Datuk Dr Hasan Mohamed Ali

SHAH ALAM - Sembilan alasan dikemukakan Datuk Dr Hasan Mohamed Ali untuk tidak membuat rayuan pemecatan daripada Pas, menunjukkan kelemahannya kepada umum.

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Selangor, Khalid Abdul Samad berkata, alasan Hasan mendakwa pemecatannya berdasarkan peranan parasit, menunjukkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia itu tidak menghormati keputusan Muktamar dan ahli Pas.

“Pemecatan Hasan dari parti diputuskan oleh pimpinan tertinggi seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Presiden Pas), Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Ketua Penerangan Pas Pusat) dan pimpinan lain. Beliau seolah-beri gambaran Datuk Seri Abdul Hadi tidak boleh berdepan dengan pemimpin lain sehingga dikuasai parasit,” katanya, di pejabatnya, di sini, semalam.

Khalid berkata, kenyataan Hasan mendakwa tidak menerima surat atau pesanan berhubung pertuduhan terhadapnya adalah palsu, kerana bekas Pesuruhjaya Pas itu pernah diberikan amaran tidak mempunyai pendirian bercanggah dengan Pas dan Pakatan Rakyat (PR), sebelum ini.

“Amaran itu tetap berkuat kuasa, beliau sewenang-wenangnya membuat tuduhan liar terhadap Pas kepada media. Tindakan melampaunya itu menyebabkan beliau dipecat atas desakan anggota Pas sendiri.

“Bagaimana Hasan kata beliau berpegang teguh dengan kenyataan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (Mursyidul Am Pas), sedangkan sehari selepas itu, beliau mendakwa Pas tersasar dari landasan dan meminta Harakah Daily jangan menipu kerana dia tidak pernah meminta maaf,” katanya.

Walaupun Hasan kerap kali meminta kedudukan Pas dalam PR dikaji semula, Khalid mendakwa, ia disebabkan perasaan tidak puas hati Hasan yang gagal mencapai hasrat untuk menjadi Menteri Besar.

Beliau berharap, semalam adalah kali terakhir pihaknya bercakap mengenai Hasan.