Masjid negeri Perlis

PADANG BESAR - Pas Perlis mengambil langkah drastik mewajibkan pengisytiharan harta kepada umum terhadap semua wakil rakyat parti itu sekiranya Pakatan Rakyat (PR) berjaya melakar kejutan dengan menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) ke-13.

Timbalan Pesuruhjaya I Pas Perlis, Anuar Tahir berkata, pelaksanaan perkara itu merupakan janji Pas kepada rakyat Perlis untuk memastikan negeri itu diurus tadbir oleh kepimpinan yang telus dan berintegriti.

Menurutnya, rakyat berhak mempersoalkan mana-mana wakil rakyat yang didapati menambah aset dan kekayaan dengan cara yang meragukan dan tindakan tegas akan diambil parti serta-merta terhadap wakil rakyat terbabit demi memastikan ketelusan Kerajaan Negeri bawah PR tidak dipersoal.

“Bawah pemerintahan PR, kami akan memastikan rakyat negeri ini menikmati pengurusan pentadbiran makmur dan bebas rasuah selain memberikan lebih banyak manfaat kepada mereka dalam setiap projek yang dilaksanakan,” katanya sewaktu berucap sempena perasmian Sambutan Jubli Perak Pasti Nurul Hayan, Santan di sini semalam.

Anuar berkata, PR perlu mengambil kesempatan di atas keadaan BN Perlis yang semakin terumbang-ambing disebabkan perpecahan dalaman yang melanda parti komponen itu untuk mengukuhkan sokongan rakyat terhadap mereka.

Menurutnya, kehadiran Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri ke Perlis baru-baru ini membuktikan BN semakin bimbang dengan kemungkinan negeri itu akan terlepas ke tangan PR.
“Berbeza dengan BN, parti-parti di dalam PR bersama-sama menyokong perjuangan yang satu iaitu menumbangkan BN untuk menawan Putrajaya.

“Kejutan lama pada PRU lalu masih belum hilang, kini BN terpaksa menghadapi saat genting bagi menghadapi PRU yang ke-13 dengan pelbagai isu nasional termasuk isu Pusat Fidlot Negara (NFC) yang kini hangat diperkatakan masyarakat,” katanya.