. Selalunya kalau kami ingin keluar rumah pulang ke Ipoh atau ke KL untuk beberapa hari, isteri saya akan berpesan kepadanya supaya menjaga rumah, jangan duduk jer tahu tapi nak jaga rumah tak tahu. Katanya "Sekarang aku nak keluar, kau jaga rumah ini". Sebenarnya saja nak berseloroh. Hakikatnya semuanya di bawah jagaan Allah. Dialah yang memberi dan Dialah yang berhak mengambil kembali sesuatu yang dikurniakan.

Wednesday, January 28, 2009

Kami Berhak Membunuh

Bertamaddunkah mereka bila seorang Rabbi Yahudi berkata "Kami berhak membunuh walau sejuta rakyat Palestin". Waraskah dia mengeluarkan perkataan itu? Apa akan jadi sekiranya semua Umat Muhammad pula berkata "Kita berhak menghapuskan terus Israel dari muka bumi" sebagaimana kenyataan Kerajaan Iran tidak berapa lama dulu?. Sebenarnya dia yang patut dihapuskan terlebih dahulu. Orang seperti inilah yang menjadi agen membawa huru hara di dunia Arab khasnya dan seluruh dunia amnya.

Di bawah adalah kenyataan Rabbi Yahudi tersebut yang dipetik dari sabahdaily

Rabbi Yahudi: Kami Berhak membunuh walau sejuta rakyat Palestin!
Sebuah laporan yang dikeluarkan oleh Akbar di Saudi, Al-Watan yang disiarkan, Sabtu lepas, seorang Rabbi Yahudi-Zionis telah mengeluarkan kenyataan yang mengizinkan membunuh perempuan dan anak-anak Palestin. Dan, menurut Rabbi itu, setiap orang Yahudi akan membebaskan mereka dari setiap tuduhan atas tindakan yang mengerikan itu bagi mereka yang sudah melakukan kejahatan pembantaian terhadap orang Palestin.

Menurut akhbar Al-Watan, bahawa Rabbi itu menegaskan pandangannya, bahawa pembantaian Israel di Jalur Gaza amat sesuai dengan ajaran agama Yahudi yang menganggap pembantaian seperti itu sebagai: ” Bentuk hukuman kepada musuh”.
Dalam kesempatan itu, pemimpin Rabbi Yahudi menyatakan bahawa tidak akan ada masalah sama sekali dalam hal pembantaian terhadap orang Palestin ,bahkan jika satu juta atau lebih dari mereka terbunuh di tangan pasukan pendudukan Israel, itupun tidak ada masalah, ujar Rabbi itu.

Rabbi, Mordachi Elyaho, yang mengutip ayat dalam Kitab Talmud, yang merupakan pedoman dari agama yang sekarang popular di kalangan Yahudi-Zionist, dan Rabbi Mordachi telah mengirimkan pula surat kepada Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert, yang berisi artikel yang memungkinkan orang-orang Yahudi, melaksanakan gagasan besar , tentang hukuman terhadap musuh sesuai dengan etika perang dalam Taurat.

“Pandangan Rabbi Mordachi telah diterapkan terhadap penduduk Gaza, dan orang Palestin yang tinggal di Gaza harus menanggung akibatnya, dan mereka semua harus memikul tanggungjawab, kerana mereka tidak melakukan apa-apa untuk menghentikan serangan roket yang dilakukan Brigade al-Qassam” kata Elyaho, dalam suratnya ke Olmert. Rabbi Yahudi, Mordachi meminta pemerintah Israel, terutama Olmert melanjutkan serangan ganas militer ke Gaza. Ini kerana menurut Mordachi, semua tindakan yang dilakukan oleh pemerintah Perdana Menteri Olmert, yang bertujuan untuk : “Menghancurkan orang-orang Palestin yang sudah bersalah, merupakan tindakan yang sah”. Yesrael Rozin, seorang panganut Talmud yang fanatik, juga mengatakan bahawa hukum Taurat menetapkan pembunuhan laki-laki, anak-anak, perempuan, tua, bayi, dan haiwan [dari musuh], tambahnya adalah wajar.

Mengutip sebahagian dari Kitab Talmud, Rabbi Sholomon Elyaho menyatakan : “Jika kita membunuh 100 orang Palestin, tetapi orang Palestin itu tetap menolak untuk menghentikan serangan roketnya, kita harus membunuh orang Palestin 1000, dan jika kita membunuh orang Palestin 1000, tetapi orang Palestin tidak menghentikan serangan roketnya ke Israel, maka kita harus membunuh 10.000 orang Palestin, dan kami harus terus membunuh orang Palestin, meskipun jumlah orang Palestin yang dibunuh sudah mencapai satu juta, dan waktu harus dihabiskan membunuh orang-orang Palestin “, tegas Rabbi Sholomon.

Dalam Mazmur mengatakan: ” Aku harus terus membunuh musuh dan menangkap mereka, dan aku tidak akan berhenti sampai mereka benar-benar habis “, menurut Talmud. Jadi, orang-orang Zionis-Israel, tidak akan pernah berhenti membunuhi orang-orang Palestin. Mereka akan terus membunuh dan membunuh, sampai orang Palestin habis. Ini sudah menjadi keyakinan mereka.

Sunday, January 25, 2009

Santau/Sihir

Semalam saya tengok satu program di TV9 berkenaan santau dan cara mengubatannya yang dihoskan oleh Aziz Desa dan tetamunya adalah seorang Ustaz murid kepada Dato' Harun Din. Jadi saya rasa elok juga saya buatkan satu n3 berkenaan pengalaman saya sendiri.

Ini kisah dulu-dulu yang hampir meragut nyawa terjadi kepada saya. Saya alaminya semasa saya masih remaja tua/ bujang. Bacalah kisah ini sebagai peringatan dan berjaga-jaga.

Suatu petang saya main takraw di satu gelanggang berhampiran dengan rumah saya bersama kawan-kawan. Sedang saya bermain saya tampan satu smash dari regu lawan dengan dada. Seketika kamudian saya rasa tekak saya geli dan saya batuk. Dua kali batuk, tidak ada apa yang keluar walau pun kahak. Kering saja rasa tekak. Batuk yang ke tiga saya rasa semacam kahak dan saya ludah, sebenarnya bukan kahak yang keluar tetapi darah. Saya batuk lagi, darah lagi dan saya termuntah. Muntah juga keluar darah yang fresh. Saya fikir dalaman saya luka akibat menampan bola tadi. Tapi sedikit pun saya tidak merasa sakit sama ada tekak atau dada. Saya terus balik ke rumah, bersihkan badan dan terus ke hospital.

Di hospital, selepas diperiksa doktor saya dimasukkan ke ward. Malam itu saya muntah lagi dengan darah yang fresh juga sehingga doktor perpaksa tadah mangkuk. Anihnya saya tidak merasakan apa-apa. Malam itu juga saya dixray, diambil darah, najis diambil, dimasukkan camera. Esoknya saya disuntik dengan entah apa jenis ejen yang sekiranya terdapat kuman Tibi badan akan berikan reaksi. Orang medikal tahulah kot? Segala anggota diperiksa termasuklah kuku dan mata. Saya hanya diberikan vitamin dan satu injeksen. Ubat apa saya tidak tahu dan tidak juga ambil tahu.

Saya tanya doktor kenapa semua diperiksa? Doktor kata mengikut imej xray paru-paru saya luka tetapi mesti ada sebab lain. Kalau setakat menampan bola takraw, paru-paru tidak akan terluka. Bahagian dalaman perut saya juga ok, ada gestrik tetapi tidak melukakan. Jadi satu lagi perkara yang disyaki adalah Tibi atau apa-apa penyakit yang berkaitan paru-paru.

Di dalam ward saya macam VIP sebab doktor yang bertugas adalah school mate dan salah seorang jururawat adalah anak saudara boss saya. Jadi jururawat lain pun melayan saya lebih sikitlah. Saya ditahan selama seminggu dengan hanya diberikan vitamin. Setelah keputusan kajian penyakit didapati nagetif, saya keluar ward juga dengan bekalan vitamin.

Bila saya dirumah, ada masanya saya batuk darah dan kadang-kadang muntah ketika gosok gigi pun keluar darah. Dalam saya berfikir apa yang patut saya buat, saya teringatkan seorang kawan arwah ayah saya yang mengamalkan tarekat dan boleh berdukun. Saya buat keputusan berjumpa beliau. Saya bahasakan beliau Wak (sekarang sudah arwah).

Jadi pada satu petang saya ke rumah Wak tadi. Saya diberitahu sekiranya begitulah simptomnya saya terkena santau. Saya diberikan air penawar untuk diminum sebelum tidur pada malamnya nanti dan pada pagi esoknya saya diminta ke rumahnya sebelum makan apa-apa makanan.

Pagi esoknya saya sekali lagi ke rumah Wak dan saya diminta minum segelas air penawar dan diminta saya meniarap dengan mendongakkan kepala. Seluruh badan saya ditepuk-tepuk dan leher serta tengkuk saya digosok dengan tangannya. Di atas lantai di bawah dada, leher dan dagu saya dilapikkan daun pisang muda. Sedang Wak gosok leher dan tengkuk itu saya dapati sesuatu macam pasir jatuh di atas daun pisang tadi. Wak suruh saya tengok benda itu dan saya dapati bermacam jenis benda halus seperti miang buluh, serbuk kaca, rambut dan entah apa-apa lagi. Kira-kira setengah jam Wak menyapu dan gosok tengkuk dan leher saya, benda-benda itu tidak ada lagi keluar. Wak berhenti dan minta saya bangun dan bersila. Kemudian Wak membaca sesuatu dan berdoa serta sambil menepuk dahi dan dada saya. Bila semuanya selesai saya dibekalkan dengan air penawar yang beliau doakan. Selepas itu, saya masih lagi batuk tetapi tidak teruk dan darah tidak keluar lagi.

Selepas beberapa ketika saya dibawa oleh seorang teman menemui seorang lagi pengamal tarekat yang menggelarkan dirinya Tok Ayah (sekarang sudah meninggal). Saya diberikan air penawar yang didoakan khas untuk itu. Saya minum, seketika saya muntah. Yang herannya muntah tanpa makanan tetapi yang keluar adalah semacam minyak yang berkeladak seperti minyak selepas goreng ikan kering. Muntah dan muntah lagi. Bila rasa nak muntah sudah tidak ada, Tok Ayah suruh saya berkumur dan diberikan lagi air penawar. Saya rasa segar semula. Kata Tok Ayah itu adalah minyak orang mati dibunuh/minyak dagu yang dicampur dengan bahan kotor. Biasanya ini kerja bomoh siam.

Kata Tok Ayah, penangan minyak dagu dan santau sudah lebih dari cukup untuk membawa manusia ke kubur. Tapi alhamdulillah, terkena pada saya yang kuat dalaman berkat salawat tafrijiyah yang saya amalkan. Rupanya dia tahu amalan saya walau pun itulah kali pertama kami bertemu!

Selepas itu saya beransur pulih dan alhamdulillah sihat sehingga sekarang. Saya cukup bersyukur kerana Allah selamatkan saya dan dengan peristiwa sakit inilah juga saya berusaha menggali ilmu dan membawa saya bertemu dengan bekas murid Almarhum Kiyai Salleh dan Guru Tarekat dan Tasawuf. Rupanya inilah hikmahnya dan sakit yang membawa nikmat!

Sehingga sekarang saya tidak tahu apa salah saya dan siapa kenakan saya. Saya rasa saya disenangi ramai dan ramai kawan dan kenalan. Saya rasa saya juga jenis yang komited kepada tugas dan tidak suka menjaga tepi kain orang. Lantaklah orang lain nak naik ke langit dan terjun turun pun saya tidak peduli. Itu hal peribadi mereka.


* Disebabkan ramai yang bertanyakan Selawat Tafrijiyah, ini pautanya:
http://mountdweller.blogspot.com/2008/11/selawat-tafrijiyah.html

Friday, January 23, 2009

Inilah Wajah Arab Mesir

Ini adalah cerita layanan mesra dan prihatinnya Arab terhadap saudara sebangsanya yang cedera dan berlindung di bawah naugan negara saudara seagamanya yang bernama Mesir. Inilah hati dan budi Kerajaan Mesir yang dicurahkan terhadap saudaranya dari Palestin yang kaya raya dan aman damai.

Perisikan Mesir ugut mangsa Palestin yang cedera

Jumaat, 23/01/2009 - Beberapa penduduk Gaza cedera yang menerima rawatan di beberapa buah hospital Mesir dan telah pulang semula ke Gaza berkata pasukan keselamatan Mesir melakukan siasatan terhadap beberapa orang daripada mereka untuk mengetahui tempat membuat roket dan bagaimana senjata diseludupkan ke Gaza.

Portal berita internet Al-Jazeera melaporkan rakyat Gaza yang cedera itu berkata pasukan keselamatan Mesir melakukan siasatan dengan cara yang kasar bahkan mengugut sesiapa yang enggan bekerjasama akan sentiasa diburu dan akan dihentikan rawatan mereka di hospital-hospital Mesir.

Mereka yang cedera itu menjelaskan, setelah kecederaan yang mereka hadapi sembuh sedikit, pihak keselamatan Mesir terus melakukan soal jawab dan menuntut mereka memberikan maklumat tentang kumpulan-kumpulan jihad yang menentang Zionis. Mereka juga dituntut agar tidak lagi memberikan sokongan kepada gerakan HAMAS setelah kembali semula ke Gaza.

sumber : http://www.palestine-info.info/ar/
penterjemah : muhajir

Monday, January 19, 2009

Kesihan Dan Menyedihkan

Kebanyakan pelajar Melayu mengharapka pinjaman dari PTPTN untuk meneruskan pengajian. Tetapi apa akan jadi bila bayaran pijaman oleh PTPTN lambat semata-mata kerana masalah teknikal. Seperti no. pin yang tidak boleh login. Bayaran pinjaman tertangguh bukan sebulan tetapi lebih lama seperti apa akan terjadi kepada Mahasiswa yang tidak mempunyai duit dan keluarganya pula tidak mampu membantu?

Ini cerita berkenaan seorang kawan anak kedua saya yang dipanggil 'Adik'. Adik sekarang sedang menuntut di UiTM Permatang Pauh di bidang Kejuruteraan Makanikal dalam semester akhir. Maafkan saya, tujuan saya ceritakan ini bukanlah untuk menunjuk-nunjuk apa yang telah saya dan adik lakukan tetapi memaparkan implikasi akibat kelambatan menerima duit pinjaman PTPTN dan saya berharap pihak PTPTN memandang berat akan sesusahan yang dihadapi oleh Mahasiswa.

Petang tadi isteri saya memaklumkan kepada saya yang adik minta duit. Saya tanya isteri ke mana duit adik? Kepada apakah adik belanja duitnya sedang baru 3 hari lalu saya hantar duit kepadanya. Isteri saya kata adik tolong kawan dia di UiTM Shah Alam sudah 3 hari tak makan sebab ketiadaan wang. Saya tersentak, terasa sedih yang amat sangat. Budak kawan dia tu pun saya kenal berasal dari Johor. Anak yatim yang ramai adik beradik dan kerja maknya pula hanya menjual kueh. Dia ni jenis budak baik dan tak banyak cakap. Belajar dalam Ijazah Kejuruteraan Makanikal juga.

Kisahnya adik call budak itu petang tadi tetapi budak itu tidur. Rupanya tidur seharian menahan lapar. Itu dia ceritakan kepada adik setelah adik mendesak kenapa tidur saja seharian. Sakitkah atau apa sebenarnya berlaku. Barulah dia cerita pada adik yang dia sudah tidak makan 3 hari kerana ketiadaan duit nak beli makanan.

Jadi adik hantar duit kepada kawannya itu melalui akaun bank. Itu sebabnya duit adik tinggal sikit jer lagi. Petang tadi juga saya hantar duit tambahan kepada adik dan minta no. akaun budak itu dari adik. Jadi kepada budak itu saya hantar lagi duit tambah kepada apa yang adik telah hantar sebelumnya. Di samping itu saya beritahu adik supaya budak itu beritahu kami sekiranya tidak ada duit lagi selepas ini. Insya Allah saya akan tolong.

Sebenarnya perkara tolong orang ini saya telah latih adik dari sekolah rendah lagi. Cerita tolong ini saya sudah ceritakan di n3 saya dulu yang bertajuk Anak Yang Malang. Jadi kerana itu jugalah adik tidak meminta kebenaran atau persetujuan saya untuk hantar duit kepada kawannya itu. Tahu-tahu adik minta saya tambah duit belanja dia, barulah saya tahu dari cerita adik. Bermurah dengan manusia, Allah akan bermurah dengan kita. Insya Allah.

Sunday, January 18, 2009

Samseng Kampung Lari Ketika Sesi Burung Hantu

Garang tidak semestinya berani, berani tidak semestinya garang.

Alkisah satu peristiwa ketika saya dan tiga rakan diminta oleh sebuah persatuan kampung dengan kerjasama Jabatan Belia Dan Sukan mengendalikan satu kem Motivasi Rekreasi dengan disertai oleh para pemuda dari tiga buah kampung yang berdekatan. Persatuan ini memilih sebuah pulau yang agak besar di tengah-tengah Sungai Kelantan berhampiran dengan Pasir Mas. Pulau ini dipilih kerana kedudukannya dekat dengan tiga kampung yang diwakili oleh peserta-peserta kem berkenaan seramai 30 orang yang kesemuanya lelaki.

Saya anggarkan pulau ini berkeluasan lebih kurang 6 ke 8 hektar dipenuhi hutan dan buluh. Sungai yang memisahkan pulau ini dengan tanah besar selebar lebih kurang 50 meter. Dari maklumat yang saya terima, pulau ini agak keras dan memang sunyi. Kami akan berada di pulau ini selama 3 malam dan 4 hari.

Di pulau ini, setelah selesai semua modul yang sepatutnya maka tibalah masa untuk sesi Burung Hantu pada malam akhir iaitu malam ke tiga. Pada petangnya saya dan Tuan Saharizam membuat tinjauan lokasi bagi menempatkan semua peserta pada malam nanti. Kami pilih tempat yang selamat tetapi menakutkan pada waktu malam. Kami akan atur para peserta jauh dari kem di dalam hutan sehingga ke hujung pulau. Lidah tanah! Jarak antara peserta lebih kurang 100 meter tetapi semua peserta tidak akan tahu kedudukan masing-masing.

Dari kalangan 30 orang peserta ini ada dua tiga orang yang agak kasar dan angkuh. Saya diberitahu salah seorang dari geng ini adalah agak samseng di kampung. Semua orang takut kepadanya. Jadi saya fikir saya nak uji keberaniannya pada malam nanti.

Selepas isyak dan makan malam, saya panggil semua peserta berkumpul. Saya mulakan sesi bercerita. Saya bercerita apa yang seram dan menakutkan yang telah saya hadapi dan lalui termasuklah cerita berkenaan hantu, puaka dan binatang buas. Pada mulanya saya bercerita tentang binatang buas. Mereka nampak biasa saja. Duduk pun jauh-jauh antara satu sama lain. Banyak juga soalan dari mereka. Tetapi bila dah agak tengah malam, saya mula bercerita tentang puaka, hantu dan iblis di gunung. Masa ini mereka sudah duduk dekat-dekat dan seakan terkumpul di tengah-tengah bulatan. Tidak kedengaran mereka mengemukakan soalan lagi. Saya terus bercerita sehinggalah jam 1 pagi. Sesi seterusnya memang mereka tidak tahu.

Jam 1.30 pagi saya arahkan mereka berbaris di dalam satu barisan dan saya mengambil semua lampu suluh dan pemetik api serta h/phone dari mereka. Mereka diarahkan mula berjalan mengikut ke mana saja saya pergi, jangan toleh berlakang. Peserta yang dikatakan samseng tadi saya letakkan di hadapan sekali, bermakna dia betul-betul di belakang saya. Jadi sambil berjalan, bila tiba di lokasi yang telah kami tetapkan pada siang tadi, seorang demi seorang dari mereka yang paling belakang akan ditarik oleh Tuan Saharizam dan mengarahkan peserta tadi diam di situ tidak kira berapa lama sekali pun sehinggalah mendengar 3 bunyi wisel panjang-panjang berturut, barulah mereka boleh pulang ke kem.

Bila tiba di satu pokok besar di hujung pulau, yang tinggal hanya saya dan peserta yang dikatakan samseng tadi. Yang lain semua sudah diletakkan di lokasi masing-masing. Saya suruh peserta ini duduk di bawah pokok besar tu sambil berkata " Hah, kau duduk dan tidurlah di bawah pokok ni sampai pagi. Kau tunggulah pokok besar ni bersama Hantu Raya yang ada di sini". Dia tergamam dan tanpa berkata apa-apa seterusnya, saya tinggalkan dia. Saya jalan terus dan bila terlindung di sebalik hutan tebal, saya melincung ke dalam hutan dan berpatah balik berhampiran perserta tadi. Jarak antara saya dan dia lebih kurang 15 meter saja tapi dia tidak tahu. Dia ingat saya sudah pulang ke kem. Sebenarnya ramai pembantu yang bersembunyi berhampiran lokasi-lokasi peserta yang ditinggalkan tadi, berjaga-jaga sekiranya ada berlaku sebarang kecemasan.

Saya perhatikan dia. Mula-mula dia duduk, lepas tu dia bangun berdiri dan duduk balik. Tiba-tiba saya dengar dia menangis. Saya dah mula gelisah kesihan tapi saya tahan hati saya dari perasaan itu. Selepas menangis dia meraung dan terus berlari kencang menuju ke lokasi perkhemahan. Saya risau takut dia kena histeria kerana terlalu takut. Saya ikut dia sehinggalah ke kem. Di kem dia masih menangis dan sedang dipujuk oleh Setiausaha persatuan penganjur. Nasib baik raungan dia tu tidak menjejaskan orang lain. Jam 2.45 pagi wisel panjang-panjang ditiup 3 kali dan semua peserta serta urusetia yang berjaga-jaga tadi pun pulang ke kem berderet-deret dengan senyum. Ada yang bertanya apa yang bunyi macam orang meraung tadi. Saya kata nanti akan saya ceritakan di sesi posmotem nanti.

Thursday, January 15, 2009

Sekadar Luahan Perasaan Seorang Ayah

Harapkan janganlah ada sesiapa yang ambil hati. Titipan ini hanyalah sekadar bercerita dan luahan perasaan seorang ayah bila anaknya diperlakukan dengan cara yang tidak sepatutnya.

Dari kecil saya bangga dan teruja dengan tentera. Bermula dengan abang tiri saya sehinggalah sekarang ramai ahli keluarga saya yang terlibat di dalam angkatan tentera. Tentera Darat, abang tiri saya pencen dengan staf Sarjan, Biras saya pencen dengan Major. Abang Ipar angkat saya pencen dengan Kolonel (Udara). Mereka menjadi Idola Along (anak sulung saya). Maka Along rela menolak peluang belajar di luar negara dan memilih menuntut di ATMA sekarang Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. Sekarang sudah pun berkhidmat di Kapal Peronda KD PAHANG.

Apa yang hendak saya katakan di sini ialah stail pengurusan dan kepimpinan di dalam tentera (mungkin tidak semua) yang tidak seindah dipandang mata. Adakah Pegawai dan Kakitangan tentera ramai terdiri dari jenis yang suka membangangkan atau memang bangang walau pun ramai di antara mereka terdiri dari Pegawai berijazah?

Di ATMA, mereka kata mereka mementingkan amanah, pelajaran dan disiplin. Tapi apa yang berlaku, telefon Along dirampas oleh Jurulatih semasa OCnya bercuti dan tidak dimaklumkan selepas itu, kemudian pula dikatakan hilang dalam simpanan. Akhirnya didapati Jurulatihnya yang berpangkat Sarjan mengambil dan menggunakannya untuk peribadi. Bila saya jumpa OCnya dan saya kata saya akan buat laporan polis, barulah dipulangkan. Itu pun setelah Jurulatih itu ditampar oleh OC.

Perkara kedua yang sering berlaku ialah latihan/kerja malam sehingga ke jam 2 pagi dan bangun jam 5.30 atau 6 pagi di saat 3 ke 4 hari sebelum peperiksaan. Bila masa penuntut nak tumpukan belajar? Macam mana nak tumpukan perhatian kepada pelajaran kalau dah tidur 3 jam satu malam. Macam mana nak cemerlang sebagaimana yang diharapkan?.

Ketiga, sudah beberapa kali tiket Air Asia dari KL ke KB hangus gara-gara cuti ditangguhkan dengan short notice. Semasa hendak pulang untuk Raya juga perkara yang sebangang itu sering berlaku setiap kali nak balik. Notice cuti diberikan lima hari atau kalau lama sikit pun seminggu. Semasa nak raya tikit bas sebulan sebelum tempoh sudah habis dijual. Tiket flight pun sama juga. Habis kelam kabutlah budak-budak
cari kenderaan nak balik. Nasib baiklah adik-adik dan kakak-kakak saya ramai di KL dan Along balik tumpang mereka. Pernah saya sendiri terpaksa hantar Along dengan kereta ke KL kerana kehabisan tiket bas dan kapal terbang. Bayangkan kerana jam yang teruk saya mengambil masa lebih dari 10 jam dari KB ke Sungai Besi.

Baru-baru ini pula, Along kena lapor di KD PAHANG yang berpengkalan di Teluk Sepanggar, Sabah pada hari ini 15 Jan 2008. Sebelum ini Along di Lumut. Flight dari KLIA ke Kota Kinabalu pada jam 9.20 pagi 14 Jan. 2008 hanya diberitahu oleh bahagian pengurusan pada petang 12 Jan. Sedangkan mereka memang tahu yang tidak ada kapal terbang dari Ipoh ke KLIA. Jadi terpaksalah Along dan seorang kawan bayar RM120.00 sewa teksi dari Lumut ke Medan Gopeng, Ipoh dan naik bas ke KLIA pada malam 13 Jan. dan tiba di KLIA jam 2.00 pagi. Jadi Along dan kawannya menunggulah semalaman di KLIA menanti flight pada jam 9.20 pagi esoknya. Hotel dah tutup untuk check in pada jam 12.00 tengah malam. Melangutlah Along semalaman di KLIA. Buang masa dengan sia-sia. Bukankah itu bangang atau bodoh namanya!

Kalau tarikh flight diberitahu lebih awal, Along boleh balik KB dan ambil flight dari KB ke KLIA pada hari yang sama dengan flight ke KK. Tidaklah menganiayai anggotanya dengan menunggu dan buang masa dengan cara yang terseksa tidak tidur. Dahlah keletihan naik bas dari Ipoh ke KLIA.

Baru-baru ini juga semasa saya nak bawa Along balik sama ke KB, dimaklumkan Along boleh balik pada jam 12.30 tengahari tetapi kerana borang cuti tidak ditandatangan oleh Pegawainya, kami hanya boleh bertolak pada jam 5.00 petang mengharungi hujan lebat ke KB.

Saya tahu askar perlu tabah dan berdisiplin. Tetapi hanya itukah caranya untuk melatih ketabahan. Sengaja membuatkan anggotanya susah dengan cara yang tidak menggunakan akal?

Itulah sebabnya saya berpesan kepada Along, di hari kemudian nanti Along akan jadi ketua. Jangan membangankan diri kita kerana nak bangangkan anggota bawahan. Jadilah manusia yang cekap bertindak, bijak merancang dan berhemah dengan orang bawahan. Jangan jadi manusia yang bertindak bodoh setelah cerdik!

Wednesday, January 14, 2009

Sianjing Tua Masih Menyalak!

Petikan dari Malaysiakini, Jan 14, 09 3:43pm


Karpal: DAP keluar Pakatan jika hudud dilaksanakan


DAP mengancam untuk menarik diri daripada Pakatan Rakyat sekiranya PAS masih mahu melaksanakan undang-undang hudud dan qisas jika pembangkang menerajui negara ini.


Pengerusi DAP Karpal Singh ketika menyatakan perkara itu mengulangi pendirian bahawa hukum hudud dan qisas bukan menjadi dasar DAP dan tidak termasuk dalam manifesto Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum Mac tahun lalu.

"Sewajarnya PAS mengambil kira pandangan DAP sebagai anggota dalam Pakatan Rakyat dan menghormati pendirian kami," katanya kepada pemberita di luar perkarangan Istana Negara di sini hari ini, lapor Bernama

Terdahulu beliau menyerahkan surat untuk Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengenai pelantikan Tan Sri Zaki Tun Azmi sebagai Ketua Hakim Negara. Surat itu diterima oleh Setiausaha Istana Negara Zainab Muhammad di luar pagar pintu belakang Istana Negara.

Pada 21 Disember lalu, Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa berkata parti itu tidak pernah melupakan dasar perjuangannya untuk menegakkan pemerintahan Islam di negara ini termasuk melaksanakan hukum hudud.


Pandangan saya : Kalau tak nak terima suara majoriti, keluar jerlah. Tak payah menyalak.


atau PAS yang keluar kalau tidak mendapat sokongan dari PKR.

Tuesday, January 13, 2009

Award dari Erisya


Orang tua pun kena tag juga. Ini hadiah dari Erisya. Terima kasih banyak. Tapi maafkan uncle, uncle tidak mahu tagkan blogger lain. Bukan tak sporting tapi uncle rasa tidak wajar bagi uncle berbuat begitu dengan kedudukan uncle sebagai Bapa mungkin Atok di kalangan blogger.

Di bawah ini uncle copy and paste berkenaan diri Erisya.

a. Kerja gomen. Membantu penguatkuasaan akta2 di Mesia ni .

b. part -time buat MSc dalam bidang genetik. Ntah bila nak abis urgghhhh semangatpun dah makin cair ni.....

c. suka jalan2 tak kiralah ke mana ; ikut kemampuan ler hehehehe. Paling enjoy masa ke Jepun..maklum, sumer ditanggung!

d. Errr ...Negeri asal? Erisya orang Perak tapi dah lama menetap di Pulau Pinang sejak rumaja lagi hehehe tapi....masih pandai cakap perak, tau....

e. Lagu kegemaran ialah nada sousou (rimi natsukawa), shimanchu nu takara (kumpulan begin), เราต่างก็รู้ดี เธอเองก็มีใคร (aof pongsak) , semua lagu nyanyian Rossa, ....eh...banyak lak lagu kegemaran tak tertulis di sini! Tapi lagu siam tuh mengingatkan erisya pada seseorang yang amat istimewa di hati ini.

f. Hmmm..nak citer apa lagi ya...tak reti nak citer apa sebab tak de soklan . Itu jelah kot...

Berkenaan uncle pula:

Kerja semi gomen, di bahagian pemasaran. Tugas sampingan adalah berkenaan Aset Kerajaan.
Ada dua puteri dan seorang isteri.
Cergas di dalam NGO berasaskan Rekreasi dan Cinta Alam
Gemar Trekking, Mendaki dan Cabaran
Rasanya jenis lembut hati dan cepat kesihan walau pun di pejabat ramai yang mengatakan saya garang bagi yang kurang kenal.(garang bertempat kot)
Masih lagi Setiausaha Persatuan Sukan Dan Mendaki Negeri Kelantan, Pen. Setiausaha Persatuan Pemuliharaan Kelah Negeri Kelantan. Masih ada peranan di dalam Persekutuan Mendaki Malaysia (PMM)
Kadang-kadang join aktiviti dengan Persatuan Cinta Alam Kelantan (MNS)
Sukakan Seni dan Silat
Suka juga barangan Antik tapi tak banyak koleksi sebab mahal (Tak mahu jadi gila antik)
Tidak sukakan kebisingan dan riuh rendah
Menghargai kerja yang sempurna dan teliti
Minat lagu-lagu Siti dan Elyana.
Satu perkara pelik ialah suka tengok gelagat manusia dan berfikir
Di masa lapang suka main domino dengan geng sebaya.

Soal Hudud Dan Pelaksanaannya Di Kelantan

Saya sedaya mungkin cuba meletakkan diri ini dengan tidak berpihak. Namun apa bila berhadapan dengan hak Allah, maka saya terpaksa patuh dan terpaksa memihak. Memihak kepada kumpulan yang cuba menegakkan hak itu. Hak Allah mesti ditegakkan, itu adalah fardhu kalau tidak sia-sialah kita mengaku sebagai Islam tetapi engkarkan perintahNya.

Saya cukup gerun bila membaca n3 terbaru di blog PakKaramu yang menyentuh kejahatan dan kufur setelah beriman. Di akhir-akhir ini 'Hudud' telah berdengung kembali. Dikembalikan oleh manusia yang oportunis politik. Hudud adalah hak Allah yang perlu ditegakkan.

Nasib Hudud (perintah Allah) dan penerimaannya di negara kita adalah sebagaimana petikan surat dari bekas PM Dr. Mahathir dan YAB. Tok Guru Nik Abd. Aziz, Menteri Besar Kelantan. Saya terpanggil ke bab ini bila melibatkan negeri kelahiran saya Kelantan. Ramai yang bertanya dan mencabar kenapa PAS masih tidak laksanakan Hudud di Negeri Kelantan yang di bawah pemerintahannya. Di bawah adalah jawapannya yang saya petik dari Blog Penarik Beca. Izinkan saya Sdr. Bakaq.

Surat dari bekas PM kepada MB Kelantan dan jawapan MB Kelantan kepada bekas PM itu. Sdr. /Sdri nilailah sendiri.

PERDANA MENTERI MALAYSIA

YAB Tuan Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat Menteri Besar Kelantan KELANTAN

Y.A.B. Tuan Haji,

PENGUATKUASAAN KANUN JENAYAH SYARIAH II 1993 DI NEGERI KELANTAN

Rujukan : MB(KN)(S)16/6/(26) Bertarikh 8 Jun 1994

Pihak kerajaan pusat sentiasa berpandukan kapada kebijaksanaan (al-Hikmah) yang telah ditunjukkan oleh baginda Rasulullah SAW. dan juga para sahabat baginda khususnya al-khulafa ar-Rasyidundalam melaksanakan ajaran Islam lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan hukum-hukum jenayah. Jalan yang diambil oleh Kerajaan Pusat ini adalah juga berpandukan kapada keadah yang terdapat dalam sistem pemerintahan Islam iaitu "tindakan pemerintahan adalah sentiasa bergantung kapada kepentingan ramai (muslihat umum)."

Penguatkuasaan kanun jenayah yang digubal oleh Kerajaan PAS di Kelantan, menurut kajian sehingga setakat ini tidak menampakkan dan tidak menyakinkan pakar-pakar perundangan Islam yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik bahawa ia selari dengan ajaran dan kehendak Islam sebagaimana yang telah diuruskan dengan bijaksana oleh Rasulullah SAW. dan para sahabat.

2. Sepertimana yang Amat Berhormat sendiri sedia ketahui, KEADILAN adalah ASAS yang paling utama ditekankan oleh agama Islam apabila melaksanakan sesuatu perkara. Penekanan mengenai dengan keadilan adalah sangat terserlah dalam ajaran Islam lebih daripada penekanan yang terdapat dalam ajaran-ajaran yang lain dalam sejarah agama. Baginda Rasulullah SAW. sewaktu mengembangkan agama Islam ialah usaha menghapuskan ketidakadilan yang menjadi sebahagian daripada budaya dizaman itu.

3. Tidak perlu bagi saya menyatakan di sini betapa banyaknya terdapat ayat-ayat Al-Quran yang menegaskan tentang pentingnya keadilan dan lebih banyak bagi ayat-ayat yang mencela sebarang jenis kezaliman.

Disamping itu al-Quran juga sentiasa menggesa supaya dielak daripada terjadinya huru-hara dan Allah sendiri sangat tidak gemarkan kapada mereka yang menyebabkan huru-hara berlaku. Kita hanya bertindak balas terhadap sikap permusuhan dan serangan yang dilakukan terhadap kita.

Di Malaysia, orang bukan Islam bukan sahaja tidak memusuhi kita tetapi mereka memberi kerjasama bahkan membantu kita dalam urusan-urusan yang bersangkutan dengan kegiatan dan amalan ajaran Islam.

Khusus mengenai undang-undang jenayah PAS di Kelantan, kajian awal menunjukkan dengan jelas bahawa undang-undang itu yang disediakan menerusi perjuangan sebuah parti politik ternyata bukan sahaja menyebabkan ketidakadilan aakan berlaku tetapi, sebaliknya ia akan membawa kezaliman.

Kebenaran kenyataan ini adalah berdasarkan kapada keterangan berikut:

Dakwaan bahawa undang-undang ini akan dikuatkuasakan hanya di kalangan orang Islam sahaja dan tidak digunapakai untuk orang bukan Islam akan menyebabkan ketidakadilan dan kezaliman yang ketara berlaku.

Memang benar di zaman Nabi Muhammad SAW., orang Yahudi biasa dihukum di bawah undang-undang yang berada di dalam kitab Taurat mereka tetapi kitab Taurat mempunyai hukuman yang tidak berbedza dengan hukum-hukum dalam al-Quran.

Mereka yang berzina umpamanya, akan dihukum rejam sama seperti hukuman terhadap jenayah yang sama bagi orang Islam.

Justru itu tidak ada perbedzaan sama ada penjenayah dihukum di bawah undang-undang Islam atau Undang-undang Yahudi di zaman Nabi Muhammad SAW.

Tetapi terdapat perbedzaan yang amat ketara di antara hukuman di bawah undang-undang yang ada sekarang dengan hukuman di bawah undang-undang jenayah yang dicadangkan oleh kerajaan PAS di Kelantan.

Menghukum orang Islam dengan lebih berat tetapi orang bukan Islam dengan amat ringan untuk jenayah yang sama atau jenayah dilakukan bersama amatlah tidak adil dan merupakan satu kezaliman, sedangkan undang-undang PAS akan menyebabkan ketidakadilan dan kezaliman berlaku, maka undang-undang PAS tidak boleh diterima sebagai undang-undang Islam atau secucuk dengan undang-undang Islam ataupun selaras dengan ajaran Islam. Ia sebenarnya tertentangan dengan agama Islam.

4. Masaalah kesalahan merogol wanita, berdasarkan kapada undang-undang PAS, jika seseorang wanita yang belum kahwin melahirkan anak maka ini adalah bukti ia telah berzina dan akan dihukum mengikut undang-undang PAS, sedangkan apa yang sebenarnya berlaku ialah wanita itu adalah mangsa rogol.

Mengikut undang-undang PAS jika ia menuduh perogolnya, tuduhan hanya boleh diterima sah jika terdapat empat orang saksi (yang terdiri daripada orang-orang yang baik, yang tidak melakukan dosa besar) yang menyatakan bahawa telah melihat dengan terang dan jelas bahawa yang dituduh telah merogol wanita berkenaan.

Seperti kita ketahui, melainkan dalam keadaan perang seperti di Bosnia diwaktu mana orang Serb merogol beramai-ramai wanita Bosnia, tidak mungkin jenayah merogol dilakukan di hadapan saksi-saksi yang terdiri daripada orang-orang yang baik. Jika saksi ini melihat dan mereka tidak menolong wanita berkenaan, mereka boleh dianggap sebagai bersubahat seperti penjenayah-penjenayah Serb bersubahat dengan perogol daripada kaum mereka. Jika ada pun saksi, dan mereka tidak membuat apa-apa untuk menolong mereka tidak boleh dianggap sebagai terdiri daripada orang yang baik, tetapi disebaliknya dianggap sudah bersubahat.

Dengan itutuduhan mangsa rogol akan ditolak dan perogol akan terlepas. Keadaan di mana mangsa rogol dihukum salah kerana melahirkan anak diluar nikah dan perogol dilepaskan sebagai tidak bersalah kerana tidak ada saksi adalah sama sekali tidak boleh diterima oleh sesiapa pun sebagai sesuatu yang adil, bahkan aia adalah satu kezaliman yang dahsyat.

Hukum Hudud Islam bertujuan untuk memberi keadilan kapada semua pihak. Ia bukanlah bertujuan untuk melakukan kezaliman. Undang-undang PAS jelas menunjukkan ketidakadilan dan kezaliman yang ketara akan berlaku. Justeru itu undang-undang yang disediakan oleh PAS bukanlah undang-undang yang menepati ajaran Islam. Ia hanyalah undang-undang ciptaan PAS yang bertentangan dengan penekanan oleh agama Islam yang menuntut supaya menghukum secara adil dan menolok sebarang kezaliman.

Kerajaan Pusat akan sentiasa berpandu dan menerima ajaran-ajaran dan amalan Islam dari semua aspek tanpa diheret oleh kehendak organasasi politik yang mempunyai kepentingan yang lain daripada Islam dan kepentingannya .

Jika undang-undang PAS yang jelas mengandungi unsur-unsur ketidakadilan dikuatkuasakan dinegara ini, dan jika ia dikatakan itulah Hukum Hudud Islam maka umat Islam dan juga anggota masyarakat bukan Islam akan hilang kepercayaan Islam membawa keadilan untuk penganutnya.

Ia juga memberi gambaran yang buruk terhadap agama yang suci ini dan menjejaskan imej orang-orang Islam di kalangan penganut agama-agama lain. Ia tetap akan menyebabkan penganut agama lain menjauhkan diri daripada agama Islam dan menyebabkan orang yang berminat memeluk Islam menolaknya.

Kerajaan Pusat tidak berhajat untuk bersubahat dengan PAS bagi melaksanakan ketidakadilan semata-mata untuk kepentingan politik dan sokongan oleh orang yang telah diabui matanya.

Kerajaan Malaysia yang sentiasa dan terus mempertahankan ajaran dan nilai-nilai Islam tidak dapat membenarkan Kerajaan Pas menjalankan sesuatu yang bercanggah dengan prinsip keadilan dalam Islam, maka Kerajaan Pusat akan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap Kerajaan PAS demi menjaga maruah dan ketinggian martabat Islam dan penganut-penganutnya.

DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 15 Julai 1994

Surat PM ini telah dibalas kembali oleh Dato Menteri Besar Kelantan melalui rujukan MB.KN. (S) 19/2(36) bertarikh 17 Nov. 1994.

Surat ini mengandungi 33 muka surat serta Lampiran A.

MB Kelantan berhujah lengkap dengan ayat-ayat Al Quran, hadith, Ijmak Ulamak dan pendapat imam yang empat, sedangkan surat PM satu huruf dari AlQuran atau makna hadith pun tak ada apatah lagi pendapat ulamak. Ini bermakna PM berhujah pakai akal semata-mata yang telah dikafankan dengan pakaian syaitan.

MB Kelantan telah menjawab secara terperinci masaalah yang ditimbulkan olih PM berhubung wanita yang di rogol (surat PM para 4 (ii ) dirujuk ).

Antara lain jawapan yang dikemukankan olih MB Kelantan " jika wanita itu hamil dan tidak mempunyai suami maka hendaklah ia di soal siasat sebab-sebab kehamilannya. Jika wanita itu mengatakan bahawa ia telah dirogaol (ikrarnya) maka hakim boleh meminda kes ini dari 'kes zina' kapada 'kes rogol'.

Hujah MB berdasarkan kes yang diambil oleh Saidina Ali terhadap Syarahah dan pendapat Iman Syafei (surat MB para 4 ).

Jika wanita itu dirogol maka wanita berkenaan tidak dikenakan apa-apa hukuman (hudud).

Sepertimana Sabda Nabi SAW "Pergilah engkau (Perempuan yang dirogol) sesungguhnya Allah telah mengampunkan dosa engkau " Dan Rasulullah SAW bersabda pula kapada lelaki yang merogol perempuan tadi dan mengarahkan sahabatnya : "Rejamlah lelaki itu" (Surat MB para 4) Dalam kes rogol yang tiada empat orang saksi maka kes ini hendaklah didakwa di bawah kes zina dan jika tidak sabit kesalahan zina bolehlah dijatuhkan hukuman takzir ( dalam konteks sekarang hukuman 'Penal Code' (Surat MB para4).

Ini bermakna pesalah rogol bukan boleh terlepas begitu sahaja seperti mana dakwaan PM.

Bagi kesalahan yang dilakukan oleh orang yang bukan Islam MB Kelantan menjawab pada para 5 dengan dalil-dali dan hujah dari Al-Quran, Hadith dan pandangan Iman yang empat cukup mantap dimana "kes-kes jenayah syariah yang dilakukan oleh orang-orang yang bukan Islam, maka pihak hakim boleh membicarakan kes itu dalam Mahkamah syariah, atau menolaknya (mengenepikan) kes itu untuk dibicarakan dalam Mahkamah awam."

Disini MB Kelantan menyatakan sebagai kesimpulan diakhir surat beliau bahawa orang bukan Islam tidak perlu kapada hudud kerana mereka tidak perlu kapada penyucian dosa. Kecuali mereka masuk Islam. Mereka tidak akan mendapat keampunan Allah dan kekal dalam api neraka buat selama-lamanya.

Apabila kita membaca surat PM itu menjelaskan lagi bahawa PM kita ni terlalu jahil bab Agama.

Dari Penarik Beca yang menulis mengenai Hudud dan Che Det.

Saturday, January 10, 2009

Nasib Seekor Binatang

Engkau lebih bernasib baik dari orang-orang palestin


NEW YORK – A 140-year-old lobster once destined for a dinner plate received the gift of life Friday from a Park Avenue seafood restaurant.

George, the 20-pound supercentenarian crustacean, was freed by City Crab and Seafood in New York City.

"We applaud the folks at City Crab and Seafood for their compassionate decision to allow this noble old-timer to live out his days in freedom and peace," said Ingrid E. Newkirk, president of People for the Ethical Treatment of Animals.

PETA spokesman Michael McGraw said the group asked City Crab to return George to the Atlantic Ocean after a diner saw him at the restaurant, where steamed Maine lobster sells for $27 per pound. George had been caught off Newfoundland, Canada and lived in the tank for about 10 days before his release.

Some scientists estimate lobsters can live to be more than 100 years old. PETA and the restaurant guessed George's age at about 140, using a rule of thumb based on the creature's weight.

He was to be released Saturday near Kennebunkport, Maine, in an area where lobster trapping is forbidden.

Friday, January 9, 2009

Selamat Bertugas Buat Along

Along terima memo supaya melaporkan diri untuk bertugas di KD PAHANG setelah menghabiskan cuti di sisi kami selama seminggu. Kami menghantarnya ke Terminal bas ekspres SKMK Langgar untuk kembali ke Lumut dan seterusnya ke Kota Kinabalu di mana Kapal Peronda KD PAHANG di tempatkan. Along berlepas pada jam 9.30 malam.

Selepas 10 minit bas meninggalkan terminal, saya terima msg. yang berbunyi
"Dah rasa rindukan Papa dan Mama" .

Baru 10 minit tadi, setelah Along berlepas kami melangkah pulang dengan longlai sambil mendoakan keselamatan dan ketabahan diri Along.



CENDERAHATI DARI KD KEDAH

Along,

Selamat Jalan Srikandiku, Papa dan Mama juga berperasaan begitu. Papa dan Mama hanya punyai 2 orang buah hati, namun demi kerjaya dan masa depan, kami terpaksa lepaskan Along dan juga Adik pergi. Along dengan kerjaya Along dan Adik dengan pelajarannya. Bayangkan Papa dan Mama tinggal berdua dari tahun 2002 lagi. Kami juga sunyi, tapi apakan daya masanya sudah sampai bagi kami melepaskan Along dan Adik merintis dan meneroka haluan sendiri

Itu adalah pengorbanan kami demi Kejayaan, demi Agama, Bangsa dan Negara.
Walau apa pun kami tetap rindukan kamu berdua

Monday, January 5, 2009

Tumbuk Hantu, Tiang Yang Kena

Entah mengapa saya dari kecil sudah alami perkara-perkara pelik yang melibatkan makhluk halus sedangkan sesetengah orang dari muda hingga ke tua tidak pernah alami apa-apa. Saya nak ceritakan peristiwa kali kedua saya alami ketika bermalam di rumah abang sulung saya.

Pada satu petang ketika itu saya di dalam tingkatan 2 (14 tahun) saya berkunjung ke rumah abang sulung saya. Malam itu abang minta saya bermalam saja di rumahnya. Rumah ini merupakan rumah pusaka turun temurun yang diwarisi oleh kakak ipar saya. Rumah dari kayu cengal ini agak besar dengan panjang lebih kurang 100 kaki dan buka 40 kaki dengan berhiaskan kayu larik dan berkerawang yang cukup menarik.

Malam itu saya bermalam di sebuah bilik yang bersebelahan dengan bilik simpanan barang-barang antik yang abang simpan. Bilik itu memang dipenuhi dengan berbagai barangan antik dari lembing keris sehinggalah barangan tembaga dan pinggan mangkuk cina zaman dahulu.

Lebih kurang jam 2 pagi saya tersedar kerana terdengar jentikan yang berirama di lantai. Seolah-olah dilakukan dengan jari yang kuat. Saya diam dan mendengar saja sambil terkebil-kebil. Kerana bunyi agak lama, saya tak boleh tidur. Saya tepuk lantai dengan kuat. Bunyi itu diam seketika dan berbunyi lagi. Saya tepuk lagi lantai itu, terus bunyi itu senyap. Seketika kemudian saya dengar seperti bunyi orang mandi di bilik air belakang dengan menggunakan paip hujan. Bunyi itu agak kuat kerana bilik itu berlantaikan papan juga. Ditambah pula malam yang sunyi. Saya masih diam membatu di perbaringan. Saya fikir mustahil abang mandi jam 2 pagi, lagi pun di biliknya juga ada bilik air.

Seketika kemudian saya dengar macam benda barat jatuh di atas atap serambi belakang. Memang serambi belakang rumah itu beratapkan zink. Bunyinya macam dipukul dengan kuat atau buah kelapa yang jatuh di atas atap zink itu. Nak kata buah kelapa yang jatuh, ianya mustahil sebab pokok kelapa yang ada pun jauh dari rumah. Saya masih diam. Sedang saya berfikir-fikir itu saya dengar pula kualli tembaga dipukul bertalu-talu macam memukul gong di bilik sebelah. Cukup membingitkan. Saya masih diam juga.

Bila hilang bunyi gong tadi, keadaan hening seketika sehinggalah terdengar pula bunyi seolah-olah lidah yang besar menjilat sesuatu dari bekas yang juga besar di bilik sebelah. Plap.. plap.. plap... lahap benar bunyinya. Saya bangun dan duduk di katil. Teringin pula nak mengintai apa sebenarnya yang berbunyi dan apakah yang dibuatnya.

Saya bangkit dan terlanggar almari kerana agak gelap dan di bilik yang saya tidak biasa. Saya fikir macam mana saya nak intai sedangkan keadaan gelap. Apa yang saya nak tengok? Saya bangun dan menuju ke tiang suis lampu. Bila saya dekat dengan tiang, di dalam keadaan samar saya nampak satu lembaga besar berbulu hitam berdiri di hadapan suis yang saya nak petik. Saya amati, betul itu adalah lembaga besar, bermata merah dan bergigi besar macam kapak.

Saya rapat dan sambil melompat saya tumbuk lembaga itu sekuat hati. Kerana lembaga itu besar dan saya masih lagi rendah, baru 14 tahun, saya terpaksa melompat untuk menumbuk mukanya. Buk... rumah dirasakan bergegar. Adusss... tangan saya sakit. Rupanya saya tumbuk tiang rumah yang berukuran 10 inci x 10 inci. Kayu cengal pulak tu. Abang saya tersedar dan panggil saya. Dia tanya apa halnya. Saya jawab, saya terlanggar tiang semasa nak buka lampu kerana nak buang air. Saya berbohong takut dia tak percaya cerita saya.

Malang bagi saya. Esoknya saya dapati empat jari dan buku lima saya bengkak membiru! Hantu yang ditumbuk, tiang yang jadi sasaran.

Selang beberapa bulan selepas itu saya diberitahu oleh kakak kepada kakak ipar saya yang memang rumah itu ada penunggu. Hantu raya belaan orang dulu-dulu untuk menjaga rumah dan harta tapi sekarang tidak ada siapa pun yang sanggup mewarisinya. Tapi selepas dari peristiwa itu saya tidak lagi diganggu ketika saya bermalam di situ.


Saturday, January 3, 2009

Sudah Kembali

Salam buat semua teman-teman. Baru balik malam tadi. Demam dan selesema.
Hanya mampu bercerita dengan gambar jer...


Waterfront Lumut


Taman Paya Bakau dengan Along


Isteri di Pasir Bogak


Jeti ke Pulau Pangkor


Dalam Feri ke Pulau Pankor


Pangkor


Juga Waterfront Lumut


Kera dan anak di Hutan Paya Bakau


Tayangan Perdana


Indah


Bersama Along di Paya Bakau


Teluk Batik


Pemandangan dari Yacht Club


Pemandangan dari tempat yang sama


Bersama isteri di depan Yacht


Di beranda rumah ipar. Sunway Kayangan


Di tempat yang sama


Along, Mak-Mak Sedara dan Sepupu


Di Lobi Hotel